Friday, May 18, 2012

Keindahan Cinta Iman - Zuraidah Othman

Posted by Hajar at 11:28 PM
Tajuk: Keindahan Cinta Iman
Penulis: Zuraidah Othman
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM22.90
Sabah/ Sarawak: RM 25.90
Halaman:  553 mukasurat
ISBN: 9789675229374

Rasa macam dah lama tak baca karya Zuraidah Othman. Karya terakhir saya baca adalah Suci Wajah Rindu. Itu pun dah berapa tahun sudah agaknya. Jadi bila tahu yang Zuraidah Othman bakal keluarkan karya terbaru haruslah saya serbu gerai NB masa pesta buku yang lepas. :)

Awal-awal penceritaan je dah dihidangkan dengan kisah hidup Indah Balqish (Indah) yang tragik. Atas sebab cinta terhalang dengan Shahim, Indah dipersalahkan atas kematian emaknya. Kononnya panggilan daripada emak Shahim jadi punca emak si Indah diserang sakit jantung dan meninggal dunia. Sebenarnya Indah bukanlah puncanya. Nadiah si kakak ipar Indah itulah yang pandai putarbelitkan cerita.

Nadiah yang memang cemburukan layanan keluarga suaminya pada Indah walaupun Indah tu sebenarnya cumalah adik tiri, dah siap memasang angan untuk menjodohkan Indah dengan adik Datin Adilah, pemilik butik tempat dia bekerja. Siap bermuslihat segala. Kononnya nak pastikan kehidupan Indah tu terjamin selepas pemergian si emak. Indah tak tahu yang Nadiah dah siap buat perjanjian dengan Datin Adilah, kalau Indah setuju berkahwin dengan Badriz Iman (Iman) tu, salah satu butik Datin Adilah akan jadi hakmilik Nadiah. 

Indah pun tak tahu yang dia bakal dikahwinkan dengan lelaki yang dah beranak empat. Bila dapat tahu, memang cabut larilah Indah masa hari keluarga Iman datang merisik. Sangkanya, bakal suaminya itu lelaki tua, duda beranak empat. Rupanya, pemandu teksi yang tolong bawa dia melarikan diri dari rumah masa rombongan merisik datang bertandang itulah bakal suaminya. Anak-anak tu pula cumalah anak saudara yang diamanahkan kepada Iman selepas kematian abang sulungnya.

Asalnya Indah memang nak tolak lamaran Iman selepas dia tahu cerita sebenar di sebalik kematian emaknya daripada abang ketiganya. Tapi setelah bertemu dengan anak-anak saudara Iman, dia mengubah keputusannya. Sebab katanya dia nampak dirinya sendiri dalam diri Mia Anshara yang baru berusia 6 tahun tu. Mia tu perlukan kasih sayang dan perhatian seorang ibu seperti keadaannya selepas kematian emak kandungnya. Lagipun Iman memang benar-benar sayangkan Indah. Sanggup dia siasat segala maklumat tentang Indah sebab nak kenal Indah tu siapa. Keadaan itu lebih meyakinkan Indah untuk terima Iman sebagai suami. Akhirnya, perkahwinan mereka dilangsungkan juga dan selepas perkahwinan itu Indah nekad membawa diri mengikut Iman sebab terasa hati dengan layanan keluarga, terutama abang sulungnya. 

Lepas kahwin banyak cabaran yang menanti Indah. Walaupun kehadirannya nampak diterima baik oleh anak-anak saudara Iman, namun si kakak sulung yang bernama Aisyah itulah yang paling banyak menguji kesabaran Indah. Macam mana agaknya Indah menangani kerenah empat beradik itu kan?

Yang bagusnya, walaupun Indah seolah dipulaukan oleh keluarga sendiri, ramai je yang tukang sokong dia daripada belakang. Salah seorangnya adalah Peah Brutal. Nak tau siapa Peah Brutal? Kenalah baca. Hihi. :P

Komen saya: Satu yang saya kagum dengan penulis ini ialah dia pandai mengadunkan peristiwa demi peristiwa yang berlaku hingga ia jadi saling berhubungkait. Maksudnya, satu peristiwa akan menjadi penyebab kepada suatu peristiwa lain. Dan gaya penceritaannya macam rentetan peristiwa tu dah berlaku lama je walhal kisah konflik yang melanda Indah ni berlaku hanya dalam tempoh seminggu je selepas pernikahannya dengan Iman. Tapi yang pastinya kisah ini tak meleret okay? Semua persoalan pun terjawab dengan baik akhirnya. Phew. Oh, ada juga cameo keluarga AJ (Suci Wajah Rindu) dalam buku ni  kalau ada yang merindui mereka. Terima kasih dan tahniah untuk penulis atas buah tangan terbaru ini. :)

0 comments:

Post a Comment

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review