Sunday, January 29, 2012

Baju Melayu Hijau Serindit - Syud

Posted by Hajar at 2:11 PM 3 comments


Tajuk: Baju Melayu Hijau Serindit (BMHS)
Penulis: Syud
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM 19.00
Sabah/ Sarawak: RM 22.00
Halaman: 430 mukasurat
ISBN: 9789675118593

One of my favourite book from one of my favourite author. :)

BMHS ni berkisar tentang Wardah yang terpaksa mempergunakan Firas untuk mengelakkan diri daripada dijodohkan dengan Ilham. Walaupun, sebenarnya Wardah sukakan si Ilham tu, tapi Wardah tak mahulah menangguk di air keruh. Ilham tu dah la baru putus tunang, tup-tup ibu Wardah nak jodohkan dia dengan Ilham pula. Wardah nak jadi mangsa rebound relationship? Memang takla kan jawapannya?

Jadi, bila Firas hubungi dia untuk sesi berkenalan, umpama satu rahmat buat Wardah. Rela dia mintak pertolongan Firas untuk menyamar jadi boyfriend sementara semata-mata untuk mengelakkan match-making session dengan Ilham si Clark Kent tu.

Awalnya pertemuan antara Wardah dengan Firas ni bukanlah dalam keadaan baik pun. Wardah selamba aje gelarkan Firas tu Shrek (masa tu hari Jumaat dan Firas pakai baju Melayu warna hijau serindit) sebab dia tak dapat nak beli buku ganti untuk adiknya, Laily. Firas dah borong 2 naskhah terakhir buku Nyanyian Tanjung Sepi tu untuk kakak dan adiknya. Mahunya tak mengamuk Wardah. Sampai hentak-hentak kaki keluar dari kedai buku tu. Kebetulan pulak Wardah memakai kasut berwarna merah. Terus dapat gelaran Dorothy (Wizard of Oz).

Lepas tu, pertemuan demi pertemuan secara tak sengaja akhirnya buat Firas tergerak hati untuk berkenalan dengan si Dorothy. Gigih dia mencari nombor telefon Wardah sebab nombor telefon dan kad perniagaan yang diberi pada Wardah, satu pun Wardah tak hiraukan. Akhirnya dapat juga nombor telefon rumah Wardah dengan bantuan Adil dan Aulia (Untuk Awak Teja Aulia) lepas pertemuan tak sengaja dengan Wardah masa kenduri kahwin Adil dan Aulia.

Pelik juga sebab Firas setuju je nak jadi boyfriend olok-olok Wardah. Strategi nak pikat Wardah kan? Dalam tak sedar rupanya masing-masing dah suka sama suka tapi banyak je 'pengganggu' dalam hubungan platonik diorang ni. Dengan salah fahamnya lagi. Tapi memang berbaloi sebab akhirnya masing-masing realise yang diorang memang suka sama suka.

M/s 423:

Wardah,
Ini untuk you, free gift sebab you suka kat I.

Firas

Comel kan? ;)

Komen saya: Satu lagi kisah 'manis' yang berjaya dilakar oleh Syud. :). Seperti biasa, buku tulisan Syud akan ada kesinambungan antara satu sama lain. Walaupun ia bukan sambungan kisah terdahulu, tapi sekurang-kurangnya kita dapat tahu kesudahan kisah mereka. Macam Adil yang dah berkahwin dengan Aulia (Untuk Awak Teja Aulia). Azril dan Lisa pulak sedang menanti kehadiran cahayamata mereka (Tentang..Dhiya). Lepas ni kisah tentang siapa pulak eh? Oh, mungkin Jiji (kawan Lisa dalam Tentang.. Dhiya) dan kisah Firdaus (Dia, Dalam Ramai) kot? ;)

Saturday, January 28, 2012

Arluna - Rin Ahmad @ Karya Lepak

Posted by Hajar at 8:45 PM 12 comments
Cover ehsan dari blog Karya Lepak

Arluna
Rin Ahmad @ Karya Lepak
http://karyalepak.blogspot.com

Kali ni saya nak review salah satu e novel yang dah tamat baru-baru ni. Bagi penggemar e-novel, ini salah satu kisah yang ditamatkan di blog. Insya Allah, jika ada rezeki penulis, akan dibukukan juga suatu hari nanti. :) Ini adalah karya kedua penulis yang saya ikuti selepas Gadis Edisi Terhad (walaupun sebenarnya ini adalah karya pertama penulis). Memang dari awal tak berminat nak ikuti sebab tajuknya sangatlah tak 'catchy'. Hahaha. (Ampun..) Tapi itulah, kan ada pepatah yang kata, 'don't judge a book by its cover'. Kena baca dulu baru kita berhak menilai ;).

Kalau ikutkan sebenarnya memang kena sangat pun tajuk dengan jalan ceritanya. Jadi, catchy tak catchy nya tajuk tu belakang kira. Janji mesejnya sampai. :)

Arluna mengisahkan sekitar kehidupan Nia Arluna (Nina) dan Johan Arif (Johan) dari mereka bertemu, bercinta dan berkahwin. Dimulai dengan pertemuan yang agak dramatik di Singapura, perkenalan mereka bersambung apabila Nina menjalani latihan industri di JPRA. Nina ditempatkan di bawah seliaan Raziq, yang merupakan teman baik Johan. Nina memang tak sangka boleh bertemu lagi dengan si Johan yang sombong itu.

Itulah kata orang kalau dah jodoh tak ke mana kan? Macam tu juga antara Johan dan Nina. Antara kehendak sendiri dan juga sebab tak mahu adik kesayangannya, Hanna kecewa bila Raziq dah mula menunjukkan minat untuk mendekati Nina, Johan mengambil langkah drastik melamar Nina menjadi isterinya. Maunya tak cair, bila kena propose kat Taman Burung KL tu. Dah penat main tarik tali, akhirnya Nina terima juga lamaran Johan tu.

Langit memang tak selalu cerah. Tinggal seminggu lagi sebelum mereka bernikah, Johan kantoi bermesraan dengan bekas teman wanitanya depan mata Nina. Dan hal itulah yang jadi api dalam sekam dalam perkahwinan mereka. Dah macam kena kahwin paksa dah gayanya. Tapi saya tabik dengan Nina sebab tetap hormat Johan sebagai suami walaupun Johan banyak sangat berahsia di awal perkahwinan mereka ni. Tewas itu taat, dah jadi tagline Nina. Kalau tengok cara Nina atasi konflik dengan Fazleen (ex-Johan) memang patut dipuji walau nampak kebudakan. Suami sendiri oh, takkan nak dok diam je bila terang-terang si bekas teman wanita tu sibuk-sibuk nak menempel.

Uniknya cerita ni bukan macam sesetengah cerita lain yang kita baca. Biasanya perkahwinan yang bermula dengan masalah kecil akan end up dengan isu yang lebih besar. Arluna ni taklah cliche macam tu. Masalah salah faham dengan ibu Johan pun senang je selesai dengan bantuan Hanna. Untungnya Johan dapat sokongan padu daripada Hanna. Sebab sebelum ni, hubungan Johan dan Fazleen dapat tentangan daripada Hanna. Tapi Hanna tak nyatakan kenapa sebab nak menjaga aib arwah kembarnya, Hanni.

Johan ni walau dah kahwin dengan Nina, masih lagi berhubung dengan Fazleen tu atas dasar perniagaan kononnya. Dia tak sedar yang Nina banyak memendam rasa dengan sikapnya tu. Akhirnya bila Hanna membuka pekung Hanni (yang sebenarnya buka pekung si Fazleen sekali), Johan sedar juga yang Nina dah banyak memendam rasa akibat sikap 'toleransi'nya dengan Fazleen tu. Johan bertindak memutuskan segala bentuk hubungannya dengan Fazleen serta-merta. And they live happily ever after. Haha. Insya Allah.

Suka ending scene yang manis walaupun sedih sebab terpaksa berpisah dengan depa berdua. :)

Komen saya: Arluna ni bukan nak tunjukkan betapa manisnya bercinta, tapi lebih kepada macam mana nak 'tackle and tolerate' with marriage life. Lebih-lebih lagi di awal perkahwinan. Yela, masa bercinta semuanya manis. Lepas kahwin itulah pahit manis hidup berkeluarga yang sebenar. Macam mana nak berdepan dengan hidup baru, nak reconcile dengan suami and so on. Bagus sebagai bacaan untuk panduan orang yang nak berkahwin. ;)

Thursday, January 26, 2012

Aku Pilih Dia - Hezzy Azra

Posted by Hajar at 6:47 PM 2 comments

Tajuk: Aku Pilih Dia
Penulis: Hezzy Azra
Penerbit: Alaf 21
Harga : RM22.00
Sabah/Sarawak: RM25.00
Halaman: 547 mukasurat
ISBN: 9789831247426

Aku Pilih Dia (APD) ni dah jadi salah satu buku kegemaran saya tahun ni.

APD mengisahkan Johana yang kehilangan tunang tersayang, Khalil tiga bulan sebelum mereka dinikahkan. Bertahun dia cuba merawati luka dihatinya kerana tiada siapa yang dapat menggantikan tempat Khalil dalam hatinya.

Johana ni bersahabat baik dengan Raif (seorang usahawan cum player) yang dikenali waktu first assignment masa mula-mula Johana jadi wartawan. Raif tertarik dengan Johana bila Johana mengutarakan soalan yang tak ada kaitan dengan event yang dia sedang cover, tapi end up topik tu jadi tajuk utama akhbar selepas tu.

Dari situlah mereka jadi rapat. Tapi masing-masing tak pernah meluahkan rasa hati. Mereka selesa kekal dengan status 'teman tapi mesra'. Raif, walaupun ramai teman wanita, namun Johana tetap ada kedudukan istimewa dalam hatinya. Cuma Raif mahupun Johana masing-masing tak mahu mencemar hubungan 'rapat' mereka dengan status yang lain.

Kemunculan Ian Redza (Ian), abang kandung Raif (berlainan ibu), berjaya mengocak ketenangan hati Johana. Kebetulan Ian merupakan seorang yang sangat sukakan aktiviti lasak, sekaligus membuatkan Johana terkenangkan arwah Khalil. Mungkin itu antara penyebab Johana sukakan Ian. Raif pula berasa tergugat bila Johana makin rapat dengan Ian. Waktu itulah dia baru sibuk-sibuk nak luahkan rasa hatinya pada Johana.

Tapi, siapa agaknya yang jadi pilihan Johana ya? ;)

Komen saya: kisah yang dilakarkan oleh Kak Hezzy biasanya simple tapi manis. Macam pertemuan antara Ian dan Johana di Petronas. Unexpected, tapi berjaya dikembangkan dengan baik. :) Buat yang merindui Marissa dan Akmal (Kenangan Terindah) dan juga Shaq dan Larra (Cinta Tak Beralih), kemunculan cameo mereka bakal mengubati rindu kalian. ;)

Sunday, January 15, 2012

Bukan Milikmu - Salleh Shihabudin

Posted by Hajar at 9:14 PM 0 comments

Tajuk: Bukan Milikmu
Penulis: Salleh Shihabuddin
Penerbit: Buku Prima
Harga : RM19.90
Sabah/Sarawak: RM22.90
Halaman: 469 mukasurat
ISBN: 9789670342016

Bukan Milikmu ini menyingkap masalah sosial yang memang berlaku pada hari ini.

Nor Akma dan Nor Atika, dua beradik yang menjadi harapan keluarga. Lebih-lebih lagi Nor Akma. Nor Akma merupakan pelajar cemerlang yang juga merupakan atlit di sekolah. Akibat kesilapannya yang terlalu mempercayai lelaki yang baru dikenalinya melalui Facebook (kalau ikut timeline yang sebenar, facebook belum wujud lagi zaman tu :P) Akma disahkan mengandung benih lelaki yang hanya dikenali sebagai Jimi itu.

Tapi akibat tidak mengetahui dan mengenali latar belakang Jimi, Nor Akma tidak tahu bagaimana nak mencari Jimi untuk bertanggungjawab ke atas kandungannya. Akma bernasib baik kerana guru kelasnya, Cikgu Zamri dan guru kaunseling, Cikgu Rosni sudi untuk membantu menyelesaikan masalah Nor Akma. Namun, belum sempat masalah diselesaikan, ibu bapa Nor Akma dapat menghidu kelainan tingkahlaku anak mereka sehingga terbongkar rahsia kandungan Nor Akma. Nor Akma akhirnya dihalau keluar daripada rumah ibu bapanya kerana memalukan keduanya.

Selepas dihalau keluar, Nor Akma membawa diri dan akhirnya bertemu dengan sepasang suami isteri yang baik hati. Mereka akhirnya setuju untuk mengambil Nor Akma sebagai anak angkat mereka. Mereka juga mempunyai seorang lagi anak perempuan bernama Najwa yang akhirnya menjadi teman baik Nor Akma Nor Akma tidak mengetahui yang kedua ibu bapa angkatnya itulah ibu bapa Najeev Hakimi, si lelaki yang telah menodainya.

Setelah melahirkan Nur Eiman, Nor Akma menyambung pengajiannya di Universiti Malaya. Di sini Nor Akma bertemu kembali dengan teman karibnya di sekolah lama, Erna. Dalam masa yang sama Nor Akma juga bersahabat baik dengan Izham Hafiz. Izham sebenarnya menyintai Nor Akma, tetapi memikirkan statusnya Nor Akma agak keberatan untuk menerima Izham dalam hidupnya. Bila Nor Akma dah bersedia untuk menerima, Izham pula menjauhkan diri akibat termakan fitnah yang ditaburkan oleh seseorang yang dengkikan Nor Akma. Akibat selisih faham tersebut, hubungan Nor Akma dan Izham terputus tanpa Nor Akma menerangkan kedudukan sebenar Nur Eiman dalam hidupnya.

Setahun kemudian, mereka dipertemukan kembali di bawah satu bumbung bila Izham bertukar kerja ke tempat kerja yang sama dengan Nor Akma. Hubungan yang keruh berjaya dijernihkan bila mereka ditugaskan untuk menyelesaikan satu tugasan. Nor Akma akhirnya menerima Izham dalam hidupnya.

Namun, pertemuan semula Nor Akma dengan Najeev Hakimi di London semasa menyaksikan konsert Siti Nurhaliza berjaya menoreh luka Nor Akma kembali. Najeev Hakimi yang telah pun bertunang dengan Nor Atika (tanpa diketahui oleh Nor Akma) sanggup menikahi Nor Akma semata-mata untuk bertanggungjawab dan menebus dosa silamnya.

Siapakah pilihan Nor Akma? Apakah reaksi Izham Hafiz bila mengetahui hakikat siapa sebenarnya Najeev Hakimi dalam hidup Nor Akma? Bagaimana reaksi ibu dan bapa Najeev Hakimi serta ibu dan bapa Nor Akma setelah mengetahui hakikat sebenarnya selama ini?

Komen saya: Naskhah ini sebenarnya agak menarik, cuma ketidak-pekaan pengarang dengan timeline semasa menulis agak mengganggu tumpuan pembacaan.

Tajdid Rindumu - Dyza Ainun

Posted by Hajar at 9:08 PM 0 comments

Tajuk: Tajdid Rindumu
Penulis: Dyza Ainun
Penerbit: Buku Prima
Harga : RM25.90
Sabah/Sarawak: RM28.90
Halaman: 661 mukasurat
ISBN: 9789670184111

Tajdid Rindumu mengisahkan V'na, seorang graduan yang bekerja di Kedai Kek Suria sementara menanti pekerjaan yang lebih baik. V'na mempunyai 2 orang sahabat baik yang bekerja bersama dengannya di Kedai Kek Suria.

Akibat 'kemalangan' secara tidak sengaja antara V'na dengan Izzul Haqeemi telah menyebabkan Izzul tertarik dengan V'na walaupun V'na ni perwatakannya sangatlah dingin dan kasar. Tapi Izzul ni tak berputus asa dan sentiasa mencari peluang untuk mendekati V'na. Kawan-kawan V'na yang berdua tu pun memang penyokong kuat Izzul.

Mereka tak mengetahui yang sebenarnya Izzul tu dah berkahwin dengan Siti Dalila namun masih belum dikurniakan zuriat walaupun telah berkahwin lebih 5 tahun. Bila Izzul suarakan hasrat ingin berkahwin lain, Siti Dalila sangat terluka. Namun dalam masa yang sama berusaha mencarikan calon isteri untuk suaminya tanpa mengetahui Izzul sebenarnya sudah ada calon yang sesuai.

Bila Siti Dalila mengetahui yang Izzul telah mempunyai calon, Siti Dalila tekad untuk bertemu dengan V'na, melamar bagi pihak Izzul. Memang agak kurang waraslah bila isteri sanggup melamar wanita lain bagi pihak suami kan? Tapi ugutan Izzul yang akan meninggalkan Malaysia sekiranya tidak dapat berkahwin dengan V'na membuatkan Siti Dalila mengalah. Isteri mana yang tak sayangkan suami kan?

V'na mulanya menolak. Yelah, perempuan mana yang rela bermadu kan? Namun pujukan-demi pujukan oleh Siti Dalila telah berjaya membuatkan V'na bersetuju dengan pernikahan itu. Dengan syarat, V'na berkahwin dengan Izzul untuk melahirkan zuriat dengan dibayar sejumlah wang untuk pembinaan rumah keluarganya dikampung. Siti Dalila berasa 'selamat' bila mengetahui yang V'na tidak mencintai Izzul tetapi dia tidak mengetahui bahawa sebenarnya Izzul sangat cintakan V'na.

Perkahwinan mereka berlangsung seperti yang dirancangkan. Siti Dalila membawa diri ke Indonesia untuk memberi ruang kepada Izzul menghabiskan masa dengan V'na. Pertemuannya dengan teman seuniversiti, Syakil banyak membantu Siti Dalila berhadapan dengan kemelut rumahtangganya. Godaan demi godaan oleh Syakil akhirnya menyeret mereka hingga ke hubungan terlarang walaupun Siti Dalila sebenarnya masih mencintai Izzul.

Apabila V'na mengandung Siti Dalila mula berasa kedudukannya tergugat apabila Izzul memberikan sepenuh perhatian kepada V'na sehingga menolak satu kontrak besar yang memerlukan Izzul ke luar negara. Bila mengetahui Izzul sanggup mengorbankan perniagaan hanya untuk V'na, Siti Dalila sanggup bertemu V'na supaya memujuk Izzul untuk menyelesaikan urusniaga tersebut. Siti Dalila juga kerap mengingatkan kedudukan V'na di sisi Izzul. V'na yang sebenarnya telah mula jatuh cinta dengan suami sendiri terpaksa menyembunyikan perasaannya hanya kerana terikat dengan perjanjian sebelum perkahwinannya itu.

Lawak juga V'na ni, setiap kali mengidam nak makan apa-apa dia akan sms Izzul dengan menggunakan anak mereka sebagai perantaraan. Biasanya smsnya akan ada 'anak awak teringin nak makan itu' atau ' anak awak mengidam nak makan ini'. Hanya kerana nak menjaga gengsi dan air mukanya.

Bila menyedari yang Izzul terlalu cintakan V'na, Siti Dalila berikhtiar untuk memisahkan mereka selepas V'na melahirkan zuriat yang ditunggu itu. Akhirnya dengan bantuan 'ubat pembenci' yang diperolehinya di Indonesia, Siti Dalila berjaya membuat Izzul menceraikan V'na dengan talak tiga sejurus selepasV'na melahirkan zuriat mereka. Bayi mereka yang diberi nama Kamila juga turut diambil untuk dipelihara oleh Izzul dan Siti Dalila.

Dendam Siti Dalila kepada V'na masih belum selesai apabila dia mencadangkan Syakil menikahi V'na. Kononnya bila Syakil menikahi V'na, hak penjagaan Kamila akan diserahkan kepada V'na. Walhal niat sebenarnya adalah untuk menyeksa V'na dengan perkahwinan itu. Memaksa V'na jadi saksi hubungan terlarang mereka berdua.

Akhirnya hubungan terlarang mereka terbongkar bila Siti Dalila ditimpa kemalangan dan keguguran. Syakil meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya itu. V'na pula koma setelah jatuh akibat pergaduhan dengan Syakil dan Siti Dalila.

Apakah yang berlaku kepada V'na? Berjayakah V'na mendapatkan semula zuriatnya daripada Izzul?

Komen saya: Buku ini penuh emosi. Lebih-lebih lagi bila melibatkan Siti Dalila. Watak isteri baik yang berdendam akibat termakan hasutan syaitan. Dendam yang akhirnya memakan diri sendiri. Sebenarnya ada juga unsur yang saya rasa macam tak logik, tapi bila fikirkan ia hanyalah imaginasi penulis sebuah karya kreatif, abaikan ajelah unsur tak logik tu. :P

Jodoh Kau Dan Aku - Afifah Yusuf

Posted by Hajar at 9:03 PM 2 comments

Tajuk: Jodoh Kau Dan Aku
Penulis: Afifah Yusof
Penerbit: Fajar Pakeer
Harga : RM18.00
Sabah/Sarawak: RM21.00
Halaman: 370 mukasurat
ISBN: 9789673650965

Satu lagi novel kahwin paksa di pasaran. Tipikal, tapi memang ramai yang gemarkan genre sebegini. :)

Jodoh Kau Dan Aku (JKDA) ni sebenarnya antara novel yang saya ikuti di blog penulisnya dulu. Saya tau ramai yang agak bengang dengan endingnya. But hey, that's her first attempt. So, jangan mengharapkan sesuatu yang sempurna. Doakan karyanya yang akan datang akan lebih baik daripada yang ini. Mudah-mudahan.:)

JKDA ni mengisahkan Natasya yang merupakan anak gadis kepada seorang usahawan berjaya bergelar Datuk. Natasya mempunyai seorang kakak sebapa bernama Hana. Natasya merupakan seorang graduan dalam bidang fesyen tapi dipaksa oleh Datuk Hasnol untuk bekerja di syarikatnya untuk mempelajari seelok-belok tentang perniagaan. Natasya ni selalu saja dibandingkan dengan Hana sehinggakan untuk mencari jodoh pun disuruhnya Natasya mencari jodoh yang sepadan dengan kekayaan mereka sekaligus mencontohi kakaknya yang sedang bercinta dengan Raja Farhan.

Hinggalah suatu hari kedatangan Ashraf ke rumah mereka membongkar rahsia Hana. Ashraf merupakan kekasih Hana tapi dinafikan oleh Hana. Hana berjaya memutarbelitkan fakta, mengatakan yang Ashraf merupakan kekasih Natasya. Datuk Hasnol yang memang terlalu mempercayai Hana memarahi Natasya kerana berani bercinta dengan orang yang tak sepadan dengan kedudukan mereka oleh kerana Ashraf hanyalah seorang peguam yang makan gaji.

Ashraf yang rasa marah dan tercabar dengan Hana meminang Natasya hanya kerana mahu membalas dendam di atas penghinaan keluarga Natasya kepadanya. Datuk Hasnol yang berang kerana Natasya tak mahu menurut kata-katanya terpaksa menikahkan Natasya dan Ashraf. Selepas pernikahan mereka Natasha dihalau keluar dari rumah agam keluarganya. Natasya juga dibuang kerja serta-merta.

Ashraf yang merasa bersalah dengan Natasya berusaha untuk menyediakan kediaman yang selesa untuk Natasya walaupun kediaman mereka tidaklah semewah dan seagam rumah keluarga Natasya. Tanpa pengetahuan keluarga Natasya, keluarga Ashraf juga merupakan usahawan berjaya. Cuma Ashraf tak suka menumpang kekayaan keluarganya sebagai memberontak sebab ibu bapanya kerap sibuk dengan kerjaya hingga mengabaikan Ashraf. Mujurlah keluarga ibu susuannya sangat menyayangi Ashraf.

Beberapa hal yang berlaku akhirnya merapatkan hubungan Ashraf dan Natasya. Natasya juga membantu merapatkan hubungan Ashraf dan ibu bapanya. Dalam masa yang sama, Ashraf juga membantu Datuk Hasnol menyiasat dan menyelesaikan masalah dalaman yang berlaku di dalam syarikat angkara Hana. Datuk Hasnol yang menyesal dengan perbuatannya telah meminta maaf dengan Natasya dan Ashraf.

Memang tak sangka Hana sanggup mengkhianati bapa sendiri untuk membolot syer supaya dapat menguasai syarikat. Konon dengan menyebelahi bakal bapa mertuanya, Raja Fariuddin, Hana akan memiliki dan berkuasa dalam syarikat kepunyaan bapanya itu. Tapi akhirnya Hana juga disingkirkan oleh Raja Fariuddin dengan mudah.

Apa yang bakal berlaku kepada Hana? Adakah Datuk Hasnol memaafkan Hana atas apa yang telah dilakukannya? Berjayakan Natasya mengekalkan perkahwinannya dengan Ashraf? Semuanya akan terjawab dalam JKDA. ;)

Komen saya: JKDA merupakan sebuah kisah tipikal tanpa konflik berat yang akan membuat emosi menjadi roller coaster. Senang cerita, buku ini tak membuatkan kita berfikir banyak. Just a nice story for a beginner. ;)

Friday, January 13, 2012

Sehiris Bulan - Hafizah Iszahanid

Posted by Hajar at 10:27 PM 0 comments

Sehiris Bulan
Penulis: Hafizah Iszahanid
Terbitan : Jemariseni Sdn. Bhd.
Harga : RM21.00
Sabah/Sarawak: RM24.00
Halaman: 511 muka surat
ISBN : 9789675118715

Sehiris Bulan dimulai dengan pertemuan Lily Julia dan Engku Effendi di dalam tandas lelaki akibat kesilapan Lily Julia memasuki tandas. Itu pun selepas menghantar ibunya untuk menjalani rawatan di PPAM. Engku Effendi yang merupakan seorang doktor di PPAM juga secara kebetulannya adalah abang kepada teman sekuliah Lily Julia, Engku Atilia. Mereka juga bersahabat baik dengan Zaira

Jemputan Atilia ke rumah keluarganya untuk majlis kenduri kesyukuran telah menemukan Engku Effendi dan Lily Julia sekali lagi. Paling manis, bonda mereka, Tengku Mahani berkenan pula untuk menjodohkan Effendi dan Julia. Dapat restu semua dari semua orang pula tu (keluarga Julia serta keluarga Effendi). Bila diberi tempoh untuk memberi jawapan kepada risikan daripada pihak keluarga Effendi, Julia jadi serba salah sebab takut dia akan hampakan harapan kedua-dua buah keluarga yang terlalu gembira dengan silatulrahim kedua buah keluarga itu.

Engku Effendi pula masih dibelenggu rasa kecewa bila terpaksa memutuskan ikatan kasihnya dengan Kassandra Pullman (yang akhirnya memeluk Islam dan menukar namanya menjadi Khadeja Pullman. Khadeja merupakan teman sepasukan Julia semasa Julia mengikuti pasukan bantuan perubatan ke Afghanistan) setelah sekian lama menyulam kasih. Hubungan cinta mereka mendapat tentangan hebat daripada Tengku Mahani yang masih prejudis dengan perkahwinan campur. Jadi, bila Tengku Mahani mencadangkan untuk melamar Julia bagi pihaknya, Engku Effendi tidak membantah hanya kerana tidak mahu mengecewakan ibunya.

Perkenalan Julia dan Adlan Huzairi di Langkawi akhirnya membuatkan Julia terpaut hati dan akhirnya menolak lamaran keluarga Engku Effendi. Sampai accident si Effendi tu. Walaupun dia menafikan, saya tetap merasakan ia ada kaitan dengan keputusan Julia.

Zaira pula memang begitu meminati Adlan Huzairi sejak zaman remaja. Adlan Huzairi ni seorang pelukis. Bila diperkenalkan dengan Adlan Huzairi oleh Julia, Zaira merasakan inilah peluang dia untuk mendekati lelaki yang dipuja sejak zaman remajanya. Zaira yang begitu meminati Adlan Huzairi sentiasa berusaha untuk mendampingi Adlan Huzairi dan menyingkirkan Julia secara tak disedari. Lebih-lebih lagi sewaktu Julia ditugaskan untuk mengikuti pasukan bantuan perubatan membuat liputan di Afghanistan. Waktu ini Zaira memancing Adlan Huzairi dengan berjanji untuk mengadakan pameran seni di New York. Tapi hasilnya? Ego seorang lelaki bernama Adlan Huzairi telah pun tercalar. Licik dan sungguh menjengkelkan watak Zaira ni. Nampak macam baik, tapi hakikatnya ibarat duri dalam daging. Juga terlalu psiko dan obsessif dengan apa yang disukainya.

Keagresifan dan keobsesan Zaira memuncak saat majlis pertunangan Julia dan Adlan Huzairi berlangsung yang akhirnya membawa kepada pembatalan majlis pertunangan. Manakala ibu Julia pula terpaksa dikejarkan ke hospital akibat serangan jantung. Mau tak terkejut, bila orang membuat onar dan mengamuk dalam majlis kita. Zaira pula dinasihatkan oleh Engku Effendi untuk mendapatkan rawatan.

Melihatkan keadaan kesihatan ibunya yang terganggu akibat insiden itu menyebabkan Julia memutuskan hubungannya dengan Adlan Huzairi dan membawa diri ke Kuching dengan tiket pertukaran cawangan tempat kerjanya. Beberapa bulan kemudian, Julia menerima kad undangan perkahwinan Zaira dan Adlan. Jadi, Julia memang tidak menyimpan sebarang harapan untuk kembali ke pangkuan Adlan Huzairi.

Pulang ke semenanjung, Tengku Mahani melamar Julia sekali lagi untuk Engku Effendi dan kali ini Julia menerima dengan senang hati kerana pengakuan cinta Engku Effendi dan juga atas rasa tak terikat dengan sesiapa. Tapi perkhabaran yang dibawa oleh Engku Effendi tentang Adlan Huzairi berjaya menggugat ketenangan hati Julia. Siapa yang jadi pilihan hati Julia? Adakah Adlan Huzairi yang opportunis, atau Doktor Engku Effendi yang sanggup melepaskan Julia pergi untuk melihat insan yang dicintainya itu berbahagia?

Komen saya: Buku ini berjaya membuat emosi saya menjadi roller coaster semasa membaca bahagian Zaira yang psiko itu. Kekadang geram juga dengan Adlan yang tak bersungguh menolak kehadiran Zaira ke dalam hidupnya. Grrr.. Tapi saya tabik dengan Julia sebab berjaya buat pilihan yang bijak. :P

Thursday, January 12, 2012

Erti Cinta - Camellia Emkay

Posted by Hajar at 9:06 PM 0 comments

Erti Cinta
Penulis: Camellia Emkay
Terbitan : Karyaseni Enterprise
Harga : RM19.00
Sabah/Sarawak: RM22.00
Halaman: 484 muka surat
ISBN : 9789670246116

Seperti yang saya catatkan di twitter beberapa minggu yang lalu, membaca buku ini seumpama menonton siri Ghost Whisperer. Ia seumpama seram yang takkan jadi seram bila kita tidak tahu yang kita sebenarnya berada di sekeliling ‘mereka’. Atau sebenarnya ‘mereka’ yang berada di sekeliling kita? Heh.

Sejujurnya ini memang pertama kali saya membaca karya genre sebegini dan saya ambil masa agak lama juga untuk menyudahkan pembacaan atas dasar diri sendiri yang dihantui fobia. J

Erti Cinta membawa kita menyelami kehidupan Anis dan Maria, 2 orang pelajar kolej yang bersahabat baik. Atas sebab tidak selesa dan tidak sanggup berhimpit di dalam bilik asrama yang disediakan oleh pihak kolej, mereka mengambil inisiatif mencari rumah sewa untuk keselesaan mereka sendiri.

Mereka kemudiannya berpindah ke Flat Seri Mastura, di tingkat 7. Di sini mereka berkenalan dengan Joe dan ibunya serta Danny yang penuh misteri. Joe yang sentiasa bertindak ala ‘guardian angel’ kepada Anis dan Maria ini sebenarnya menyimpan ‘cerita’ tentang kawasan tempat tinggal mereka tu. Atas sebab kawan yang pernah dikenali oleh Joe itu (Zana) ada iras Anis, maka Joe sentiasa sukarela bertindak sebagai ‘guardian angel’ buat Anis dan Maria supaya Anis (terutamanya) dan Maria takkan mengulangi sejarah yang telah menimpa Zana.

Antara pesanan-pesanan Joe dan ibunya;

- Jangan balik lewat.

- Jangan berkeliaran di bawah flat waktu senja / Maghrib

- Tidur awal (sebelum tengah malam)

- Abaikan bunyi-bunyi yang didengari.

Sebenarnya saya kagum dengan Anis dan Maria yang sangat berfikiran positif dalam menangani ‘gangguan’ sebegini. Walaupun sebenarnya Joe dan ibunya sudah meminta mereka mengabaikan saja bunyi yang mereka dengar itu. Sanggup pula ke tingkat atas semata-mata untuk ‘warning’ penghuni di atas rumah mereka yang suka buat bising mengalihkan perabot di tengah malam. Kalau sayalah, mesti dah meremang bulu roma. =)

Banyak lagi gangguan yang mereka alami sehingga Anis jatuh sakit dan akhirnya memaksa Maria mencari ibu Joe untuk membongkar kebenaran yang tersirat di sebalik kemisterian rumah mereka dan kawasan flat itu sendiri. Tapi, mereka masih lagi berani (atau tiada pilihan lain) untuk tinggal di situ.

Danny pula dikenali oleh mereka pada hari pertama berpindah ke Flat Seri Mastura. Perwatakan Danny yang nampak ‘cool’ dan kacak itu telah menarik minat Anis untuk cuba lebih mengenali Danny. Tapi malangnya Danny ini sangat misteri dan hanya waktu tertentu saja dia memunculkan diri. Bila ditanya pada Joe, tiada siapa pun mengenali Danny. Lalu, siapa agaknya Danny?

Permintaan Danny yang menyuruh Anis mencari Haryati atau Pia bagi mendapatkan kerja part time di Taman Air Vienna akhirnya berjaya menyingkap misteri siapa Danny yang sebenarnya. Di situlah kita dapat menyimpulkan erti cinta yang cuba disampaikan dalam naskhah ini.

Komen saya: Cubalah baca karya ini dan anda takkan menyesal. Dengarnya akan ada kesinambungannya nanti. =)

Pertama

Posted by Hajar at 8:08 PM 0 comments
Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Ini merupakan blog ketiga yang aktif yang insya Allah akan saya manfaatkan untuk review dan ulasan buku-buku yang telah pun saya baca.

Atas kesedaran betapa payahnya untuk mendapatkan dan mencari review untuk buku-buku yang saya putuskan untuk jual di sini, maka terhasillah blog ini.

Selain itu, saya blog ini juga berperanan sebagai catatan untuk ingatan saya bagi setiap buku yang telah saya baca, just in case kalau terlupa jalan cerita selepas ni. Tak perlulah saya nak membelek keseluruhan buku untuk gambaran jalan ceritanya. Mudah kan?

Jadi, doakan saya semoga Allah sentiasa diberikan kesempatan dan kesihatan untuk menulis review buku yang bakal atau pun sudah dibaca dalam blog ini agar blog ini tidak akan 'bersawang' dalam tempoh yang lama. Mudah-mudahan. Aminnn. =)

Until next post. See ya! =)
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review