Showing posts with label Aleya Aneesa. Show all posts
Showing posts with label Aleya Aneesa. Show all posts

Thursday, June 26, 2014

Kahwin Dengan Saya?

Posted by Hajar at 10:46 PM 1 comments
Tajuk: Kahwin Dengan Saya?
Penulis: Aleya Aneesa
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM26.00
Sabah/ Sarawak: RM 29.00
Halaman:  662 mukasurat
ISBN: 9789831249406


Yang saya suka tentang kisah ini:

1. Kisah kekeluargaan yang dipaparkan. Macam dah jadi trademark untuk penulis memasukkan unsur ini dalam setiap karyanya. :)

2. Qara Nisa (Qara) yang sangat lembut hatinya. Tak pernah berdendam walau sejahat dan seteruk mana layanan yang diterimanya. Baginya, kekurangan dirinya sebagai seorang anak yatim piatu membuatkan dia dibenci oleh kedua ibu bapa Dhia, kawan baiknya. (Macam kelakar bila fikir ada ibu bapa yang begini, memusuhi seorang anak kecil yang konon bawa pengaruh buruk kepada anaknya hanya kerana anak kecil itu seorang anak yatim piatu. Hmm, mungkin ada, cuma saya yang tak jumpa manusia spesies ni)

3. Persahabatan antara Qara dan Dhia yang kekal utuh semenjak sekolah rendah walau diancam dengan pelbagai ugutan daripada kedua ibu bapa Dhia.

4. Umair Haq (Haq) yang tak kisah jadi bapa tunggal hanya kerana tak mahu anak sekecil Irham Firdaus disia-siakan oleh seorang ibu yang tidak menghargai kehadiran seorang anak. Dia tak kisah dimarahi uminya asalkan si kecil Irham tidak dilukai.

5. Kisah ini memang libatkan watak yang ramai dalam penceritaannya tapi kita tak hilang fokus kerana setiap watak ada perkaitan antara satu sama lain.

Yang buat saya geram:

1. Syahil. Sungguh saya tak suka spesies lelaki sebegini. Tiada pendirian. Macam lalang. Sanggup ketepikan pendirian sendiri hanya kerana takut dengan ugutan keluarga yang kononnya tidak akan mewariskan harta sekiranya Syahil tetap bercadang untuk teruskan hubungan dengan Qara. Lelaki macam ni ke yang nak dijadikan calon suami? Hmmph!

2. Datuk Kamil dan Datin Jalilah. Memang padan sangatlah. Dua-dua materialistik. Atas alasan Qara tu anak yatim piatu, anak gadis itu dimusuhi dan dihalang daripada berkawan dengan dengan Dhia. Malah hubungan cinta Qara dan Syahil juga tidak direstui. Haish.

3. Hajah Yasirah yang mudah sangat termakan hasutan Datin Jalilah. Patutnya sebagai orang yang lebih berpengalaman, dia boleh nilaikan sendiri sikap Qara sebagai menantu berdasarkan layanan Qara kepada Haq dan ahli keluarga yang lain. Ini siap boleh halau Qara keluar dari rumah pulak tu lepas dapat tahu kebenaran tentang Irham. *Geleng kepala*
 

4. Bila Dhia pun mula beri layanan ‘bahu sejuk’ gara-gara Qara tidak mahu ikut kehendaknya. Sungguhla pentingkan diri Dhia ni. Boleh pulak dia nak mintak Qara tinggalkan Haq dan kembali pada Syahil. Katanya Syahil perlukan Qara untuk memulihkan semangatnya selepas bercerai. Apakah???

5. Haq yang termakan kata-kata fitnah Syahil yang berniat untuk memisahkan Haq dan Qara. Sampai terkeluar kata-kata yang buat Qara terluka parah. Huwaaaa, kesian Qara tau! Mujur ada Maksu Razita. Kalau tidak Qara dah naik penerbangan tambang murah entah ke mana-mana agaknya. :P

Komen saya:
Sungguh pun kisah ni agak beremosi, saya sukakannya. Mungkin disebabkan perjalanan kisah yang agak pantas dan tak meleret-leret dengan hal yang tidak-tidak. Tahniah buat penulis atas penerbitan karya ke-12 ini. Fuh, kena kira berapa banyak buku AA yang ada dalam rak buku saya ni untuk cukupkan koleksi. :D 

Tuesday, October 8, 2013

Cintaku Bukan Murah - Aleya Aneesa

Posted by Hajar at 11:01 PM 2 comments
Tajuk: Cintaku Bukan Murah
Penulis: Aleya Aneesa
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM26.00
Sabah/ Sarawak: RM 29.00
Halaman:  620 mukasurat
ISBN: 9789831248805

Perkahwinan Nadra dan Raqib bukanlah atas sebab cinta. Mereka bermula sebagai teman rapat dan kemudian hubungan mereka dinaiktaraf kepada hubungan suami isteri. Itu pun gara-gara Nadra tak mahu dijodohkan dengan Ghazlan, calon pilihan abangnya. Jadi, Nadra memberanikan diri melamar Raqib. :)

Perkahwinan mereka memang tampak bahagia. Lebih rapat berbanding waktu mereka berteman. Memang tak nampak cacat cela lebih-lebih lagi Raqib memang pandai mengambil hati Nadra. Cuma mungkin Raqib lupa, layanan baiknya pada Nadra bukan bermakna Nadra telah maklumi isi hatinya, Jadi hubungan baik mereka masih terbatas bila masing-masing masih memendam rasa.

Kebanyakan menantu perempuan yang kita tahu mesti bermasalah dengan ibu mertua. Berbeza dengan Nadra, cabaran hebatnya adalah bila terpaksa berdepan dengan Idlan, adik ipar yang terang-terang menganggap Nadra 'perampas' abang kesayangannya dan datuk juga Raqib, Leftenan Kolonel (B) Tuan Haji Yunus. Datuk Raqib ni tak habis-habis mengungkit dan mengutuk Nadra. Tak pandai buat kopilah, pucatlah. Pendek kata ada saja yang tak kena dengan Nadra setiap kali dia datang bertandang. Tapi dalam tegasnya tu, Nadralah cucu menantu yang diiktirafnya. Dia takkan approve isteri lain untuk Raqib. Tuan Haji Yunus ni memang cool!

Bagi Idlan pula, Nadra harus diperangi habis-habisan. Dia tak rela berkongsi kasih dengan Nadra. Err, bunyinya macam bermadu kan? Hehe. Tapi hakikatnya lebih kurang begitulah. Depan Raqib dan ahli keluarga yang lain, Idlan pandai berlakon dan pandai memutar fakta sehingga tercetusnya pergaduhan antara Raqib dan Nadra. Memang bertepuk tanganlah Idlan jawabnya. Huh.

Ketabahan Nadra mengharungi semua dugaan di rumah mertuanya ranap sekelip mata bila diketahui yang Raqib tak pernah ada sedikit pun perasaan untuknya. Tambah memilukan lagi Nadra turut kehilangan abang dan anak yang dikandungnya pada hari yang sama. Bila Nadra mula menjauhkan diri, mampukah Raqib untuk memujuk hati Nadra yang terluka parah itu?

Komen saya: Seperti biasa, penulis tak pernah lupa menyelitkan unsur-unsur kekeluargaan dalam setiap karyanya. Konflik antara Nadra-Idlan-Tuan Haji Yunus memang nampak cantik aturannya sampai buat saya rasa geram teramat dengan Idlan tu. Kalau ada depan mata memang dah kena luku agaknya. Huh. Nadra pun bukan jenis melawan. Pasrah je menelan ayat-ayat pedas Tuan Haji Yunus tu. Kalau orang lain yang duduk tempat Nadra tu mungkin dah berperang agaknya. :) Apa pun tahniah buat penulis atas garapan terbarunya ini. Moga makin banyak kisah-kisah menarik yang bakal dilakarkan selepas ini. :)  

Saturday, July 14, 2012

Untukmu Sayang - Marwati Wahab

Posted by Hajar at 11:21 PM 2 comments

Tajuk: Untukmu Sayang
Penulis: Marwati Wahab
Penerbit: Fajar Pakeer Sdn. Bhd.
Harga: RM21.90
Sabah/ Sarawak: RM 24.90
Halaman:  585 mukasurat
ISBN: 9789833880140

Phew. Setelah hampir dua minggu memeram buku ni, akhirnya berjaya juga saya habiskan pembacaan. Hehe.

Siapa sangka, kenakalan zaman remaja akhirnya memakan diri sendiri? Kerana kenakalannya di zaman remaja Dasiera terpaksa mengundur diri daripada hidup abang yang sangat disayanginya.

Dasiera dan Hazim, merupakan dua beradik yatim piatu. Kehilangan ibu dan ayah semenjak usia muda menjadikan Hazim sebagai seorang ibu dan juga seorang ayah untuk seorang adik. Dasiera ditatang bagai minyak yang penuh. Sehinggakan bila Dasiera berpeluang menyambung pengajiannya ke Sabah, Hazim sudah bersiap sedia mengupah pengawal peribadi untuk memantau pergerakan Dasiera tanpa pengetahuan adik kesayangannya itu.

Namun, kebahagiaan mereka bagaikan punah sekelip mata bila Hazim memutuskan untuk berkahwin. Paling malang, bakal kakak ipar Dasiera adalah Zulyana, musuh tradisinya sejak zaman remaja. Zulyana yang masih berdendam dengan Dasiera mengambil peluang ini untuk membalas dendam. Dasiera diminta untuk meninggalkan Hazim pada hari perkahwinannya dengan alasan yang Dasiera tak mampu nak berkongsi abangnya dengan orang lain.

Dasiera membawa diri pulang ke kampung ibunya hanya kerana mahu mencari dan berkenalan dengan waris terdekatnya. Kedatangannya disambut baik oleh kedua datuk dan neneknya beserta ibu saudaranya. Layanan baik yang diterima daripada keluarga kandungnya tak pernah sekali pun memadamkan ingatan Dasiera kepada abang kesayangannya. Hazim juga turut memendam rasa gara-gara kehilangan Dasiera. Cuma Hazim tidak mahu menunjukkan sangat rasa hatinya yang terluka angkara adik kesayangannya sendiri.

Pertemuan Dasiera dengan si kacak Farish banyak membantu Dasiera menjalani hidupnya di bandar kecil itu. Dengan bantuan ahli keluarga dan juga Farish, Dasiera berjaya membuka sebuah kedai gambar. Setelah hampir setahun menetap di situ, perniagaannya sudah mula berkembang dan dalam masa yang sama hubungannya dengan Farish juga sedang melangkah ke satu tahap lagi.

Ketika Dasiera dah mula menerima Farish dalam hidupnya, banyak pula rahsia yang terbongkar. Paling mengejutkan, si ibu yang disangka sudah meninggal dunia rupanya berada di depan mata. Macam tak logik pula bila fikirkan alasan si ibu meninggalkan suami dan anak-anak. Tapi, mungkin zaman tu cara perhubungan cuma ada surat dan telegram aje kot? Itu yang tak dapat nak hantar berita untuk suami dan anak-anak.

Jujurnya saya tak gemarkan watak Zulyana tu. Tak sedar diri. Sedap je mengutuk orang anak yatim piatu. Walhal dirinya sendiri pun cumalah anak angkat je dalam keluarga Farish tu. Heh.  

Komen saya: Penulis masih lagi mengekalkan elemen kekeluargaan dalam karyanya. Elemen sedih? Sudah semestinya ada. Hehe. Cuma macam tak sesuai bila ada babak pergaulan 'terlebih' batas antara Dasiera dan Farish sedangkan mereka tinggal di kampung. Overall, saya tiada masalah untuk menghadamkan kisah ini. Perjalanan kisahnya pun agak smooth untuk diikuti. :)

 

Tuesday, June 26, 2012

Semusim Rindu - Aleya Aneesa

Posted by Hajar at 10:55 PM 4 comments




Tajuk: Semusim Rindu
Penulis: Aleya Aneesa
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM18.00
Sabah/ Sarawak: RM 21.00
Halaman:  455 mukasurat
ISBN: 9789831241924


Sebelum baca buku ni, saya rasa kisah Dhamira (Janjiku Bersamamu) tu dah cukup tragik. Rupanya kisah yang dibawa oleh penulis dalam Semusim Rindu ni pun tak kurang tragiknya.

Hajar Adira (Hajar) merupakan anak yatim piatu yang dibesarkan oleh ibu saudaranya (Mak Long Nazimah) selepas kematian ibu dan ayahnya semenjak dia berumur 5 tahun. Hidup di rumah  Mak Long Nazimah tak seindah mana bila Hajar selalu didera dan diperlakukan dengan kejam oleh keluarga Mak Longnya. Akibat tidak tahan dengan penderaan fizikal dan mental yang terpaksa dilalui selama 5 tahun, Hajar dengan dibantu oleh sepupunya Azim, memutuskan untuk  melarikan diri ke rumah Mak Ngah Nasriah di Johor Bahru. Namun, setibanya di Johor Bahru Hajar hilang punca, tak tahu ke mana nak dituju. Pertemuannya dengan Firdaus yang sedang menunggu ketibaan isterinya, Fauziah telah membawa Hajar ke dalam kehidupan suami isteri yang baik itu. Oleh kerana mereka belum lagi dikurniakan zuriat, mereka memutuskan untuk mengambil Hajar sebagai anak angkat mereka.

Walaupun mereka telah dikurniakan zuriat sendiri kemudiannya, Firdaus dan Fauziah tetap melayan Hajar seperti anak kandung mereka sendiri. Kematian Fauziah akibat kanser beberapa tahun selepas itu menyekat peluang Hajar untuk menyambung pengajian ke luar negara sebab dilarang oleh Firdaus. Kemudian bila Firdaus pula lumpuh akibat kemalangan, Hajar terpaksa menjadi tunggak keluarga. Sampai terpaksa buat 2 kerja dalam satu masa untuk menyara keluarga. Tabah betul.

Pertemuan dengan Ikhman si playboy yang kerap menyakitkan hatinya itu membuka jalan untuk Hajar kembali kepada keluarga kandungnya. Disebabkan terlalu lama memendam perasaan sendiri, Hajar menjadi seorang pendendam. Kehadiran Pak Usu Halil yang memang dah lama mencari Hajar pun ditolak mentah-mentah. Pak Usu Halil ni sebenarnya ada kanser. Itu sebabnya dia beria mencari Hajar untuk tebus kesalahannya meninggalkan Hajar dengan Mak Long Nazimah dulu. Mujurlah sempat juga Hajar jumpa dan berbaik dengan Pak Usu sebelum kematian Pak Usu. Sebelum meninggal dunia, Pak Usu sempat mewasiatkan agar Ikhman berkahwin dengan Hajar sebab Pak Usu nampak hanya Ikhman yang betul-betul layak untuk menjaga Hajar.

Perkahwinan mereka berlangsung juga dengan syarat, mereka takkan tinggal sebumbung selepas berkahwin. Tujuan Hajar mengenakan syarat sebegitu sebab dia tak yakin yang Ikhman betul-betul sayangkannya. Tapi, bila dia dah mula terima Ikhman dalam hidupnya, berlaku satu salah faham selepas Ikhman ternampak Hajar berdua-duaan dengan Azim (yang memang ada hati dengan Hajar) dalam kereta. Akibat salah faham tu Hajar terpaksa membawa diri ke Jepun untuk menyambung pengajiannya.

Bagaimana penyudahnya hubungan Hajar-Ikhman ni?

Ikhman ni pun ego. Kata cinta, tapi sekali pun tak pernah lafaz kata 'keramat' tu pada Hajar. Haish. Kata-kata 'keramat' tu macam satu jaminan pada seorang perempuan tau? :P

Komen saya: Kisah ni memang sedih. Jadi sila sediakan tisu atau tuala sebelum membaca ya? :) Saya sukakan perjalanan cerita yang agak tersusun dan tak buat kita tertanya-tanya. Cuma pembinaan watak tu macam tak konsisten sikit. Tapi secara keseluruhannya saya tak ada masalah untuk menyukai kisah ini. :)

Sunday, June 10, 2012

Kasih Benar Kasih - Aleya Aneesa

Posted by Hajar at 6:04 PM 0 comments
Tajuk: Kasih Benar Kasih
Penulis: Aleya Aneesa
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM21.00
Sabah/ Sarawak: RM 24.00
Halaman:  496 mukasurat
ISBN: 9789831246689

Phew, akhirnya berjaya juga saya menghabiskan pembacaan buku ni.  Kekangan masa akibat kesibukan kerja hakiki membataskan waktu untuk menyudahkan pembacaan.

Kali ni penulis membawa kita menelusuri kisah antara Annura dan Dinzley. Bila sebut Dinzley ni memang automatiklah teringat Ikram Dinzley. Tapi takdelah saya nak bayangkan Ikram tu sebagai hero kisah ni. Hehe.

Annura dan Dinzley berkenalan disebabkan kedua ibu bapa mereka ni kawan baik. Oleh kerana masing-masih masih belum berteman di kala usia sudah layak berkahwin, jadi mereka disuruh berkenalan untuk sesuaikan diri. Pada mulanya Annura memang menolak cadangan kedua ibu bapanya sebab dia merasakan yang tiada keserasian antara dirinya dan Dinzley. Mana taknya, Dinzley tu sangat kuat menyakat sampai buat Annura rasa jengkel. Sungguh pun macam tu, diorang ni nampak sangat comel as a couple.

Memang tiada paksaan dalam hubungan mereka berdua ni, tapi harapan yang digantung oleh kedua orang tua mereka sangat sukar untuk ditolak. Jadi akhirnya Annura menerima Dinzley sambil mencari titik keserasian antara mereka. Namun di saat Annura sudah mula merasakan kehadiran Dinzley dalam hidupnya, Dinzley pula mahu menangguhkan perkahwinan disebabkan bekas kekasihnya yang kononnya sedang sakit. Heh. Masa ni memang saya kesian sangat dengan Annura sebab silapnya Dinzley, dia terus nyatakan hasrat nak tangguhkan perkahwinannya kepada keluarga mereka tu tanpa berbincang langsung dengan Annura. Manalah Annura tu tak rasa terhina dan rasa dimalukan depan keluarga mereka?

Namun, setelah kebenaran terbongkar Annura tetap menerima Dinzley sebagai suami.  Cuma yang tak enaknya Annura bersetuju untuk berkahwin dengan Dinzley hanya kerana nak balas rasa sakit yang dia pernah rasa tu pada Dinzley. Walaupun dah setahun berkahwin dendam Annura pada Dinzley masih tak surut. Sampai bila agaknya Dinzley mampu bersabar melayani kerenah isteri yang dingin tu.?

Komen saya : Realitinya ada ke lelaki yang sesabar ni eh? Haha. Kisah mereka ni agak smooth dan tak banyak konflik. Kisah kali ni tak ada juga bahagian yang mampu merembeskan air mata bagai nak rak macam kisah-kisah nukilan AA yang lain. Cuma saya suka pengakhiran yang melibatkan keluarga Annura dan Dinzley dalam memperbaiki hubungan mereka berdua ni. :)

Sunday, June 3, 2012

Bertakhta Di Hati - Marwati Wahab

Posted by Hajar at 6:07 PM 0 comments

Tajuk: Bertakhta Di Hati
Penulis: Marwati Wahab
Penerbit: NHF Media Corp Sdn. Bhd.
Harga: RM19.90
Sabah/ Sarawak: RM-
Halaman:  597 mukasurat
ISBN: 9789833880058

Satu lagi kisah sedih yang berjaya dilakarkan oleh Marwati Wahab a.k.a Aleya Aneesa (AA). Memang betullah, kebanyakan karya AA ni sinonim dengan kisah sedih.

Kalau baca blurb, memang kita akan rasa sakit hati dengan Nadjmi yang meninggalkan Khairunnasrya (Rya) tanpa sebab munasabah. Tapi hakikatnya Nadjmi menyimpan rahsia yang akan membuka aib orang yang dah tiada di dunia ni. Dia rela dicaci daripada memburukkan orang lain. Lebih-lebih lagi orang tu dah pun meninggal dunia.

Rya ditinggalkan Nadjmi selepas 3 hari tempoh perkahwinan mereka. Bunyinya kejam bukan? Tanpa sebab yang munasabah, dirinya ditinggalkan oleh suami. Memang perkahwinan mereka tak mendapat restu kedua orang tua Nadjmi, tapi tak sangka yang Nadjmi akan meninggalkannya sepantas itu. Kesian Rya yang menjadi mangsa tohmahan orang  kampungnya. Rya masih mampu bertahan walaupun pelbagai tohmahan yang diterima, namun pemergian anak yang dikandung selama sembilan bulan adalah dugaan paling hebat buat Rya.

Nadjmi pula memberontak dan membalas rasa sakit hati kepada kedua ibu bapanya dengan mengahwini seorang wanita Inggeris semasa di London. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang dinamakan Danish Hakim (Aish). Selepas kelahiran Aish, isteri Nadjmi minta dilepaskan sebab mahu hidup bebas dan tak mahu terikat dengan suami dan anak. Hak penjagaan Aish diserahkan sepenuhnya kepada Nadjmi. Nadjmi pula dari awal lagi dah ajar Aish yang Rya tu adalah ibu Aish. Kira bijak jugalah Nadjmi ni sebab pandai pergunakan Aish untuk menawan kembali hati Rya.

Selepas kematian anak perempuannya, Rya membawa diri menyambung pengajian dan setelah tamat pengajian Rya berhasil mendapat pekerjaan yang baik. Pertemuan dengan Aish, selepas 7 tahun Nadjmi meninggalkan Rya berjaya membawa Rya kembali ke dalam keluarga kecil mereka. Cuma macam mana agaknya Nadjmi nak menawan semula hati Rya yang dah hancur berkecai tu?

Komen saya : Kisahnya tak adalah konflik berat sangat. Cuma pada saya Nadjmi ni memang tak adil bila tinggalkan Rya terkapai-kapai tanpa penjelasan macam tu. Kenapa perlu nak tunggu sampai 7 tahun baru nak cari Rya? Macam sengaja nak bazirkan masa. Eh, teremo pulak. Hehe. Cuma rasanya banyak sangat broken english phrases dalam buku ni. Harapnya kesilapan-kesilapan kecil tu dah diperbaiki dalam versi terbitan semula Fajar Pakeer . :)

Saturday, May 26, 2012

Janjiku Bersamamu - Aleya Aneesa

Posted by Hajar at 9:41 PM 0 comments

Tajuk: Janjiku Bersamamu
Penulis: Aleya Aneesa
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM19.90
Sabah/ Sarawak: RM 22.90
Halaman:  483 mukasurat
ISBN: 9789831242896


Kali ni saya ambil masa yang agak lama sedikit untuk menyudahkan pembacaan sebab kisah ni terlalu meruntun perasaan. Ala-ala kisah Cinderella moden. Saya rasa Aleya Aneesa ni memang dah sinonim dengan kisah-kisah sedihlah. Err, ini cumalah personal judgement saya berdasarkan 3 buah bukunya yang saya dah baca. Kalau silap maafkan saya. :)

Memang susah nak puaskan hati semua orang kan? Lebih-lebih lagi orang yang penting dalam hidup kita.  Itulah yang terjadi kepada Aly Rasyid. Perkahwinannya dengan Mariam (seorang wanita Inggeris), menyebabkannya dibuang keluarga kerana mentaliti kedua ibu bapanya yang memang bencikan penjajah. Kelahiran Dhamira Rysda (Dhamira) juga turut dibenci oleh kedua datuk dan neneknya. Selepas kematian Mariam, Aly Rasyid berkahwin dengan Zaidah, seorang ibu tunggal yang mempunyai 3 orang anak. Dhamira fikir bila ayahnya berkahwin dia dapatlah menumpang kasih si ibu tiri, tapi hakikatnya Zaidah lebih banyak menyiksa perasaannya daripada memberikan kasih sayang.

Selepas kepulangan Dhamira dari Australia,  Effendy si abang tiri yang selalu pedajalkan Dhamira waktu kanak-kanak dulu tiba-tiba jatuh hati pula dengan Dhamira. Effendy berjaya memujuk Aly Rasyid untuk berkahwin dengan Dhamira. Tapi Dhamira pula mencari Za'iem (pemuda yang dikenalinya di kampung dan selepas itu jadi rakan sejawatnya) dan kemudian mereka berkahwin. Namun perkahwinan itu telah membuatkan Aly Rasyid kecewa dan kemudian Dhamira dibuang keluarga. Peluang ini memang ditunggu oleh Zaidah yang memang bencikan Dhamira selama ini. Masa inilah dia ambil peluang untuk tabur kebencian dalam hati Aly Rasyid.

Perkahwinan Dhamira dan Za'iem memang nampak bahagia lebih-lebih lagi dengan kehadiran Zamirul dalam hidup mereka. Namun, kebahagiaan dan kegembiraan yang dikecapi bagaikan diragut sekelip mata bila Zamirul dilanggar lari dan kemudiannya disahkan hilang penglihatan. Bagaikan jatuh ditimpa tangga pula mereka sekeluarga ni bila kemudiannya kedua-dua mereka pula kehilangan kerja. Bila Dhamira memutuskan untuk meminta pertolongan Aly Rasyid untuk mengubati mata Zamirul, Za'iem menentang habis-habisan sehingga meninggalkan keluarganya begitu saja. Sampai Zamirul kena culik dek Effendy pun Za'iem tak tahu. Haish. Memang tindakan yang tak munasabah betul. Mujur tindakan bodoh Effendy yang datang ke rumah Dhamira berjaya membongkar jenayahnya sendiri.

Kata-kata Zamirul pada pertemuan secara tak sengaja dengan datuk Dhamira di kampung telah menyedarkan si datuk dan nenek tentang perbuatan dan layanan mereka pada Dhamira selama ini. Kemudian, kepulangan Za'iem pula membawa Dhamira bertemu semula dengan Aly Rasyid. Memang touching habis masa ni. Cuma keinsafan Zaidah je yang datang lambat sikit. Itu pun setelah Dhamira mempertaruhkan nyawa (sebab masa tu Dhamira tengah sarat mengandung) menyelamatkannya waktu dia nyaris-nyaris di langgar kereta. Walaupun Zaidah dah disisihkan oleh Aly Rasyid akibat peristiwa itu, Dhamira tetap berusaha memujuk ayahnya untuk memaafkan si ibu tiri itu. Baik sungguh kan Dhamira?

Komen saya:  Kisah ni memang agak sinetron, cuma saya sukakan perjalanan cerita yang agak pantas dan tak meleret untuk kita baca. Jadi, taklah rasa tertekan sangat nak habiskan pembacaan. Kalau ada yang berminat nak baca, sila sediakan tisu secukupnya ya? :)

Saturday, April 21, 2012

Aku Mahu Kamu - Aleya Aneesa

Posted by Hajar at 9:46 PM 6 comments
Tajuk: Aku Mahu Kamu
Penulis: Aleya Aneesa
Penerbit: Alaf 21
Harga: RM 19.90
Sabah/ Sarawak: RM22.90
Halaman: 498 mukasurat
ISBN: 9789831245064

Novel ni merupakan kedua karya Aleya Aneesa yang ada dalam simpanan saya. 

Kisah bermula apabila Qisya Khalesa (Qisya) bertemu dengan Ziyad Falah (Ziyad) bila Ziyad datang ke tempat kerja Qisya bagi memohon lesen perniagaan. Uniknya hubungan mereka berkembang hanya disebabkan sebatang pen oren. Haha. Sebenarnya Ziyad suka mengusik Qisya dan mencetuskan perbalahan sebab dia nampak Qisya tu sedang menanggung kesedihan. Mana kan tidak, buah hati yang dipuja bertahun-tahun berkahwin dengan orang lain. Lepas 2 tahun sibuk-sibuk pula nak cari Qisya semula. Ha, masa nilah Ziyad jadi hero. :)

Selepas insiden tu Ziyad melamar Qisya dengan bermodalkan pen oren dan sebulan lepas tu mereka bernikah.

Bahagia yang dikecapi bertambah-tambah lagi dengan kehadiran Faiq, cahaya mata mereka berdua. Keletah Faiq yang pelbagai menambahkan lagi keserian dalam keluarga mereka. Namun, selepas ulangtahun keduanya, Faiq mula menunjukkan sikap pelik. Rupa-rupanya itu petanda Faiq akan meninggalkan kedua ibu bapanya. Ziyad yang sangat kecewa dengan pemergian Faiq, menyalahkan Qisya atas kecuaiannya. Akibat kedinginan sikap Ziyad itu, Qisya meminta izin untuk pulang ke kampung. Kononnya untuk mengubati hatinya dan juga memberi ruang persendirian untuk Ziyad. Memang nampak Ziyad sangat selfish waktu ni. Selama berapa lama Qisya menghilangkan diri tu memang dia tak peduli langsung tentang keberadaan isterinya tu sampailah Qisya selamat melahirkan anak kedua mereka, Firyal.

Atas rasa kecewa dan rasa bertanggungjawab untuk mengembalikan kegembiraan kepada Ziyad, Qisya nekad tinggalkan Firyal di bawah jagaan Ziyad. Ziyad yang merindui isteri dan anaknya mengambil Firyal sebagai anak angkat disebabkan anak kecil itu ada iras rupa Qisya dan Faiq.

Selepas 4 tahun, Qisya kembali semula dan pertemuan secara tidak sengaja antara Ziyad-Qisya-Firyal di taska milik Qisya membuatkan Ziyad nekad untuk memburu Qisya semula.  Pujian patut diberikan buat Ziyad sebab tak malu mengaku kesalahan dia pada Qisya. :)


Komen saya: Sila sediakan tisu yang banyak atau tuala untuk mengelap air mata bila membaca kisah ini. Hehe.  Ni juga salah sebuah kisah yang agak laju perjalanannya.Kita tak berasa bosan membaca walau ada konflik yang agak berat dalam kisah ini. Tahniah buat penulis dan terima kasih buat si pemberi buku ini. =)

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review