Friday, April 18, 2014

Detak Jantung Dia

Posted by Hajar at 10:18 PM
Tajuk: Detak Jantung Dia
Penulis: Aidah Bakri
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM 19.00
Sabah/ Sarawak: RM 22.00
Halaman:  402 mukasurat
ISBN: 9789670508566

Afra:
Kerana masalah kesihatan Puan Jasmine, Afra dibesarkan oleh keluarga Umi Majidah, ibu susuannya di Darul Hanan, sebuah rumah anak-anak yatim yang diusahakan oleh Umi Majidah dan suaminya, Abi Daud. Selepas beberapa tahun, Afra diambil semula oleh kedua orang tuanya. Namun, kepulangan Afra tak pernah mendapat layanan selayaknya. Puan Jasmine dan Tuan Kazim lebih suka memanjakan Hanif, sepupu Afra berbanding anak sendiri. Semakin meningkat usia, hubungan antara Afra dan kedua orang tuanya semakin jauh. Sungguh pun kedua orang tuanya tak begitu suka Afra berhubungan rapat dengan penghuni Darul Hanan, Afra lebih senang menghabiskan masanya di situ. Di situ juga Afra bertemu dengan Samir, yang sentiasa berupaya mempengaruhi debaran-denyut-detak jantungnya. Namun, bila debaran hati sudah berlagu seiring, Afra dikejutkan dengan berita rencana pertunangannya dengan Hanif yang telah diatur oleh kedua ibu bapa mereka. Jadi, jalan mana yang perlu dipilih Afra? Ikut kata hati sendiri atau akur dengan pilihan keluarganya?

Samir:
Saat pertama kali bertentang mata, memang tidak dinafikan Afra punya tarikan tersendiri. Lantas, dengan bantuan Firdaus, kawan baik yang juga merupakan abang susuan Afra, Samir memulakan langkah. Salam perkenalan yang dihulur disambut baik oleh Afra. Mereka mula mengenali diri masing-masing dengan sokongan kuat ahli keluarga Darul Hanan. Yakin dengan rasa debaran-denyut-detak jantung masing-masing, Afra dilamar. Cuma yang menjadi halangannya adalah Tuan Kazim yang terang-terangan menentang hubungan Afra dan Samir. Alasannya, mereka sudah bercadang untuk menyatukan Afra dan Hanif untuk meneruskan legasi perniagaan mereka. Kemudian, muncul pula Doktor Lalila yang tak sudah-sudah mengejar Samir. Jadi, bagaimana penyudahnya hubungan Afra dan Samir?

Hanif
:
Hubungan Hanif dan Afra memang rapat ibarat adik beradik. Ialah, mereka berdua anak tunggal dan sentiasa bersama semenjak Afra kembali bersama tinggal keluarganya. Mereka sentiasa ada untuk satu sama lain memandangkan kedua ibu bapa mereka sentiasa sibuk menguruskan perniagaan. Berbeza dengan Afra, Hanif dewasa sebagai seorang lelaki yang suka bersosial dan berfoya-foya. Rancangan pertunangannya dengan Afra mula membuat Hanif memandang Afra dari sudut berbeza. Dalam diam, perasaannya terhadap Afra telah mula bertukar rentak. Namun, Hanif bukanlah orangnya yang akan mengambil kesempatan dikala peluang terbentang di depan mata. Perlukan Hanif beralah atau tetap teruskan majlis pertunangan untuk memuaskan hati keluarga mereka?

Komen saya: Indah. Rasa terbuai dengan gaya bahasa penulis ni. Puitis dan penuh metafora. Phew. Suka. Dan suka Hanif juga. Suka dengan pilihan dan apa yang telah dilakukannya. Salute dengan tindakan Hanif yang berani menegur kedua ibu bapa Afra yang dah jauh tersasar tu. Dia pandai manipulasi kelebihan dia untuk pujuk kedua ibu bapa Afra. Eh, dah bias ni. Hahaha. Tahniah buat penulis atas garapan penuh bahasa indah ni. Moga dikurniakan lebih banyak ilham untuk berkarya.

Petikan dari halaman 375 yang saya sangat suka:-

“Tak suka dipanggil sayang?”

Afra angguk.

“Pelik”

“Suka sayang yang hati rasa. Tak perlu jadi sebutan di bibir...tapi hati dapat rasa. Sayang di mulut kadangkala sekadar sebutan tak bermakna. Lagipun kalau sayang selalu sangat diucap, manisnya akan hilang.”

Self note: Untuk memaknakan rasa sayang tu tak perlu diucap selalu. Nanti manisnya cepat hilang. Takut daripada manis terus rasa tawar bila dah selalu sebut. ;)

0 comments:

Post a Comment

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review