Tuesday, April 29, 2014

Akadku Yang Terakhir

Posted by Hajar at 10:10 PM 0 comments
Tajuk:Akadku Yang Terakhir
Penulis: Acik Lana
Penerbit: Penerbitan Kaki Novel Sdn. Bhd.
Harga: RM37.00
Sabah/ Sarawak: RM 40.00
Halaman:  957 mukasurat
ISBN: 9789670448657


Setelah melalui kegagalan perkahwinan sebanyak tiga kali, Irham Zahri (Irham) dipaksa oleh bapanya untuk mendapatkan rawatan terapi bersama pakar psikoterapi. Dan ditakdirkan Rania Baheera (Rania) pula yang ditugaskan untuk menjadi pakar psikoterapi untuk memulihkan Irham. Memang jadi satu tanggungjawab yang besar buat Rania untuk menggali dan mengkaji permasalahan peribadi klien yang seorang ini lebih-lebih lagi bila Irham sendiri enggan memberikan kerjasama dalam setiap sesi terapi yang telah diatur.

Pelbagai helah diatur oleh Irham untuk buat Rania berputus asa daripada meneruskan sesi terapi sehingga sanggup buat perancangan untuk 'merosakkkan' Rania. Haih. Mujurlah Irham ni masih waras. Hari demi hari hubungan mereka makin baik lebih-lebih lagi bila Rania mengambil keputusan untuk mengikut Irham ke Johor Bahru selepas kecewa dengan berita perkahwinan kakak kesayangannya dengan Fazriq, abang angkat yang dicintainya dalam diam. Sungguh pun hubungan mereka semakin menunjukkan perubahan positif, Irham masih enggan berkongsi masalahnya dengan Rania sepanjang menjalani tempoh terapi itu.

Namun, segalanya berubah selepas pertemuan Rania dengan Puan Badariah, ibu Irham. Selama ini Rania memang berselindung di sebalik status seorang isteri untuk meraih kepercayaan Irham. Kedatangan Puan Badariah pula membongkar status sebenar Rania sekaligus memberi peluang kepada Irham untuk mendekati Rania. Bimbang dengan perubahan Irham (dan mungkin juga perasaan sendiri) buat Rania mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur dan menyerahkan kes Irham kepada ketuanya. Mampukah Rania menolak kehadiran lelaki yang mula mendapat tempat di hatinya itu. Dan yang paling penting, mampukah Rania membantu memulihkan masalah psikologi yang dihadapi oleh Irham?

Komen saya:

1. Seperti biasa, penulis sentiasa menjaga penggunaan bahasa dalam penulisannya. Saya suka! :)

2. Seperti biasa juga, hero mesti 'ganteng' dan ada aura kerek yang akhirnya akan jatuh cinta tergolek-golek kepada heroin. Oh, jangan lupa. Ayat-ayat mesti manis bergula untuk tawan hati heroin. :D (Definitely not my type. Ngee...)

2. Heroin kedua yang bertudung selepas Imanina (Pelangi Cinta Buat Suami, yang saya belum berkesempatan untuk baca). Suka watak Rania ni sebab dia tegas dan tak mudah berputus asa. Dia tau apa yang dia mahu, cuma ketegasannya sedikit turn-off waktu dia hadapi masalah rumahtangga.

3. Kali ni saya dapat rasakan penulis buat sedikit research untuk kerjaya Rania dan Irham. Walaupun tak begitu detail, tapi usaha itu ada. Tahniah. At least, pembaca tak hanya digula-gulakan dengan kisah hero dan heroin semata. :)

4. Level 'kemanisan' juga dah semakin berkurang. Terima kasih atas usaha untuk memetaforakan adegan-adegan yang tak sesuai dibaca oleh adik-adik. Mungkin boleh cuba metaforakan dengan lebih baik untuk karya yang akan datang. :)

5. Kisah mereka ni mudah je sebenarnya. Cuma bagi saya penulis lebih suka bawa kita melalui 'jalan kampung' untuk nikmati pemandangan sedangkan kita ada pilihan untuk melalui highway yang pastinya akan lebih pantas membawa kita ke destinasi yang kita nak tuju. Haha. Maaflah. Terlebih metafora pula. :P

6. Tahniah buat penulis atas kelahiran karya terbarunya ini. Semoga terus dikurniakan ilham untuk berkarya. :)

Friday, April 25, 2014

Guy Next Door

Posted by Hajar at 10:54 PM 2 comments

Tajuk: Guy Next Door
Penulis: Rose Harissa
Penerbit: Penerbitan Kaki Novel Sdn. Bhd.
Harga: RM21.00
Sabah/ Sarawak: RM 24.00
Halaman:  487 mukasurat
ISBN: 9789670448633

Suka:

1. Pertama sekali mestilah Encik Adam Putra Iskandar (Adam) yang supercool, anak dan adik yang baik sebab sanggup korbankan cita-cita dan impian hanya kerana nak menjaga seorang emak (ada lagi tak lelaki mcm ni? Kalau ada nak cop 1 :p). Adam ni juga merupakan seorang kawan dan jiran yang protective. Tapi tak sangka pula boleh bertukar jadi suami yang....... Ehem, orang yang baik ni pun ada sisi 'nakalnya' juga okay? :p

2. Makcik Umi The Legend. Kehkehkeh. Bukan apa, karakter makcik yang selamba dan bercakap tanpa bertapis ni mengingatkan saya kepada Makcik Sarimah (emak Uwais, Suami Yang Ku Benci). Jenis orang yang tak simpan dalam hati. Straight forward punya orang. Takde konar-konar. Sungguh pun begitu, Makcik Umi ni memang jiran yang baik. Tak pernah berkira nak membantu keluarga Adam bila mereka ditimpa musibah. Ialah, nama pun berjiran, kan? Cuma agak ralat bila watak Makcik Umi ni terhenti macam tu saja.

3. Ikatan kekeluargaan yang erat ditunjukkan dalam keluarga Adam dan Kristal. Hormat- menghormati dan bertolak ansur dapat kita lihat dlm keluarga Adam. Contohnya, kakak-kakak Adam bergilir menghantar emak mereka ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan sementara Adam pula bertanggungjawab menjaga kebajikan emak mereka di rumah.

4. Semangat kejiranan yang utuh. Saling bantu membantu dan bukan hanya sibuk menjaga tepi kain orang. :D

5. Sisi watak Kristal yang teguh pendirian dan tak makan dek pujuk rayu lelaki macam Fandi tu.

Kurang gemar:

1. Kristal yang digambarkan lepas laku masa berhubungan dengan Fandi. Walaupun tak pernah terlanjur tapi tetap tak manis ya adik-adik?

2. Watak Kristal yang suka prasangka dan beremosi tak tentu fasal. Haha. Tapi, saya setuju dengan pendapat Airina, Kristal ni umpama peneutral watak Adam yang manis itu. :D

3. Ada sesetengah adegan yang pada pendapat saya, kalau tak ada pun tak mencacatkan jalan cerita. Terutamanya adegan terlebih gula. Adam tu dah cukup manis dah. Ditambah gula memang boleh diabetes jadinya. :P

Komen saya: Keseluruhannya, saya suka kisah ni. Terutamanya Adam. Eh? Haha. Terhibur. Tersengih. Tergelak. :D Tahniah dan selamat kembali menulis Kak Rose. Moga terus berkarya. :) 

Friday, April 18, 2014

Detak Jantung Dia

Posted by Hajar at 10:18 PM 0 comments
Tajuk: Detak Jantung Dia
Penulis: Aidah Bakri
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM 19.00
Sabah/ Sarawak: RM 22.00
Halaman:  402 mukasurat
ISBN: 9789670508566

Afra:
Kerana masalah kesihatan Puan Jasmine, Afra dibesarkan oleh keluarga Umi Majidah, ibu susuannya di Darul Hanan, sebuah rumah anak-anak yatim yang diusahakan oleh Umi Majidah dan suaminya, Abi Daud. Selepas beberapa tahun, Afra diambil semula oleh kedua orang tuanya. Namun, kepulangan Afra tak pernah mendapat layanan selayaknya. Puan Jasmine dan Tuan Kazim lebih suka memanjakan Hanif, sepupu Afra berbanding anak sendiri. Semakin meningkat usia, hubungan antara Afra dan kedua orang tuanya semakin jauh. Sungguh pun kedua orang tuanya tak begitu suka Afra berhubungan rapat dengan penghuni Darul Hanan, Afra lebih senang menghabiskan masanya di situ. Di situ juga Afra bertemu dengan Samir, yang sentiasa berupaya mempengaruhi debaran-denyut-detak jantungnya. Namun, bila debaran hati sudah berlagu seiring, Afra dikejutkan dengan berita rencana pertunangannya dengan Hanif yang telah diatur oleh kedua ibu bapa mereka. Jadi, jalan mana yang perlu dipilih Afra? Ikut kata hati sendiri atau akur dengan pilihan keluarganya?

Samir:
Saat pertama kali bertentang mata, memang tidak dinafikan Afra punya tarikan tersendiri. Lantas, dengan bantuan Firdaus, kawan baik yang juga merupakan abang susuan Afra, Samir memulakan langkah. Salam perkenalan yang dihulur disambut baik oleh Afra. Mereka mula mengenali diri masing-masing dengan sokongan kuat ahli keluarga Darul Hanan. Yakin dengan rasa debaran-denyut-detak jantung masing-masing, Afra dilamar. Cuma yang menjadi halangannya adalah Tuan Kazim yang terang-terangan menentang hubungan Afra dan Samir. Alasannya, mereka sudah bercadang untuk menyatukan Afra dan Hanif untuk meneruskan legasi perniagaan mereka. Kemudian, muncul pula Doktor Lalila yang tak sudah-sudah mengejar Samir. Jadi, bagaimana penyudahnya hubungan Afra dan Samir?

Hanif
:
Hubungan Hanif dan Afra memang rapat ibarat adik beradik. Ialah, mereka berdua anak tunggal dan sentiasa bersama semenjak Afra kembali bersama tinggal keluarganya. Mereka sentiasa ada untuk satu sama lain memandangkan kedua ibu bapa mereka sentiasa sibuk menguruskan perniagaan. Berbeza dengan Afra, Hanif dewasa sebagai seorang lelaki yang suka bersosial dan berfoya-foya. Rancangan pertunangannya dengan Afra mula membuat Hanif memandang Afra dari sudut berbeza. Dalam diam, perasaannya terhadap Afra telah mula bertukar rentak. Namun, Hanif bukanlah orangnya yang akan mengambil kesempatan dikala peluang terbentang di depan mata. Perlukan Hanif beralah atau tetap teruskan majlis pertunangan untuk memuaskan hati keluarga mereka?

Komen saya: Indah. Rasa terbuai dengan gaya bahasa penulis ni. Puitis dan penuh metafora. Phew. Suka. Dan suka Hanif juga. Suka dengan pilihan dan apa yang telah dilakukannya. Salute dengan tindakan Hanif yang berani menegur kedua ibu bapa Afra yang dah jauh tersasar tu. Dia pandai manipulasi kelebihan dia untuk pujuk kedua ibu bapa Afra. Eh, dah bias ni. Hahaha. Tahniah buat penulis atas garapan penuh bahasa indah ni. Moga dikurniakan lebih banyak ilham untuk berkarya.

Petikan dari halaman 375 yang saya sangat suka:-

“Tak suka dipanggil sayang?”

Afra angguk.

“Pelik”

“Suka sayang yang hati rasa. Tak perlu jadi sebutan di bibir...tapi hati dapat rasa. Sayang di mulut kadangkala sekadar sebutan tak bermakna. Lagipun kalau sayang selalu sangat diucap, manisnya akan hilang.”

Self note: Untuk memaknakan rasa sayang tu tak perlu diucap selalu. Nanti manisnya cepat hilang. Takut daripada manis terus rasa tawar bila dah selalu sebut. ;)

Sungguh! Aku Gilakan Kau

Posted by Hajar at 9:09 PM 0 comments
Tajuk: Sungguh! Aku Gilakan Kau
Penulis: Izz Alejandra
Penerbit: Penulisan Enterprise
Harga: RM24.00
Sabah/ Sarawak: RM 27.00
Halaman: 623 mukasurat

Suka tentang buku ini:

1. Cerita yang smooth dan tak memberatkan kepala.

2. Hubungan persahabatan yang erat antara Adrianna (Rene) dan Danial. Sungguh pun Rene tu merupakan wanita yang disayanginya, Danial tak pernah ambil kesempatan dalam hubungan baik mereka tu. Gentleman kan?

3. Danial yang cool, penyabar , protective dan understanding. Tapi sangat pelik bila karakter penyabar dia boleh merudum lepas berkahwin dengan Rene. Hmm..

4. Tapi, saya suka sikap matang Danial yang tak terburu-buru lepas perkahwinan mereka. Sanggup ikut rentak isteri dan biarkan Rene betul-betul bersedia untuk menerimanya sebagai suami.

5. Penekanan tentang peranan suami yang membimbing isteri walaupun suaminya seorang mualaf.

6. Strong family bonding dalam keluarga Danial walaupun jalan hidup yang dipilih Danial berbeza dengan ahli keluarga yang lain.

7. Sikap pemaaf ibu Rene selepas berpisah dengan bapa Rene. Kadangkala kita kena sedar, peluang kedua bukan selalu datang. Jadi, rebutlah peluang selagi ada kesempatan. ;)

‘Kurang’ suka tentang buku ini:

1. Sikap Rene yang brutal dan ego tu. Kesian Danial. Penat dah bagi hint macam-macam rupanya tak faham. Lepas tu siap tunjuk perangai ego lagi dengan suami. Tahulah tujuan mereka berkahwin pun sebab anak. Tapi takkanlah nak junjung ego juga dengan suami? Aduhai...

2. Sikap mereka yang kurang berkomunikasi secara telus. Jadi, banyaklah adegan salah faham mereka ni.

3. Ada adegan-adegan yang tak sesuai untuk anak-anak remaja. Walaupun tak sebanyak mana, tapi mungkin berupaya buat anak-anak remaja terasa di awangan. (Yeah, ‘makcik ‘ ni memang concern dengan hal sebegini sebab anak-anak buah dah meningkat remaja dan dah pandai baca novel genre sebegini.)

4. Scene amnesia yang memang saya tak berapa gemar. Too cliche. Tapi relevannya di situ mungkin untuk buat Rene ni sedar tentang perasaan dia terhadap Danial agaknya.

Secara keseluruhannya, saya suka cara dan gaya penulisan puan penulis ni. Santai dan selamba. Mungkin sebab gunakan POV 1 maka kita rasa dekat dengan watak Rene tu. Tahniah buat penulis. Moga terus berkarya. 

Saturday, April 12, 2014

Cooper - K

Posted by Hajar at 10:15 PM 0 comments

Tajuk: Cooper - K
Penulis: RodieR
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM 23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman:  564 mukasurat
ISBN: 9789670508580

Perkenalan secara tak sengaja antara Amilia Aisya (Mia) dengan Muhamad Khairul Fairuz (Cooper) telah membawa banyak perubahan dalam dirinya. Daripada seorang perengus dan suka menyumpah, perlahan-lahan Mia berubah ke arah yang lebih positif. Kalau ikutkan, mereka ni bukan dari kursus yang sama pun. Tapi entah macam mana si Cooper ni putar belit ayat sampai Mia setuju untuk belajar bersama dengan Cooper. Walhal sebenarnya Mia ni bukan jenis berkawan rapat dengan lelaki pun. Mereka saling membantu dan saling menyokong dalam hal pelajaran mahu pun hal peribadi. Namun, hubungan baik yang sedia terjalin tercalar bila Cooper meluahkan hasrat hati. Kemarahan Mia menyebabkan Cooper hilang daripada hidup Mia. Hilang tanpa dapat dikesan pula tu. Walaupun kesal dengan apa yang telah diucapkannya, Mia terpaksa akur yang Cooper sudah tidak mahu menghubunginya.

Lima tahun berlalu, mereka ditemukan kembali di bawah satu bumbung. Mia pelik bila Cooper seolah-olah tidak pernah mengenalinya. Takkan sebab penolakan Mia Cooper terus lupakan Mia? Hubungan yang dah sedia keruh antara mereka berdua makin terasa menyesakkan bila tiba-tiba keluarga bercadang untuk menjodohkan mereka berdua. Walaupun agak keberatan, mereka akhirnya setuju dengan perancangan keluarga mereka. Cooper bersetuju hanya kerana tak mahu kesihatan ibunya terganggu sementara Mia pula mahu memberi peluang kedua kepada mereka berdua dalam sebuah hubungan. Yang penting hubungan yang halal.

Malangnya perkahwinan yang diharap dapat merapatkan jurang tidak pernah berlaku. Mereka tetap seperti orang asing. Seorang ke timur dan seorang ke barat. Namun, bila menyedari perasaan sendiri, Mia mula bertekad untuk mengubah suasana rumahtangga mereka. Mampukah Mia mengecap bahagia bila anak dalam kandungannya menjadi taruhan? Dan, apakah sebenarnya yang terjadi kepada Cooper sehingga dia disahkan amnesia?

Komen saya: Bagi yang telah membaca kisah Is dan Ain pasti dah dapat gambaran tentang Mia dan Cooper ni kan? Watak mereka pernah diselitkan dalam Nyanyian Hati. At first, memang saya tak suka karakter Mia. Macam tak seimbang. Ialah, jaga pergaulan, jaga aurat tapi tutur kata tak dijaga. Realitinya memang ramai macam tu kan? Hmm... Kemudian karakternya makin seimbang selepas bertemu Cooper. Memang tak dinafikan Cooper memang banyak bawa impak positif kepada hidup Mia. Jadi memang tak mustahil kehilangan Cooper sangat mempengaruhi emosi Mia. Seperti Nyanyian Hati, kisah ini juga turut menyelitkan tentang hubungan kekeluargaan dan persahabatan. Cuma jujurnya, bagi saya, penulis perlu create identiti sendiri dalam penulisan agar tak dibayangi cara penulisan orang lain. Bukan apa, ada ketikanya waktu saya membaca Cooper-K ni saya rasa seperti membaca karya penulis lain. Atau, adakah sebenarnya mereka individu yang sama? (Ehhh, tiba-tiba nak berspekulasi pula ya? Hehe..) Apa pun, tahniah buat penulis atas kelahiran naskhah ini dan yang terbaru, One Fine Day (yang bakal diterbitkan sempena pesta buku akan datang ini). Moga terus dikurniakan ilham untuk berkarya. :)

Tuhan Lebih Tahu

Posted by Hajar at 8:33 PM 4 comments
Tajuk: Tuhan Lebih Tahu
Penulis: Nora Ismail
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM 23.90
Sabah/ Sarawak: RM 26.90
Halaman: 502 mukasurat
ISBN: 9789675229077

Hubungan antara Rina Azia (Rina) dan Hazry Izhar (Hazry) memang rapat umpama belangkas. Cuma mereka bukanlah pasangan bercinta. Mereka hanya teman rapat kerana mengambil kursus yang sama di UTM. Keserasian hubungan mereka berdua selalu disalah tafsir sebagai pasangan bercinta sehingga hubungan baik yang sedia terjalin itu dicemburui oleh Elisha, teman wanita Hazry. Sering kali mereka bertengkar kerana Rina. Tak faham kenapa si Hazry ni boleh setia bukan main lagi dengan Elisha walaupun dia tau perangai sebenar Elisha yang suka berfoya-foya tu.

Tidak lama kemudian, hubungan mereka terputus kerana Elisha mahu ke luar negara untuk mengejar impiannya bergelar model terkenal. Heh. Hubungan yang berakhir itu membawa impak besar kepada Hazry. Ingin mengadu kepada Rina seperti lazimnya, Rina pula semakin menjauh selepas berkenalan dengan teman mayanya, Wan Azfarel (Arel). Sudahnya, Hazry pulang ke rumah keluarganya dan diberitakan tentang pemergian ayahanda tersayang. Pemergian mengejut itu membuat Hazry hilang arah dan kelam kerana hilang tempat bergantung.

Sebagai seorang sahabat yang memahami, Rina ingin berkongsi kepahitan yang dihadapi oleh Hazry. Namun, pengertian yang diberi dibalas dengan tuba bila Hazry yang dibawah pengaruh pil ecstasy telah bertindak menodai Rina. Kesian Rina. Yang hampehnya Hazry cuma memohon maaf atas tindakan ‘luar sengajanya’ itu dan menyambung pengajiannya ke luar negara. Dia fikir hanya dengan perkataan maaf itu boleh mengubah keadaan kembali kepada asal agaknya?

Mujurlah ada Arel. Dialah yang sanggup menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Hazry . Perkahwinan mereka dilangsungkan dengan restu kedua-dua buah keluarga . Sayangnya aib yang cuba disembunyikan terbongkar juga bila Rina disahkan mengandung dua bulan selepas sebulan tempoh perkahwinannya. Akibatnya, Rina dibuang keluarga kerana dianggap telah memalukan keluarga mereka.

Beberapa tahun kemudian, Rina bertemu kembali dengan Hazry atas urusan kerja. Kemunculan Hazry yang merindukan teman lamanya itu turut menggugat kepercayaan Arel. Rina bingung. Bertambah risau sekiranya Hazry mengetahui kewujudan Ikhzal (Ayik) yang selama ini disembunyikanya. Tapi bila menyedari yang air dicincang takkan putus, Arel berterus terang dan memperkenalkan Hazry dengan Ayik tanpa menyedari yang dia turut mempertaruhkan rumahtangganya disebabkan keputusan itu. Mampukah mereka mempertahankan kebahagiaan mereka bila satu demi satu individu dari masa silam mereka muncul kembali?

Komen saya: Kisah ni agak dramatik. Kalau divisualkan harus ada yang cair dengan Wan Azfarel ni. Haha. Shush! Bagi saya penekanan dalam naskhah ini adalah tentang pergaulan. Sebaik mana atau serapat mana hubungan kita dengan kawan berlainan jantina tu, batas tetap ada. Jangan sesuka hati nak bertepuk-tampar dengan anak dara / teruna orang sembarangan. Macam mana percaya pun, mereka tetap manusia biasa yang tak sempurna. Satu kesilapan mungkin bawa penyesalan seumur hidup. Dan bukan semua orang sebertuah Rina. Jadi beringatlah ya, adik/kakak/abang/ sekelian? Haish, entah kenapa terlebih emosi pula. Tahniah Kak Rose. Moga terus berkarya. :) 

Saturday, April 5, 2014

Mengejar Ajal

Posted by Hajar at 4:52 PM 0 comments
Tajuk: Mengejar Ajal
Penulis: Khairulnizam Bakeri
Penerbit: Roman
Harga: RM 19.90
Sabah/ Sarawak: -
Halaman: 309 mukasurat
ISBN: 9789671199701

Pernah rasa tak, bila kita suatu ketika kita kehilangan barang berharga. Cari punya cari. Geledah sana sini. Sampai ke seluruh pelusuk isi rumah. Tapi rupanya, barang yang dicari tu ada terselit dalam poket baju. Ha, itulah yang saya rasa bila habis baca buku ni. Heh. Rasa macam ditipu. Tapi, itulah kelebihan si penulis. Buat kita khusyuk ikuti cerita dia sampai tak sedar ditipu. Ciss! Hehe.

Secara ringkasnya, kisah ini terbahagi kepada 3 bahagian:

Bahagian pertama membawa kita mengenali Raed Marzuki (Raed) sebagai seorang Timbalan Pendakwaraya yang sangat di segani dan dikenali kerana kecekapannya mengendalikan kes perbicaraan sehingga orang kena tuduh tak pernah terlepas daripada hukuman. Beliau juga turut dikenali dengan nama The Hangman dan Undertaker kerana kehandalannya itu. Cuma, kes pembunuhan yang melibatkan Datuk Seri Buyong ni agak mencabar kewibawaan Raed kerana satu-satunya saksi pembunuhan telah dibunuh. Bila bukti tak cukup kukuh untuk melibatkan penglibatan Datuk Seri Buyung, maka Raed terpaksa akur dengan keputusan mahkamah yang tidak memihak kepadanya.

Bahagian kedua pula berkisar tentang penangkapan Raed kerana disyaki membunuh Datuk Seri Buyung sehari selepas keputusan yang tidak memihak kepadanya. Bukti memang jelas yang Raed terlibat dalam pembunuhan walaupun Raed mengakui yang dia berada bersama isterinya sepanjang malam. Lagipun, macam mana Adani, isteri Raed nak meyakinkan pihak polis tentang alibi yang ada sedangkan dia cacat pengelihatan? Di hari perbicaraan, Raed di culik. Adani juga turut diculik. Pihak polis menyangkakan itu helah Raed disebabkan kepakarannya dalam bidang undang-undang. Tapi siapa sangka, penculik Raed sangat licik dan memberi syarat supaya Raed membunuh 3 orang dalam masa 3 hari untuk menyelamatkan Adani. (Untuk bahagian ini ada sedikit kejanggalan bila penulis penggunakan POV 1 untuk menceritakan perihal pihak yang berada di POV 3. Hmm..)

Bahagian ketiga pula membawa kita mengenali latar belakang suspek yang terlibat dalam 'konspirasi' penculikan Raed dan Adani. Heh. Siapa sebenarnya pembunuh Datuk Seri Buyung? Dan apa pula kaitannya dengan penculikan Raed dan Adani?

Komen saya: Tak dapat dinafikan, setiap karya penulis ini memang mampu mengundang rusuh adrenalin dan juga membuat otak kita berfikir dengan lebih efektif. Serius, memang tak boleh jangka siapa pembunuh dan penculik sehingga masuk bahagian ke 3. Rasanya secara tak langsung penulis nak beritahu kita bahawa dalam dunia ni memang ramai orang gila. Sanggup lakukan apa saja untuk capai apa yang mereka mahukan termasuk membunuh. Haish. Tahniah buat penulis sebab berjaya buat watak penjenayah bijak sekali lagi. Hahah. Tapi jenayah terancang begini bukan untuk dipraktikkan ya? :P 
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review