Showing posts with label Hasliza Ismail. Show all posts
Showing posts with label Hasliza Ismail. Show all posts

Saturday, September 28, 2013

Bukan Cinta Monyet - Hasliza Ismail

Posted by Hajar at 10:46 PM 0 comments



Tajuk: Bukan Cinta Monyet
Penulis: Hasliza Ismail
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
Harga: RM19.00
Sabah/ Sarawak: RM 22.00
Halaman:  476 mukasurat
ISBN: 9789675067716

Saya baca buku ni sesudah saya menonton dramanya. Jadi bila baca memang terbayangkan heroinnya yang comel tu. Haha. Heroin saja ye? :P

Hubungan rapat antara Kamal Ilham dan Nurul Suhana sudah terjalin sejak sekian lama. Walaupun terpisah selama 8 tahun kerana Kamal Ilham menyambung pengajiannya, mereka tetap berhubung kerana Nurul Suhana sudah menganggap Kamal Ilham ibarat abangnya sendiri. Tapi lain pula yang terjadi bila Kamal Ilham menjejakkan kaki ke Malaysia setelah tamat pengajiannya. Pertemuan kembali setelah sekian lama itu membibitkan rasa dalam hati Nurul Suhana. Mungkinkah abang angkatnya itu sudah ditakdirkan jodohnya atau hanya gelora perasaan remaja semata?

Memang comel bila Nurul Suhana ni berusaha menarik perhatian Kamal Ilham. Lebih-lebih lagi sesudah diperkenalkan dengan Annetalia, teman wanita merangkap bakal tunangan Kamal Ilham. Ada saja akal dia nak mendekatkan diri dengan Kamal Ilham. Bila si jejaka bercadang menonton wayang bersama pujaan hati tiba-tiba Nurul Suhana juga muncul di situ. Kebetulan? Tak mungkin kebetulan bila semua aktiviti Kamal Ilham sudah diketahuinya lebih awal. Tertekan dengan situasi yang berulang ditambah lagi dengan tekanan dari Annetalia membuatkan Kamal Ilham nekad berterus terang dengan Nurul Suhana. Kamal Ilham merasakan tindakannya melukakan Nurul Suhana adalah tindakan terbaik untuk gadis remaja itu.Perjalanan hidup Nurul Suhana masih jauh dan dia tak mahu memberi harapan kosong kepada gadis itu.

Musibah yang melanda keluarga Nurul Suhana turut meragut semangat gadis periang ini. Atas rasa tanggungjawab melindungi Nurul Suhana dan ibunya, Kamal Ilham membawa kedua ahli keluarga angkatnya itu tinggal bersama di rumah keluarganya walaupun hubungannya dengan Nurul Suhana sudah semakin jauh.

Kemunculan Alvin, sepupu Kamal Ilham  banyak membantu Nurul Suhana bangkit semula dari kemurungannya.  Hubungan rapat antara Nurul Suhana dan Alvin mula buat Kamal Ilham rasa tergugat. Dalam hati rupanya sudah terdetik rasa. Walaupun Annetalia sudah jadi tunangannya, kenapa Nurul Suhana masih diingati? Ah, sudah! Macam mana ni?

Komen saya:  Cinta memang tak pernah mengenal usia. Sejauh mana pun kita mengelak, kalau sudah tersurat itulah jalannya, redhalah dengan ketentuanNya. Hihi. Nak bermadah tiba-tiba. :) Buat penggemar kisah santai, ini hidangan buat anda. Kisah ni memang santai dan comel. Tak memeningkan kepala. Cuma terkejut bila tau rupanya Annetalia tu mendekati Kamal Ilham bersebab. Cis. Memang tak patut. Oh, ya. Baru saya teringat, ada cameo Suriani (heroin Kapal Terbang Kertas) juga dalam kisah ni tau. :) Tahniah buat penulis. Moga lebih banyak ilham untuk kisah-kisah seterusnya. :)

Sunday, June 16, 2013

Mencari Jalan Ke Syurga - Hasliza Ismail

Posted by Hajar at 10:25 PM 8 comments
Tajuk: Mencari Jalan Ke Syurga
Penulis: Hasliza Ismail
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
Harga: RM19.00
Sabah/ Sarawak: RM 22.00
Halaman:  536 mukasurat
ISBN: 9789675067457

Kemalangan yang menimpa Dayang Khirana (Khirana) 2 tahun yang lampau bukan sahaja meragut nyawa insan kesayangannya, malah turut meragut ingatan Khirana. Selepas 2 tahun koma, Khirana bangkit sebagai individu yang berbeza akibat amnesia. Hanya Ros Azura, rakan rapat  yang tak pernah berputus asa untuk melihat Khirana sembuh seperti sediakala walaupun mereka pernah bertelagah sebelum kemalangan terjadi.

Rupanya ramai yang menunggu Khirana sedar dari koma, terutamanya ahli keluarga Dato' Shamsul Ariffin (arwah teman lelaki Khirana). Mereka merasakan Khiranalah yang bertanggungjawab memporak-perandakan keluarga mereka bila Khirana mula berhubungan dengan Dato' Shamsul Ariffin yang sudah pun beristeri. Jadi, bila mereka tahu yang Khirana dah sedar dari koma, masing-masing mula menyusun rancangan untuk membalas dendam terhadap Khirana.

Ugutan dan cacian yang terpaksa dihadapi Khirana dengan tabah. Dugaan demi dugaan juga harus ditempuhi oleh Khirana lebih-lebih lagi daripada mereka yang mengenali Khirana yang 'dulu'.

Kemunculan Shahrul Azwan memaksa Khirana untuk berdepan dengan masa silamnya. Dendam dan kebencian Shahrul Azwan membuat Khirana cuba dan berusaha mengingati masa silamnya. Tanpa disedari, perempuan yang dicaci kerana memporak-perandakan keluarganya itulah yang memikat hatinya. Heh. Tak di sangka sikap dan peribadi Khirana yang 'baru' ni mampu memecahkan rasa benci yang sekian lama bertunas dalam diri Shahrul Azwan. Memilih Khirana pasti akan mengundang kebencian keluarganya sedangkan Khirana dah mula bertakhta di hati. Haish, buntunya nak buat pilihan.

Komen saya: Tak sangka pulak Datin Zulaikha tu ada penyakit mental. Kesian arwah suaminya tu. Memang patutlah kalau dia nak tambah 'cawangan' pun bila dapat isteri yang obses dan bermasalah mental macam Datin Zulaikha ni. Kebenciannya pada Khirana memang menggunung tinggi sampai tahap sanggup membunuh. Huh, ngeri! Tahniah buat penulis sebab buku ni sudah pun divisualkan. Tapi saya baca buku ni bukan sebab drama bersiri di televisyen tu ya. Haha. Terpanggil nak baca setelah nampak buku ni terperuk lama dalam almari. Jalan ceritanya agak penuh konflik, cuma tak disampaikan dengan gaya penuh sinetron. :P Jadi saya tak rasa stress dan boleh habiskan bacaan dengan cepat. Phew~ :)

Friday, April 5, 2013

Kapal Terbang Kertas - Hasliza Ismail

Posted by Hajar at 10:50 PM 2 comments

Tajuk: Kapal Terbang Kertas
Penulis: Hasliza Ismail
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
Harga: RM16.00
Sabah/ Sarawak: RM 19.00
Halaman:  349 mukasurat
ISBN: 9789675067310


Suriani dibesarkan oleh ibu saudaranya (Mak Som) setelah pemergian kedua ibu bapanya. Hidup dalam kongkongan Mak Som membuatkan Suriani terpaksa melupakan cita-citanya untuk menyertai TUDM bersama-sama Mahadi, walaupun keputusan peperiksaannya cemerlang. Dengan berat hati, Mahadi terpaksa juga meneruskan cita-cita mereka berdua walaupun tanpa Suriani. Namun Mahadi berjanji yang dia akan kembali suatu hari nanti untuk membawa Suriani keluar dari kongkongan Mak Som.

Rupanya Mak Som sudah ada rancangan sendiri. Disebabkan angan-angannya untuk hidup mewah, Mak Som berhajat untuk menjodohkan Suriani dengan Salleh, seorang lelaki yang agak berharta dan agak berumur untuk Suriani. Untuk menolak memang agak mustahil sebab Suriani terikat dengan budi baik Mak Som yang sudi untuk membesarkannya.

Bila mengetahui niat sebenar Mak Som, jiwa muda Suriani mula memberontak. Suriani mengambil keputusan untuk melarikan diri dengan niat untuk memperbaiki kehidupan mereka sekeluarga. Dia berjanji akan kembali semula ke kampung untuk membalas jasa-jasa Mak Som.

Pertemuan Suriani dengan Ian Emran di kala Suriani hilang arah waktu mula-mula sampai ke Kuala Lumpur banyak membawa perubahan dalam hidup Suriani.  Dari seorang gadis naif yang bekerja sebagai pelayan restoran akhirnya menjadi pembantu setiausaha di pejabat Ian Emran. Hubungan baik mereka juga turut jadi buah mulut kakitangan pejabat Ian Emran yang akhirnya turut membuat Ian Emran mengakui perasaanya pada Suriani. Fuh.

Jadi, siapa pilihan Suriani? Masihkan Mahadi yang ditunggu oleh Suriani atau Ian Emran si penyelamat jadi pilihan? Saya suka cara penulis menyelesaikan konflik cerita ini. Ringkas dan tak meleret-leret. :)


Komen saya: Kisah ni cuma kisah yang biasa dengan konflik yang ringan. Memang bukan pilihan buat pembaca yang gemarkan konflik tahap ekstrim. Hehe. Cuma saya agak terganggu dengan fakta yang mengelirukan. Jadi buat penulis sekalian, sekalipun anda menulis kisah fiksyen, sila pastikan fakta yang ditulis itu betul. Logik dan realistik itu harus seiring dengan fiksyen. yang ditulis. Bukan hentam keromo saja. :) Anyway, tahniah buat penulis. Saya dengar khabar yang naskhah ini juga bakal divisualkan selepas Mencari Jalan Ke Syurga. All the best untuk Kak Hasliza. :)
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review