Showing posts with label Evelyn Rose. Show all posts
Showing posts with label Evelyn Rose. Show all posts

Saturday, February 1, 2014

13 Jam A380

Posted by Hajar at 10:08 PM 1 comments
Tajuk: 13 Jam A380
Penulis: Evelyn Rose
Penerbit: Penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd.
Harga: RM28.00
Sabah/ Sarawak: RM 31.00
Halaman: 752 mukasurat
ISBN: 9789670246536

Siapa sangka lelaki yang menjadi igauan Hana Sofea (Hana) semenjak sekian tahun akhirnya muncul di depan matanya? Kesilapan penempatan tempat duduk menemukan Hana dengan Syed Haydar (Haydar). Bermulalah hubungan platonik mereka sepanjang 13 jam perjalanan ke London. Kita pun turut sama terbuai dan larut dalam hubungan kedua kekasih kayangan yang nampak agak melampaui batas pada mata kasar. Hana memang sedar dan tahu apa yang dia buat tu salah, tapi baginya peluang bukan datang selalu. Jadi apa salahnya dia menikmati 'peluang' yang terbentang di depan mata? Hmm...Turun penerbangan Hana masih berharap yang Haydar akan terus mengingatinya tapi terpaksa akur dan menerima hakikat bahawa tempoh 13 jam itu hanyalah salah satu nikmat dunia yang mengkhayalkan.

Perkenalan Hana dengan Fido, Fawwaz dan neneknya menemukan Hana dan Emmel, si comel anak angkat Fawwaz. Yang akhirnya mengikat Hana menjadi seorang ibu segera bagi Emmel. Melalui keluarga jutawan ini Hana banyak belajar mengenai hakikat sebenar kehidupan. Bila terkenang kembali kekhilafannya dalam tempoh 13 jam penerbangan ke London, Hana memang kesal. Tapi bila memikirkan pelbagai hikmah yang membuatkan dia memperbaiki jalan hidupnya, Hana lebih bersyukur atas ujian yang diberikan padanya. Seharusnya begitulah. Ujian diberi bukan untuk menyusahkan manusia tapi lebih kepada meningkatkan keimanan dan kekuatan diri.

"......apabila kita menolak hikmah daripada apa yang Allah tetapkan untuk berlaku, kita bukan hanya menzalimi diri kita. Kita menzalimi orang di sekeliling kita juga...." - m/s 199.

Kisah Haydar belum berakhir lagi sebenarnya. Setelah 3 tahun berlalu Hana pulang ke Malaysia selepas tamat pengajiannya berserta harapan dan memohon restu kedua ibu bapanya untuk berkahwin dengan Fawwaz. Namun, pertemuannya dengan Haydar dalam perjalanan pulang mula menggugat perancangannya. Geram juga dengan Haydar ni. Tapi dari sudut yang lain, saya kagum dengan semangat dan tekadnya untuk menikahi Hana. Mungkin silap Hana juga sebab tak perkenalkan Fawwaz pada keluarganya sedari awal. Bila perancangan licik Haydar berjaya menghuru-harakan keadaan, memang rasa nak hantar bom je kat Haydar ni. Haha. Tapi, hakikatnya dalam realiti pun kita kena sedar, kadangkala apa yang tersurat untuk kita itu adalah apa yang kita perlukan, bukannya apa yang kita mahukan. Jadi tepuk dada, tanya diri sendiri apa sebenarnya yang kita perlukan dalam hidup. Perancangan Allah untuk kita tu semestinya yang terbaik. :)

Bagi Hana pula, mampukah dia menerima dengan redha apa yang telah tersurat untuknya?

....Belajarlah menerima jawapan daripada Allah, seperti mana kita belajar cara untuk bertanyakan jawapan daripada Dia. - Fawwaz Hussaini.

Komen saya: Phew, setelah hampir setengah tahun terperam, akhirnya selesai juga pembacaan kisah cinta di awan biru ni. Tak dinafikan, banyak input positif yang dapat kita kutip daripada kisah ini. Salah satunya bila penulis menekankan tentang betapa sukarnya kita nak mempraktikkan cara hidup Islam di kalangan masyarakat di tanah air sendiri berbanding di luar. Bila ada yang serius mempraktikkan, terus dicap sebagai pelampau. Aduhai.. Kagum dengan mereka yang mampu memperkukuhkan akidah dan mempraktikkan cara hidup Islam sepenuhnya tanpa mengira di mana pun mereka berada. Terima kasih atas ingatan dan tahniah buat penulis atas terbitnya kisah ini. Cuma pengakhir kisah ni buat saya teringatkan kisah Arluna bila ada scene water birth tu. Kebetulan, mungkin? :) 

Sunday, December 9, 2012

The Wedding Breaker - Evelyn Rose

Posted by Hajar at 8:45 PM 20 comments

Tajuk: The Wedding Breaker
Penulis: Evelyn Rose
Penerbit: Karyaseni Enterprise
Harga: RM25.00
Sabah/ Sarawak: RM 28.00
Halaman: 642 mukasurat
ISBN: 9789670246369

Sebelum buku ni keluar, saya dah ada tanggapan negatif dalam kepala. Buku ni mesti akan end up sama dengan kisah-kisah 'tipikal' yang saya dah baca sebelum ni. Tapi rupanya tanggapan saya silap. Maafkan saya. :)

Ariana Rose (Ariana) diupah oleh Juwita untuk menjadi petualang yang bakal membuatkan perkahwinan Juwita dan Tengku Adam Kamil (Adam) terbatal. Juwita, yang juga sepupu Adam tak rela untuk bersuamikan Adam sebab Adam ni memang tipikal lelaki kaya dan berkuasa. Arak dan wanita memang sentiasa ada dalam senarai agenda hidupnya. Jadi, bila Juwita tak mahu memperjudikan hidupnya dengan lelaki sebegitu, Ariana diupah untuk memporak-perandakan majlis pernikahan mereka. 

Bila diaibkan sebegitu, tak dapat tidak keegoan Adam tercalar juga. Habis status dan reputasinya jatuh merudum akibat perbuatan Ariana. Dia tekad untuk membalas dendam pada Ariana kerana disangkanya Ariana ni orang upahan Ramzul, musuhnya. Hasil siasatan kuncu-kuncu Adam, akhirnya Ariana berjaya dijejaki. Harga yang Ariana terpaksa bayar memang mahal bila terpaksa melibatkan maruahnya. Bila menyedari yang Ariana bukanlah 'stok' perempuan yang biasa didampinginya, Adam tekad untuk mengejar Ariana. Masa ni memang terserlah sungguh aura bad boy Adam ni.

Ariana pun tekad menjauhkan diri daripada terlibat dengan Adam mahu pun mana-mana lelaki lain. Yelah, bila maruah dah tercalar mesti rasa rendah diri menguasai. Pertemuan kembali dengan Adam selepas beberapa bulan memang menampakkan perubahan Adam, cuma Ariana tak mahu rasa tertipu. Satu sikap buruk Adam ni, dia terlampau cemburu. Jadi bila dia nampak Ariana bersama Ramzul, Ariana nyaris menjadi mangsa rogol Adam sekali lagi. Haish. Terus Ariana melarikan diri ke kampung. Adam pun tak dapat nak jejak.

Bila Ariana dapat Adam jejaki semula, semuanya dah terlambat. Ariana sudah pun bertunang dengan pilihan keluarganya. Siapa tunangan Ariana?  Ha, yang ni kenalah baca sendiri. :)

Komen saya : Bukan senang nak berubah. Tapi Tengku Adam Kamil berjaya mengubah dirinya ke arah yang lebih baik. Memang mula-mula kita nampak dia berubah sebab Ariana, tapi akhirnya dia sedar yang dia patut berubah untuk dirinya sendiri. Saya suka dengan gaya penulisan Evelyn Rose ni.  Minus bahagian lovey-dovey Adam dan Ariana, pengisian dalam kisah ni memang patut dipuji. Bukan setakat hidangan yang manis bergula aje, tapi banyak info dan ilmu berguna juga. Tahniah Eve. Keep it up. Moga ada lebih banyak lagi ilham untuk berkarya selepas ni. Ops, tak lupa terima kasih juga untuk si pemberi buku ini. Moga makin murah rezeki lepas ni. Amin! :)
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review