Showing posts with label NB Kara. Show all posts
Showing posts with label NB Kara. Show all posts

Monday, March 30, 2015

Biarkan Aku Menangis

Posted by Hajar at 9:29 PM 0 comments
Biarkan Aku MenangisBiarkan Aku Menangis by Norhayati Berahim
My rating: 3 of 5 stars

Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM 21.50
Sabah/ Sarawak: RM-
Halaman:  563 mukasurat
ISBN: 9789834211523

29-03-2015

Akhirnya tamat juga membaca buku pinjam ni. Hihi. Kisah ini agak mengganggu emosi. Itu sebabnya lama sangat buku ni tersimpan dalam senarai pending. :)

Perkahwinan Sarah dan Amrin memang nampak bahagia walaupun belum dikurniakan cahaya mata setelah 7 tahun berkahwin. Sungguh pun Amrin tak pernah kisah dengan situasi keluarga kecilnya, namun bila selalu diasak oleh ibu sendiri tentang anak, sedikit sebanyak terusik juga keegoannya sebagai seorang lelaki. Lebih-lebih lagi kata Amrin, mustahillah dia itu mandul kerana adik beradiknya sebelas orang. Ergh, tipikal lelaki ego!

Kerana keegoannya itu juga Amrin bersetuju untuk menerima cadangan ibunya untuk berkahwin dengan Kartika. Haish. Kesian Sarah. Kerana hormatkan suami dan ibu mertua yang tak pernah mengiktiraf kedudukannya sebagai menantu, diturutkan juga walau hatinya terluka.

Setelah berkahwin baru Amrin sedar bahawa bukan mudah nak mengurus dua isteri. Kartika yang kononnya sanggup beralah mula menunjukkan belang selepas berkahwin dengan Amrin. Makin naik tocang pula bila Wan Khatijah sentiasa jadi penyokong kuat atas setiap permintaan dan kehendaknya. Huh. Mujurlah Sarah ni jenis wanita berdikari. Sentiasa beralah. Namun, sampai bila agaknya Sarah mampu bertahan dengan kerenah madu dan ibu mertua yang tak pernah mahu mengalah tu?

Komen saya:

1. Jujurnya kalau diikutkan sisi hati yang jahat ni saya harapkan kesudahan yang lebih membahagiakan buat Sarah. Biar Amrin tu pulak yang sengsara. :P

2. Tapi mujurlah diselamatkan oleh kesudahan yang setimpal buat Kartika. Inilah agaknya balasan untuk orang yang suka permainkan hukum. Ingat gelaran ustazah tu lesen untuk permainkan hukum Allah ke?

3. Wan Khatijah tu pun 'sekapal' je dengan Kartika. Tak tahu nak bersyukur. Tak reti nak hormat suami. Alahai. Sekali dapat balasan 'cash' baru tahu langit tu tinggi ke rendah. X(

4. Seperti biasa penulis tak pernah lupa menerapkan unsur-unsur kekeluargaan dalam setiap karyanya. Kita dapat lihat yang hubungan kekeluargaan antara keluarga Sarah dan keluarga Amrin (terutamanya Haji Kasman) tetap terjalin dengan baik walaupun Wan Khatijah tak pernah mengiktiraf Sarah sebagai menantu.

5. Apa pun terima kasih buat penulis atas garapan penuh emosi ni. Lepas ni tak tahulah sanggup lagi atau pun tidak nak membaca kisah sebegini. Hihi. :P

6. Terima kasih daun keladi tuan punya buku. Lain kali boleh pinjam lagi. ;)

View all my reviews

Sunday, September 28, 2014

...dan Cinta Pun Tersenyum

Posted by Hajar at 6:10 PM 2 comments

Tajuk: ...dan Cinta Pun Tersenyum
Penulis: Nora Ismail
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM 23.90
Sabah/ Sarawak: RM 26.90
Halaman: 630 mukasurat
ISBN: 9789675229213

Ervan Prima Sakti (Ervan), model kelahiran Indonesia. Half Malaysian sebab ibunya berasal dari Pulau Besar, Mersing. Merupakan penyandang gelaran Most Eligible Bachelor di negaranya. Kerana bimbang Ervan jadi lupa daratan, ibu bapanya sepakat menghantar Ervan ke Malaysia untuk menguruskan resort milik keluarga mereka di Mersing. Sungguh pun berat untuk meninggalkan kehidupan mewah penuh sosialnya di Jakarta, Ervan tetap akur kerana hormat dengan permintaan kedua ibu bapanya. Ketibaannya di Pulau Besar menemukannya dengan Surihani. Ervan pelik, anak-anak gadis lain bukan suka kalau dapat jumpa Ervan. Tapi Surihani ni sikit pun tak heran dengan kehadiran si cowok ganteng ni ke Pulau Besar. Itu yang buat Ervan rasa sangat tercabar dan kerap berlaku pertelingkahan antara mereka. Lebih-lebih lagi perbezaan bahasa menyebabkan banyak salah faham berlaku antara mereka.

Pertemuan Ervan dengan Hizar, abang Surihani membuat Ervan lebih mengerti hakikat kehidupan sebenar. Ervan turut menyedari yang Surihani tu tidaklah seteruk yang difikirkan. Sikap Surihani yang garang dan suka marah melulu tu sebenarnya hanyalah satu mekanisma untuk melindungi diri. Dari situ hubungan mereka makin membaik, lebih-lebih lagi bila Hizar jatuh sakit. Bantuan yang dihulur Ervan secara sembunyi akhirnya diketahui oleh Surihani gara-gara mulut tempayan si Akhil. Heh. Nyaris hubungan mereka berantakan sekali lagi. Mujur Ervan dah ‘pandai’ membaca emosi Surihani. Jadi, hubungan mereka masih kekal neutral tanpa berantem (bak kata Ervan). Hehe.

Hubungan baik mereka akhirnya turut membuahkan ‘rasa’ di antara keduanya. Sebagai penyandang gelaran Most Eligible Bachelor haruslah Ervan bertindak gentleman meluahkan perasaannya kepada Surihani. Cuma bagi pihak Surihani, tentulah rasa rendah diri mengatasi rasa hatinya terhadap Ervan. Tapi, takkanlah Ervan nak mengalah sebegitu mudah, kan? 

Rupanya hubungan baik antara Ervan dan Surihani dicemburui oleh Akhil yang dah lama menyimpan perasaan terhadap Surihani. Walaupun pelbagai usaha dilakukan Akhil untuk memusnahkan hubungan yang baru bertunas itu, ternyata hubungan mereka bertambah rapat. Setelah pasti dengan perasaan masing-masing Ervan tekad untuk menikahi Surihani. Malangnya dalam kegembiraan mereka membuat persiapan, suatu kecelakaan menimpa hingga menyebabkan Ervan mengalami kecederaan parah yang membawa kecacatan. 

Lalu bagaimana penyudahnya hubungan mereka bila Ervan bertindak menyembunyikan diri setelah kecelakaan menimpa dirinya?

Komen saya:

1. Seronok baca kisah mereka ni. Adegan pergaduhan antara si Cowok Super Pongah (sombong/ kerek) dan Cewek Norak (kampungan) plus Jutek (suka marah-marah) yang sentiasa buat saya tergelak dan tersengih sendirian. Ialah, perbezaan bahasa membuat mereka ni macam ayam dengan itik. Asyik doksalah faham yang akhirnya buat kedua-duanya terdiam akibat malu. :D

2. Di awal cerita memang rasa nak luku je si Surihani ni. Asyik nak sentap je. Kesian Ervan. Haha. Dahlah suka marah-marah. Lepas tu ego. Dah tau salah tak mau mintak maaf. Aduhai...

3. Sungguh pun Ervan suka berlagak ala superstar, dia tak malu untuk mengaku kesilapannya dan tak malu untuk berubah setelah berkali-kali ‘disekolahkan’ oleh Surihani. Haha. Cuma penat dengan perasaan inferiornya yang berlebihan selepas kemalangan itu. Nasibla sempat juga dia buat u-turn. :D 

4. Suka bahagian epilog kisah ini. Walaupun masih klise, penulis buat ia jadi menarik sebab disampaikan melalui medium berbeza. :D Tahniah Kak Rose sebab berjaya buat saya terbawa-bawa loghat si Ervan ni dalam pertuturan harian saya (buat masa ni). :P Lepas ni kena cari masa untuk berkenalan dengan Zarul dan Edrinaz pulak. :D

Tuesday, July 29, 2014

Terima Kasih Kekasih

Posted by Hajar at 11:27 AM 0 comments

Tajuk: Terima Kasih Kekasih
Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM 23.00
Sabah/ Sarawak: RM -
Halaman: 619 mukasurat
ISBN: 9789834311704

Selepas beberapa bulan bertunang dengan Amna, Imlan mula menunjukkan perubahan. Alasannya, kesibukan Amna sebagai doktor forensik membuat dia rasa terabai. Zawani, teman wanita terbarunya lebih pandai melayani kehendaknya. Walhal selama bertahun-tahun berkawan rapat dengan Amna, tak pernah pula dipersoalkan kerjaya yang dah sebati dengan minat Amna tu. Heh. Tipikal lelaki. Bila dah buat salah, seboleh mungkin tak mahu beban kesalahan diletakkan atas bahunya sendiri. Nak juga salahkan orang lain.

Amna yang polos tak pernah mengesyaki yang Imlan sudah pun berpaling. Dia fikir Imlan tiada masa untuknya. Sehinggalah dia bertemu dengan bukti kecurangan Imlan. Nak sembunyi macam mana lagi bila Amna sendiri terserempak dengan pasangan yang kononnya bahagia tu? Walaupun hatinya terguris, Amna tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru. Dia masih memikirkan hubungan baiknya dengan emak Imlan yang dibina dengan susah payah. Jadi, Amna menunggu masa yang sesuai untuk berbincang dengan Imlan tentang pertunangan mereka. Namun, bagi Imlan pula, kerana tak mahu kecewakan ibunya yang terlampau sayangkan Amna, dia mahu Amna yang memutuskan pertunangan itu. Heh.

Sungguh pun Amna dikelilingi oleh ahli keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa menyokong setiap apa yang dilakukannya, Amna masih tidak punyai keberanian untuk berterus terang tentang pertunangannya dengan Imlan. Hanya selepas pemergian adik dan kemudiannya kawan baiknya, Amy, barulah Amna berani berterus terang dengan kedua ibu bapanya. Itu pun Imlan masih tak mahu mengaku kesilapannya. Hish, geram betul!

Mujurlah ada Chyril (tetiba terbayang Cyril Takayama, American-Japanese magician tu. Haha. :P), rakan kongsi Imlan yang juga bekas teman lelaki Amy. Chyril banyak membantu Amna berdepan dengan masalah Imlan. Sudah dinasihati Imlan tentang Zawani tetapi sia-sia. Imlan seolah dibutakan oleh cintanya terhadap Zawani. Lama kelamaan hubungan Chyril dan Amna yang bertambah rapat, lebih-lebih lagi lepas kematian Amy. Kata-kata semangat yang dihulurkan Amna buat Chyril banyak berfikir tentang kehidupan sekaligus memberi hidayah buat Chyril untuk memeluk Islam. Subhanallah.


Komen saya:

1. Saya ambil masa untuk menyudahkan pembacaan hingga mencecah 2 minggu kerana kekangan masa di bulan Ramadan. *mental note: bulan puasa tak payah berangan nak baca novel sangat sebenarnya. :P

2. Kisah ni pun mudah je sebenarnya. Tapi penulis tak pernah gagal tampilkan kekuatan dan ketabahan wanita sekalipun watak sebaik Amna tu sebenarnya berkali-kali dikecewakan oleh lelaki yang digelar tunangan.

3. Tak lupa, watak lelaki hampeh yang buat kita nak rasa luku berkali-kali. Tapi saya puas hati sebab akhirnya Imlan terima pengajaran atas kecurangannya. Heh. Itu namanya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Lepas tu ada hati nak aniaya Amna dengan Chyril pulak .

4. Geram dengan Zawani. Memang tipikal watak 'orang ketiga' yang tak sedar diri. Boleh pulak dia serang Amna sebab tak putuskan pertunangan dengan Imlan. Kelakar. Tolonglah jangan malukan kaum sejenis dengan perangai macam ni okay? Ops, terlebih sudah. :P

5 Kehadiran watak Chyril tu umpama penyejuk. Lebih-lebih lagi bila dia terima hidayah selepas berkawan rapat dengan Amna. Kemudian bertemu jodoh pula dengan Amna. Itulah hikmah bersabar sebenarnya. Di setiap kepahitan tu ada tersembunyi manisnya. :)

Saturday, April 12, 2014

Tuhan Lebih Tahu

Posted by Hajar at 8:33 PM 4 comments
Tajuk: Tuhan Lebih Tahu
Penulis: Nora Ismail
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM 23.90
Sabah/ Sarawak: RM 26.90
Halaman: 502 mukasurat
ISBN: 9789675229077

Hubungan antara Rina Azia (Rina) dan Hazry Izhar (Hazry) memang rapat umpama belangkas. Cuma mereka bukanlah pasangan bercinta. Mereka hanya teman rapat kerana mengambil kursus yang sama di UTM. Keserasian hubungan mereka berdua selalu disalah tafsir sebagai pasangan bercinta sehingga hubungan baik yang sedia terjalin itu dicemburui oleh Elisha, teman wanita Hazry. Sering kali mereka bertengkar kerana Rina. Tak faham kenapa si Hazry ni boleh setia bukan main lagi dengan Elisha walaupun dia tau perangai sebenar Elisha yang suka berfoya-foya tu.

Tidak lama kemudian, hubungan mereka terputus kerana Elisha mahu ke luar negara untuk mengejar impiannya bergelar model terkenal. Heh. Hubungan yang berakhir itu membawa impak besar kepada Hazry. Ingin mengadu kepada Rina seperti lazimnya, Rina pula semakin menjauh selepas berkenalan dengan teman mayanya, Wan Azfarel (Arel). Sudahnya, Hazry pulang ke rumah keluarganya dan diberitakan tentang pemergian ayahanda tersayang. Pemergian mengejut itu membuat Hazry hilang arah dan kelam kerana hilang tempat bergantung.

Sebagai seorang sahabat yang memahami, Rina ingin berkongsi kepahitan yang dihadapi oleh Hazry. Namun, pengertian yang diberi dibalas dengan tuba bila Hazry yang dibawah pengaruh pil ecstasy telah bertindak menodai Rina. Kesian Rina. Yang hampehnya Hazry cuma memohon maaf atas tindakan ‘luar sengajanya’ itu dan menyambung pengajiannya ke luar negara. Dia fikir hanya dengan perkataan maaf itu boleh mengubah keadaan kembali kepada asal agaknya?

Mujurlah ada Arel. Dialah yang sanggup menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Hazry . Perkahwinan mereka dilangsungkan dengan restu kedua-dua buah keluarga . Sayangnya aib yang cuba disembunyikan terbongkar juga bila Rina disahkan mengandung dua bulan selepas sebulan tempoh perkahwinannya. Akibatnya, Rina dibuang keluarga kerana dianggap telah memalukan keluarga mereka.

Beberapa tahun kemudian, Rina bertemu kembali dengan Hazry atas urusan kerja. Kemunculan Hazry yang merindukan teman lamanya itu turut menggugat kepercayaan Arel. Rina bingung. Bertambah risau sekiranya Hazry mengetahui kewujudan Ikhzal (Ayik) yang selama ini disembunyikanya. Tapi bila menyedari yang air dicincang takkan putus, Arel berterus terang dan memperkenalkan Hazry dengan Ayik tanpa menyedari yang dia turut mempertaruhkan rumahtangganya disebabkan keputusan itu. Mampukah mereka mempertahankan kebahagiaan mereka bila satu demi satu individu dari masa silam mereka muncul kembali?

Komen saya: Kisah ni agak dramatik. Kalau divisualkan harus ada yang cair dengan Wan Azfarel ni. Haha. Shush! Bagi saya penekanan dalam naskhah ini adalah tentang pergaulan. Sebaik mana atau serapat mana hubungan kita dengan kawan berlainan jantina tu, batas tetap ada. Jangan sesuka hati nak bertepuk-tampar dengan anak dara / teruna orang sembarangan. Macam mana percaya pun, mereka tetap manusia biasa yang tak sempurna. Satu kesilapan mungkin bawa penyesalan seumur hidup. Dan bukan semua orang sebertuah Rina. Jadi beringatlah ya, adik/kakak/abang/ sekelian? Haish, entah kenapa terlebih emosi pula. Tahniah Kak Rose. Moga terus berkarya. :) 

Saturday, September 28, 2013

Secantik Anugerah - Sarnia Yahya

Posted by Hajar at 10:14 PM 1 comments

Tajuk: Secantik Anugerah
Penulis: Sarnia Yahya
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM19.90
Sabah/ Sarawak: RM 22.90
Halaman: 502 mukasurat
ISBN: 9789834347376

Satu lagi novel yang berjaya saya sudahkan dalam tempoh 'berpuasa' saya. Hehe.

Aisya digambarkan sebagai seorang isteri yang sangat setia. Perkahwinannya dengan Azri cukup membahagiakan tapi angkara sikap pentingkan diri individu yang rapat dengan Azri, ikatan perkahwinan mereka musnah di tengah jalan. Memang sedih. Lebih-lebih lagi Aisya baru saja keguguran anak pertamanya. Kemudian terus diceraikan tanpa sebab yang munasabah. Tak lama kemudian Aisya dapat tahu yang Azri sudah berkahwin dengan Natasha, anak kepada bapa angkat Azri. Sobs.

Selepas beberapa tahun Azri muncul kembali. Setelah Aisya sudah kuat berdepan dengan dugaan hidupnya. Azri mahu perbetulkan semua salah faham antaranya dengan Aisya yang tak pernah dijelaskan sebelum ini. Tapi, Azri rasa terhalang dengan 'status' Aisya yang kononnya sudah berkahwin dengan Farid, teman rapat Azri. Salah faham mereka ni tak terungkai sehinggalah Aisya dah bersetuju untuk menikahi Firdaus.

Firdaus. Nama yang cukup indah untuk lelaki yang berperwatakan menarik ini. Perkenalannya dengan Aisya membibitkan rasa cinta. Sanggup lakukan apa sahaja asalkan dapat memiliki Aisya. Aisya yang beku dengan lelaki setelah perpisahannya dengan Azri  akhirnya larut juga dalam kasih sayang yang ditunjukkan oleh Firdaus.

Rupanya perkahwinan mereka turut membongkar cerita disebalik perkahwinan Azri dengan Natasha. Sobs. Memang sedih bila kebenaran terbongkar. Tapi, masing-masing layak untuk berbahagia dengan kehidupan mereka walaupun sebenarnya saya sangat kesian dengan Azri. Sobs. Moga dia temui kebahagiaannya juga.

Komen saya: Ini kisah wanita yang lemah. Yang terlalu bergantung harap dengan lelaki. Hakikatnya memang begitulah. Suami seharusnya jadi tempat isteri berpaut. Cuma pendapat saya sebagai seorang wanita, tak salah kita berdikari dan menyimpan sedikit 'rasa' itu untuk diri sendiri agar andai ditakdirkan suatu hari nanti kita rebah, kita mampu untuk pantas berdiri kembali. :) Apa pun tahniah Kak Sarnia. Rupanya ini karya pertama penulis. Mengundur ke belakang rupanya saya ni. Hehe. Saya sukakan kisah ini sebab dalam kerumitan kisah Aisya-Firdaus-Azri ini ada banyak mesej yang tersirat untuk kaum wanita umumnya dan untuk saya khususnya. :)     

Sunday, September 23, 2012

Cinta Perigi Dan Timba - Shima Rostam

Posted by Hajar at 9:34 PM 2 comments

Tajuk: Cinta Perigi Dan Timba 
Penulis: Shima Rostam
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM21.90
Sabah/ Sarawak: RM 24.90
Halaman: 536 mukasurat
ISBN: 9789675229398

Melihatkan  tajuknya je kita dah boleh agak mungkin jalan ceritanya berkaitan dengan kisah perempuan mengejar seorang lelaki. Memang tak lari jauh pun. Cuma bezanya, Khalisa terpaksa menambat hati Naim Shauqi (Naim) yang dipaksa berkahwin dengannya. Cabaran betul buat Khalisa bila terpaksa menahan sabar dengan kerenah Naim ni. Lebih-lebih lagi bila Naim  terang-terang menolak Khalisa sebagai calon isteri yang dipilih oleh keluarganya. Yelah, Khalisa ni nampak kolot dengan bertudung litup, tak standing dengan Shareen, teman wanita kebanggannya tu.

Paling mengejutkan bila Naim dan Shareen tertangkap oleh Khalisa sewaktu sedang memadu asmara di rumah Naim. Fuh, saya kagum sungguh dengan reaksi Khalisa masa tu. Sempat lagi menyindir Shareen. Haha. Kalau orang lain agaknya mesti dah lari lintang pukang tinggalkan rumah tu. Tapi Khalisa tetap bersabar. Cuma selepas peristiwa itu dia banyak berfikir dan meminta petunjuk dari Allah tentang keputusannya menerima lamaran keluarga Naim. Hubungannya dengan Naim turut menerima tempias sehingga Naim jadi pelik dengan kedinginan Khalisa.

Selepas pernikahan mereka, Khalisa diuji lagi bila dia menerima kiriman email gambar-gambar Naim dalam keadaan yang mengaibkan. Rupanya itu semua angkara Shareen. Bila Naim tahu apa yang membelenggu fikiran Khalisa, dia bagaikan tersedar dari lena yang panjang. Di sinilah datangnya keinsafan dan kesedaran dalam dirinya bila aibnya terbongkar di hadapan isteri sendiri. Alhamdulillah. Memang bukan mudah, tapi bila hidayah tu sampai siapa yang mampu menolaknya kan? :)

Suatu yang membanggakan bila Khalisa ni cukup kuat semangat. Iyalah, biar pun rumahtangga mereka pernah diganggu Shareen, Khalisa masih mahu membantu bila Shareen ditimpa kecelakaan. Atas rasa tanggungjawab dan rasa bersalah kerana memutuskan hubungan antara Naim dan Shareen, Biar pun kerap diganggu bisikan-bisikan halus yang menghasut untuk meragui apa yang dilakukannya, Khalisa tetap membawa Shareen pulang ke kampungnya untuk memulihkan semangat Shareen sekaligus membawanya kembali ke pangkal jalan.

Komen saya: Kisah yang agak straight forward. Plot yang simple dan tak memeningkan kepala pembaca dengan konflik berat. Walaupun saya rasa macam ada kurang rencah, tapi saya tetap berpuas hati untuk percubaan pertama penulis ni. Banyak juga info-info berguna yang diselitkan dalam ni. Tahniah ya Shima. Moga akan terus berkarya selepas ini. :)

Friday, June 15, 2012

Hati Yang Luka - Norhayati Berahim

Posted by Hajar at 10:31 PM 1 comments


Tajuk: Hati Yang Luka
Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM21.90
Sabah/ Sarawak: RM -
Halaman:  562 mukasurat
ISBN: 9789834347307

Saya rasa kalau dihimpun semua hero novel Norhayati Berahim yang pernah saya baca, Raof ni adalah hero yang paling menjengkelkan saya. Haha. Bukan apa, egonya tinggi melangit. Lepas tu cakap dia saja yang betul, tak pandai jaga perasaan isteri dan juga teramat mengongkong isteri. Haish. Penyabar sungguh Widad isteri si Raof ni.

Widad dan Raof ni pernah bertunang. Kemudian pertunangan mereka diputuskan oleh Widad dengan alasan nak sambung pengajian. Padahal sebenarnya Widad terlalu kecewa sebab Raof selalu memandang rendah kedudukan Widad. Tak bagi muka langsung walaupun Widad dah 2 tahun jadi tunangan Raof. Yelah, Widad cuma anak seorang pemandu (ayah Raof), sedangkan Raof anak seorang berpangkat Datuk. Raof sebenarnya menaruh hati pada Widad, cuma 'kedudukan sosial' keluarga Widad tu yang menyebabkan dia rasa malu. Heh. Jadi Widad putuskan pertunangan mereka dan bawa diri ke Sweden untuk menyambung pengajian sekaligus nak membuktikan kepada Raof yang anak seorang pemandu juga boleh berjaya.

Elok je tak berapa lama lepas Widad pulang dari Sweden, Raof disaman oleh (bekas) teman wanitanya Lily yang menuduh Raof mencederakannya. Itu semua gara-gara Raof memutuskan hubungan mereka. Memang kaki propa sungguh Lily dengan maknya ni sampai nak bawa ke mahkamah segala. Haish. Jadi untuk membuktikan yang Raof tidak seperti yang didakwa, dia disarankan oleh peguam keluarganya untuk berkahwin. Di sinilah timbulnya idea untuk meminta pertolongan Widad.

Serba salah Widad nak buat keputusan. Namun, akhirnya Widad menerima lamaran keluarga Raof dengan beberapa syarat. Peliknya Raof boleh setuju dengan semua syarat tu tanpa fikir kesan di kemudian hari.

Perkahwinan mereka ni memang banyak turun-naiknya. Raof tu sangat suka menyindir Widad. Seolah-olah macam Widad tu tak berperasaan. Heh. Mujurlah dapat isteri penyabar. Kalau tak memang dah kena tinggal agaknya. Ops, teremosional pula. :P Sejauh mana agaknya Widad mampu bertahan sebagai isteri Raof ni?


Komen saya: Membaca kebanyakan review, memang rata-rata komen mengatakan menyampah dan geram dengan Raof, termasuklah saya sendiri. Haha. Kalau wujud di dunia nyata watak ni memang dah kena lempar batu agaknya. Sekalung tahniah buat penulis sebab berjaya mencorakkan watak Raof ni sampai kita rasa nak lenyek-lenyek je Raof ni. :)



Friday, May 18, 2012

Keindahan Cinta Iman - Zuraidah Othman

Posted by Hajar at 11:28 PM 0 comments
Tajuk: Keindahan Cinta Iman
Penulis: Zuraidah Othman
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM22.90
Sabah/ Sarawak: RM 25.90
Halaman:  553 mukasurat
ISBN: 9789675229374

Rasa macam dah lama tak baca karya Zuraidah Othman. Karya terakhir saya baca adalah Suci Wajah Rindu. Itu pun dah berapa tahun sudah agaknya. Jadi bila tahu yang Zuraidah Othman bakal keluarkan karya terbaru haruslah saya serbu gerai NB masa pesta buku yang lepas. :)

Awal-awal penceritaan je dah dihidangkan dengan kisah hidup Indah Balqish (Indah) yang tragik. Atas sebab cinta terhalang dengan Shahim, Indah dipersalahkan atas kematian emaknya. Kononnya panggilan daripada emak Shahim jadi punca emak si Indah diserang sakit jantung dan meninggal dunia. Sebenarnya Indah bukanlah puncanya. Nadiah si kakak ipar Indah itulah yang pandai putarbelitkan cerita.

Nadiah yang memang cemburukan layanan keluarga suaminya pada Indah walaupun Indah tu sebenarnya cumalah adik tiri, dah siap memasang angan untuk menjodohkan Indah dengan adik Datin Adilah, pemilik butik tempat dia bekerja. Siap bermuslihat segala. Kononnya nak pastikan kehidupan Indah tu terjamin selepas pemergian si emak. Indah tak tahu yang Nadiah dah siap buat perjanjian dengan Datin Adilah, kalau Indah setuju berkahwin dengan Badriz Iman (Iman) tu, salah satu butik Datin Adilah akan jadi hakmilik Nadiah. 

Indah pun tak tahu yang dia bakal dikahwinkan dengan lelaki yang dah beranak empat. Bila dapat tahu, memang cabut larilah Indah masa hari keluarga Iman datang merisik. Sangkanya, bakal suaminya itu lelaki tua, duda beranak empat. Rupanya, pemandu teksi yang tolong bawa dia melarikan diri dari rumah masa rombongan merisik datang bertandang itulah bakal suaminya. Anak-anak tu pula cumalah anak saudara yang diamanahkan kepada Iman selepas kematian abang sulungnya.

Asalnya Indah memang nak tolak lamaran Iman selepas dia tahu cerita sebenar di sebalik kematian emaknya daripada abang ketiganya. Tapi setelah bertemu dengan anak-anak saudara Iman, dia mengubah keputusannya. Sebab katanya dia nampak dirinya sendiri dalam diri Mia Anshara yang baru berusia 6 tahun tu. Mia tu perlukan kasih sayang dan perhatian seorang ibu seperti keadaannya selepas kematian emak kandungnya. Lagipun Iman memang benar-benar sayangkan Indah. Sanggup dia siasat segala maklumat tentang Indah sebab nak kenal Indah tu siapa. Keadaan itu lebih meyakinkan Indah untuk terima Iman sebagai suami. Akhirnya, perkahwinan mereka dilangsungkan juga dan selepas perkahwinan itu Indah nekad membawa diri mengikut Iman sebab terasa hati dengan layanan keluarga, terutama abang sulungnya. 

Lepas kahwin banyak cabaran yang menanti Indah. Walaupun kehadirannya nampak diterima baik oleh anak-anak saudara Iman, namun si kakak sulung yang bernama Aisyah itulah yang paling banyak menguji kesabaran Indah. Macam mana agaknya Indah menangani kerenah empat beradik itu kan?

Yang bagusnya, walaupun Indah seolah dipulaukan oleh keluarga sendiri, ramai je yang tukang sokong dia daripada belakang. Salah seorangnya adalah Peah Brutal. Nak tau siapa Peah Brutal? Kenalah baca. Hihi. :P

Komen saya: Satu yang saya kagum dengan penulis ini ialah dia pandai mengadunkan peristiwa demi peristiwa yang berlaku hingga ia jadi saling berhubungkait. Maksudnya, satu peristiwa akan menjadi penyebab kepada suatu peristiwa lain. Dan gaya penceritaannya macam rentetan peristiwa tu dah berlaku lama je walhal kisah konflik yang melanda Indah ni berlaku hanya dalam tempoh seminggu je selepas pernikahannya dengan Iman. Tapi yang pastinya kisah ini tak meleret okay? Semua persoalan pun terjawab dengan baik akhirnya. Phew. Oh, ada juga cameo keluarga AJ (Suci Wajah Rindu) dalam buku ni  kalau ada yang merindui mereka. Terima kasih dan tahniah untuk penulis atas buah tangan terbaru ini. :)

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review