Showing posts with label PTS. Show all posts
Showing posts with label PTS. Show all posts

Friday, April 10, 2015

Stingarden

Posted by Hajar at 10:21 PM 0 comments
StingardenStingarden by Sinaganaga
My rating: 3 of 5 stars

Penerbit: PTS Fortuna Publications & Distributors Sdn Bhd
Harga: RM13.90
Sabah/ Sarawak: RM 15.90
Halaman: 154 mukasurat
ISBN: 9789675136375

02-04-2015

Gara-gara mengemas buku untuk dijual saya terjumpa blook comel ini. Lama tersorok rupanya. :P

Himpunan kisah dan entri yang dicedok dari blog Sinaganaga. Kisah-kisah tentang seputar kehidupan penulis di kawasan setinggan. Memang cukup menghiburkan walau ada ketikanya terselit juga sindiran halus berhubung isu-isu semasa yang tak pernah 'luput' ditelan waktu.

Memang kena sangat buku ni dengan mood membaca saya yang macam kapal karam sekarang ni.

Jujurnya saya mula mengenali Sol-jah setelah membaca salah satu blook terbitan mereka dan turut menyedari ke'otai'an mereka selepas itu. Hihi. Tapi lepas kebangkitan media sosial lain sekarang ni entahkan masih wujud atau tidak blog mereka ini, kan? :)



View all my reviews

Tuesday, March 31, 2015

Blues Amni : Cik Propagandis

Posted by Hajar at 7:38 AM 0 comments
Blues Amni: Cik PropagandisBlues Amni: Cik Propagandis by Rose Harissa
My rating: 4 of 5 stars

Penerbit: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Harga: RM16.50
Sabah/ Sarawak: RM 18.50
Halaman:  281 mukasurat
ISBN: 9789674080426

29-03-2015

Buku ini merupakan kesinambungan kisah Blues Amni: Oh Kerja!

Amni masih lagi terbelenggu dengan masalah kerenah Mr Phua dan rakan-rakan sekerja yang suka mengambil kesempatan atas sifat tolak ansur Amni. Cuma kali ni yang sadisnya, muncul pula watak yang suka tikam belakang macam Syura tu. Kuat propa dan sungguh pandai berpura-pura semata-mata mahukan perhatian pihak atasan.

(Huh, realitinya saya pun pernah berdepan dengan rakan sekerja 'spesies' begini. Sadis. Kesian pun ada.)

Sekali lagi watak Adam dan Bern muncul untuk menenangkan Amni. Hehe. Adam pun dah mula menunjukkan minat untuk berhubungan serius dengan Amni. Manakala Bern pula banyak menegur dan menggalakkan Amni untuk memperbaiki diri.

Tapi apa pula tindakan Amni untuk menangani kerenah bos dan rakan sekerja yang kuat propa tu?

Untuk siri kali ini banyak tips dan panduan yang dikongsi oleh penulis untuk rujukan terutamanya tips berdepan dengan kerenah bos dan teman sekerja yang kuat propa macam Syura tu.

Haish, tak sabar pulak nak baca kesudahan kisah Amyra dalam Proposal Cinta Selamanya

View all my reviews

Monday, March 30, 2015

Blues Amni: Oh, Kerja!

Posted by Hajar at 10:31 PM 0 comments
Blues Amni: Oh Kerja!Blues Amni: Oh Kerja! by Rose Harissa
My rating: 3 of 5 stars

Penerbit: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Harga: RM17.00
Sabah/ Sarawak: RM 19.00
Halaman:  311 mukasurat
ISBN: 9789675783630

29-03-2015

Terpanggil untuk membaca buku ni gara-gara terpandang disclaimer penulis bahawa karya terbaharunya (Proposal Cinta Selamanya) adalah revamp version of Blues Amni. Jadi dengan gigihnya saya memesan buku ini melalui MPH Online. :)

Sememangnya kisah Amni ini untuk bacaan remaja. Tapi remaja 'klasik' macam saya ni masih mampu menghadam kisah ini biar pun gaya bahasanya sangatlah skema. Bayangkan berbual dengan kawan serumah pun guna bahasa buku? Hikhik.

Kisahnya mudah dan berkisar tentang pekerjaan Amni sebagai seorang pereka besi. Bagaimana Amni berdepan dengan kerenah bos dan rakan sekerja. Dari satu sudut, kita nampak karakter Mr. Phua tu sebenarnya bertujuan mendidik Amni. Tapi dari sudut yang lain nampak macam membuli pulak. Ish!

Kemunculan karakter Adam dan Bernard juga turut mewarnai kisah ini. Watak mereka sedikit sebanyak membantu Amni berdepan dengan kerenah Mr. Phua yang selalu buat Amni stress.

Oh, saya pro-Bern. :P

View all my reviews

Saturday, January 31, 2015

Saranghaeyo Arumi

Posted by Hajar at 10:06 PM 0 comments
Saranghaeyo, ArumiSaranghaeyo, Arumi by Rose Harissa
My rating: 3 of 5 stars

Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd
Harga: RM18.00
Sabah/ Sarawak: RM 20.00
Halaman:  365 mukasurat
ISBN: 9789674080914


Sekarang barulah saya tau kenapa anak-anak remaja dok meroyan bila Kak Rose tak sambung lagi cerita ni. Hikhik..

31-01-2015

Sebagai pelajar baru di kolej Aiyani terpaksa menghadapi cabaran dan denda daripada pelajar senior atas kesalahan yang dilakukannya. Salah satunya adalah Aiyani terpaksa mendapatkan tandatangan Arumi Aisy (Arumi) pelajar lelaki terhangat (dan bersikap dingin) di kolej tersebut. Tanpa Aiyani sedar, rupanya Arumi adalah pelajar yang telah dilanggarnya ketika kalut untuk menghadiri minggu orientasi.

Rentetan peristiwa itu, pertemuan mereka berdua tak pernah berlangsung dalam keadaan aman. Arumi pula seolah-olah seronok dapat ‘membuli’ Aiyani. Walaupun dikategorikan sebagai pelajar bermasalah, Arumi sebenarnya berjaya mengumpul peminatnya sendiri. Jadi, ramai yang cemburu bila Aiyani selalu dapat ‘perhatian’ Arumi. Haha.

Perkenalan Arumi dengan keluarga Aiyani mula mengubah perspektif Aiyani terhadap Arumi. Nampak sangatlah si Arumi ni kurang kasih sayang bila mak Aiyani pun dibolot macam emak sendiri. Haha. Hubungan mereka juga makin rapat tak lama kemudian. Namun, bila Aiyani sudah bersedia untuk menerima Arumi sebagai teman istimewa, Arumi kehilangan sebahagian memorinya. Aduhai, memang drama Korea habis. :P

Komen saya:

1. Saya kira ini adalah percubaan berani penulis menulis kisah sebegini di tengah kehangatan gelombang hallyu di kalangan anak-anak remaja. Jadi tak pelik bila anak-anak gadis itu ‘meroyan’ bila Kak Rose belum sambung lagi kisah Arumi ni. Hikhik..

2. Kisah ini mengingatkan saya kepada drama bersiri Korea. Sebab adegan-adegan yang dipaparkan memang sangat familiar untuk penggemar drama Korea seperti saya. Ahaks.

3. Suka elemen kekeluargaan dan persabahatan yang diterapkan. Juga semangat juang untuk menggapai apa yang diimpikan.

4. Saya dok tertanya-tanya ni, siapa agaknya pengirim surat hitam yang diterima Arumi tu?

5. Mari kita sama-sama bertabah menantikan sambungannya ya? Moga penulis dikurniakan ilham dan kesempatan untuk menyambung kembali kisah ini ;)

View all my reviews

Saturday, October 6, 2012

Koleksi Cerita Adam Kecil - Hari Sukan

Posted by Hajar at 10:58 PM 0 comments

Tajuk: Koleksi Cerita Adam Kecil - Hari Sukan
Penulis: Ashadi Zain/ Fred Suriya/ Azlin Ahmad Zabidin
Penerbit: PTS One Sdn. Bhd.
Harga: RM19.90
Sabah/ Sarawak: RM21.90
Halaman:  112 mukasurat
ISBN: 9789674010591

Buku ini sebenarnya dibeli untuk dihadiahkan kepada anak buah saya. Tapi bila melihatkan warna-warna ceria dalam ilustrasi buku ni buat saya terpanggil sama untuk membaca. :P Rasanya Koleksi Cerita Adam Kecil ni dah ada beberapa siri tapi saya tak pasti Hari Sukan ni koleksi yang keberapa.

Yang menariknya, ada 5 buah kisah yang berturutan dalam buku ini. Semuanya berkaitan hari sukan sekolah yang bakal ditempuhi oleh Adam dan rakan-rakannya.

 Dipetik daripada blurb belakang buku;

1. Bertukar rumah sukan - Hari sukan kembali lagi. Semua murid gembira dengan berita itu. Namun ada sesuatu yang mereka tidak suka. Mereka perlu bertukar rumah sukan. Bagaimana? Adakah mereka perlu beli baju sukan baru?

2. Rumah Biru - Adam masuk ke rumah biru. Dia berlatih berkawad bersungguh-sungguh bagi memastikan pasukannya menang. Semasa berlatih, ada sesuatu yang berlaku kepada Adam. Apa yang terjadi?

3. Dihempap Mona - Kaki Adam bengkak akibat dihempap Mona. Terukkah kecederaan Adam?

4. Tok Tam Tukang Urut - Dia mahu sorok dari ayah dan ibunya berkenaan kakinya yang bengkak. Namun, Puan Aina nampak kaki Adam. Encik Azlan membawa Adam berjumpa Tok Tam Tukang Urut. Dapatkah Adam menahan sakit semasa diurut? 

5. Hari Sukan - Akhirnya hari sukan tiba. Semua murid bersungguh-sungguh menyokong pasukan masing-masing. Adam terpaksa menggantikan Wai Keong yang tercedera. Dapatkah Adam memastikan pasukannya menang?

Komen saya: Buku ni memang sesuai sangatlah kalau nak hadiahkan pada adik-adik kecil yang dah pandai membaca. Dalam buku ni bukan setakat teks saja, malah ada juga ilustrasi berwarna-warni yang pasti menarik minat si cilik untuk membaca. :)

Wednesday, April 11, 2012

Lukisan Jiwa - Mardihah Adam

Posted by Hajar at 7:54 PM 0 comments

Tajuk: Lukisan Jiwa
Penulis: Mardihah Adam
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Harga: RM 17.00
Sabah/ Sarawak: RM 19.00
Halaman: 381 mukasurat
ISBN: 9789833892495

Bagi mereka yang mengikuti kisah Yang Terindah di blog penulis, buku ini adalah kisah tentang perjalanan hidup Nur Cahaya (Cahaya) sebelum dan sesudah berkahwin dengan arwah Shafi'e.

Cahaya dibesarkan oleh Makcik Anida, iaitu ibu tirinya setelah kematian ibu kandungnya. Seperti yang kita tahu fakta tipikal tentang ibu tiri, pastinya anak tiri akan jadi mangsa penderaan si ibu tiri. Begitu juga yang terjadi kepada Cahaya. Memang kesian dengan Cahaya ni. Ayahnya sibuk mencari rezeki, si ibu tiri pulak sibuk menghabiskan duit ayahnya. Terpaksalah Cahaya mencari alternatif untuk perbelanjaan perubatan datuknya, iaitu dengan melukis.

Pertemuan demi pertemuan secara tak sengaja dengan seorang lelaki misteri dalam tren setiap kali keluar melukis selepas balik sekolah membuatkan Cahaya tertanya-tanya siapa gerangannya lelaki tu. Dah macam stalker dah gaya Shafi'e tu. Bila dah kenal, rupanya Shafi'e kata dia memang selalu perhatikan Cahaya. Dia banyak bantu Cahaya secara diam-diam dengan membeli lukisan Cahaya.

Kemuncak penderitaan Cahaya dengan Makcik Anida ialah bila Cahaya dipukul teruk bila dia melabelkan adik tirinya, Sofea dengan gelaran bohsia. Memang bohsia pun si Sofea tu. Pergaulan bebas sangat, tapi Makcik Anida mestilah tak percaya kan? Malangnya ayah Cahaya yang ditahan polis atas tuduhan mendera dan jadi pengedar dadah gara-gara dadah yang dijumpai dalam lori yang dipandunya. Datuknya pun dihalau keluar dari rumah tu. Dahla datuknya tu hilang pengelihatan. Memang kejam la Makcik Anida tu.

Keluar hospital memang Cahaya terus hilang puncalah. Masa inilah Shafi'e memainkan peranan, memujuk Cahaya dan memberi tempat perlindungan untuk Cahaya buat sementara. Disebabkan Shafi'e rasa tak elok dia dok keluar masuk rumah yang ditumpangi Cahaya tu, Shafi'e nekad melamar Cahaya untuk jadi isteri. Tapi biasalah, Cahaya ni kan muda lagi. SPM pun tak lepas lagi. Manalah nak fikir hal nikah kahwin tu semua. Bila Cahaya kena culik dan dipukul lagi sekali oleh Makcik Anida (kali ni sebab Cahaya tak mahu serahkan hak milik rumah dan tanah yang didiami mereka tu) sampai warded, Shafie nekad untuk minta izin ayah Cahaya di penjara untuk menikahi Cahaya.

Lepas kahwin pula, dugaannya lain. Yang pastinya Datin Suriani, ibu Shafi'e memang menentang habis-habisan perkahwinan mereka ni sampai sanggup halau Shafi'e dari rumah. Namun, satu dugaan yang paling mencabar bagi Cahaya adalah bila Shafi'e disahkan ada tumor otak dan dijangka hidup selama beberapa bulan sahaja. Bagaimana agaknya Cahaya menghadapi semua dugaan ini?

Satu yang kita perlu ingat walau seteruk mana pun dugaan yang kita tempuh, Allah takkan biarkan kita bersendirian. Jangan mudah berputus asa dengan dugaan. Banyak panduan yang boleh kita rujuk bila kita rasa buntu. Allah tak turunkan Al-Quran tu dengan sia-sia. Carilah dan galilah apa yang tersembunyi dalam tu. :)

Komen saya: Buku ni banyak mengajar saya erti tabah bila musibah melanda kehidupan kita. Ada input positif, cuma oleh kerana ini karya pertama penulis adalah nampak sedikit kekurangan yang boleh diperbaiki untuk karya-karya yang akan datang, insya Allah. :)

Wednesday, April 4, 2012

Wasilah Cinta Weera - Rose Harissa

Posted by Hajar at 10:10 PM 2 comments


Tajuk: Wasilah Cinta Weera
Penulis: Rose Harissa
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Harga: RM 20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman: 607 mukasurat
ISBN: 9789833892709

Ini sebuah kisah cinta. Tapi definisi cinta di sini memang dari perspektif yang lebih luas. Bukan sekadar cinta antara lelaki dan wanita, tapi lebih kepada rasa cinta sesama manusia secara umumnya. Memang kalau kita lihat dari sudut pandangan 'biasa' kita akan rasa hubungan antara Ray dan Weera tu memang ada 'sesuatu'. Tapi, jika dilihat dari sudut ukhuwwah dan apa yang dipraktikkan dari zaman Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda, rasa cinta yang dipamerkan antara Ray dan Weera itu bukanlah sesuatu yang menyalahi etika perhubungan antara manusia pun. :)

Bacalah kisah ini dengan mata hati dan anda pasti akan terkesan dengan setiap mesej yang disampaikan dalam naskhah ini.

Jujurnya saya banyak mengalirkan air mata ketika membaca kisah ini. Lebih-lebih lagi bila Ray disahkan menghidapi penyakit neuron motor. Sebak dan insaf bila memikirkan betapa mudahnya DIA menarik balik segala nikmat yang diberikan dengan sekelip mata. Dugaan demi dugaan menimpa dan Ray sangat tabah menerima semua dugaan itu. Subhanallah. Memang benarlah, semakin kita nak mendekatkan diri kepadaNYA, semakin banyak ujian yang bakal dihadapkan kepada kita. Mampu ke kita menghadapi sekiranya diduga sebegitu? Wallahu'alam.

Wasilah Cinta Weera mengisahkan Tajul Aweera (Weera) yang dapat petunjuk untuk berkahwin dengan Sari Ayu (Ayu) sebab Firdaus, tunang Ayu dah berkahwin dengan Jasnita, bekas teman wanita Weera. Yang hampehnya, Firdaus dok canangkan pada semua orang yang Weera merampas tunangnya.

Selepas berkahwin dengan Weera, Ayu dibawa masuk dalam kehidupan Ray dan Weera. Kalau nak kata Ayu tak ada rasa curiga tu memang bohonglah kan? Banyak kali juga Ayu tewas dalam melawan hasutan syaitan bila nampak kemesraan Ray dan Weera. Bertambah lagi curiga bila Firdaus juga sibuk mencucuk jarum, menabur fitnah untuk menghancurkan rumahtangga Ayu dan Weera. Namun berkat kesabaran Weera mendidik Ayu untuk menerima 'bentuk' hubungan baik antara Ray dan Weera dan juga campur tangan ibu bapa Ayu, akhirnya Ayu dapat juga menyesuaikan diri dalam hubungan erat itu. Siap rela nak tolong jagakan Ray masa Ray jatuh sakit :)

Ray ni sebenarnya penyelamat Weera bila Weera teruk kena belasah dengan ayahnya. Lepas tu Raylah yang Weera anggap saudara terdekat dan banyak mendidik Weera menjadi seorang yang berperibadi mulia. Jadi Weera memang sangat hormatkan Ray macam abang dan ayahnya. Hubungan rapat mereka yang bersandarkan ukhuwwah tu selalu disalah tafsir hanya kerana mereka tak berpenampilan ala-ala 'pakcik tabligh'. Itulah pemikiran tipikal masyarakat kan? :)

Dan itulah juga yang jadi modal untuk Firdaus menabur fitnah merata-rata. Nauzubillahiminzalik.

Saya sangat berpuas hati dengan pengakhiran Firdaus. Buat jahat memang balasannya setimpal. :)

Oh ya, sebelum terlupa. Buku ni walaupun tiada adegan romantik 'terlebih gula' tapi banyak adegan 'nakal' antara Weera dan Ayu yang tak sesuai dibaca oleh adik-adik yang masih bersekolah. Jadi, jangan sepah-sepahkan buku ya? ;)


Komen saya: Sebuah buku yang patut dimiliki. Banyak pengajaran dan input positif yang dapat dikutip dalam buku ini. Tahniah kak Rose untuk naskhah ini. Saya pun dah jatuh cinta dengan buku-buku PTS ni. :)

Thursday, March 29, 2012

Curahan Cinta Niagara - Maya Iris

Posted by Hajar at 8:14 PM 2 comments

Tajuk: Curahan Cinta Niagara
Penulis: Maya Iris
Penerbit: PTS Milenia Sdn. Bhd.
Harga: RM 26.00
Sabah/ Sarawak: RM 29.00
Halaman: 564 mukasurat
ISBN: 9789833604821

Lama dah rasanya tak baca novel yang berunsurkan spiritual ni. Lepas baca review novel ni, terus je order online. :)

Mira, seorang gadis kampung yang dapat peluang melanjutkan pelajaran ke US membawanya mengenali Faris, seorang lelaki yang agak 'lepas laku'. Walaupun Mira ni agak 'culture shock' lepas sampai ke US tu tapi Mira masih lagi mengekalkan adab sopan seorang gadis timur. Digoda dek Faris pun masih boleh bertahan. Bila Mira dapat 'hidayah' untuk menutup auratnya kembali, Faris rasa Mira semakin menjauh darinya. Yelah, takkanlah bila dah bertudung dan menutup aurat, pergaulan tak dijaga kan?

Saya sangat tertarik dengan cara penulis menggambarkan Mira dapat 'hidayah' untuk menutup auratnya. Memang sangat terkesan. :)

Faris ni pula memang jenis yang suka menyalahkan orang lain bila sesuatu musibah melanda dirinya. Bila Mira tak terima lamarannya, dia jadi seorang pemabuk dan Mira dipersalahkan sebab dia jadi pemabuk. Malah bila disahkan menghidapi HIV akibat melanggan pelacur juga disalahkan Mira sebab menolak lamarannya. Haih. Tapi akhirnya Mira berkahwin juga dengan Faris atas dasar merasa bertanggungjawab atas kemalangan yang menimpa Faris. Sebelum kemalangan tu Mira menghalau Faris yang sibuk nak ajak dia bermesraan. Akibat ribut salji yang melanda masa tu, Faris kemalangan. Bila dah hilang upaya Faris jadi seorang pemarah dan Miralah yang terpaksa menghadapi segala kemarahan Faris tu. Kesabaran Mira kemudiannya berbalas juga bila Faris mula merasa insaf dan Alhamdulillah sempat bertaubat sebelum meninggal dunia.

Tanpa pengetahuan Mira, Faris meninggalkan wasiat supaya Farhan (abang Faris) berkahwin dengan Mira. Niatnya supaya kedua-dua insan yang disayanginya itu berbahagia. Tapi ayat-ayat dalam surat terakhir Faris membuatkan Farhan merasa curiga dengan Mira. Pelik. Dalam kata curiga tu tetap juga dia nak berkahwin dengan Mira. Rupanya memang dah lama Farhan simpan perasaan pada Mira. Mira pula mencari pelbagai alasan untuk berkahwin dengan Farhan, sebab padanya perkahwinan bukan setakat trial and error. Walaupun pelbagai cara dilakukan untuk mengelak daripada berkahwin dengan Farhan sampai sanggup terjun tingkap masa hari pertunangan, perkahwinan mereka tetap juga berlangsung.

Yang menariknya masa lepas diorang kahwin ni. Untuk mengelakkan mereka tak bertegur sapa lebih daripada 3 hari, Mira akan minta Farhan untuk belikan dia sesuatu setiap 3 hari. Hikmahnya, selepas tu hubungan mereka jadi lebih baik dan konflik antara mereka dapat diselesaikan berkat buku-buku berkaitan hadis dan Al-Quran yang dipesan oleh Mira tu.

Saya agak confuse dengan watak Azrin tu pada mulanya. Tak sangka relevannya watak Azrin tu hanya timbul pada penghujung cerita. Akibat trauma dengan peristiwa yang menimpa ibunya, Azrin menikam Farhan yang bertikam lidah dengan Mira sebab dia sangka Farhan nak cederakan Mira. Kesian sebenarnya kalau ikutkan susur galur sejarah masalah mental Azrin ni. Akibat nafsu manusia, Azrin yang menanggung trauma sepanjang hayat.

Mujurlah Farhan survive. Mungkin anak dalam kandungan Mira tu menyebabkan semangat untuk hidup jadi tinggi kot? :)

Komen saya : Bagi mereka yang dahagakan novel yang banyak info keagamaan, novel ini adalah salah satu pilihan untuk bacaan anda. :)
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review