Showing posts with label LNP. Show all posts
Showing posts with label LNP. Show all posts

Friday, September 12, 2014

Titik Mula Cinta

Posted by Hajar at 9:39 PM 1 comments
Tajuk: Titik Mula Cinta
Penulis: Laila Hanni
Penerbit: Lovenovel Enterprise
Harga: RM24.00
Sabah/ Sarawak: RM 27.00
Halaman:  439 mukasurat
ISBN: 9789670657158

Anis Fazila (Fazila) tak pernah fikir dia akan menamatkan zaman solonya secepat ini. Perkenalannya dengan keluarga Fauzi (teman sekuliah yang pernah menaruh hati padanya) rupanya menjadi penyambung tali silatulrahim buat 2 buah keluarga. Pertemuan kembali antara keluarga Fauzi dan keluarga Fazila membawa kepada ikatan pertunangan antara Fazila dan Faris (abang Fauzi).

Sungguh pun sudah tertarik dengan keperibadian Faris pada pertemuan pertama mereka, Fazila tidak yakin dengan kesungguhan Faris apatah lagi Faris seolah tidak mempedulikan kewujudan Fazila selepas mereka bertunang.

Perkenalan Fazila dengan Ameer Hamzah mula mengubah perasaan Fazila terhadap tunangnya. Walaupun Ameer Hamzah melayan Fazila dengan kasar pada mulanya, layanan sebegitulah yang telah berjaya menyentuh hati Fazila. Haish.

Namun, bila Faris mula menunjukkan sikap sebagaimana sepatutnya, Fazila buntu. Lebih-lebih lagi bila Ameer Hamzah turut mengakui perasaannya terhadap Fazila. Jadi, siapalah agaknya yang bakal jadi pilihan Fazila?

Komen saya:

1. Cerita ni mudah je sebenarnya tapi karakter Fazila ni buat saya geram. Jenis hati tak tetap. Dah bertunang tapi sebab tunang buat tak tahu, kemudian bila ada lelaki lain lebih ambil berat, cepat je cair. Haish. Kesian Ameer Hamzah.

2. Karakter Faris tu pun bikin orang geram juga. Kalau iya pun Fazila tu pilihan keluarga, sekurang-kurangnya tunjukkanlah kesungguhan sikit. Ini, buat assumptions sendiri sampai nyaris gigit jari. Sebenarnya kalau dari awal dia berterus terang kan lebih baik? Hmph!

3. Kisah ni memang agak perlahan pada permulaan. Itu sebab saya rasa agak 'lemau' bila baca kisah ini. Hihi.

4. Tapi, saya salute dengan pendirian Fazila yang tak sanggup melukakan kedua-dua buah keluarga sekiranya dia memilih untuk mengikut kata hatinya. :)

5. Sekali lagi penulis berjaya menulis kisah yang memancing emosi pembaca. Stress tapi tak meleret. Hihi. Tahniah buat penulis. Moga diberi ilham dan kesempatan untuk melakar kisah-kisah seterusnya. :) 

Wednesday, July 30, 2014

Romantik Rapsodi

Posted by Hajar at 10:48 AM 0 comments
Tajuk: Romantik Rapsodi
Penulis: Farah Fauzi
Penerbit: Lovenovel Enterprise
Harga: RM24.00
Sabah/ Sarawak: RM 27.00
Halaman:  604 mukasurat
ISBN: 9789670657172

Nur Amani (Nani) berkenalan dengan Iqbal Hakim (Hakim) selepas berpisah dengan teman lelakinya. Perkenalan yang bermula di dunia siber akhirnya berlanjutan hingga ke dunia realiti. Nani memang betul-betul tertarik dengan Hakim tapi malangnya Hakim si womanizer ni hanya menganggap Nani tak lebih daripada seorang kawan baik. Dia selesa berkawan dengan Nani, tapi dia tak mahu berkomitmen. Cuma, lama-kelamaan Hakim menyedari yang dia tak mampu jauh daripada Nani hingga akhirnya Nani dilamar untuk dijadikan teman wanitanya.

Hubungan mereka berkembang dari hari ke hari. Hakim pun nampak sayang sangat pd Nani walaupun sebenarnya tanpa pengetahuan Nani, Hakim tak pernah tinggalkan pun dunia 'warna-warni'nya tu. Yang paling tak seronok bila Hakim mula mengongkong. Bayangkan, cemburu punya fasal, Nani keluar makan dengan bos pun Hakim boleh melenting siap lempar telefon. Apakah?? Ada juga orang macam ni rupanya. Huh..

Kerana tak mampu nak tinggalkan dunia penuh 'warna-warni'nya Hakim memutuskan hubungannya dengan Nani. Kecewa sungguh Nani. Ialah, setelah sepenuh hati diberi, Hakim senang-senang memutuskan hubungan mereka. Aduh..! Mujurlah ada Umar Rayyan (Rayyan), bos Nani yang memang dah lama menyimpan perasaan terhadap Nani. Rayyan ni sebenarnya abang Hakim (tapi perangainya memang wayyy better than Hakim). Yang tak seronoknya, niat Rayyan nak menenangkan Nani selepas berpisah dengan Hakim akhirnya menjerat mereka ke gerbang perkahwinan.

Bagi Rayyan, memperisterikan Nani memang impiannya. Sanggup menanti hati Nani terbuka untuk terima dirinya sebagai suami sebenar-benarnya. Cuma bila kebenaran mula tersingkap, mampukah Rayyan menghadapi kemarahan Nani? Ditambah pula dengan gangguan Hakim yang kononnya kesal melepaskan Nani ke tangan Rayyan. Mampukah rumahtanggan Rayyan-Nani dipertahankan?

Komen saya

1. Saya tertarik untuk ikuti cerita ni di blog penulis dulu sebab tajuknya yang catchy. Jadi bila diterbitkan dalam bentuk bercetak memang tanpa ragu saya beli sebab nak tau macam mana penamat kisah ini. :)

2. Memang kisah biasa yang memang kita boleh agak jalan ceritanya. Klise tapi masih ada pengajaran yang boleh kita ambil terutamanya tentang perhubungan suami isteri. Walau macam mana marah sekalipun isteri kena ingat suami tetap perlu dihormati. Sikap sabar dan bertoleransi sangatlah penting untuk menjamin keharmonian rumahtangga supaya tak jadi macam kes Rayyan-Nani ni.

3. Suka bila penulis tak meleret-leretkan konflik (sebab saya suka buku nipis. Haha)

4. Suka gambaran ibu Nani sebagai seorang ibu yang rasional, bukan jenis mengapi-apikan bila Nani ditimpa masalah rumahtangga.

5. Tahniah buat penulis atas kelahiran kisah ini. Moga dikurniakan ilham untuk terus berkarya. :) 

Friday, May 30, 2014

Sesaat Cukup Bagiku

Posted by Hajar at 1:20 PM 2 comments

Tajuk: Sesaat Cukup Bagiku
Penulis: Laila Hanni
Penerbit: Lovenovel Enterprise
Harga: RM25.00
Sabah/ Sarawak: RM 28.00
Halaman:  622 mukasurat
ISBN: 9789671188200

Mai dan Irfan, pasangan yang telah 7 tahun berumahtangga tapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Rupanya hal itu ibarat api dalam sekam buat perkahwinan mereka. Hanya kerana kurang berkomunikasi sehingga timbulnya salah sangka, pergaduhan tercetus dan Mai diceraikan dengan talak 3. Sungguhlah pendek akal mereka ni. :(

Bila dah waras dan sedar yang talak sudah pun terlafaz, Irfan mula kesal dengan apa yang dah terjadi. Panjang pula akalnya sampai sanggup nak cari cina buta supaya dia boleh berkahwin semula dengan Mai. Haih.

Di sinilah hadirnya Syamsul, seorang lelaki tempang yang kononnya bakal jadi penyelamat untuk membantu menjayakan rancangan mereka. Walau pun menyedari perancangan Irfan itu salah di sisi agama, Syamsul tetap akur dengan perancangan mereka dengan syarat tambahan yang dirahsiakan daripada pengetahuan Mai.

Selepas berkahwin, rasa kekok tetap ada. Tapi mereka berjanji untuk menyesuaikan diri sehingga tiba masa untuk mereka berpisah.

Sungguh pun cacat anggota, Mai sedar akan kelebihan Syamsul setelah mengenali suaminya. Syamsul bukan jenis yang berserah dan mengharap bantuan orang lain. Dia sentiasa berusaha memperbaiki diri kerana menyedari yang keluarga di kampung bergantung harap kepadanya. Cuma, sikap dingin dan rasa rendah diri buat Syamsul selalu berprasangka kepada Mai.

Bila menyedari perasaan kasihnya mula beralih arah, Mai jadi serba salah. Terperangkap antara rasa hati dan janjinya kepada Irfan. Tegakah Mai meninggalkan kebahagiaan yang baru dikecapinya semata-mata untuk memenuhi janjinya kepada Irfan?

Komen saya:
1. Kisah Mai - Irfan ni memang patut jadi pengajaran. Terutamanya buat pasangan muda. Kadang-kadang bila emosi menguasai akal, kita memang cenderung melakukan perkara yang akan buat kita menyesal di kemudian hari. Jadi, sebelum buat apa pun, fikir dulu baik buruk sebelum bertindak.

2. Tang cina buta memanglah buat saya rasa nak luku je Irfan dengan Mai ni. Again, emosi menguasai akal sampai mereka terlupa tentang ketentuan Allah.

3. Tapi, nak kasi extra marks untuk Mai sebab dia tahu batasan dia sebagai isteri Syamsul bila Irfan sibuk-sibuk menggoda dengan kata rindu dan kenangan silam mereka.

4. Agak letih dengan sikap dingin dan prasangka Syamsul terhadap Mai. Kan lebih elok bersemuka daripada menyimpan segala prasangka dalam hati? Ini, tak habis-habis nak fikir negatif je tentang isteri sendiri. Cuma, kelebihan cerita ini, individu di sekeliling Syamsul bukan jenis yang suka mengapi-apikan perasaan Syamsul. Jadi, memang kurang sinetronlah kisah ini. Phew... :)

5. Kalau ikutkan track record penulis ni, buku yang ditulis memang berupaya memancing emosi pembaca. Tak terkecuali juga buku ini. Cuma kelebihan penulis, beliau tak terlalu meleretkan ceritanya untuk perkara-perkara yang tak perlu. Tahniah buat penulis. Moga dikurniakan lebih banyak ilham untuk terus berkarya. :)

Sunday, November 17, 2013

Lafaz Cinta Di Jari Manis - April Snow

Posted by Hajar at 8:37 PM 1 comments

Tajuk: Lafaz Cinta Di Jari Manis
Penulis: April Snow
Penerbit: Lovenovel Enterprise
Harga: RM22.00
Sabah/ Sarawak: RM 25.00
Halaman:  457 mukasurat
ISBN: 9789671188286

Perjalanan hidup Annur Qistina (Qistina) nyata tidak seindah namanya. Akibat salah faham dan keegoan seorang lelaki yang bergelar (bekas) tunangan membawa Qistina merantau jauh ke Manchester. Qistina bukan setakat pergi memenuhi tanggungjawab pada majikannya, tapi turut membawa hati yang luka kerana dihalau keluarga. Cerita buruk yang dibawa oleh (bekas) tunangan Qistina, Khalish Ariq (Khalish) sungguh mengecewakan keluarga lantas Qistina dihalau dari rumah oleh ayah kandungnya sendiri. Bukan mudah untuk seorang Qistina untuk bangkit dari kekecewaan. Sobs.

Kepulangan Qistina setelah 5 tahun membawa segunung harapan dan semangat untuk memulakan hidup baru di tanah air. Maruah yang sudah lama terpalit lumpur takkan sekali-kali diizinkan untuk diinjak lagi. Khalish yang kesal dengan kata-katanya setelah kebenaran terbongkar cuba mendekati Qistina. Berusaha memohon kemaafan dan mengintai ruang untuknya dalam hati Qistina. Walaupun Qistina berulang kali menolak dan menafikan perasaan yang masih bersisa, Khalish tetap degil untuk menunggu sehingga hati Qistina terbuka untuk menerimanya kembali. Heh.

Yang pasti, laluan berliku harus ditempuhi oleh Khalish. Kemunculan Fazwan Anuar, si kacak berprofil tinggi menjadi saingan utama. Abang angkat Zita (kawan baik Qistina) ni sungguh-sungguh jatuh cinta padang pertama pada pemilik nama Annur Qistina. Sanggup mendapatkan segala maklumat berkaitan Qistina daripada Zita. Haish. Memang boleh cair dibuatnyalah.

Bingung dan keliru dengan kedua-dua pilihannya, Johan Khusairy (Joe) sentiasa jadi tempat Qistina mengadu. Hubungan akrab antara mereka telah terjalin semenjak dulu sehingga menyebabkan Khalish cemburu dan akhirnya menjadi pencetus kepada tragedi hitam yang meragut kepercayaan kedua orang tua Qistina. Dalam diam rupanya Joe turut menyimpan rasa tapi terpaksa disimpan kerana tidak mahu dikatakan sebagai menangguk di air yang keruh. Antara ketiga-tiga mereka, siapakah yang benar-benar berjodoh dengan Qistina?

Komen saya: Saya kesian dengan Joe. Dapat rasa betapa patheticnya dia. Huhuk. Tapi okla, saya suka dengan pengakhiran mereka. Hihi. Terima kasih Kak Kucc sebab bagi pengakhiran bahagia untuk Joe. Eceh. :P Kisah yang menarik dan agak sadis tapi tak sinetron (meleret). Sayangnya cerita menarik macam ni dicacatkan oleh cover yang tak berapa menarik dan layout yang agak crowded. Berpinar mata saya nak membacanya. Huhu. Tapi bak kata orang, jangan nilai buku dari kulitnya. Baca dulu baru nilai. :) Apa pun, tahniah buat Kak Kucc atas kelahiran buku terbaru ini. Terima kasih juga atas goodies yang diberikan bersama pesanan buku ini. Moga makin maju jaya untuk karya-karya seterusnya. :) 

Tuesday, October 29, 2013

Di Penghujung Cintaku Adelia - Wan Rohayu

Posted by Hajar at 10:11 PM 0 comments



Tajuk: Di Penghujung Cintaku Adelia
Penulis: Wan Rohayu
Penerbit: Lovenovel Enterprise
Harga: RM25.00
Sabah/ Sarawak: RM 28.00
Halaman:  648 mukasurat
ISBN: 9789671188262

Kerana terlalu inginkan Adelia jadi anak perempuannya, Maria memerangkap Adelia dan Nik Pasha dalam ikatan perkahwinan. Kesilapan dalam satu malam mengikat mereka walaupun sebenarnya mereka tak pernah pun terlanjur. Perkahwinan tanpa rela ini lebih menambahkan darjah kebencian Nik Pasha pada Adelia. Sejurus selepas keputusan peperiksaan SPM diperolehi, Nik Pasha bertekad untuk menyambung pengajiannya ke luar negara demi mengelak daripada tanggungjawabnya. Heh, tak boleh pakai punya lelaki.

Tamat pengajiannya, Nik Pasha kembali ke tanah air berbekal ijazah kedoktoran dan dengan azam untuk berpisah dengan Adelia. Padanya Adelia yang dikenalinya lebih 6 tahun dulu tidak layak bergandingan dengannya. Iyalah, 6 tahun dulu Adelia memang comot dan chubby, belajar pun taklah setinggi mana. Manalah sesuai nak berganding dengan Nik Pasha tu kan? Tambahan pula, Nik Pasha sudah punya Darwina yang layak digandingkan dengannya. Heh. Namun, pertemuannya dengan Adelia yang berimej baru mula menggoyahkan perasaannya. Ha, baru tau langit tu tinggi ke rendah kan? 

Pertemuan demi pertemuan antara Nik Pasha dan Adelia mula menumbuhkan rasa dalam hati Nik Pasha. Lebih-lebih lagi bila Adelia yang makin cun melecun tu sentiasa dikelilingi oleh lelaki-lelaki hebat yang berhajat untuk mendekati Adelia. Mulalah Nik Pasha nak mengongkong Adelia. Hish. Tau pulak dia rasa tercabar. Bila dia sibuk berkepit dengan Darwina tu tak pulak dia fikir perasaan Adelia? Haih, emo. Haha.

Turun-naik hubungan mereka ni memang buat kita rasa sakit hati. Lebih-lebih lagi bila Nik Pasha seolah-olah tak mampu nak tinggalkan Darwina. Rupanya ada cerita disebalik kerapuhan personaliti dalaman Darwina tu. Haih. Lalu, siapa yang harus berkorban dalam perhubungan mereka ini?

Komen saya: Saya stres dengan Nik Pasha. Tak puas hati juga dengan penamat yang terlalu pantas. Patutnya bagi pengajaran teruk sikit pada Nik Pasha tu. Haha. :P Walaupun kisah tipikal kahwin paksa, namun penulis berjaya buat kita tak rasa bertumpu dengan masalah rumahtangga mereka berdua ni. Banyak terselit perkara lain yang mungkin baru untuk kebanyakan pembaca. Cuma satu teguran saya, kalau boleh kurangkanlah penggunaan bahasa pasar dan bahasa rojak dalam penulisan. Tak salah menulis dengan gaya santai tapi tak perlu keterlaluan. Just my two cents . Tahniah atas kelahiran karya bercetak pertama penulis dan selamat maju jaya dalam dunia penulisan. :)

Sunday, July 21, 2013

Dekat Padamu - Sarnia Yahya

Posted by Hajar at 6:31 PM 0 comments
Tajuk: Dekat Padamu
Penulis: Sarnia Yahya
Penerbit: Lovenovel Publication
Harga: RM22.00
Sabah/ Sarawak: RM 25.00
Halaman:  517 mukasurat
ISBN: 9789671174104


Syafiqa (Ika), si yatim piatu yang cuma ada seorang abang kembar (Syafiq) yang ditahan di pusat pemulihan akibat ketagihan dadah. Hubungan baiknya dengan Ashila semenjak zaman persekolahan menemukan Ika dengan Iskandar Aisy (Is) dan Rayyan. Kebetulan, Ika pun bekerja dengan syarikat keluarga Ashila. Iskandar, abang kepada Ashila, sebenarnya sudah pun berkahwin dengan Tini. Tapi suka sangat mengusik Ika, sampai tahap nak jadikan Ika isteri bongsunya. Manakan tidaknya? Ika ni selalu jadi tempat Iskandar bercerita tentang masalahnya. Err, sebenarnya bukan Is aje, Ashila pun sama.

Persahabatan yang erat antara Ashila dan Ika membuatkan Ika banyak menyimpan rahsia Ashila. Termasuklah kisah skandal Ashila walaupun sebenarnya Ashila sudah pun ditunangkan dengan Rayyan. Adoilah Ika, setia tak bertempat sungguh!

Perkenalan Ika dan Rayyan pada mulanya hanyalah sebab projek pembangunan di bawah seliaan mereka. Tapi lama-kelamaan hubungan atas dasar kerja itu berlarutan kepada hubungan hati dan perasaan. Hubungan baik antara Syafiq dan Rayyan turut memberi kelebihan untuk Rayyan mendekati Ika. Ika pula berusaha sedaya upaya menafikan perasaannya pada Rayyan hanya kerana menghormati ikatan pertunangan antara Rayyan dan Ashila. Namun kematian Ashila tak berapa lama kemudian memberi peluang untuk hubungan mereka terus berkembang. 

Ingatkan dah boleh menarik nafas lega. Rupanya ada lagi musibah yang menanti. Masalah demi masalah yang berlaku di tapak pembinaan akhirnya membawa kepada runtuhan bangunan yang sedang diselia oleh Rayyan dan lebih malang lagi bila Rayyan terperangkap dalam runtuhan dan disahkan meninggal dunia. Aduhai. Luluh hati Ika. Bertambah lagi sedih Ika bila Syafiq pula meninggal dunia akibat dipukul oleh sepupu mereka, Helmi. :(

Pemergian demi pemergian dalam hidup Ika memberi peluang untuk Is mendekati Ika. Lebih-lebih lagi  bila Is sudah pun bercerai dengan Tini. Misi Is untuk menawan hati Ika dipermudahkan lagi bila mereka ditangkap khalwat ketika Is sedang membantu Ika yang terseliuh kakinya. Aduhai. Bila Ika tahu siapa mastermind di sebaliknya memang masaklah Is.

Komen saya: Aduhai, banyak sungguh kematian. Macam malang sangat hidup Ika ni bila takdir datang meragut hamipr semua insan yang disayanginya. Huhu. Kisah yang pada saya agak tragik tapi tak meleret. Tahniah buat penulis. Akhirnya terjawab juga semua persoalan saya untuk kisah Is dan Ika ni. Moga diberikan banyak ilham untuk menulis kisah-kisah yang lain selepas ini. :)

Tuesday, April 23, 2013

Mama Mia Shaza - Emy Roberto

Posted by Hajar at 11:01 PM 5 comments


Tajuk: Mama Mia Shaza
Penulis: Emy Roberto
Penerbit: Lovenovel Publication
Harga: RM22.00
Sabah/ Sarawak: RM 25.00
Halaman:  512 mukasurat
ISBN: 9789671174111

"I'll give you one chance, Maya. Choose only one. Me or the baby?" - Syazwan Imad

Mula-mula baca buku ni memang geram tahap giga pada Syazwan. He was a total jerk. Dahla berkahwin dengan Maya hanya kerana nak memenuhi rasa egonya. Lepas tu boleh bagi kata dua macam tu pada Maya bila Maya mengandung. Alasannya, dia tak bersedia nak jadi bapa. Bila Maya tekad nak teruskan kandungannya, Syazwan memilih untuk tinggalkan Maya. Memang selfish. Urgh!

Pertemuan mereka selepas 3 tahun, memang buat Maya betul-betul kecewa. Iyalah, ingatkan selepas bertahun tak jumpa, Syazwan dah berubah. Tapi rupanya masih tetap berperangai yang sama. Tetap 'sibuk' dengan perempuan keliling pinggang. Haish. 

Namun, pertemuan Syazwan dengan si cilik Mia Shaza (Mia) mengubah segalanya. Dia sedar kekhilafan yang pernah dilakukannya bila Maya mula menafikan haknya sebagai bapa. Itulah, dulu bukan main menolak. Sekarang baru nak menyesal bila anak sendiri pun tak kenal dia sebagai bapa. Syazwan mula bertekad untuk berubah demi keluarga kecilnya.

Bila Syazwan dah mula berubah, tinggalkan kehidupan zaman jahiliahnya, Maya tetap menolak Syazwan. Dia tak percaya Syazwan boleh berubah bila Tasya (yang digelar langsuir oleh Maya) masih tetap mahu menempel di sisi Syazwan. Haish. Masa ni saya dah rasa nak cepuk Maya sebab dia tak sedar status dia sebagai isteri Syazwan. Kalau iya pun marah, tak perlu nak protes sampai tampar suami sendiri kot. Tu dah melampau sangat namanya.

Hati Syazwan sudah terguris luka bila Maya tetap memilih Syazwi Ilman, majikan Maya yang tiba-tiba muncul di antara mereka. Tegakah Syazwan melepaskan Maya dan Mia?

Rupanya Syazwan ni ada sejarah pahit yang membuatkan dia trauma. Patut pun dia tak mahu ada anak di awal perkahwinan dengan Maya. Adeh... 

Komen saya: Penyelamat stress saya bila baca kisah mereka ini adalah si cilik Mia. Keletah dan kerenahnya yang selamba dan comel tu memang mampu buat kita tertawa bila dibayangkan. Haha. Ada tak anak patung bergerak yang macam ni? ;) Walaupun penulis ni bukan muslim, tapi garapan dan gambaran masa mereka ke tanah suci tu buat saya kagum. Tahniah buat penulis atas research untuk garapan tersebut dan tahniah juga atas kelahiran buku ini. Alhamdulillah. It's worth waiting. Sila jangan putus asa untuk menulis ya? Hihi. Terima kasih juga untuk buku ini. Moga makin murah rezeki lepas ini. Amin! :)
  
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review