Sunday, September 23, 2012

Cinta Perigi Dan Timba - Shima Rostam

Posted by Hajar at 9:34 PM 2 comments

Tajuk: Cinta Perigi Dan Timba 
Penulis: Shima Rostam
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM21.90
Sabah/ Sarawak: RM 24.90
Halaman: 536 mukasurat
ISBN: 9789675229398

Melihatkan  tajuknya je kita dah boleh agak mungkin jalan ceritanya berkaitan dengan kisah perempuan mengejar seorang lelaki. Memang tak lari jauh pun. Cuma bezanya, Khalisa terpaksa menambat hati Naim Shauqi (Naim) yang dipaksa berkahwin dengannya. Cabaran betul buat Khalisa bila terpaksa menahan sabar dengan kerenah Naim ni. Lebih-lebih lagi bila Naim  terang-terang menolak Khalisa sebagai calon isteri yang dipilih oleh keluarganya. Yelah, Khalisa ni nampak kolot dengan bertudung litup, tak standing dengan Shareen, teman wanita kebanggannya tu.

Paling mengejutkan bila Naim dan Shareen tertangkap oleh Khalisa sewaktu sedang memadu asmara di rumah Naim. Fuh, saya kagum sungguh dengan reaksi Khalisa masa tu. Sempat lagi menyindir Shareen. Haha. Kalau orang lain agaknya mesti dah lari lintang pukang tinggalkan rumah tu. Tapi Khalisa tetap bersabar. Cuma selepas peristiwa itu dia banyak berfikir dan meminta petunjuk dari Allah tentang keputusannya menerima lamaran keluarga Naim. Hubungannya dengan Naim turut menerima tempias sehingga Naim jadi pelik dengan kedinginan Khalisa.

Selepas pernikahan mereka, Khalisa diuji lagi bila dia menerima kiriman email gambar-gambar Naim dalam keadaan yang mengaibkan. Rupanya itu semua angkara Shareen. Bila Naim tahu apa yang membelenggu fikiran Khalisa, dia bagaikan tersedar dari lena yang panjang. Di sinilah datangnya keinsafan dan kesedaran dalam dirinya bila aibnya terbongkar di hadapan isteri sendiri. Alhamdulillah. Memang bukan mudah, tapi bila hidayah tu sampai siapa yang mampu menolaknya kan? :)

Suatu yang membanggakan bila Khalisa ni cukup kuat semangat. Iyalah, biar pun rumahtangga mereka pernah diganggu Shareen, Khalisa masih mahu membantu bila Shareen ditimpa kecelakaan. Atas rasa tanggungjawab dan rasa bersalah kerana memutuskan hubungan antara Naim dan Shareen, Biar pun kerap diganggu bisikan-bisikan halus yang menghasut untuk meragui apa yang dilakukannya, Khalisa tetap membawa Shareen pulang ke kampungnya untuk memulihkan semangat Shareen sekaligus membawanya kembali ke pangkal jalan.

Komen saya: Kisah yang agak straight forward. Plot yang simple dan tak memeningkan kepala pembaca dengan konflik berat. Walaupun saya rasa macam ada kurang rencah, tapi saya tetap berpuas hati untuk percubaan pertama penulis ni. Banyak juga info-info berguna yang diselitkan dalam ni. Tahniah ya Shima. Moga akan terus berkarya selepas ini. :)

Saturday, September 22, 2012

Setitis Kasih Darmia - Naniey TJ

Posted by Hajar at 10:13 PM 6 comments

Tajuk: Setitis Kasih Darmia
Penulis: Naniey TJ
Penerbit: SR Publication
Harga: RM26.90
Sabah/ Sarawak: RM 29.90
Halaman: 665 mukasurat
ISBN: 9789675822094

Darmia, sempat bermanja dengan ibunya hanya seketika. Selepas pemergian ibunya, Darmia dibesarkan oleh salah seorang ibu saudaranya. Namun, nasib Darmia tidaklah sebaik mana bila dia terperangkap berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenali selepas melarikan diri daripada menjadi mangsa perkosaan bapa saudaranya. Lepas bernikah, Darmia ditinggalkan.

Selepas 4 tahun baru mereka bertemu kembali bila Haliza (sepupu yang paling rapat dengan Darmia) membawa Darmia ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan sekaligus menyambung pengajian. Darmia disuruh menjadi pembantu rumah Khairul Amir. Bila mengetahui Darmia yang bekerja sebagai pembantu dirumahnya, Khairul Amir memang mengambil kesempatan untuk melunaskan dendamnya pada Darmia selama ini. Namun, tanpa disedarinya kemunculan Darmia menimbulkan bibit-bibit perasaan dalam hatinya walaupun Haliza setia menanti untuk menoktahkan hubungan mereka ke peringkat seterusnya.

Darmia rela disakiti asalkan Haliza tidak disakiti. Janji rahsia perkahwinan mereka tersimpan rapi. Baginya Haliza ibarat penyelamat dan juga seorang kakak yang tak pernah dimilikinya. Kala dirinya dibenci oleh kedua ibu saudaranya tanpa diketahui puncanya, hanya Haliza dan Opah yang teguh mempertahankan Darmia. Rahsia perkahwinan mereka tetap terjaga sehinggalah Haliza terjumpa Darmia dan Khairul Amir berduaan dalam keadaan yang agak intim. Haliza memang tak boleh terima hakikat yang Darmia dah menjadi duri dalam daging walaupun sebenarnya Darmia tak bersalah pun.

Mak Long Darmia yang memang berdendam dengan arwah adiknya sendiri memang bertekad takkan biarkan Darmia berbahagia. Dipaksanya Khairul Amir untuk menikahi Haliza walaupun dia dah tahu hubungan antara Khairul Amir dan Darmia. Namun, hikmahnya hari pernikahan Haliza dan Khairul Amir menemukan kembali keluarga Darmia dengan bapa Darmia. Terbongkarlah kembali rahsia yang disimpan selama ini. Kenapa setelah berpuluh tahun, Maryam, ibu Darmia masih didendami oleh kedua orang kakaknya.
 
Darmia yang sangat gembira dengan kemunculan bapa yang dinanti ditimpa kemalangan dalam perjalanan untuk menemui  bapanya. Kemudian, dalam keadaan hubungan Darmia dengan Khairul Amir yang retak menanti belah, mereka dikejutkan dengan berita kehamilan Darmia. Mampukah Khairul Amir untuk menggapai setitis kasih Darmia yang didambakan?

Komen saya: Plot cerita yang agak padat dan pantas. Saya sukakan gaya penceritaan yang pantas dan tak meleret. Konflik dan segala persoalan juga berjaya dirungkaikan satu persatu. Tahniah buat Naniey untuk hasil karya bercetak pertama ini. Tahniah dan terima kasih juga buat pihak editorial SR untuk naskhah yang padat dan tidak meleret ini. :)

Jangan Lupa Namaku - Hananee Amir

Posted by Hajar at 10:04 PM 2 comments

Tajuk: Jangan Lupa Namaku
Penulis: Hananee Amir
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman: 629 mukasurat
ISBN: 9789675118944


Siapa sangka rumahtangga yang dah terbina bertahun-tahun dan sentiasa nampak bahagia akhirnya berkecai juga di pertengahan jalan? Begitulah yang terjadi kepada Aiman dan Amira. Setelah 7 tahun hidup bersama, mereka akhirnya ambil keputusan untuk berpisah hanya kerana Amira dah tak tahan dengan kata-kata orang sekeliling. Mana tidaknya, perkahwinan mereka selama 7 tahun belum dikurniakan zuriat. Puas berusaha dan berubat, rezeki masih belum berpihak kepada mereka. Aiman memang tak kisah sebab dia terlalu sayangkan Amira. Cuma Amira yang masih tak mampu menerima hakikat kekurangan dalam perkahwinan mereka itu.

Sekilas pandang, kita mungkin akan kata  Amira ni pentingkan diri. Yelah, Aiman tu punyalah sayangkan Amira sampai sarapan pagi pun Aiman yang sediakan. Dia boleh sibuk nak bercerai. Sungguh tak bersyukur dah dapat suami baik macam tu.  Tapi, bila fikir dari sudut pandang Amira pula, kita akan tahu betapa tertekannya Amira dengan situasi tu. Orang lain mana tahu apa yang Amira rasa bila dia ditanya soalan-soalan sensitif begitu.

Sebab terlalu sayangkan Amira, Aiman melepaskan Amira walaupun sebenarnya hatinya berat. Harapannya Amira akan sedar betapa eratnya kasih sayang antara mereka. Walaupun Aiman kata yang dia tetap setia menanti Amira kembali padanya, tak sekali pun Aiman memujuk Amira. Pelik kan? Aiman kata dia tak mahu memaksa Amira. Dia berikan Amira masa untuk bertenang agaknya. Cuma yang menariknya,  lepas bercerai Aiman ni jadi stalker pada Amira sebab dia nak pastikan Amira sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

Untungnya mereka ni dikelilingi oleh kawan-kawan yang menyokong mereka dalam keadaan apa sekalipun. Masa kritikal inilah Fuad dan Julia banyak memainkan peranan. Walaupun sedih dengan perpisahan Aiman dan Amira, mereka tetap menyokong dan membantu keduanya bila diperlukan. Mereka juga berperanan untuk menyatukan keduanya semula walaupun harapan agak tipis.

Bila kemunculan Johan, teman sekampung Amira, Julia serta Fuad, bunga harapan yang diharapkan Aiman bagaikan lenyap sekelip mata. Dalam masa yang sama muncul juga Nazrul dan Camelia (teman lama Aiman) yang berhasrat untuk memisahkan terus Aiman dan Amira. Bagaimana agaknya perhubungan Amira dan Aiman? Berjayakah mereka bersatu kembali atau masing-masing tetap memilih  jalan hidup sendiri?

Komen saya: Kisah ni agak sinonim dengan masyarakat kita yang rata-ratanya ‘terlebih prihatin’ dengan hidup orang lain. Bila dah ‘terlalu prihatin’ mereka mungkin tak sedar yang sikap ‘prihatin’ mereka tu bakal meruntuhkan moral orang lain. Paling teruk kalau sampai meruntuhkan keluarga orang lain. Nauzubillah. Terima kasih dan tahniah kepada Hananee Amir untuk naskhah ini. Kisah yang berat jadi agak santai bila disampaikan dalam gaya bahasa yang santai dan selamba. Oh, jangan risau pengakhirannya tetap buat kita rasa bahagia. :)

 

Sunday, September 9, 2012

Lazuardi - Nasz

Posted by Hajar at 1:05 PM 10 comments



Tajuk: Lazuardi
Penulis: Nasz
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman: 629 mukasurat
ISBN: 9789675118852

Memang sangat excited bila buku ni sampai. Mana tidaknya, dah lama okay tunggu buku ni. Hehe. Saya rasa sesiapa yang pernah ikuti enovel ini di blog Nasz dulu memang ternanti-nantikan novel ni. :)

Anaz, walaupun tinggal dengan ibu kandung dan keluarga tiri tapi dilayan macam anak tiri oleh ibu sendiri. Pelik kan? Rupanya ada sejarah pahit yang disembunyikan oleh si ibu. Mujurlah ada Odie, jiran Anaz yang juga merangkap teman baiknya sejak tadika. Odielah tempat mengadu Anaz sejak dulu. Bila Anaz mengadu dan mengeluh, Odie akan ajak kahwin.

Kehadiran Ain, anak saudara bapa tiri Anaz menambahkan lagi kucar-kacir dalam hidup Anaz. Saya rasa Ain ni memang opportunist. Dia pandai gunakan peluang untuk kenakan Anaz secukup-cukupnya. Memang teruk Anaz difitnah Ain sampai tahap kena halau keluar dari rumah tu. Ish ish..

Shakir (Shark) kawan kepada adik tiri Anaz memang berkenan sungguh dengan Anaz. Sanggup tunggu sampai habis sekolah untuk meluahkan perasaan pada Anaz. Haha. Part ni memang cute. Dia juga sanggup kena kutuk kaw-kaw dengan kawan-kawan dia sebab suka dengan perempuan yang lebih tua. Hehe. Hakikatnya Shark ni macam dah hafal seluruh susur galur kisah hidup Anaz ni. Kadang-kadang macam guardian angel pun iya juga. Shark rela untuk memperisterikan Anaz semata-mata untuk jaga Anaz.

Namun antara Odie dan Shark, siapa yang benar-benar menjadi penyelamat si Cinderella ni?

Memang enjoy baca buku ni. Lagi-lagi bila baca ayat-ayat comel Shark;

"Tak sia-sia saya tunggu bertahun-tahun nak suruh awak jadi girlfriend saya tau." - m/s 212

"Sebab awak suka makan coklat, saya pun pergilah belajar. Tengok, betapa baiknya boyfriend awak ni." - m/s 215

Komen saya: Saya rasa relevannya tajuk Lazuardi dengan kisah Anaz ni adalah, walau semendung mana pun kehidupan yang dilalui Anaz, penghujungnya tetap juga akan akan bertemu warna lazuardi di langit. Hehe. Saya bukan orang sastera  tapi saya rasa itulah yang cuba disampaikan oleh penulis dalam Lazuardi ni. Walaupun kisah ni agak 'sinetron' dengan kehadiran si drama queen bernama Ain tu, namun gaya bahasa penulis yang selamba dan bersahaja ni berjaya menyelamatkan rasa cemas pembaca. Tahniah Nasz.

Sunday, September 2, 2012

Kalau Jodoh Tak Ke Mana - Naurah Iman

Posted by Hajar at 1:20 PM 11 comments


Tajuk: Kalau Jodoh Tak Ke Mana
Penulis: Naurah Iman
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman: 610 mukasurat
ISBN: 9789675118937

Kisah Nur Aleeya Maisara (Sara) dan Muhammad Ameer Hakimi (Ameer) ini mungkin cuma sebuah kisah biasa yang agak klise,  namun cara pengolahan penulis ni buat saya rasa sayang nak lepaskan buku. :)

Awal-awal lagi penulis dah tarik perhatian saya dengan aksi Ameer dengan kucingnya, si Montel yang turut membuatkan Sara jatuh tergolek-golek. Hehe. Tapi itu kisah setahun sebelumnya. Sebelum Sara bertemu kali kedua dengan Ameer sewaktu majlis perkahwinan jiran merangkap kawan baiknya. Memang 'ajaib' bila Sara tertarik dengan Ameer disebabkan bunyi ketawa Ameer. Sampai pengsan Sara dibuatnya. Haha. Namun sayangnya Sara dikecewakan dengan berita perkahwinan Ameer yang akan berlangsung dalam masa terdekat.

Ameer ni sebenarnya dah banyak kali bertunang. Pertunangan kali kelima yang diharapkan bakal membawa ke jinjang pelamin juga gagal bila tunangannya buat onar. Kesian Ameer. Memang dah bukan jodoh agaknya.

Sara pula bila tahu Ameer dah putus tunang buat kesekian kalinya tanpa bertangguh lagi terus buat keputusan untuk meminang Ameer. Walaupun dikata menentang adat, Sara tak peduli. Dia mahukan Ameer sebagai pasangan hidupnya. Pinangannya disambut baik oleh keluarga Ameer dan mereka dinikahkan tanpa ada majlis pertunangan. Keluarga Ameer dah fobia dengan istilah bertunang tu agaknya. Hehe.

Perkenalan mereka selepas pernikahan memang jadi suatu cabaran buat Sara untuk menawan hati Ameer. Dan Ameer sendiri meminta supaya Sara buatkan Ameer jatuh cinta pada Sara. Memang sakit hati bila nampak Ameer cuma menerima tapi tak berusaha untuk memberi. Sebaliknya Sara yang berusaha gigih untuk memberi tapi tak menerima. Rasa macam nak benamkan Ameer tu dalam lombong. Tak habis-habis nak jaga gengsi sampai lupa nak jaga hati isteri sendiri. Siap ada hati nak tambah cawangan lagi tu. Huh.

Bila Sara dah mula nak give up  barulah Ameer gelabah. Mujur juga Ameer dapat 'hidayah' sebelum Sara betul-betul meninggalkan Ameer. Phew.

Komen saya:  Antara buku yang buatkan saya enjoy membaca hingga ke akhirnya. Kagum dengan semangat  Sara. Memang dah ala-ala Projek Memikat Suami juga ni, cuma cara Sara tidaklah seekstrim cara Nawwal Husna. :) Ops, tapi pengolahannya tak sama okay. Apa pun, tahniah untuk penulis atas kelahiran buku ini. Terima juga kasih atas semangat Sara yang dipinjamkan melalui buku ini. :)

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review