Wednesday, May 30, 2012

Lagu Cinta Buatmu - Qaseh Qaisara

Posted by Hajar at 10:06 PM 6 comments

Tajuk: Lagu Cinta Buatmu
Penulis: Qaseh Qaisara
Penerbit: Fajar Pakeer Sdn. Bhd.
Harga: RM19.90
Sabah/ Sarawak: RM 22.90
Halaman:  490 mukasurat
ISBN: 9789833880324

Kata Anis: Mereka berkahwin dengan tangan kosong dan kini kekosongan itu sudah terisi dengan limpahan kasih sayang - m/s 487 

Satu lagi kisah kahwin paksa dan cinta lepas kahwin. Anis dan Daniel 'terpaksa' berkahwin bila Nadia (tunang Daniel) melarikan diri 2 minggu sebelum tarikh pernikahan mereka. Tak faham sungguh dengan Nadia tu. Dulu dia yang terkejar-kejarkan Daniel. Beria melobi kawan-kawan rapat diorang supaya dapat jadi pasangan Daniel. La ni bila dah hampir nak bernikah boleh pula dia melarikan diri. Ish.

Anis bersetuju untuk terima lamaran Daniel hanya kerana  mahu membalas budi ibu tirinya yang dah membesarkan dan melayannya dengan baik selepas pemergian ibu dan ayahnya. Manakala Daniel pula menerima Anis dengan rasa terima kasih sebab Anis sudi menyelamatkan maruah keluarganya.

Cuma yang kelakarnya disebabkan Daniel ni jenis berat mulut, mereka ni tak pernah berbual semenjak diijabkabul sampailah selepas 2 minggu tempoh perkahwinan mereka. Pelik kan? Duduk serumah, tidur sebilik pun boleh pula tak bertegur sapa. Cuma disebabkan suatu peristiwa, mereka berjaya memecahkan benteng komunikasi mereka. Hehe.

Jadi bila dah mula berkomunikasi tu, barulah hubungan mereka ni bertambah baik. Kawan-kawan rapat Daniel pun jadi pelik sebab perangai Daniel memang berubah 360 darjah lepas berkahwin dengan Anis. Besar sungguh pengaruh Anis dalam hidup Daniel.

Tak lama lepas perkahwinan Daniel, Nadia pun kembali. Kononnya untuk kembali pada Daniel. Alasan dia lari tu kononnya hanya nak menguji. Tapi bila tengok layanan Daniel pada Anis dia jadi sakit hati sebab Daniel tak pernah melayannya sebaik itu dulu.

Berjaya tak agaknya Nadia dengan misi yang kononnya nak mendapatkan Daniel kembali tu?


Komen saya : Sebenarnya dah lama saya cari buku ni sebab ramai yang recommend kata ceritanya best. Tapi bagi saya kisah ni agak biasa dengan plot yang simple tanpa konflik berat. Sesuai untuk bacaan santai bagi pembaca yang tak sukakan konflik ala-ala sinetron. :)

Monday, May 28, 2012

Sentuhan Kasih - Norhayati Berahim

Posted by Hajar at 10:50 PM 1 comments

Tajuk: Sentuhan Kasih
Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: Creative Enterprise Sdn. Bhd.
Harga: RM23.90
Sabah/ Sarawak: RM 26.90
Halaman:  459 mukasurat
ISBN: 9789838939416

Satu lagi buku Norhayati Berahim yang saya berjaya dapatkan masa pesta buku lepas. Memang rezeki saya agaknya bila sampai booth CESB buku ni dah tinggal sebuah je. Maka sambarlah cepat-cepat. Hehe. :)

Sentuhan Kasih ni membawa kita menyelami dilema Inas yang terpaksa berkahwin dengan Ikhmal atas alasan kononnya Ikhmal tu baik dan banyak membantu keluarga mereka. Yang sebenarnya ayah Inas ni banyak berhutang dengan Ikhmal, jadi Inas terpaksa bersetuju sebab tak mahu kecewakan ayah dan ibunya.

Beberapa hari selepas perkahwinannya, Inas didatangi oleh seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Kalsom. Rupanya Kalsom ni isteri pertama Ikhmal dan tujuan Kalsom bertemu Inas adalah untuk berkenalan dan sekaligus membongkar status sebenar Ikhmal. Inas yang rasa tertipu terus berdepan dengan Ikhmal untuk dapatkan penjelasan. Rupanya Ikhmal ni memang si mata keranjang. Pantang nampak perempuan berdahi licin sikit. Oleh kerana Inas dah rasa tertipu, dia pun minta dilepaskan. Malangnya ayah Inas mengamuk dan halau Inas dari rumah. Itu juga yang menjadi penyebab Inas membawa diri merantau ke Norway.

Setelah beberapa ketika di Norway, Inas ada masalah tempat tinggal bila apartment tempat tinggalnya diambil kembali oleh tuan rumah. Masa inilah Zakry ambil peluang untuk tawarkan tempat tinggal sambil dekatkan diri dengan Inas. Zakry ni sebenarnya terpikat dengan sikap baik Inas  masa pertemuan pertama mereka dalam tren di Norway dulu. Jadi, untuk menghalalkan mereka tinggal serumah, Zakry mencadangkan mereka bernikah. Inas dapat tempat tinggal, Zakry pula dapat seorang isteri (walaupun cuma atas kertas je).

Memang sabarlah Zakry ni menanti Inas. Kehadiran Dayang Amy yang kerap berurusan dengan Zakry berjaya menimbulkan rasa cemburu dalam hati Inas. Kedatangan Niza (kawan baik Inas) dari Malaysia kemudiannya juga banyak membantu mengeratkan hubungan Zakry dan Inas ni.

Bahagian yang saya paling suka adalah bila Inas berjaya membeli saham pegangan Ikmal dalam Syarikat Megah sejurus selepas Inas menyertai syarikat milik Zakry. Siap letak nama ayahnya lagi sebagai salah seorang pengarah dalam syarikat tu. Phew. It's a payback time! 


Komen saya: Bagi yang sukakan kisah cinta selepas kahwin, buku ini mungkin salah satu pilihan untuk bahan  bacaan anda. Cuma janganlah terlalu mengharap yang anda akan jumpa banyak adegan 'manis bergula' dalam naskhah ini ya? Zakry ni tak miang macam Nik Arif walaupun isteri dah ada depan mata. ;)




Saturday, May 26, 2012

Janjiku Bersamamu - Aleya Aneesa

Posted by Hajar at 9:41 PM 0 comments

Tajuk: Janjiku Bersamamu
Penulis: Aleya Aneesa
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM19.90
Sabah/ Sarawak: RM 22.90
Halaman:  483 mukasurat
ISBN: 9789831242896


Kali ni saya ambil masa yang agak lama sedikit untuk menyudahkan pembacaan sebab kisah ni terlalu meruntun perasaan. Ala-ala kisah Cinderella moden. Saya rasa Aleya Aneesa ni memang dah sinonim dengan kisah-kisah sedihlah. Err, ini cumalah personal judgement saya berdasarkan 3 buah bukunya yang saya dah baca. Kalau silap maafkan saya. :)

Memang susah nak puaskan hati semua orang kan? Lebih-lebih lagi orang yang penting dalam hidup kita.  Itulah yang terjadi kepada Aly Rasyid. Perkahwinannya dengan Mariam (seorang wanita Inggeris), menyebabkannya dibuang keluarga kerana mentaliti kedua ibu bapanya yang memang bencikan penjajah. Kelahiran Dhamira Rysda (Dhamira) juga turut dibenci oleh kedua datuk dan neneknya. Selepas kematian Mariam, Aly Rasyid berkahwin dengan Zaidah, seorang ibu tunggal yang mempunyai 3 orang anak. Dhamira fikir bila ayahnya berkahwin dia dapatlah menumpang kasih si ibu tiri, tapi hakikatnya Zaidah lebih banyak menyiksa perasaannya daripada memberikan kasih sayang.

Selepas kepulangan Dhamira dari Australia,  Effendy si abang tiri yang selalu pedajalkan Dhamira waktu kanak-kanak dulu tiba-tiba jatuh hati pula dengan Dhamira. Effendy berjaya memujuk Aly Rasyid untuk berkahwin dengan Dhamira. Tapi Dhamira pula mencari Za'iem (pemuda yang dikenalinya di kampung dan selepas itu jadi rakan sejawatnya) dan kemudian mereka berkahwin. Namun perkahwinan itu telah membuatkan Aly Rasyid kecewa dan kemudian Dhamira dibuang keluarga. Peluang ini memang ditunggu oleh Zaidah yang memang bencikan Dhamira selama ini. Masa inilah dia ambil peluang untuk tabur kebencian dalam hati Aly Rasyid.

Perkahwinan Dhamira dan Za'iem memang nampak bahagia lebih-lebih lagi dengan kehadiran Zamirul dalam hidup mereka. Namun, kebahagiaan dan kegembiraan yang dikecapi bagaikan diragut sekelip mata bila Zamirul dilanggar lari dan kemudiannya disahkan hilang penglihatan. Bagaikan jatuh ditimpa tangga pula mereka sekeluarga ni bila kemudiannya kedua-dua mereka pula kehilangan kerja. Bila Dhamira memutuskan untuk meminta pertolongan Aly Rasyid untuk mengubati mata Zamirul, Za'iem menentang habis-habisan sehingga meninggalkan keluarganya begitu saja. Sampai Zamirul kena culik dek Effendy pun Za'iem tak tahu. Haish. Memang tindakan yang tak munasabah betul. Mujur tindakan bodoh Effendy yang datang ke rumah Dhamira berjaya membongkar jenayahnya sendiri.

Kata-kata Zamirul pada pertemuan secara tak sengaja dengan datuk Dhamira di kampung telah menyedarkan si datuk dan nenek tentang perbuatan dan layanan mereka pada Dhamira selama ini. Kemudian, kepulangan Za'iem pula membawa Dhamira bertemu semula dengan Aly Rasyid. Memang touching habis masa ni. Cuma keinsafan Zaidah je yang datang lambat sikit. Itu pun setelah Dhamira mempertaruhkan nyawa (sebab masa tu Dhamira tengah sarat mengandung) menyelamatkannya waktu dia nyaris-nyaris di langgar kereta. Walaupun Zaidah dah disisihkan oleh Aly Rasyid akibat peristiwa itu, Dhamira tetap berusaha memujuk ayahnya untuk memaafkan si ibu tiri itu. Baik sungguh kan Dhamira?

Komen saya:  Kisah ni memang agak sinetron, cuma saya sukakan perjalanan cerita yang agak pantas dan tak meleret untuk kita baca. Jadi, taklah rasa tertekan sangat nak habiskan pembacaan. Kalau ada yang berminat nak baca, sila sediakan tisu secukupnya ya? :)

Tuesday, May 22, 2012

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki - Norhayati Berahim

Posted by Hajar at 10:17 PM 4 comments

Tajuk: Pesanan Terakhir Seorang Lelaki (PTSL)
Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: Creative Enterprise Sdn. Bhd.
Harga: RM22.90
Sabah/ Sarawak: RM 25.90
Halaman:  444 mukasurat
ISBN: 9789838939355

PTSL ni sebenarnya sebuah kisah kekeluargaan. Pergolakan yang berlaku antara Atiqah dan ayahnya (Datuk Marzuki), selepas si ayah berkahwin lain menyebabkan Atiqah membawa diri keluar dari rumah keluarganya. Datuk Marzuki pun seolah-olah tidak mengiktiraf kedudukan Atiqah sebagai anak. Selepas apa yang Datuk Marzuki lakukan pada ibunya, Atiqah memang dah tawar hati nak berbaik-baik dengan ayahnya.

Lepas keluar dari rumah agam ayahnya itu, Atiqah bekerja di Syarikat Tegas kepunyaan Tuan Ahmad. Tuan Ahmad selalu memandang rendah pada Atiqah sebab Atiqah tu hanyalah seorang kerani. Hubungan baik Atiqah dengan anaknya Faizal tu pun tak direstui oleh Tuan Ahmad sebab dia rasa Atiqah tak layak untuk berhubungan dengan seseorang yang berpangkat seperti anaknya. Sabar je Atiqah menerima kata-kata nista Tuan Ahmad tu sebab dia tak mahu sesiapa pun tahu yang dia anak Datuk Marzuki.

Atiqah menyewa rumah dengan Hajah Mimah. Di sini dia berkenalan dengan Nik Arif yang kerek tu. Awal-awal lagi dia dah kutuk Atiqah tu dengan macam-macam kutukan. Bila Atiqah tolong betulkan komputer dia barulah dia sedar yang Atiqah tu taklah seburuk mana. Tak sangka lepas tu boleh jatuh tergolek-golek kat Atiqah ni. Atiqah ni nampak gaya macam tak melayan. Tapi macam rela je diperlakukan sesuka hati dek Nik Arif tu. Macam pelik pulak bila watak bertudung tapi macam tak ambil kisah tentang pergaulan. Hajah Mimah tu pun selamba je tengok anak bujang dia peluk cium anak dara orang. Err, harapnya takdelah mak ayah yang terbuka sangat macam itu ye? :)

Bila Datuk Marzuki dah mula sedar kesilapan dia, Atiqah dicari dan ditawarkan peluang pekerjaan di syarikatnya. Mulanya Atiqah berat nak menerima. Tapi bila fikirkan kedudukannya yang bila-bila masa bakal disingkirkan oleh Tuan Ahmad, dia nekad menerima tawaran Datuk Marzuki. Paling saya suka bila Angkasa Holding ambil keputusan untuk melabur dalam Syarikat Tegas. Memang tebal sungguh muka Tuan Ahmad dan Faizal tu bila tau siapa sebenarnya Atiqah. Haha. Memang sweet revenge. :)


Komen saya: Buku ni saya beli sebab ada kawan yang suggest untuk baca. Overall kisahnya okay, tak meleret. Cuma saya tak berapa berkenan dengan perangai terlebih miang Nik Arif tu.  Pengakhirannya pun buat kita rasa puas hati sebab masing-masing dah dapat pengakhiran yang setimpal. :)

Sunday, May 20, 2012

Seadanya Kamu - Iman Xara

Posted by Hajar at 10:23 PM 1 comments

Tajuk: Seadanya Kamu
Penulis: Iman Xara
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman:  460 mukasurat
ISBN: 9789675118807

Orang-orang tua selalu berpesan kan, sebagai seorang perempuan, selain menjaga tingkahlaku dan adab sopan, kita juga dituntut untuk menjaga tutur kata dalam pergaulan seharian kita. Jika tersilap kata, mungkin musibah yang menanti kita. Nauzubillah.

Inilah yang terjadi kepada Julia, seorang gadis manis yang telah berjaya mencuri perhatian Wafiy. Namun atas dasar tidak mahu terlalu alpa dengan rasa cinta hingga menyebabkan pelajarannya terabai, Julia cuma memandang sepi huluran cinta Wafiy. Julia ni dikenali oleh kawan-kawan rapatnya sebagai seorang yang straight forward dan tegas. Atas sebab tegurannya pada teman serumah (Elis) yang sesuka hati membawa masuk teman lelaki ke dalam rumah mereka, Julia didendami.

Kebaikan yang ditabur Elis kepada Julia dan teman-teman serumah yang lain rupanya membawa musibah dalam hidup Julia. Pil tidur yang dimasukkan dalam minuman mereka, menyebabkan Julia dinodai tanpa sedar. Selepas dua bulan baru Julia sedar yang dia dah dinodai. Itu pun sebab dia jalani pemeriksaan doktor setelah 2 bulan lewat datang bulan. Tak sangka boleh mengandung. Nak salahkan siapa? Memang hilang punca sebab tak ada bukti yang boleh sabitkan Elis sebagai penyebab insiden tu. Kesian Julia terpaksa berhenti belajar dan pulang ke kampung sebab tak mahu tanggung malu. Cuma beruntungnya, Julia dapat sokongan daripada kawan-kawan serumahnya sebab mereka tahu Julia tak bersalah.

Pulang ke kampung, walaupun teruk juga Julia dimarahi oleh ayahnya atas kekhilafannya itu, mereka sekeluarga kemudiannya menghantar Julia ke Pusat Jagaan Al-Hikmah. Banyak yang Julia belajar di situ sehingga Julia selamat melahirkan Damia. Damia kemudiannya diserahkan kepada pasangan Zulfa dan Aswad (kawan Arissa dalam novel Kau Curi Hatiku) yang dah lama menanti kehadiran anak dalam keluarga mereka.

Tamat tempoh berpantang, Julia meneruskan pengajiannya yang tertangguh di sebuah kolej swasta. Di sini Julia mengenali Firas. Tapi dia tak cukup yakin nak buka pintu hatinya pada sesiapa disebabkan statusnya itu. Sebenarnya Wafiy juga masih diingati Julia sebab mawar putih pemberian Wafiy tu masih elok disimpan Julia.

Lalu, siapa agaknya pilihan Julia?  Yang penting, dapatkah pilihan Julia tu menerima masa lalu Julia yang hitam itu?

Komen saya: Kisah ini banyak pengajaran untuk kaum wanita sekaligus membuatkan saya beringat untuk lebih menjaga tingkahlaku dan tutur kata selepas ni. Sebab kadang-kadang kita tak sedar, dengan hanya sebab kecil je masa depan boleh musnah. Nauzubillah. Tahniah buat Iman Xara untuk nukilan yang lebih mantap kali ini. Juga terima kasih atas peringatan yang diberikan. :)
  

Friday, May 18, 2012

Keindahan Cinta Iman - Zuraidah Othman

Posted by Hajar at 11:28 PM 0 comments
Tajuk: Keindahan Cinta Iman
Penulis: Zuraidah Othman
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM22.90
Sabah/ Sarawak: RM 25.90
Halaman:  553 mukasurat
ISBN: 9789675229374

Rasa macam dah lama tak baca karya Zuraidah Othman. Karya terakhir saya baca adalah Suci Wajah Rindu. Itu pun dah berapa tahun sudah agaknya. Jadi bila tahu yang Zuraidah Othman bakal keluarkan karya terbaru haruslah saya serbu gerai NB masa pesta buku yang lepas. :)

Awal-awal penceritaan je dah dihidangkan dengan kisah hidup Indah Balqish (Indah) yang tragik. Atas sebab cinta terhalang dengan Shahim, Indah dipersalahkan atas kematian emaknya. Kononnya panggilan daripada emak Shahim jadi punca emak si Indah diserang sakit jantung dan meninggal dunia. Sebenarnya Indah bukanlah puncanya. Nadiah si kakak ipar Indah itulah yang pandai putarbelitkan cerita.

Nadiah yang memang cemburukan layanan keluarga suaminya pada Indah walaupun Indah tu sebenarnya cumalah adik tiri, dah siap memasang angan untuk menjodohkan Indah dengan adik Datin Adilah, pemilik butik tempat dia bekerja. Siap bermuslihat segala. Kononnya nak pastikan kehidupan Indah tu terjamin selepas pemergian si emak. Indah tak tahu yang Nadiah dah siap buat perjanjian dengan Datin Adilah, kalau Indah setuju berkahwin dengan Badriz Iman (Iman) tu, salah satu butik Datin Adilah akan jadi hakmilik Nadiah. 

Indah pun tak tahu yang dia bakal dikahwinkan dengan lelaki yang dah beranak empat. Bila dapat tahu, memang cabut larilah Indah masa hari keluarga Iman datang merisik. Sangkanya, bakal suaminya itu lelaki tua, duda beranak empat. Rupanya, pemandu teksi yang tolong bawa dia melarikan diri dari rumah masa rombongan merisik datang bertandang itulah bakal suaminya. Anak-anak tu pula cumalah anak saudara yang diamanahkan kepada Iman selepas kematian abang sulungnya.

Asalnya Indah memang nak tolak lamaran Iman selepas dia tahu cerita sebenar di sebalik kematian emaknya daripada abang ketiganya. Tapi setelah bertemu dengan anak-anak saudara Iman, dia mengubah keputusannya. Sebab katanya dia nampak dirinya sendiri dalam diri Mia Anshara yang baru berusia 6 tahun tu. Mia tu perlukan kasih sayang dan perhatian seorang ibu seperti keadaannya selepas kematian emak kandungnya. Lagipun Iman memang benar-benar sayangkan Indah. Sanggup dia siasat segala maklumat tentang Indah sebab nak kenal Indah tu siapa. Keadaan itu lebih meyakinkan Indah untuk terima Iman sebagai suami. Akhirnya, perkahwinan mereka dilangsungkan juga dan selepas perkahwinan itu Indah nekad membawa diri mengikut Iman sebab terasa hati dengan layanan keluarga, terutama abang sulungnya. 

Lepas kahwin banyak cabaran yang menanti Indah. Walaupun kehadirannya nampak diterima baik oleh anak-anak saudara Iman, namun si kakak sulung yang bernama Aisyah itulah yang paling banyak menguji kesabaran Indah. Macam mana agaknya Indah menangani kerenah empat beradik itu kan?

Yang bagusnya, walaupun Indah seolah dipulaukan oleh keluarga sendiri, ramai je yang tukang sokong dia daripada belakang. Salah seorangnya adalah Peah Brutal. Nak tau siapa Peah Brutal? Kenalah baca. Hihi. :P

Komen saya: Satu yang saya kagum dengan penulis ini ialah dia pandai mengadunkan peristiwa demi peristiwa yang berlaku hingga ia jadi saling berhubungkait. Maksudnya, satu peristiwa akan menjadi penyebab kepada suatu peristiwa lain. Dan gaya penceritaannya macam rentetan peristiwa tu dah berlaku lama je walhal kisah konflik yang melanda Indah ni berlaku hanya dalam tempoh seminggu je selepas pernikahannya dengan Iman. Tapi yang pastinya kisah ini tak meleret okay? Semua persoalan pun terjawab dengan baik akhirnya. Phew. Oh, ada juga cameo keluarga AJ (Suci Wajah Rindu) dalam buku ni  kalau ada yang merindui mereka. Terima kasih dan tahniah untuk penulis atas buah tangan terbaru ini. :)

Wednesday, May 16, 2012

Nah, Untuk Awak! - Nirrosette

Posted by Hajar at 10:52 PM 2 comments

Tajuk: Nah, Untuk Awak!
Penulis: Nirrosette
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman:  474 mukasurat
ISBN: 9789675118869

Buku dengan cover yang comel ini membawa kita mengenali Najiha, seorang yang mempunyai prinsip hidup yang mudah. Kasih sayang babah sememangnya menggunung tinggi untuk satu-satunya permata hati selepas pemergian si ibu. Kehadiran Ilham dan kawan-kawan rapatnya, Nina dan Dian pula melengkapkan lagi hidup Najiha. Pendek kata, mereka semua itu adalah pelengkap hidupnya.

Namun, kegembiraan Najiha cumalah bersifat sementara. Kejutan yang dirancang untuk ketiga-tiga insan yang penting dalam hidupnya itu bertukar menjadi kejutan pada diri sendiri. Siapa sangka kepulangan Najiha setelah tamat pengajian dikejutkan dengan majlis pertunangan Ilham dan Dian. Mujur ada Nina yang setia menenangkan perasaan Najiha. Kagum dengan Najiha yang bertindak bijak meninggalkan majlis tanpa menghuru-harakan keadaan.

Babah Najiha yang risaukan keadaannya telah mencadangkan Najiha untuk bercuti sementara ke Korea, tempat yang menjadi destinasi idaman Najiha untuk melancong. Oleh kerana babah tak dapat menemani, terpaksalah Najiha melancong bersendirian. Namun, babah dah bertindak bijak untuk mengamanahkan Najiha pada Eid, anak kenalannya yang juga merupakan pemilik agensi perlancongan yang membawa Najiha ke Korea. Bermulalah perkenalan Najiha dengan Eid yang menjengkelkan itu. Tapi jengkel-jengkel Eid pun sebenarnya lebih kepada unsur kebaikan. Banyak je tegurannya untuk kebaikan Najiha. Cuma Najiha je yang suka buat endah tak endah dengan teguran Eid tu. Paling manis bila Eid hadiahkan Najiha senaskhah Al-Quran. Niatnya, supaya Najiha lebih memahami tujuan hidupnya. :)

Elok je Najiha dah boleh terima kenyataan tentang Dian dan Ilham, Najiha diuji sekali lagi dengan pemergian babahnya. Walaupun agak payah untuk menerima hakikat pada mulanya, namun di sinilah permulaan perubahan hidup Najiha.

Berjayakah Najiha menggapai kejayaan dalam hidupnya, selaras dengan makna 'Najiha' itu? :)

Komen saya: Karya kedua Nir ni masih lagi menghidangkan kisah inidvidu yang mencari arah hidup dan mahu merubah diri untuk menjadi insan yang lebih baik. Watak Eid yang agak 'kerek' dan sarkastik tu memang kena sangatlah dengan Najiha yang suka menjawab tu. Cuma agak emosi  bila melibatkan part Ilham dan Dian. Rasa macam nak campak masuk laut je dedua tu. Haha. Overall, kisah ni agak sesuai untuk jadi panduan mereka yang baru nak 'berhijrah'. Tahniah Nir untuk pengisian dalam naskhah ini. :)


Sunday, May 13, 2012

Suami Aku Ustaz - Hannah Dhaniyah

Posted by Hajar at 3:49 PM 0 comments
Tajuk: Suami Aku Ustaz
Penulis: Hannah Dhaniyah
Penerbit: Karyaseni Enterprise.
Harga: RM22.00
Sabah/ Sarawak: RM 25.00
Halaman:  583 mukasurat
ISBN: 9789670246208

Macam yang diberitahu di belakang buku ni, cerita ni bukan bertujuan untuk menggalakkan budak sekolah berkahwin muda. Cuma ambillah mesej-mesej positif yang cuba disampaikan dalam buku ini.

Nur Alisa (Alisa) dinikahkah dengan sepupu merangkap cikgu sendiri (Ustaz Hafiz) bila kedua ibu bapanya  nak mengerjakan ibadah haji. Tujuannya supaya ada yang menjaga Alisa semasa ketiadaan mereka dan sekaligus dalam men'jinak'kan perangai Alisa. Menjinakkan tu bukanlah bermaksud Alisa ni jenis lepas laku. Cuma biasalah, sebagai anak remaja kan banyak perkara yang nak dilakukan. Kadang-kala sampai terlupa batasan diri.

Memang dilema buat Alisa. Nak katakan tidak, dia bukanlah orangnya yang akan memalukan keluarga walaupun tak dinafikan kenakalannya itu selalu memeningkan kedua ibu bapanya. Mana nak fikirkan penerimaan orang di sekelilingnya lagi. Mana nak fikirkan cita-citanya lagi. Namun, akhirnya selamat juga mereka bernikah.

Lepas berkahwin, dilema yang dihadapi Alisa pula adalah macam mana nak hadapi penerimaan orang di sekelilingnya sekiranya terbongkar identiti perkahwinannya di sekolah tu. Mau ada yang fikir bukan-bukan kalau terbongkar ni. Yelah, SPM pun tak lepas lagi dah jadi isteri orang. Isteri ustaz sendiri pula tu. Uish, memang menempah maut namanya tu. Hehe. Jadi, mereka sepakat untuk merahsiakan perkahwinan mereka sampai waktu kenduri mereka berdua. Sehingga waktu itu hubungan antara keduanya memang penuh drama dan turun naiknya. Mujurlah Ustaz Hafiz tu memang penyabar orangnya. Kalau tidak mau juga pinggan mangkuk melayang. :)

Habis peperiksaan SPM, saat menunggu keputusan peperiksaan adalah saat mendebarkan bagi Alisa. Yelah, mana nak fikir tentang suami dan dalam masa yang sama, dok fikir dapat ke dia menyambung pelajaran bila dah bergelar isteri orang ni? Berkat usaha dan doanya berserta restu suami, Alisa dapat juga menyambung pengajiannya ke Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Bagaimana agaknya Alisa mengimbangi tanggungjawabnya sebagai isteri dan sebagai seorang pelajar? Dapatkah bertahan atau pun ada gangguan daripada pihak ketiga? :)


Komen saya: Bagi yang sukakan kisah yang penuh konflik, buku ini bukanlah pilihan anda sebab perjalanan kisahnya agak smooth. Konflik cuma bila Alisa menghadapi cabaran masa tahun ketiga pengajiannya.   Cuma saya sukakan perjalanan kisah ini yang banyak menyelitkan kisah-kisah berkaitan peringatan dan info berunsur keislaman. Tak ramai yang berani sebenarnya untuk menulis kisah sebegini. Walaupun tidak sehebat kisah-kisah novel islamik lain, keberanian untuk mencuba itu harus dipuji. Tahniah untuk penerbit dan penulis. Moga lebih banyak kisah-kisah sebegini bakal diterbitkan. :)




Thursday, May 10, 2012

Mr. Right Buat Ann - Ruby Hazri

Posted by Hajar at 10:45 PM 2 comments

Tajuk: Mr. Right Buat Ann
Penulis: Ruby Hazri
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman:  452 mukasurat
ISBN: 9789675118845

Kadangkala kamu tidak menghargai orang yang mencintai kamu sepenuh hati sehingga kamu kehilangannya.

Kali ni Ruby Hazri bawa kita menyelami perasaan seorang wanita yang masih belum ketemu dengan jodohnya walaupun usia dah meningkat. Tapi bukanlah nak kata watak utama tu memilih calon teman hidup. Cuma ketaksubannya mempertahankan cinta hatinya sejak zaman belajar dulu agak memakan diri sendiri.

Siti Nur Anisa (Ann), dah terlalu lama menjalinkan hubungan dengan Hanif (cinta hatinya sejak dari zaman belajar lagi) tanpa ada petanda yang Hanif akan menamatkan hubungan cinta mereka tu setapak ke depan. Alasan Hanif, dia perlu mengutamakan keluarga terlebih dahulu sebab dia bimbang bila dia berkahwin, keperluan keluarganya akan terabai. Heh. Agak tak berapa sesuai punya alasan.

Walaupun ahli keluarga dan orang sekeliling dah mula bertanya-tanya soalan cepumas kepadanya, Ann tetap mempertahankan kedudukan Hanif di sisinya. Sampailah ketika bila Hanif berhasrat untuk bekerja di Dubai, kononnya nak menabung untuk memperisterikan Ann. Siap dengan janji untuk memperisterikan Ann bila umur Ann mencecah 30 tahun.

Ann sebenarnya dah mula tawar hati bila Hanif dah ambil keputusan untuk ke Dubai, tapi masih lagi cuba bertahan untuk berdiri teguh dan menyokong tindakan Hanif itu. Hanif pun nampak agak lepas tangan lepas dia ke Dubai tu. Yakin sangat yang Ann takkan berubah hati. Heh. Memang Ann tak berubah hati, cuma tawar hati bila Hanif macam tiada inisiatif untuk mengikat hubungan mereka setapak lagi. Yelah, umur dah meningkat tapi Hanif buat-buat tak faham je dilema yang dialami si Ann ni.

Dalam tempoh Hanif ke Dubai tu ada jugalah yang menyelit nak berkenalan dan diperkenalkan kepada Ann ni. Salah seorang yang bertanggungjawab menjadi matchmakernya adalah Mustaqim, sepupu yang paling rapat dengan Ann. Walaupun pada mulanya Ann tak bersetuju dengan cadangan Mustaqim, namun bila fikirkan sakit hatinya pada Hanif, Ann bersetuju untuk diperkenalkan kepada Khairil (ni watak dalam buku Percayalah dan Percayalah...Akhirnya). Selain tu datang juga risikan daripada Tuan Haji Kamil (duda anak tiga yang sudah agak berusia) dan kemudiannya Desmond (rakan sepejabat yang kerap membuli Ann). Oh ada juga seorang lagi yang bernama Arman Faiz (yang selalu ditemui oleh Ann dalam keadaan yang tak disangka).

Jadi, siapa agaknya yang bakal jadi Mr. Right  buat Ann?

Komen saya: Saya sangat berpuas hati sebab Ann tak pilih Hanif sebagai Mr. Rightnya. Okay, ada spoiler di situ. Hehe. Kisah kali ini macam ada jugalah bahagian yang tak berapa jelas. Atau mungkin saya yang terlepas pandang? Ehem. Apa pun, tahniah Kak Ruby untuk naskhah terbaru ni. Walaupun geram dengan Hanif, saya berjaya juga tutup buku ini dengan rasa puas hati. :)

Tuesday, May 8, 2012

Senyum Sampai Langit - Syasyaja

Posted by Hajar at 10:01 PM 7 comments
Tajuk: Senyum Sampai Langit
Penulis: Syasyaja
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman:  483 mukasurat
ISBN: 9789675118883

Kebahagiaan akan datang kalau kita tidak menghalang diri kita daripada mengecap kebahagiaan.

Daripada blurb belakang buku :

Aufa mahukan lelaki yang bermulut manis seperti Bruno Mars. Tapi yang dia dapat adalah lelaki dari Planet Mars yang kerek!

Walaupun kisah yang dipaparkan adalah kisah yang agak 'tipikal' iaitu kisah perkahwinan yang diatur keluarga, Syasyaja berjaya menyampaikan dengan gayanya yang tersendiri. :)

Nurul Aufa (Aufa), seorang pelajar jurusan undang-undang dibesarkan oleh ibunya setelah ayahnya mengabaikan mereka sekeluarga selepas berkahwin kali kedua. Dalam hidupnya selain belajar, dia hanya fikir untuk mencari kebahagiaanya sendiri selain membahagiakan ibunya. Dia fikir bila dia berkahwin, ruang kosong dalam hatinya yang ditinggalkan si ayah tu bakal terisi dengan kehadiran seorang suami.

Elok je Aufa dok bercerita dengan emak dia tentang isu kahwin ni tiba-tiba si emak berjejak kasih dengan seorang kawan lama, iaitu emak si Muhammad Aqil (Aqil). Tak fasal-fasal kena berkenalan dengan Aqil yang kerek tu dan nak dijodohkan pula. Maunya tak melompat masing-masing bila dengar cadangan si ibu (Aqil) dan si emak (Aufa). Haha. Tapi bila dah kata jodoh tu, tolak macam mana pun tetap bersatu juga kan? :)

Bak kata Aqil, just so you know, I'll try my best to be a good husband. Memang tak ada istilah tarik tali dan post wedding agreement segala.  They just go with the flow. Memang pasangan yang comel depa ni. Cuma kadang-kadang saya terfikir juga macam mana si Aufa yang ada aura naga berkepala tujuh ni boleh tolerate dengan Aqil yang kerek tu? Haha.

Macam mana agaknya Aufa dan Aqil sama-sama menyesuaikan diri dalam kehidupan baru ni? Bagaimana dengan penerimaan ayah Aufa? Berjaya tak agaknya Aufa menemui kebahagiaan yang dicarinya itu?

Komen saya: Memang senyum panjanglah baca buku ni. Lebih-lebih lagi bila tengok cover yang comel ni. Buku ni pun dah jadi salah satu buku kegemaran saya tahun ni. Cerita santai yang comel dan manis. Tanpa adegan intim dan manis terlebih gula pun tetap terasa manis. Tahniah untuk team Editorial JS dan tahniah juga buat Syasyaja atau lebih dikenali dengan nama bulanhijau untuk novel pertama ini. Lepas ni nak start baca Evangelina pula. Hihi. ;) Apa pun, selamat maju jaya ya? :)



Sunday, May 6, 2012

Terlerai Kasih - Rehan Makhtar

Posted by Hajar at 9:28 PM 6 comments

Tajuk: Terlerai Kasih
Penulis: Rehan Makhtar
Penerbit: Karyaseni Enterprise
Harga: RM28.00
Sabah/ Sarawak: RM 31.00
Halaman:  858 mukasurat
ISBN: 9789670246192

Hati yang retak bisa  bercantum. Terlerai kasih kita mungkinkah akan bersambung?

Agak lama juga saya ambil masa untuk menyudahkan pembacaan buku ini. Bukan apa, ambil masa nak neutralkan semula emosi yang berkecamuk masa baca buku ni. Hehe.

Kisah cinta Nur Wafiah (Wafiah) dan Ilham Fitri (Ilham) ni banyak sangat ranjaunya. Tapi bukan sebab halangan orang ketiga ataupun halangan keluarga. Cuma salah faham dan masalah komunikasi ni yang buat kita pembaca ni rasa macam nak tolong clarify bagi pihak depa yang dok salah faham ni. :)

Ilham jatuh cinta pandang pertama dengan Wafiah bila pertama kali datang berurusan di syarikat tempat Wafiah bekerja. Nak menawan hati Wafiah ni bukannya senang. Tahap nak cairkan ais kutub jugalah gayanya. Sebabnya Wafiah ni datang dari latar belakang keluarga yang ada sejarah pahit. Jadi, Wafiah memang pagar hatinya setinggi mungkin supaya tak mudah jatuh cinta setelah bekas teman lelakinya, Fazlee meninggalkan dirinya atas sebab sejarah silam keluarganya itu.

Tapi Ilham bukanlah orangnya yang mudah berputus asa.  Pertemuan demi pertemuan yang berlaku antara mereka berjaya membuatkan Ilham Fitri melembutkan hati seorang Nur Wafiah dan mereka akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin. Wafiah pada mulanya agak risau dengan penerimaan keluarga Ilham berjaya diyakinkan oleh Ilham yang keluarganya tidak memandang sejarah silam keluarga Wafiah itu.

Bahagia yang dikecapi Wafiah bagaikan direntap sekelip mata bila Ilham bercadang untuk membatalkan perkahwinan mereka. Alasannya, dia rasa tertipu dan tak betul-betul mengenali Wafiah walhal pada awalnya Ilham dah menegaskan bahawa tempoh perkenalan bukanlah penting dalam hubungan mereka. Namun, mereka berkahwin juga dengan perjanjian untuk bercerai selepas majlis di rumah Wafiah.  Selepas berkahwin, barulah Ilham ni nak buka mulut bertanya dan menyelesaikan permasalahan mereka. Salah faham yang berlaku hanya kerana Fatehah, setiausaha Ilham (yang juga tunang Fazlee) termakan kata-kata Zura (teman sekampung Wafiah) dan kemudian menyampaikan cerita buruk tentang Wafiah dan Fazlee kepada Ilham. Phew. Lega sekejap.

Jangan sangka mereka sudah berbahagia bila permasalahan tu dah selesai. Lepas majlis menyambut menantu di rumah keluarga Ilham, badai datang melanda lagi dalam hubungan mereka. Akibat SMS berbaur fitnah yang dikirim oleh abang ipar Wafiah yang memang bertujuan untuk menghuru-harakan hubungan Wafiah dan Ilham, hubungan mereka berantakan sekali lagi. Terpaksalah Wafiah bersabar menangani kerenah dan tohmahan Ilham. Satu perangai buruk Ilham yang saya tak berkenan adalah, sifat nak memiliki tu. Tapi tak tahu nak menghargai. Haih.

Sampai bila agaknya Wafiah mampu bertahan? Adakah ikatan kasih di antara mereka ni bakal terlerai disebabkan prasangka dan cemburu buta Ilham? Atau masihkan ada kemaafan untuk Ilham?


Komen saya : Bagi yang nak membaca kisah ini, sila bersedia daripada segi mental dan emosi supaya tak hanyut dibawa oleh perasaan. Hehe. Oh, jangan lupa sediakan tisu atau pun tuala untuk menyapu air mata ya? Babak paling terkesan pada saya adalah waktu mak Wafiah meninggal dunia tu. Hmm, bagi yang pernah melalui, mungkin dapat rasa macam mana peritnya perasaan tu. Apa pun tahniah Rehan Makhtar untuk naskhah bercetak pertama ini. Looking forward untuk kisah Usop dan Jelita pula lepas ni. :)

Saturday, May 5, 2012

Kemelut Di Muara Rindu - Affi Dhiya

Posted by Hajar at 10:48 PM 0 comments

Tajuk: Kemelut Di Muara Rindu (KDMR)
Penulis: Affi Dhiya
Penerbit: Fajar Pakeer Sdn. Bhd.
Harga: RM21.00
Sabah/ Sarawak: RM 24.00
Halaman:  501 mukasurat
ISBN: 9789673651191

Ini buku pertama yang dibaca daripada koleksi yang dibeli di pesta buku baru-baru ini. 'Terpaksa' dibaca dulu untuk direview bagi pihak kawan-kawan. Jadi kena belanja saya minum nanti eh? *wink

Disebabkan suatu kejadian hitam yang berlaku, Syed Hakim (Hakim) terpaksa menikahi Iman Shartina (Tina) untuk bertanggungjawab di atas perbuatannya walaupun masing-masing sudah terikat dengan orang lain pada masa itu. Tipikal lah bila kahwin tanpa rela ni, mesti ada perjanjian antara keduanya. Bagi mereka perjanjian yang dibuat tanpa berfikir panjang tu hanya untuk melepaskan mereka daripada ikatan perkahwinan tanpa rela tu. Namun, sikap Hakim yang kerap menyalahkan Tina dalam perkahwinan mereka menyebabkan Tina beralah dan pergi membawa diri bersama kandungannya.

Selepas beberapa tahun, takdir menemukan mereka bila Hakim mengambil alih tampuk pentadbiran syarikat tempat kerja Tina. Bermulalah pemburuan Hakim untuk mendapatkan hak sebagai bapa kepada Aiman. Cuma yang saya tak berapa berkenan bila Tina ni agak selamba bergaul dengan lelaki di sekeliling dia. Mungkin penulis nak gambarkan Tina bukan macam perempuan tipikal yang menyerah je bila suami buat perangai agaknya. Cuma tak manisla bila wanita yang masih bersuami bergaul bebas macam tu. :)

Hakim pula, walaupun sibuk memujuk Tina supaya kembali tapi tak menunjukkan kesungguhan sepenuhnya. Manakan tidak, status perkahwinan dan kehadiran anaknya masih dirahsiakan daripada kedua ibu bapanya. Bila Tina suruh memilih antara dirinya dan Syareen (tunang kesayangan Hakim), Hakim mahu memilih keduanya sebab katanya dia mampu. Heh. Akhirnya terpaksa juga Tina diceraikan bila emak Hakim beri kata dua untuk memilih antara isteri dan  seorang ibu. Masa ni baru Tina sedar perasaan dia pada Hakim. Tapi segalanya dah terlewat.

Saat Tina sudah pasrah dan menerima segala ketentuan dalam hidupnya, dia bertemu dengan Rina, seorang gadis yang mempunyai wajah seiras dengannya. Rina rasa macam seribu rahmat bila dipertemukan dengan Tina. Habis segala maklumat dan kejadian hidupnya diceritakan kepada Tina. Rupanya itu petanda supaya Tina menggantikan tempat Rina bila bas yang mereka naiki ditimpa kemalangan. Rina sempat berpesan supaya Tina menggantikan tempatnya dalam keluarganya. Lalu bagaimana penerimaan keluarga Rina?

Bagaimana pula sudahnya kisah Tina ni? Dapatkah bersama kembali dengan Hakim atau Tina lebih berbahagia dengan orang lain?

Komen saya: Susunan kisah yang tak berapa teratur dan buat kita tertanya-tanya apa penyebab konflik mereka ni dari awal. Penggunaan point of view  yang tak konsisten juga penyumbang kepada kekalutan jalan ceritanya. Rasa macam masih ada persoalan yang tergantung dalam kisah ini. Apa pun, tahniah kepada penulis kerana berjaya menyiapkan karya pertamanya ini. Mudah-mudahan boleh diperbaiki untuk karya seterusnya. :) 

Thursday, May 3, 2012

Ku Ingin Milikimu - Rehan Makhtar

Posted by Hajar at 10:03 PM 8 comments
Ku Ingin Milikimu (KIM)
Rehan Makhtar
http://wrehan.blogspot.com

Ini sebenarnya e-novel yang dicetak sendiri oleh penulis untuk simpanan pembaca macam saya yang tak suka hadap komputer  lama-lama. Sempatlah saya habiskan pembacaan semasa dalam perjalanan ke pesta buku hari tu. :) Kisah ini ada di blog penulis sekiranya ada yang ingin mengikutinya.

KIM ni berkisar tentang kisah cinta Anahara atau Ann Rahana (nama penanya) dengan Mukhlis. Anahara ni seorang penulis separuh masa dan banyak menghasilkan karya yang dipaparkan di laman maya. Manakala Mukhlis pula diceritakan sebagai seorang ulat buku, berkenalan dengan Anahara melalui laman maya milik Anahara lalu jatuh cinta bukan setakat dengan karya, tapi dengan penulisnya sekali.

Agak gigih jugalah Mukhlis ni cari maklumat tentang penulis kesayangannya ni, sampaikan tunang depan mata pun dia boleh buat tak endah je. Jadi, bila dah abaikan tunang tu mak ayah Mukhlis pun mulalah campur tangan untuk halang Anahara daripada berhubung dengan Mukhlis. Hakikat sebenarnya Anahara tu tak kenal pun Mukhlis tu. Cuma Anahara tak dapat nafikan hakikat yang dia sebenarnya juga dah jatuh cinta pada Mukhlis. Akhirnya mereka ambil keputusan utk berkahwin.

Ha, jangan fikir kisah mereka dah berakhir di situ. Silap tu. Cabaran buat Anahara bila si Puan Sri, emak Mukhlis beri kata dua kepada Anahara dan kemudian terpaksa merelakan dirinya dimadukan sebab family Jeslina tak mahu menanggung malu sekiranya Mukhlis dan Jeslina tak jadi berkahwin. Jadi bila bermadu, faham-faham sendirilah kan? Lebih-lebih lagi bila mak mertua melebihkan si Jeslina (madunya) dalam segala hal. Bila Nayli (adik Mukhlis) yang tak berapa sihat waktu tu jatuh tangga akibat ditolak Jeslina, Anahara yang dipersalahkan sampai diceraikan dek Mukhlis. Lepas bercerai barulah nak menyesal bila tahu kebenaran. Tambah sadis lagi bila Anahara disahkan mengandung anak mereka masa tu. Sayang semuanya dah terlambat. Anahara memang dah tak mahu ada apa-apa hubungan dengan keluarga bekas mertuanya.

Lepas 2 tahun, Mukhlis memberanikan diri muncul di depan Anahara. Berusaha untuk merebut kembali hati Anahara. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran si comel Aryana. Bertambah semangat Mukhlis untuk memenangi hati Anahara kembali. Namun kehadiran Zafran di antara mereka menjadikan keadaan semakin rumit. Semakin ditolak semakin hampir keduanya dalam hidup Anahara. Namun hati memilih siapa?

Komen saya: Satu yang saya suka dengan cara penulisan Rehan Makhtar ni adalah susunan ayat  dengan penggunaan gaya bahasa yang indah. Puitis pun ya juga. :) Walaupun kisah-kisah yang digarap di blog penulis banyak menuntut air mata, namun saya pasti masih ramai yang suka membaca kisah-kisah sebegini.

Oleh kerana dah ramai yang dok bertanya, maka saya share terus kat sini ya. Buat sesiapa yang berminat nak pesan mini novel yang dicetak sendiri oleh penulis ni bolehla ke fanpage Rehan.Maktar atau pun ke group Kisah Hati. Kat sana anda boleh bertanya sendiri bagaimana cara untuk memesan buku ni ya? :)
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review