Monday, November 19, 2012

Nasi Lemak Buah Bidara - April Snow

Posted by Hajar at 8:09 AM 6 comments


Tajuk: Nasi Lemak Buah Bidara
Penulis: April Snow
Penerbit: Penerbitan Kaki Novel Sdn. Bhd.
Harga: RM22.00
Sabah/ Sarawak: RM 25.00
Halaman:  661 mukasurat
ISBN: 9789670448145

Wah, rasa macam baru je saya taip review buku penulis ni beberapa bulan lalu. Tup-tup buku kedua dah pun terbit. Tahniah Kucc. :)

Siti Nur (Siti) dibesarkan oleh Wan(nenek)nya. Status kelahirannya yang tak jelas menyebabkan dia sentiasa disisihkan, baik di sekolah mahupun di kawasan tempat tinggalnya. Wan lah yang banyak menyokong dan dan membantu bila Siti hampir rebah dengan tohmahan dan cacian orang sekeliling. Bila Wan meninggal, Siti hilang tempat bergantung dan terpaksa mengikut Datin Junainah (anak tunggal Wan) berpindah ke Kuala Lumpur. Siti berharap perpindahannya ke Kuala Lumpur dapat membongkar identitinya dengan bantuan Datin Junainah. Namun dia silap bila Datin Junainah tak pernah mengendahkan permintaannya, malah memperlakukannya seperti hamba tebusan. Kemuncak penderitaan Siti adalah bila dia dihalau keluar dari rumah agam keluarga Datuk Zainal di hari pernikahan Zurene, anak kesayangan Datin Junainah.

Pertemuan Siti dengan Puan Aishah dan juga si comel Benjamin (Ben) memang membawa sinar dalam hidupnya. Kebetulan waktu Datin Junainah diamuk kemarahan, Ben ada bersama Siti. Benlah yang berperanan menyelamatkan Siti bila dia mengadu pada Puan Aishah (neneknya) dan Akhmal (bapanya) tentang apa yang menimpa Siti. Siti kemudiannya di bawa pulang ke rumah mereka dan ditawarkan menjadi pengasuh Ben.

Sikap Siti yang polos tu bukan sahaja berjaya menambat hati Puan Aishah, malah Akhmal juga turut tertarik hati dengan peribadi pengasuh kesayangan Ben tu. Pernikahan mereka berjalan dengan lancar walaupun ada rahsia yang disimpan oleh Puan Aishah demi kerana bimbangkan Siti. Datin Junainah yang masih berdendam dengan kedua ibu bapa Siti pula sibuk menabur fitnah tentang latar belakang Siti pada Akhmal. Mujurlah Akhmal ni bukan jenis yang cepat termakan hasutan walaupun nyaris juga tergelincir. Pertemuan semula Siti dengan Mak Jah (pembantu rumah Datin Junainah) dan Pak Salleh (pemandu Datin Junainah) berjaya membuka rahsia dan latar belakang Siti yang tersembunyi selama ini.

Komen saya: Phew, memang macam fairy tale dah. Macam kisah Cinderella moden. Hehe. Watak Siti ni walaupun digambarkan awal 20-an tapi saya rasa dia matang. Bukan jenis heroin tipikal yang akan larikan diri bila ditimpa masalah. :P  Mungkin sebab suasana dan persekitaran yang buat dia cepat matang kot. Salute juga dengan Akhmal yang tak mudah melatah dengan kata-kata orang sekeliling. Aha, kali ni pun ada cameo watak-watak lain daripada novel dan e-novel Kucc tau. Nak tau siapa kenalah baca. ;)

Sunday, November 18, 2012

Semalam Yang Ku Tinggalkan - Laila Hanni

Posted by Hajar at 9:27 PM 4 comments

Tajuk: Semalam Yang Ku Tinggalkan
Penulis: Laila Hanni
Penerbit: Penerbitan Kaki Novel Sdn. Bhd.
Harga: RM21.00
Sabah/ Sarawak: RM 24.00
Halaman:  582 mukasurat
ISBN: 9789670448121

Munirah dan Izwan berkenalan sewaktu zaman remaja mereka. Perkenalan  bermula sewaktu Munirah berada di tingkatan satu dan Izwan di berada tingkatan enam atas. Peristiwa yang berlaku semasa program orientasi pelajar tingkatan satu telah membuatkan hubungan mereka menjadi rapat. Hubungan mereka terputus setelah Izwan menamatkan peperiksaan STPMnya dan Munirah pula terpaksa tinggal bersama ibu saudaranya selepas kematian kedua ibu bapanya dalam suatu kemalangan.

Beberapa tahun kemudian, mereka bertemu kembali bila Azreen, kakak sepupu Munirah bakal melangsungkan perkahwinan. Rupa-rupanya Izwan ni merupakan tunangan Azreen. Pertemuan ini membongkar kembali perasaan mereka tapi sebab Munirah tak mahu menghancurkan perasaan Azreen dan Mak Ngah yang dah terlalu banyak berjasa dalam hidupnya, dia pasrah dengan takdir yang dah tersurat.

Bila Azreen disahkan tak boleh hamil, Izwan mengambil kesempatan untuk memperisterikan Munirah. Siap dapat permission Azreen lagi. Saya agak simpati dengan watak Munirah ni. Yelah, memang niat dia baik. Nak penuhi permintaan Azreen. Tapi bila fikir balik, orang sekeliling boleh faham ke kenapa dia sanggup terima Izwan? Orang sekeliling boleh terima ke status dia sebagai isteri kedua?

Memang Munirah nampak bahagia dengan Izwan. Lebih-lebih lagi bila Munirah disahkan hamil. Izwanlah manusia paling gembira. Ditatang Munirah bagai menatang minyak yang penuh. Namun, dalam kegembiraan tu, mereka tak sedar ada hati yang terluka. Pemergian Munirah ke Australia untuk menyambung pengajian membawa titik hitam dalam hubungan mereka. Akibat fitnah dan keegoan seorang suami, Munirah diceraikan dan anak kecil mereka menjadi mangsa. Haila, kesian Munirah.  

Bagaimana Munirah berjuang untuk dapatkan kembali hak penjagaan Sarah?

Komen saya: Saya agak beremosi baca kisah ini sebab saya memang agak alergi dengan lelaki ego macam Izwan ni. Dari awal lagi dah nampak keegoannya bila dia bertegas untuk  memperisterikan Munirah walaupun dia tahu dia bakal lukakan hati Azreen. Seolah-olah macam sengaja pergunakan alasan ketidakupayaan Azreen tu untuk beristeri baru. Huh. Mujur sangat Munirah tak kembali pada Izwan selepas diceraikan. Pengajaran untuk lelaki: Jangan ingat bila mampu dan boleh berlaku adil dari segi material, anda juga boleh berlaku adil pada isteri / isteri-isteri dari segi emosi. Poligami itu halal, tapi yang tak betul tu biasanya cara perlaksanaannya. :) Oh, maaf kalau terlebih emosi. Tahniah buat penulis kerana berjaya buat saya beremosi dan membuka mata membaca hasil karya anda. :) 

Tuesday, November 13, 2012

Hikayat Cinta Si Pematah Hati - E-man Sufi

Posted by Hajar at 10:38 PM 6 comments

Tajuk: Hikayat Cinta Si Pematah Hati
Penulis: E-man Sufi
Penerbit: Karyaseni Enterprise
Harga: RM35.00
Sabah/ Sarawak: RM 38.00
Halaman: 1050 mukasurat
ISBN: 9789670246338

Wafeen Wardah (Wafeen) dan Rayyan Raiqarl (Rayyan) bertemu pertama kalinya sewaktu zaman remaja mereka. Pertemuan yang tak disengajakan bila Wafeen memerlukan pertolongan daripada ganguan remaja nakal. Namun, hubungan mereka terputus bila Rayyan terpaksa berpindah mengikut ayahnya selepas pemergian ibunya.

Selepas beberapa tahun, mereka dipertemukan semula bila  Rayyan ada masalah dengan Valqis (adik Rayyan). Ditakdirkan Wafeen dan neneknya (Nek Jah) menjadi penyelamat Valqis yang dihalau keluar dari rumah pada masa tu. Wafeen memang bengang sungguh dengan Rayyan bila dengar cerita Valqis. Ironinya, perbalahan mereka dapat ditamatkan oleh kuih karipap pusing kegemaran Rayyan. Hmm, Rayyan ni agak panas baran juga sebenarnya. Tapi perkenalannya dengan Wafeen sedikit sebanyak dapat buatkan dia mengubah sikap panas barannya tu. Yelah, orang nak mengayat kan? Haruslah kena tunjuk perangai terpuji, tak gitu? Hehe. 

Sejak awal lagi Rayyan memang dah tau yang Wafeen ni dah ada teman lelaki. Cuma bila Rayyan tahu yang teman lelaki Wafeen adalah adik tirinya, Daniel Elhan (Daniel), dia tekad untuk memikat Wafeen sebab nak balas dendam perbuatan mak tirinya yang pernah musnahkan kebahagiaan ayah dan ibunya suatu ketika dulu. Ditambah pula dengan bantuan watak tambahan Zarynn (adik susuan Rayyan) yang berterus terang kepada Wafeen tentang status Daniel memudahkan lagi rancangan untuk memikat Wafeen. Bila Wafeen dapat tahu hakikat sebenarnya memang berperang sungguhlah. Kesian juga Rayyan masa ni. Memanglah nampak macam kejam, tapi sebenarnya niat Rayyan tu baik. Daripada Wafeen bermadu dengan Zarynn, baiklah Wafeen jadi isteri dia aje kan? Lagipun Wafeen memang dah ada perasaan pun pada Rayyan. Cuma dia je yang tak sedar.

Oh, jangan bimbang. Itu bukan  konflik sebenar. Konflik sebenar bermula selepas perkahwinan mereka. Kemalangan yang meragut nyawa ayah dan adik Rayyan telah membuatkan Rayyan cedera parah. Kemalangan itu telah menyebabkan kedua-dua buah pinggangnya rosak teruk. Daniel yang sangat kecewa bila dapat tahu Rayyan berkahwin dengan Wafeen mengambil peluang waktu ini untuk mengugut Wafeen supaya meninggalkan Rayyan kalau mahukan Daniel menderma sebelah buah pinggangnya buat Rayyan.

Dilema sungguh kan? Apa agaknya keputusan Wafeen? Berjaya tak agaknya Daniel pisahkan Rayyan daripada Wafeen? Kalau nak tau kenalah baca eh? ;)

Komen saya:  Agak lama juga nak habiskan pembacaan buku tebal ni. Phew. Mujurlah part yang buat kita tension muncul waktu agak penghujung cerita. Hehe. Walaupun agak drama, kisah ini tak terlalu berat untuk dihadamkan. Suka dengan watak Wafeen yang tak mudah mengalah. Yelah, memang silap dia tinggalkan Rayyan untuk selamatkan nyawa Rayyan tapi dia taklah berdiam diri aje. Cuma hasil siasatan dia menemui jalan buntu bila Daniel dah merancang dengan baik tempat untuk menyembunyikan Rayyan.  Apa pun, tahniah untuk penulis untuk karya terbarunya ini. Lepas ni agaknya turn hero yang mana pula eh? Adakah Jebat atau pun Ayyad si abang manja? ;)

Saturday, November 3, 2012

Alang Rebus Tak Empuk - Aimi Shabana

Posted by Hajar at 9:59 PM 0 comments

Tajuk: Alang Rebus Tak Empuk
Penulis: Aimi Shabana
Penerbit: JS Adiwarna
Harga: RM22.00
Sabah/ Sarawak: RM 25.00
Halaman: 481 mukasurat
ISBN: 9789670201603

Membaca buku ni buat saya teringatkan kisah Nisa dan Adif dalam Tas Merah Jambu (Kompilasi Kebun Mimpi). Cuma Shifa ni agak berani sikit kot berbanding Nisa yang agak reserve tu. :)

Kisah yang agak simple, bermula dengan Shifa yang menyimpan perasaan pada Ziyad semenjak tahun pertama pengajian mereka. Shifa tak berani nak meluahkan perasaannya sebab dia sedar dirinya yang 'biasa-biasa' tu tak layak nak berganding dengan Ziyad yang kacak bergaya tu.

Akibat terlupa memadam sistem pesanan ringkas (SMS) yang tak sepatutnya dihantar pada Ziyad, adik bongsu Shifa telah TERhantar SMS tersebut pada Ziyad ketika bermain-main dengan telefon bimbit Shifa. Gelabah juga Shifa dibuatnya. Namun, dari situlah bermulanya hubungan baik antara mereka. Ziyad memang anggap Shifa tu cuma kawan baik. Tapi layanan dia pada Shifa rasanya macam lebih daripada layanan kepada seorang kawan baik. Manakan tidaknya, bila Shifa demam dia yang kelam kabut ambilkan ubat di klinik. Jari Shifa terluka sikit pun Ziyad boleh perasan. Pendek kata, Ziyad akan perasan perubahan pada Shifa walau sekecil semut sekalipun. Haish.

Dalam masa yang sama Ziyad juga menjalinkan hubungan dengan Zara Juliana (Zara) junior sepengajian mereka. Yang tak tahannya Zara ni siap warning Shifa supaya sedar diri, jangan cuba-cuba nak rapat dengan Ziyad sebab Ziyad tu kononnya teman lelaki dia. Siap kutuk-kutuk lagi fizikal Shifa. Alahai, kesian Shifa. Hilang dah semua kebaikan dan kesopanan plastik yang ditunjukkan oleh Zara selama ni. Tapi Shifa tak peduli. Selagi Ziyad tak pernah buka mulut tentang hubungannya dengan Zara, selagi itulah Shifa akan tetap jadi 'kawan baik' Ziyad.

Ziyad ni sebenarnya keliru, dia selesa berada di samping Shifa tapi dalam masa yang sama masih nak jaga ego dan gengsi sendiri. Yelah, bak kata Aiman (kawan serumah Ziyad), Ziyad cuma pandang perempuan yang cantik-cantik aje. Perempuan macam Shifa tu memang takkan masuk senarai Ziyadlah. Jadi, kena bacalah kalau nak tau siapa yang Ziyad pilih ya? :P

Oh, sebelum terlupa. Cerita ni memang tiada kaitan dengan Surat Ungu Untuk Nuha (SUUN) nukilan Noor Suraya tu, cuma Shifa ni sebenarnya peminat tegar Alang, watak utama dalam SUUN. Sampai dah boleh hafal agaknya bahagian demi bahagian dalam buku tu. Yang paling comel, Ziyad pun baca Baju Melayu Hijau Serindit juga tau? ;)

Komen saya: Kad jemputan di bahagian Prolog tu memang mengundang rasa suspend betul. Nasiblah bukan kad jemputan betul-betul. Hehe. Kisah mereka ni  memang manis (tanpa gula tambahan okay?) lebih-lebih lagi dengan penampilan watak-watak tambahan yang menceriakan lagi kisah ini. Suka dengan Aiman dan Sarah yang kecoh dan penuh drama tu (lebih-lebih lagi Aimanlah. Hehe). Friendship bonding  mereka ni pun memang sangat kuat.  Buat saya teringat zaman belajar dulu. Tahniah dan terima kasih buat penulis sebab berjaya menghiburkan saya dengan karya yang manis ini. Moga bakal ada lagi karya yang seterusnya selepas ini ya? :)

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review