Showing posts with label Rehan Makhtar. Show all posts
Showing posts with label Rehan Makhtar. Show all posts

Thursday, November 13, 2014

Dia...Cinta Yang Kucari

Posted by Hajar at 12:02 AM 0 comments
Tajuk: Dia...Cinta Yang Kucari
Penulis: Rehan Makhtar
Penerbit: Penerbitan Karyaseni Sdn Bhd
Harga: RM24.00
Sabah/ Sarawak: RM 27.00
Halaman: 611 mukasurat
ISBN: 9789670246772


Luthfiya:
Luthfiya (Piya) digambarkan sebagai anak gadis yang sangatlah baik. Sentiasa redha dengan apa yang menimpa dirinya. Sentiasa positif dalam menangani musibah atau dugaan yang mendatang dalam hidupnya. Sungguh pun dibesarkan dengan limpahan kasih sayang ayah dan ibu tirinya, dia rupanya dibenci oleh saudara kandung sendiri. Kesilapan menghadiri temuduga kerja menemukannya dengan Fareed Al-Fattah (Payed), bos yang terlalu suka menduga hatinya. Biar pun selalu diduga dek perangai dan tingkahlaku Payed yang kadangkala di luar jangka, Piya tetap gagah menempuh cabaran di pejabat. Kerana bimbangkan keselamatan Piya yang mahu keluar dan tinggal menyewa, ayah dan ibu tiri Piya bercadang untuk menjodohkan Piya dengan anak kenalan mereka. Sebagai anak yang baik dah tentulah Piya bersetuju dan redha dengan pilihan kedua ibu bapanya kan? Namun, rupanya kebahagiaan yang diharap rupanya masih jauh untuk digapai bila si suami rupanya tidak bisa menerima kekurangan rupa paras si isteri. Huh. Mampukah Piya mempertahankan rumahtangganya bila dugaan demi dugaan bagaikan tak henti datang menimpa?

Fareed Al-Fatah:
Fareed Al-Fatah (Payed) boleh disama tarafkan dengan Fawwaz (Lelaki Sedingin Dia), cuma watak Payed ni tak adalah kurang ajar sangat macam si Fawwaz tu. Suka sangat bersosial sehingga aktivitinya yang satu itu turut membimbangkan keluarganya. Sekilas pandang pertamanya tatkala Piya datang menziarahi keluarga Payed menimbulkan satu perasaan halus dalam hati Payed. Kedatangan Piya untuk temuduga tak lama kemudian rupanya membawa satu lembaran baru dalam hidup Payed. Antara tergoda dengan kecantikan dan tercabar dengan sikap ‘jual mahal’ Piya, Payed nyaris menodai Piya. Mujurlah kewarasan akalnya masih mendahului kehendak nafsu. Bila Payed sudah mula ‘jinak’ hasil tarbiah berterusan Piya, Payed dikejutkan dengan berita pertunangan antara Piya dan adiknya, Palee. Kecewa jangan cakaplah. Rupa-rupanya rancangan keluarga mereka untuk menyatukan Luthfiya dan Palee hanyalah sandiwara. Payed akhirnya dinikahkan dengan Piya. Namun, bila mengetahui tentang kekurangan isterinya, Payed rasa bagai tertipu. Sungguh pun perasaan cintanya wujud terhadap Piya, rasa ego Payed mengatasi segalanya. Mampukah Payed memenuhi janjinya seperti yang diucapkan pada malam pertama mereka untuk melepaskan Piya setelah nyata Piya sanggup berkorban untuk membahagiakan dirinya dan keluarga mereka?

Komen saya:

1. Sekali lagi kita dihidangkan dengan watak utama wanita yang kuat dan tak mudah goyah dengan dugaan mendatang. Jyeah!

2. Kali ini tiada pengulangan perkataan yang bisa buat saya rasa jengkel. :D

3. Turning point Payed boleh nampak secara berperingkat dan bukannya mendadak. Iya, hidayah tu milik Allah. Memang tak mustahil manusia boleh berubah mendadak. Tapi, lagi moleklah kalau buat step by step, ye tak? Takkanlah semalam baru belajar solat, hari ni dah nak ke Mekah, kan? :D

4. Tak gemar dengan sikap prasangka dan suka buat andaian sendiri pasangan ini. Andai mereka lebih bijak menyusun komunikasi dah tentu hubungan mereka mampu diselamatkan sedari awal. :)

5. Tahniah buat RM atas kelahiran karya terbaru ini. Moga terus berkarya. :)

6. Terima kasih buat tuan punya buku. Buku dah selamat dipulangkan barulah datang kerajinan nak menaip review. :P

Saturday, March 29, 2014

Tiba - Tiba Dia Ada

Posted by Hajar at 10:19 PM 0 comments
Tajuk: Tiba - Tiba Dia Ada
Penulis: Rehan Makhtar
Penerbit: Penulisan Enterprise
Harga: RM25.00
Sabah/ Sarawak: RM 28.00
Halaman: 647 mukasurat
ISBN: 9789670567211

Kalau dulu kita pernah menangis bersama Mukhlis dan Anahara dalam kisah Ku Ingin Milikimu, kali ni kita di bawa mengikuti perjalanan Aryana Mukhlis, anak sulung pasangan ini. Aryana dikatakan cukup istimewa bagi mereka berdua kerana lahir di tengah kemelut rumah tangga kedua ibu bapanya. Aryana dibesarkan mengikut gabungan acuan kedua ibu bapanya. Dalam kelembutannya tersembunyi ketegasan yang membuat si bapa begitu mempercayainya untuk menerajui Muhara. Cuma ibu bapa mana yang tak risau bila si anak belum berteman bila umur sudah menghampiri 30-an?

Tiba-tiba muncul Zakhri Adha (Ayie), anak lelaki tunggal Zafran dan Anaresa (Kerana Sekali Cinta) yang bakal dijodohkan dengan Aryana. Walaupun kedua ibu bapa Aryana menyerahkan 100% keputusan di tangannya, Aryana dapat merasakan yang mereka mengharapkan Aryana menerima Ayie. Setelah penat bersoal jawab dan bertarik tali, kedua mereka akhirnya ditunangkan dan dinikahkan dalam tempoh kurang dari dua minggu. Phew, memang ekspres.

Namun, bila mengetahui hakikat mereka disatukan memang melukakan Aryana. Mana tidaknya, kedua ibu bapa Ayie mengesyaki yang Ayie sebenarnya gay selepas menerima sekeping gambar Ayie dan teman serumahnya dalam keadaan yang mencurigakan. Erk! Jadi, Aryana dipilih untuk memimpin Ayie pulang ke pangkal jalan. Walau puas dinafikan Ayie, kedua ibu bapanya tetap bertegas untuk menjodohkannya dengan Aryana. Aryana memilih untuk mempercayai Ayie walaupun kedua ibu bapa mertuanya sendiri mencurigai Ayie. Di sinilah kita nampak kematangan Aryana yang tak mudah melatah dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada suami.

Pulang ke Berlin, dalam tempoh mereka berdua mula menyesuaikan diri antara satu sama lain, satu demi satu kebenaran terungkap. Termasuklah hakikat yang Ayie sebenarnya dah lama menyimpan perasaan terhadap Aryana. Pengakuan Ayie ni tiba-tiba buat saya teringat Shark dan Anaz (Lazuardi). Macam manalah rasanya bercinta dengan lelaki yang lebih muda bertahun-tahun eh? Hehe. :P

Sesuatu berlaku kepada Muhara dan memerlukan kehadiran Aryana. Mampukah Aryana dan Ayie menangkis segala dugaan dan cabaran yang melanda di saat mereka berjauhan?

Komen saya : Banyak sangat perkataan tiba-tiba, oh maiii dan juga 'bau hanyir' yang (bagi saya) agak mengganggu pembacaan. Letih kot baca pengulangan yang berkali-kali. Tapi, sikap Aryana yang matang banyak menyelamatkan paras mood saya. :) Yelah, selalu kita dihadapkan dengan heroin yang suka melarikan diri bila ada masalah atau kecewa dengan pasangan (yang kadangkala mencecah beberapa tahun). Aryana ni boleh masuk kategori heroin jiwa kental err, walaupun pernah juga tertewas dengan fitnah. Lumrahlah kan? Mana ada manusia yang sempurna? Sokongan ahli keluarga juga buat Aryana kuat berdepan dengan segala cabaran. :) Tahniah RM untuk Arayie. Boleh tak nak kalau request sambungan kisah Aryan / Julita atau kisah Auni / Iman Firdaus? :p

P/s : Sekali lagi kredit untuk Mai. :)

Sunday, October 28, 2012

Bila Nak Saksi - Rehan Makhtar

Posted by Hajar at 8:01 PM 4 comments




Tajuk: Bila Nak Saksi
Penulis: Rehan Makhtar
Penerbit: Penulisan Enterprise
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman: 623 mukasurat
ISBN: 9789671120842

Hadirnya Yusuff (Usop) dalam hidup Jelita (Lit) umpama bayang-bayang. Di mana ada Lit, muncullah Usop sehingga menimbulkan tanda tanya pada Lit, siapa sebenarnya Usop ni.  Tapi malangnya pertemuan antara mereka memang tak pernah berakhir dengan baik. Ada saja yang diperdebatkan sehingga menimbulkan rasa jengkel Lit pada Usop. Memang sengaja agaknya Usop tinggalkan 'kesan' dalam hati Lit supaya sentiasa teringatkannya.

Pertemuan demi pertemuan akhirnya menimbulkan 'rasa' dalam hati Lit tapi tetap dinafikannya walaupun semua ahli keluarga Lit dapat menghidu perasaan Lit pada Usop. Gurauan Lit pada Usop tatkala hati dilanda cemburu akhirnya memakan dirinya sendiri bila Usop hadir di rumah keluarga Lit dan mengaku dirinya suami Lit. Phew. Maunya tak terkejut Lit. Tiba-tiba ada suami tanpa dia tahu pun yang dia sebenarnya dah dinikahkan oleh si ayah.  

Kehadiran lelaki asing dengan tiba-tiba dengan gelaran seorang suami memang merunsingkan Lit. Tertekan dengan desakan ahli keluarga supaya menerima Usop membuatkan Lit tekad untuk menyelidik kebenarannya. Bila semuanya terbongkar, Lit memang berusaha untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri sebaiknya. Namun, cemburu dan prasangka yang bermaharajalela dalam diri selalu membuatkannya gagal mengawal diri.

Lalu ke manakah arah hubungan mereka berdua in?Adakah bahagia atau sebaliknya? ;)

Komen saya:  Karya yang agak relaks dan santai untuk dibaca berbanding karya pertama penulis. Watak Usop ni pun pada saya agak cool la berbanding watak Ilham Fitri dalam Terlerai Kasih tu. Jangan bimbang, tak perlu sediakan tisu ataupun tuala kalau nak baca buku ni sebab kisah mereka ni bukan kisah air mata. :)

Sunday, May 6, 2012

Terlerai Kasih - Rehan Makhtar

Posted by Hajar at 9:28 PM 6 comments

Tajuk: Terlerai Kasih
Penulis: Rehan Makhtar
Penerbit: Karyaseni Enterprise
Harga: RM28.00
Sabah/ Sarawak: RM 31.00
Halaman:  858 mukasurat
ISBN: 9789670246192

Hati yang retak bisa  bercantum. Terlerai kasih kita mungkinkah akan bersambung?

Agak lama juga saya ambil masa untuk menyudahkan pembacaan buku ini. Bukan apa, ambil masa nak neutralkan semula emosi yang berkecamuk masa baca buku ni. Hehe.

Kisah cinta Nur Wafiah (Wafiah) dan Ilham Fitri (Ilham) ni banyak sangat ranjaunya. Tapi bukan sebab halangan orang ketiga ataupun halangan keluarga. Cuma salah faham dan masalah komunikasi ni yang buat kita pembaca ni rasa macam nak tolong clarify bagi pihak depa yang dok salah faham ni. :)

Ilham jatuh cinta pandang pertama dengan Wafiah bila pertama kali datang berurusan di syarikat tempat Wafiah bekerja. Nak menawan hati Wafiah ni bukannya senang. Tahap nak cairkan ais kutub jugalah gayanya. Sebabnya Wafiah ni datang dari latar belakang keluarga yang ada sejarah pahit. Jadi, Wafiah memang pagar hatinya setinggi mungkin supaya tak mudah jatuh cinta setelah bekas teman lelakinya, Fazlee meninggalkan dirinya atas sebab sejarah silam keluarganya itu.

Tapi Ilham bukanlah orangnya yang mudah berputus asa.  Pertemuan demi pertemuan yang berlaku antara mereka berjaya membuatkan Ilham Fitri melembutkan hati seorang Nur Wafiah dan mereka akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin. Wafiah pada mulanya agak risau dengan penerimaan keluarga Ilham berjaya diyakinkan oleh Ilham yang keluarganya tidak memandang sejarah silam keluarga Wafiah itu.

Bahagia yang dikecapi Wafiah bagaikan direntap sekelip mata bila Ilham bercadang untuk membatalkan perkahwinan mereka. Alasannya, dia rasa tertipu dan tak betul-betul mengenali Wafiah walhal pada awalnya Ilham dah menegaskan bahawa tempoh perkenalan bukanlah penting dalam hubungan mereka. Namun, mereka berkahwin juga dengan perjanjian untuk bercerai selepas majlis di rumah Wafiah.  Selepas berkahwin, barulah Ilham ni nak buka mulut bertanya dan menyelesaikan permasalahan mereka. Salah faham yang berlaku hanya kerana Fatehah, setiausaha Ilham (yang juga tunang Fazlee) termakan kata-kata Zura (teman sekampung Wafiah) dan kemudian menyampaikan cerita buruk tentang Wafiah dan Fazlee kepada Ilham. Phew. Lega sekejap.

Jangan sangka mereka sudah berbahagia bila permasalahan tu dah selesai. Lepas majlis menyambut menantu di rumah keluarga Ilham, badai datang melanda lagi dalam hubungan mereka. Akibat SMS berbaur fitnah yang dikirim oleh abang ipar Wafiah yang memang bertujuan untuk menghuru-harakan hubungan Wafiah dan Ilham, hubungan mereka berantakan sekali lagi. Terpaksalah Wafiah bersabar menangani kerenah dan tohmahan Ilham. Satu perangai buruk Ilham yang saya tak berkenan adalah, sifat nak memiliki tu. Tapi tak tahu nak menghargai. Haih.

Sampai bila agaknya Wafiah mampu bertahan? Adakah ikatan kasih di antara mereka ni bakal terlerai disebabkan prasangka dan cemburu buta Ilham? Atau masihkan ada kemaafan untuk Ilham?


Komen saya : Bagi yang nak membaca kisah ini, sila bersedia daripada segi mental dan emosi supaya tak hanyut dibawa oleh perasaan. Hehe. Oh, jangan lupa sediakan tisu atau pun tuala untuk menyapu air mata ya? Babak paling terkesan pada saya adalah waktu mak Wafiah meninggal dunia tu. Hmm, bagi yang pernah melalui, mungkin dapat rasa macam mana peritnya perasaan tu. Apa pun tahniah Rehan Makhtar untuk naskhah bercetak pertama ini. Looking forward untuk kisah Usop dan Jelita pula lepas ni. :)

Thursday, May 3, 2012

Ku Ingin Milikimu - Rehan Makhtar

Posted by Hajar at 10:03 PM 8 comments
Ku Ingin Milikimu (KIM)
Rehan Makhtar
http://wrehan.blogspot.com

Ini sebenarnya e-novel yang dicetak sendiri oleh penulis untuk simpanan pembaca macam saya yang tak suka hadap komputer  lama-lama. Sempatlah saya habiskan pembacaan semasa dalam perjalanan ke pesta buku hari tu. :) Kisah ini ada di blog penulis sekiranya ada yang ingin mengikutinya.

KIM ni berkisar tentang kisah cinta Anahara atau Ann Rahana (nama penanya) dengan Mukhlis. Anahara ni seorang penulis separuh masa dan banyak menghasilkan karya yang dipaparkan di laman maya. Manakala Mukhlis pula diceritakan sebagai seorang ulat buku, berkenalan dengan Anahara melalui laman maya milik Anahara lalu jatuh cinta bukan setakat dengan karya, tapi dengan penulisnya sekali.

Agak gigih jugalah Mukhlis ni cari maklumat tentang penulis kesayangannya ni, sampaikan tunang depan mata pun dia boleh buat tak endah je. Jadi, bila dah abaikan tunang tu mak ayah Mukhlis pun mulalah campur tangan untuk halang Anahara daripada berhubung dengan Mukhlis. Hakikat sebenarnya Anahara tu tak kenal pun Mukhlis tu. Cuma Anahara tak dapat nafikan hakikat yang dia sebenarnya juga dah jatuh cinta pada Mukhlis. Akhirnya mereka ambil keputusan utk berkahwin.

Ha, jangan fikir kisah mereka dah berakhir di situ. Silap tu. Cabaran buat Anahara bila si Puan Sri, emak Mukhlis beri kata dua kepada Anahara dan kemudian terpaksa merelakan dirinya dimadukan sebab family Jeslina tak mahu menanggung malu sekiranya Mukhlis dan Jeslina tak jadi berkahwin. Jadi bila bermadu, faham-faham sendirilah kan? Lebih-lebih lagi bila mak mertua melebihkan si Jeslina (madunya) dalam segala hal. Bila Nayli (adik Mukhlis) yang tak berapa sihat waktu tu jatuh tangga akibat ditolak Jeslina, Anahara yang dipersalahkan sampai diceraikan dek Mukhlis. Lepas bercerai barulah nak menyesal bila tahu kebenaran. Tambah sadis lagi bila Anahara disahkan mengandung anak mereka masa tu. Sayang semuanya dah terlambat. Anahara memang dah tak mahu ada apa-apa hubungan dengan keluarga bekas mertuanya.

Lepas 2 tahun, Mukhlis memberanikan diri muncul di depan Anahara. Berusaha untuk merebut kembali hati Anahara. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran si comel Aryana. Bertambah semangat Mukhlis untuk memenangi hati Anahara kembali. Namun kehadiran Zafran di antara mereka menjadikan keadaan semakin rumit. Semakin ditolak semakin hampir keduanya dalam hidup Anahara. Namun hati memilih siapa?

Komen saya: Satu yang saya suka dengan cara penulisan Rehan Makhtar ni adalah susunan ayat  dengan penggunaan gaya bahasa yang indah. Puitis pun ya juga. :) Walaupun kisah-kisah yang digarap di blog penulis banyak menuntut air mata, namun saya pasti masih ramai yang suka membaca kisah-kisah sebegini.

Oleh kerana dah ramai yang dok bertanya, maka saya share terus kat sini ya. Buat sesiapa yang berminat nak pesan mini novel yang dicetak sendiri oleh penulis ni bolehla ke fanpage Rehan.Maktar atau pun ke group Kisah Hati. Kat sana anda boleh bertanya sendiri bagaimana cara untuk memesan buku ni ya? :)
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review