Wednesday, February 29, 2012

Ros Biru Untuk Dia - Ijazati Habib

Posted by Hajar at 11:08 PM 0 comments

Tajuk: Ros Biru Untuk Dia
Penulis: Ijazati Habib
Penerbit: Jemariseni Sdn. Bhd.
Harga: RM 20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman: 493 mukasurat
ISBN: 9789675118760

Memang betul, memaafkan itu tak semudah melafazkan maaf. Begitu agaknya yang dirasai oleh Lyanna setelah apa yang dihadapinya selama hidup dengan Fakhrul.

Lyanna terpaksa berkahwin dengan Fakhrul setelah tersebarnya gambar mereka berdua dalam keadaan intim. Walhal sebenarnya itu adalah perangkap yang dipasang oleh teman wanita Fakhrul, Saleena supaya Lyanna disingkirkan dari sisi Fakhrul. Saleena ni cemburu sebab semenjak Lyanna bekerja di syarikat itu, Fakhrul macam melebihkan Lyana dan tak pedulikan dia. Walhal Lyanna tu dah bertunang pun dengan Adam. Malangnya masa kejadian hitam yang menimpa Lyanna sehingga dia diminta berkahwin dengan Fakhrul tu, Adam yang bergegas keluar rumah untuk selamatkan Lyanna ditimpa kemalangan dan koma.

Keluarga Fakhrul, terutamanya Dato' Ehsan sangat berharap yang mereka berdua berkahwin untuk menutup malu. Biasalah, ahli perniagaan mesti tak mahu berita buruk macam ni tersebar kan? Keluarga Lyanna pun terkejut dengan berita ni. Jadi untuk menutup malu, mereka berkahwin pada tarikh Lyanna sepatutnya berkahwin dengan Adam. Kebetulan Adam pun masih koma lagi masa ni jadi peluang ini diambil oleh keluarga Lyanna untuk melangsungkan perkahwinan Lyanna dan Fakrul. Bunyi macam kejam kan?

Lepas perkahwinan mereka, Lyanna dibuang keluarga disebabkan insiden yang memalukan itu. Kemudian, kena buang kerja juga. Fakhrul tu memang kejam. Ibu Fakhrul, Datin Afifah pun tak sukakan Lyanna sebab dia fikir Lyanna tu sengaja perangkap Fakhrul. Tapi, pandangannya berubah selepas Lyanna bersetuju untuk dermakan darah apabila Datin Afifah dan Datuk Ehsan ditimpa kemalangan.

Kagum dengan Lyanna sebab mampu bertahan dengan caci maki Fakhrul tu. Bila Adam sedar dari koma, Lyannalah yang paling setia melawat Adam setiap hari walaupun Adam lumpuh selepas kemalangan tu. Adam pun tak tahu yang Lyanna dah berkahwin sampailah Fakhrul datang menemui Adam untuk beritahu hal sebenar. Yelah, lepas aje Lyanna dermakan darahnya pada Datin Afifah, pandangan Fakhrul pada Lyanna turut berubah. Jadi tujuan dia bertemu Adam tu adalah kononnya supaya Adam tak beri harapan lagi pada Lyanna. Kesian Adam. Terus dia jauhkan diri daripada Lyanna sebab dia rasa dia tak layak untuk Lyanna sebab dia dah lumpuh.

Memanglah lepas tu Fakhrul berjaya dapatkan Lyanna. Tapi sayangnya dia tak pandai menghargai. Musim bahagia Lyanna dan Fakhrul tu sekejap cuma. Banyak sangat dugaan yang melanda rumah tangga mereka berdua ni. Fakhrul pun dah pandai naik tangan. Ish, memang sebaklah bila bayangkan keadaan Lyanna yang dipukul waktu tengah mengandung tu. Fakhrul ni pula banyak sangat curiganya. Bukannya nak siasat dulu. Mudah sangat termakan hasutan Saleena tu. Kemuncak konflik rumah tangga mereka ni ialah apabila Fakhrul bertindak memukul Lyanna lepas dia nampak Lyanna sedang berebut handphone dengan Ashraf (kawan baik Fakhrul yang juga sepupu Adam). Akibatnya, Lyanna tumpah darah dan anak mereka berdua meninggal dunia.

Bila dah tau hakikat sebenar daripada Saleena, barulah nak menyesal. Tapi dah terlambat sebab taklik yang dilafazkan dah pun jatuh sebaik saja Lyanna bersalin. Menyesal pun dah tak berguna. Pujuk macam mana pun Lyanna tetap berkeras tak mahu kembali kepada Fakhrul. Paling tak sangka, selama waktu Fakhrul tak mempedulikan Lyanna, Adamlah yang sentiasa perhatikan Lyanna dari jauh. Sentiasa pastikan Lyanna dapat perhatian sewajarnya masa dia mengandung. Makin merudumlah saham Fakhrul jadinya.

Adakah masih ada peluang untuk Fakhrul kembali kepada Lyanna?

Atau adakah Adam yang masih ditunggu oleh Lyanna?

Atau adakah si pemberi ros biru yang dipilih oleh Lyanna?

Komen saya: Kisah yang agak berat, tetapi berjaya dilakarkan dengan baik oleh seorang penulis baru. Tahniah Ijazati. Suka dengan cover Ros Biru Untuk Dia ni. Selagi belum baca, memang kita akan jadi tertanya apa relevannya rantai kunci bergambar kucing tu dengan ros biru. Tapi bila dah baca barulah rasa comelnya Adam ni. Eh eh. Hehe.

Saturday, February 25, 2012

Si Mangkuk Tingkat - Faziela

Posted by Hajar at 1:41 PM 2 comments


Tajuk: Si Mangkuk Tingkat
Penulis: Faziela
Penerbit: Jemariseni Sdn. Bhd.
Harga: RM 20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman: 471 mukasurat
ISBN: 9789675118784

Kisah Ashraff, si co-pilot yang dah tertarik hati dengan gadis yang dilanggarnya secara tak sengaja waktu keluar dari tandas pada hari pertama dia bekerja. Mana taknya, susah oh nak jumpa perempuan muda berbaju kurung di tengah airport. Siap bawa mangkuk tingkat lagi. Yang dia tahu gadis pujaannya bernama Edryna. Itu pun kebetulan diketahui namanya daripada 'boarding pass' yang tercicir masa 'kemalangan' tu.

Edryna pula seorang anti-lelaki disebabkan suatu peristiwa yang dialaminya waktu belajar dulu. Hanya si abang dan kawan baiknya, Sofiya saja yang tau trauma yang dihadapinya ni.

Kemudian, tak sangka pulak kedua-dua buah keluarga ni dah bercadang nak menjodohkan mereka berdua. Edryna memang dah tentulah menolak cadangan ni. Lagi pulak dia dah pernah bergaduh dua kali dengan Ashraf sebelum ni. Tapi Ashraff? Umpama orang mengantuk disorongkan bantal la. Hehe. Syarat Ashraff kalau nak menolak, Edryna kena beritahu sendiri penolakan tu dengan keluarga diorang. Ashraff tak mahu masuk campur. Yelah, pujaan hati dah dalam genggaman, takkan nak menolak kan?

Ashraff ni sangatlah penyabar. Walaupun Edryna tu dok acuh tak acuh je melayan dia sebagai suami, sabar je dia layan kerenah Edryna tu sampailah hati Edryna sedikit demi sedikit lembut dengan layanan yang diterima daripada Ashraff. Paling kantoi bila satu family mengusik Edryna yang nampak angau bila Ashraff on duty masa hari raya. Haha.

Biasalah kan, bila tengah bergembira ada je yang dengki. Edryna ditimpa kemalangan angkara manusia dari masa lalunya. Menyedari yang dia tak mampu berjalan dan bakal menyusahkan Ashraff, dia mintak Ashraff lepaskan dia untuk hidup sendiri. Adakah Ashraff bakal melepaskan Edryna? Macam mana pula dengan si pendengki dari masa lalu Edryna tu?

M/s: 123

"Mungkin takde sesiapa yang tahu apa yang saya buat dekat luar tu tapi saya tahu yang dekat bahu kanan dan kiri ni tak pernah gagal mencatat dan yang Di Atas tu tak pernah gagal melihat" - Ashraff

*melting inside* :)

Komen saya: Walaupun saya dah pernah baca keseluruhan kisah ni di blog dulu, saya tetap membeli buku ni sebagai koleksi peribadi sebab dah jatuh hati dengan enche' pilot ni. Haha. Tapi rasanya versi cetak ni lebih lengkap sebab ada juga bahagian yang agak tergantung di blog dulu. Tahniah Faziela! Lepas ni kalau nak sambung kisah Amsyar dan Sofiya pun bagus juga. Hehe. =)

Friday, February 24, 2012

Jula Juli Bintang Tujuh - Adileah

Posted by Hajar at 1:40 PM 0 comments


Tajuk: Jula Juli Bintang Tujuh
Penulis: Adileah
Penerbit: Jemariseni Sdn. Bhd.
Harga: RM 20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman: 453 mukasurat
ISBN: 9789675118791

Suria, bekerja sebagai dayang di Istana Seri Gemilang. Nekad untuk cari pengalaman bekerja di istana walaupun ibu dan ayah Suria ni sebenarnya mengusahakan ladang bunga di Cameron Highlands. Menariknya, Suria ni ada penyakit gagap yang hanya akan datang menyerang bila dia terkejut.

Nak dijadikan cerita, awal-awal bekerja di Istana Seri Gemilang ni Suria dah tertangkap oleh Ilham, si pembantu peribadi Tengku Aris (bakal Raja Muda) dan merangkap Pengarah Kediaman Aris, bila Suria buat satu kesilapan masa majlis sambutan hari lahir Tengku Aris. Ilham ni seorang yang agak perfectionist. Jadi, bila nampak kesalahan kecil yang dilakukan oleh Suria, memang kena marah la Suria. Walaupun selalu dimomokkan oleh pekerja istana yang lain yang Ilham tu dingin dan 'heartless', tapi bila dengan Suria Ilham jadi tak boleh nak marah. Ada yang kata muka Suria tu muka kesian, itu sebab agaknya Ilham tak boleh nak marah.

Rupanya dalam diam ada hati dah terpaut. :) Mujurlah Ilham ni bukan jenis yang jaga gengsi dan ego, nak menafikan rasa hati sendiri. Walaupun dia masih lagi dibayangi oleh kenangan silamnya, Ilham tetap cuba untuk berbaik-baik dengan Suria.

Selepas kematian ibu bapa Suria, banyak musibah yang datang kepadanya. Lebih-lebih lagi selepas Suria mengambil kotak yang disimpan oleh ayahnya di peti keselamatan bank. Rupanya ada sesuatu yang diburu daripada Suria dan keluarganya. Bila ibu dan ayah Suria meninggal dunia, Surialah satu-satunya harapan mereka untuk dapatkan apa yang dihajatkan itu. Kebakaran rumah orang tua Suria tu pun adalah perbuatan khianat sebenarnya.

Siapa agaknya yang bertanggungjawab itu? Siasatan Ilham pula kata perbuatan khianat tu angkara orang terdekat Suria. Tapi siapa? Abun abang susuan Suria? Atau Baha, kawan dunia akhirat Suria dan Abun?

Ilham memang jadi superhero untuk Suria nampaknya. Saya suka pengakhiran yang berjaya buat Suria kenakan Ilham tu. Manis! =)

Komen saya: Kisah ini adalah satu kisah yang agak comel pada pandangan saya. Walaupun bukan kisah percintaan 'fairy tale' antara putera raja dan orang biasa, tapi ia berjaya dilakarkan dengan manis sekali. 'Chemistry' yang terjalin antara Suria dan Ilham tu buat kita rasa sayang nak letak buku. :)

Friday, February 17, 2012

Mencari Taman Di Hati - Aidah Bakri

Posted by Hajar at 9:00 PM 0 comments

Tajuk: Mencari Taman Di Hati
Penulis: Aidah Bakri
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM 22.00
Sabah/ Sarawak: RM 25.00
Halaman: 572 mukasurat
ISBN: 9789675118753

Mungkin benar kata orang, untuk mengecap bahagia kadang kala laluan yang bakal dilalui penuh dengan onak dan duri. Aiseh, ayat.

Kisah tentang Syuhada yang diminta bertunang dengan Zulhilmi (Hilmi) sebelum melanjutkan pelajaran ke Sarawak. Ikut perjanjian bertunang cuma 3 tahun tapi entah kenapa tempoh pertunangan berlanjutan sehingga 5 tahun. Syuhada yang rasa dirinya seperti diperkotak-katikkan memutuskan pertunangan yang terjalin. Yela, selama dalam tempoh pertunangan tu Hilmi menghilang. Bila tanya keluarga Hilmi jawapan yang diberi Hilmi tengah berubat sebab ada masalah kesihatan. Jadinya bila status dah jadi samar dan tempoh bertunang pun dah tamat, lebih baikla diputuskan.

Kemudian, Syuhada bertemu pula dengan Shahrul Riezman (Riezman) yang memang dah berkenan sangat dengan Syuhada. Sebenarnya masing-masing dah kenal dari zaman remaja tapi tak pernah bertegur sapa. Rupanya Riezman ni anak bekas guru Syuhada yang banyak bagi Syuhada pinjam buku rujukan suatu ketika dulu. Jadi bila dah tahu kebenaran, lagilah Syuhada rasa rendah diri untuk bergandingan dengan Riezman. Riezman pula bila dah tau Syuhada tu gadis yang memang dia berkenan sejak dulu tu lagilah gembira sebab memang itu impian dia sejak dulu. Lagilah dia yakin untuk jadikan Syuhada pendamping hidupnya.

Keluarga Hilmi rupanya tak puas hati dengan Syuhada sebab kata mereka Syuhada penyebab 'masalah' kesihatan Hilmi tu. Kononnya, bila Syuhada meninggalkan Hilmi untuk melanjutkan pelajaran, pemikiran Hilmi jadi terganggu dan menjadi penyebab 'masalah' kesihatannya itu. Jadi mereka nak Syuhada bertanggungjawab. Syuhada kena berkahwin dengan Hilmi. Paling malang, keluarga Syuhada (terutamanya Puan Zainab, ibu Syuhada) dah bersetuju dengan cadangan keluarga Hilmi tu. Dah siap terima duit pampasan lagi bagi pihak Syuhada.

Riezman yang bermati-matian usaha untuk dapatkan tempat dalam hati Syuhada jadi sangat pelik dengan keselambaan Syuhada berdepan dengan ayat-ayat manisnya. Heh, memang pelik. Cuma rasanya Syuhada dah siap filter hati dia supaya tak jatuh hati pada sesiapa sebab tak mahu orang tu terluka sebab dia, macam yang terjadi pada Hilmi.

Kesian juga pada Syuhada yang terpaksa terima keputusan ibunya supaya berkahwin dengan Hilmi dalam tempoh yang ditetapkan. Bijaknya keluarga Hilmi, mereka merancang satu tragedi yang bakal membuatkan Syuhada takkan berkata TIDAK pada rancangan mereka. Tapi, kuasa Allah siapa yang mampu menghalang kan? Pada malam sebelum pernikahan mereka, Hilmi ditimpa kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Syuhada juga sipersalahkan sebab kebetulan kemalangan tu terjadi sejurus selepas Hilmi bertemu Syuhada.

Disebabkan tak mahu menanggung malu membatalkan perkahwinan, Puan Zainab yang sangat kecewa dengan Syuhada mahu juga meneruskan perkahwinan. Tak kiralah siapa calonnya. Kekadang saya rasa macam ibu Syuhada tu kejam, tak bagi Syuhada buat keputusan sendiri. Tapi bila fikir balik, ibu bapa mana yang tak nak anaknya hidup bahagia? Semestinya ibu ayah mahukan yang terbaik untuk anak-anak kan?

Siapa agaknya yang bertuah mengahwini Syuhada tu ya? Adakah Riezman atau orang lain? Macam mana pula konflik hubungan Syuhada dengan ibunya?

Komen saya: Kisah yang agak straight forward, cuma jadi complicated bila Syuhada asyik menafikan perasaan dia pada Riezman. Tapi penamatnya saya agak berpuas hati sebab semua persoalan dan konflik dileraikan dengan baik. :)

Thursday, February 16, 2012

Kampung Girl - Umi Kalsom

Posted by Hajar at 9:31 PM 4 comments


Tajuk: Kampung Girl
Penulis: Umi Kalsom
Penerbit: Karyaseni Enterprise
Harga: RM 21.00
Sabah/ Sarawak: RM 24.00
Halaman: 547 mukasurat
ISBN: 9789670246130

Antara buku yang buat saya enjoy membaca hingga ke akhirnya. :)

Kisah si egois Ashraf Khairi (Ashraf) yang bermati-matian menolak Ainnur Azmi (Ain) untuk dijodohkan dengannya. Diorang berdua ni sepupu. Ashraf ni pula memang sejak azali suka pandang rendah pada orang kampung, lebih-lebih lagi pada si Ain yang suka menempel dengan dia dari zaman kanak-kanak lagi. Serius memula baca memang rasa sangat 'annoying' dengan Ashraf ni. Ego tak bertempat. Sebab dia rasa Ain tu orang kampung, tak sepadan dengan dia (mungkin tak belajar tinggi macam dia), jadi memang awal-awal lagi Ain tu bukanlah calon utama pilihannya untuk dijadikan isteri.

Ain ni pula memang kuat semangat. Sejak dari zaman remaja lagi dia memang syok sangat dengan Ashraf ni. Jadi bila Puan Mazlin (ibu Ashraf) bercadang untuk jodohkan Ain dengan Ashraf, memanglah Ain terima dengan tangan terbuka kan? Dalam masa yang sama Ain berpakat dengan semua ahli keluarga terdekatnya supaya merahsiakan pekerjaannya sebagai guru tu daripada Ashraf. Yela, Ashraf kan suka pandang rendah pada orang kampung? Dia memang tak pernah ambil tahu tentang sepupu dia yang seorang ni. Jadi jangan pelik bila dia tak tahu yang Ain tu graduan dari New Zealand.

Lawak masa scene Ashraf kantoi dengan Ain kat office tu. Kononnya nak buat Ain batalkan pertunangan bila kenalkan Ain dengan girlfriend upahan dia tu. Alih-alih rupanya si girlfriend upahan merangkap setiausahanya tu kawan baik Ain dari zaman kanak-kanak. Haha.

Bila terserempak dengan Faisal yang memang syok gila dengan Ain kat airport terus Ashraf mengaku yang dia bakal suami Ain. Nampak sangat egonya tu. Haih.

Elok je lepas majlis perkahwinan diorang ni, Ashraf dapat tahu yang Ain tu graduan Victoria University. Malu juga la. Tapi dia kan ego. Makin banyak pulak ayat-ayat menyakitkan hati keluar dari mulut dia. Sabar sungguh Ain melayan kerenah si Ashraf ni. Memang sabar yang berbaloi bila Ashraf dah jatuh tergolek-golek dengan Ain. :)

Siapa yang berjaya buat Ashraf berubah? Macam mana pula dengan Faisal? Ada juga scene gaduh-gaduh 'manja' Ashraf-Faisal dalam buku ni.

Bacalah, tak rugi! :)

Komen saya : Serius kagum dengan Ain! Betul la tu, kuasa cinta boleh buat kita kuat menghadapi segala cabaran. Tahniah Umi Kalsom untuk kisah yang santai dan manis ini. :)

Saturday, February 11, 2012

Jodoh Itu Milik Kita - Sara Aisha

Posted by Hajar at 9:23 PM 0 comments


Tajuk: Jodoh Itu Milik Kita (JIMK)
Penulis: Sara Aisha
Penerbit: Karyaseni Enterprise
Harga: RM 26.00
Sabah/ Sarawak: RM 29.00
Halaman: 766 mukasurat
ISBN: 9789670246147

Kisah ini memang tipikal yang ramai orang suka, kisah kahwin paksa atau kisah kahwin bukan atas dasar cinta. Tapi cara penulis menggarap kisah ini menarik minat kita untuk meneruskan pembacaan.

Dahlia Darius (Dahlia) dan Aariz Danial (Aariz) dinikahkan pada hari Dahlia sepatutnya berkahwin dengan Syafiq (adik angkat kepada Aariz). Aariz sanggup berkahwin dengan Dahlia atas sebab ingin membalas jasa baik keluarga angkat yang telah membesarkannya dan juga atas dasar untuk menyelamatkan maruah kedua-dua buah keluarga. Memang kalau ikut tipikalnya mesti ada adegan post-wedding agreement segala kan? Tapi untuk Aariz dan Dahlia diorang decide untuk go with the flow. Tak perlu nak fikirkan apa yang akan jadi masa akan datang. Memang sweet couple diorang ni. Nampak bahagia walaupun berkahwin bukan atas dasar cinta.

Syafiq, jadi tunangan Dahlia sebab Pn. Marina (ibu Shafiq dan Aariz) berkenan sangat nak jadikan Dahlia tu menantunya. Tapi Syafiq bukan rela sepenuhnya pun terima Dahlia sebagai tunang. Dia masih belum melupakan bekas teman wanitanya, Alya. Dia melarikan diri pada hari pernikahan dia pun sebab nak kejar semula cinta Alya kononnya. Alya ni pula sebenarnya melarikan diri ke Wellington sebab tak sanggup berdepan dengan perangai psiko Syafiq tu. Bila tak dapat nak pujuk Alya untuk jadi 'aset milikan'nya semula, Syafiq pun decide untuk kembali ke Malaysia konon-kononnya untuk menebus kesalahan dia meninggalkan majlis perkahwinan sendiri. Bila balik Malaysia, dikejutkan pula dengan berita yang Aariz dah selamat bernikah dengan Dahlia sejurus selepas Syafiq meninggalkan Dahlia pada majlis pernikahan tu. Maka bermulalah sesi membalas dendam Syafiq. Heh.

Watak Syafiq ni memang buat saya geram. Dah sah-sah dia yang salah tinggalkan Dahlia tapi dia masih nak salahkan Aariz sebab ambil alih tempat dia jadi suami Dahlia. Padanya, Aariz tak layak untuk Dahlia. Rupanya, Syafiq memang dengkikan Aariz sebab dia rasa ibu bapa dia melebihkan Aariz semenjak kedatangan Aariz dalam keluarga dia. Jadi, dia berazam yang dia takkan benarkan Aariz untuk mengecap kebahagiaan. Lebih-lebih lagi dengan Dahlia, yang kononnya patut kahwin dengan Syafiq. Pandai sungguh Syafiq mempergunakan 'rahsia' Aariz semata-mata untuk mengugut Aariz supaya lepaskan Dahlia. Hmm, memang psikopat Syafiq ni.

Bagaimana agaknya penerimaan Dahlia bila tau 'rahsia' di sebalik nama Aariz Danial? Bagaimana pula dengan perkahwinan mereka? Apa pula yang terjadi kepada Syafiq si psikopat? Semuanya bakal terjawab dalam naskhah ini. ;)

Komen saya: Memang betul apa yang telah dikatakan oleh salah seorang pembaca kisah ini, yang JIMK ni cukup perisa. Adunan kisah yang juga berjaya membuat emosi saya jadi roller coaster. Tahniah buat penulis untuk karya pertamanya ini. Terima kasih juga untuk coretan ringkas di buku saya. =)

Wednesday, February 1, 2012

Kan Kukejar Cinta Kamu - Fauziah Ashari

Posted by Hajar at 1:17 PM 1 comments


Tajuk: Kan Kukejar Cinta Kamu (KKCK)
Penulis: Fauziah Ashari
Penerbit: Intens Idea International Sdn. Bhd.
Harga: RM 28.90
Sabah/ Sarawak: RM 31.90
Halaman: 795 mukasurat
ISBN: 9789675289194

Kan Kukejar Cinta Kamu (KKCK) ni nampaknya membawa kita menyelami perkahwinan tanpa restu keluarga. Tambahan pula kedua keluarga saling bermusuh sejak sekian lama atas suatu salah faham yang tidak dileraikan.

Alma Hakim (Alma) berkahwin dengan Mukramin Raiyan (Ray) di Ireland 3 bulan sebelum mereka kembali ke Malaysia sejurus selepas menamatkan pengajian. Yang tragiknya, sehari selepas mereka kembali ke tanahair, Ray mengalami kemalangan dan disahkan amnesia. Kat sinilah cabaran macam mana Alma nak kembali ke dalam hidup Ray. Nek bonda (atau dipanggil Nenek Hitler), orang yang punya kuasa veto dalam keluarga Raqib tahu Ray dah berkahwin dengan Alma tapi sebab berdendam dengan keluarga Alma, Nek Bonda berusaha merahsiakan kewujudan Alma daripada Ray. Sejarah hidup Ray pun habis di ‘alter’nya semata-mata mahu menafikan kewujudan Alma daripada hidup Ray.

Usaha demi usaha Alma berbaloi, bila dia berjaya menemukan dirinya dengan Ray di kelab malam yang biasa dikunjungi oleh Ray untuk menemukan semula memorinya yang hilang. Pertemuan kedua kalinya lepas tu pula menemukan Datuk Seri Hakim (bapa Alma) dengan Nek Bonda Ray. Dari situ Ray tahu keluarganya ada masalah dengan keluarga Alma. Tapi dalam masa yang sama Ray ada terasa ‘sesuatu’ antara dia dan Alma.

Alma ni pula memang jenis selamba. Dia suka buat sesuatu perkara ikut rasa hati dia je. Jadi, bila tahu Ray amnesia, dia berusaha menggoda Ray sampai berjaya buat Ray tewas dengan godaan dia. Heh. Yang kejamnya, Ray dah siap sedia dengan video camera untuk rakamkan adegan intim mereka tu. Bila keluarga Raqib berjaya beli saham syarikat bapa Alma, Ray gunakan video tu untuk mengugut Datuk Seri Hakim supaya melepaskan pegangan sahamnya dalam syarikat tu. Datuk Seri Hakim sangat kecewa sampai kena serangan jantung. Adik Alma, Faris pun kemalangan dalam masa yang sama angkara orang upahan Nek Bonda. Alma yang rasa dia patut bertanggungjawab atas semua kejadian yang menimpa keluarganya, menghilangkan diri selama 2 tahun. Sebelum tu dia sempat mengamuk di pejabat Ray dan berterus terang dengan Ray tentang status hubungan mereka.

Lepas 2 tahun Alma kembali untuk menuntut cerai daripada Ray sejurus lepas akhbar siarkan berita yang Ray akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat. Dah tentulah dengan gadis pilihan Nek Bonda si Dilaila tu. Yang menjadi masalahnya sekarang, perkahwinan mereka belum didaftarkan. Jadi, macam mana nak failkan perceraian? Masa inilah Ray memerangkap Alma dengan perjanjian yang agak berat sebelah, tapi sebenarnya bawa banyak kelebihan untuk Alma dalam usaha nak ‘mengikat’ Ray semula.

Masa inilah Alma berusaha mendekatkan diri dengan Ray walaupun banyak sangat prasangka daripada pihak Ray. Kesian Alma, dahla kena buang keluarga, Ray pulak asyik ingat Alma berkahwin dengan dia sebab nak perangkap keluarga dia. Dalam masa yang sama Alma berusaha mencari punca dan menyelesaikan masalah kedua-dua buah keluarga. Tabah betul Alma ni.

Siapa agaknya yang membongkar rahsia keluarga Raqib? Bagaimana penerimaan Nek Bonda bila kebenaran terbongkar? Berjaya tak agaknya ingatan Ray dipulihkan? Dapatkah perkahwinan mereka diselamatkan? Hehe. Kisah kali ni diakhiri dengan scene yang agak nakal. ;)

Komen saya: Suka dengan watak-watak sampingan yang banyak membantu mewarnakan KKCK ni. Lebih-lebih lagi Kalsom yang selamba dan Huzail yang agak lurus bendul tu. :)
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review