Showing posts with label Norhayati Berahim. Show all posts
Showing posts with label Norhayati Berahim. Show all posts

Monday, March 30, 2015

Biarkan Aku Menangis

Posted by Hajar at 9:29 PM 0 comments
Biarkan Aku MenangisBiarkan Aku Menangis by Norhayati Berahim
My rating: 3 of 5 stars

Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM 21.50
Sabah/ Sarawak: RM-
Halaman:  563 mukasurat
ISBN: 9789834211523

29-03-2015

Akhirnya tamat juga membaca buku pinjam ni. Hihi. Kisah ini agak mengganggu emosi. Itu sebabnya lama sangat buku ni tersimpan dalam senarai pending. :)

Perkahwinan Sarah dan Amrin memang nampak bahagia walaupun belum dikurniakan cahaya mata setelah 7 tahun berkahwin. Sungguh pun Amrin tak pernah kisah dengan situasi keluarga kecilnya, namun bila selalu diasak oleh ibu sendiri tentang anak, sedikit sebanyak terusik juga keegoannya sebagai seorang lelaki. Lebih-lebih lagi kata Amrin, mustahillah dia itu mandul kerana adik beradiknya sebelas orang. Ergh, tipikal lelaki ego!

Kerana keegoannya itu juga Amrin bersetuju untuk menerima cadangan ibunya untuk berkahwin dengan Kartika. Haish. Kesian Sarah. Kerana hormatkan suami dan ibu mertua yang tak pernah mengiktiraf kedudukannya sebagai menantu, diturutkan juga walau hatinya terluka.

Setelah berkahwin baru Amrin sedar bahawa bukan mudah nak mengurus dua isteri. Kartika yang kononnya sanggup beralah mula menunjukkan belang selepas berkahwin dengan Amrin. Makin naik tocang pula bila Wan Khatijah sentiasa jadi penyokong kuat atas setiap permintaan dan kehendaknya. Huh. Mujurlah Sarah ni jenis wanita berdikari. Sentiasa beralah. Namun, sampai bila agaknya Sarah mampu bertahan dengan kerenah madu dan ibu mertua yang tak pernah mahu mengalah tu?

Komen saya:

1. Jujurnya kalau diikutkan sisi hati yang jahat ni saya harapkan kesudahan yang lebih membahagiakan buat Sarah. Biar Amrin tu pulak yang sengsara. :P

2. Tapi mujurlah diselamatkan oleh kesudahan yang setimpal buat Kartika. Inilah agaknya balasan untuk orang yang suka permainkan hukum. Ingat gelaran ustazah tu lesen untuk permainkan hukum Allah ke?

3. Wan Khatijah tu pun 'sekapal' je dengan Kartika. Tak tahu nak bersyukur. Tak reti nak hormat suami. Alahai. Sekali dapat balasan 'cash' baru tahu langit tu tinggi ke rendah. X(

4. Seperti biasa penulis tak pernah lupa menerapkan unsur-unsur kekeluargaan dalam setiap karyanya. Kita dapat lihat yang hubungan kekeluargaan antara keluarga Sarah dan keluarga Amrin (terutamanya Haji Kasman) tetap terjalin dengan baik walaupun Wan Khatijah tak pernah mengiktiraf Sarah sebagai menantu.

5. Apa pun terima kasih buat penulis atas garapan penuh emosi ni. Lepas ni tak tahulah sanggup lagi atau pun tidak nak membaca kisah sebegini. Hihi. :P

6. Terima kasih daun keladi tuan punya buku. Lain kali boleh pinjam lagi. ;)

View all my reviews

Tuesday, July 29, 2014

Terima Kasih Kekasih

Posted by Hajar at 11:27 AM 0 comments

Tajuk: Terima Kasih Kekasih
Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM 23.00
Sabah/ Sarawak: RM -
Halaman: 619 mukasurat
ISBN: 9789834311704

Selepas beberapa bulan bertunang dengan Amna, Imlan mula menunjukkan perubahan. Alasannya, kesibukan Amna sebagai doktor forensik membuat dia rasa terabai. Zawani, teman wanita terbarunya lebih pandai melayani kehendaknya. Walhal selama bertahun-tahun berkawan rapat dengan Amna, tak pernah pula dipersoalkan kerjaya yang dah sebati dengan minat Amna tu. Heh. Tipikal lelaki. Bila dah buat salah, seboleh mungkin tak mahu beban kesalahan diletakkan atas bahunya sendiri. Nak juga salahkan orang lain.

Amna yang polos tak pernah mengesyaki yang Imlan sudah pun berpaling. Dia fikir Imlan tiada masa untuknya. Sehinggalah dia bertemu dengan bukti kecurangan Imlan. Nak sembunyi macam mana lagi bila Amna sendiri terserempak dengan pasangan yang kononnya bahagia tu? Walaupun hatinya terguris, Amna tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru. Dia masih memikirkan hubungan baiknya dengan emak Imlan yang dibina dengan susah payah. Jadi, Amna menunggu masa yang sesuai untuk berbincang dengan Imlan tentang pertunangan mereka. Namun, bagi Imlan pula, kerana tak mahu kecewakan ibunya yang terlampau sayangkan Amna, dia mahu Amna yang memutuskan pertunangan itu. Heh.

Sungguh pun Amna dikelilingi oleh ahli keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa menyokong setiap apa yang dilakukannya, Amna masih tidak punyai keberanian untuk berterus terang tentang pertunangannya dengan Imlan. Hanya selepas pemergian adik dan kemudiannya kawan baiknya, Amy, barulah Amna berani berterus terang dengan kedua ibu bapanya. Itu pun Imlan masih tak mahu mengaku kesilapannya. Hish, geram betul!

Mujurlah ada Chyril (tetiba terbayang Cyril Takayama, American-Japanese magician tu. Haha. :P), rakan kongsi Imlan yang juga bekas teman lelaki Amy. Chyril banyak membantu Amna berdepan dengan masalah Imlan. Sudah dinasihati Imlan tentang Zawani tetapi sia-sia. Imlan seolah dibutakan oleh cintanya terhadap Zawani. Lama kelamaan hubungan Chyril dan Amna yang bertambah rapat, lebih-lebih lagi lepas kematian Amy. Kata-kata semangat yang dihulurkan Amna buat Chyril banyak berfikir tentang kehidupan sekaligus memberi hidayah buat Chyril untuk memeluk Islam. Subhanallah.


Komen saya:

1. Saya ambil masa untuk menyudahkan pembacaan hingga mencecah 2 minggu kerana kekangan masa di bulan Ramadan. *mental note: bulan puasa tak payah berangan nak baca novel sangat sebenarnya. :P

2. Kisah ni pun mudah je sebenarnya. Tapi penulis tak pernah gagal tampilkan kekuatan dan ketabahan wanita sekalipun watak sebaik Amna tu sebenarnya berkali-kali dikecewakan oleh lelaki yang digelar tunangan.

3. Tak lupa, watak lelaki hampeh yang buat kita nak rasa luku berkali-kali. Tapi saya puas hati sebab akhirnya Imlan terima pengajaran atas kecurangannya. Heh. Itu namanya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Lepas tu ada hati nak aniaya Amna dengan Chyril pulak .

4. Geram dengan Zawani. Memang tipikal watak 'orang ketiga' yang tak sedar diri. Boleh pulak dia serang Amna sebab tak putuskan pertunangan dengan Imlan. Kelakar. Tolonglah jangan malukan kaum sejenis dengan perangai macam ni okay? Ops, terlebih sudah. :P

5 Kehadiran watak Chyril tu umpama penyejuk. Lebih-lebih lagi bila dia terima hidayah selepas berkawan rapat dengan Amna. Kemudian bertemu jodoh pula dengan Amna. Itulah hikmah bersabar sebenarnya. Di setiap kepahitan tu ada tersembunyi manisnya. :)

Friday, June 15, 2012

Hati Yang Luka - Norhayati Berahim

Posted by Hajar at 10:31 PM 1 comments


Tajuk: Hati Yang Luka
Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM21.90
Sabah/ Sarawak: RM -
Halaman:  562 mukasurat
ISBN: 9789834347307

Saya rasa kalau dihimpun semua hero novel Norhayati Berahim yang pernah saya baca, Raof ni adalah hero yang paling menjengkelkan saya. Haha. Bukan apa, egonya tinggi melangit. Lepas tu cakap dia saja yang betul, tak pandai jaga perasaan isteri dan juga teramat mengongkong isteri. Haish. Penyabar sungguh Widad isteri si Raof ni.

Widad dan Raof ni pernah bertunang. Kemudian pertunangan mereka diputuskan oleh Widad dengan alasan nak sambung pengajian. Padahal sebenarnya Widad terlalu kecewa sebab Raof selalu memandang rendah kedudukan Widad. Tak bagi muka langsung walaupun Widad dah 2 tahun jadi tunangan Raof. Yelah, Widad cuma anak seorang pemandu (ayah Raof), sedangkan Raof anak seorang berpangkat Datuk. Raof sebenarnya menaruh hati pada Widad, cuma 'kedudukan sosial' keluarga Widad tu yang menyebabkan dia rasa malu. Heh. Jadi Widad putuskan pertunangan mereka dan bawa diri ke Sweden untuk menyambung pengajian sekaligus nak membuktikan kepada Raof yang anak seorang pemandu juga boleh berjaya.

Elok je tak berapa lama lepas Widad pulang dari Sweden, Raof disaman oleh (bekas) teman wanitanya Lily yang menuduh Raof mencederakannya. Itu semua gara-gara Raof memutuskan hubungan mereka. Memang kaki propa sungguh Lily dengan maknya ni sampai nak bawa ke mahkamah segala. Haish. Jadi untuk membuktikan yang Raof tidak seperti yang didakwa, dia disarankan oleh peguam keluarganya untuk berkahwin. Di sinilah timbulnya idea untuk meminta pertolongan Widad.

Serba salah Widad nak buat keputusan. Namun, akhirnya Widad menerima lamaran keluarga Raof dengan beberapa syarat. Peliknya Raof boleh setuju dengan semua syarat tu tanpa fikir kesan di kemudian hari.

Perkahwinan mereka ni memang banyak turun-naiknya. Raof tu sangat suka menyindir Widad. Seolah-olah macam Widad tu tak berperasaan. Heh. Mujurlah dapat isteri penyabar. Kalau tak memang dah kena tinggal agaknya. Ops, teremosional pula. :P Sejauh mana agaknya Widad mampu bertahan sebagai isteri Raof ni?


Komen saya: Membaca kebanyakan review, memang rata-rata komen mengatakan menyampah dan geram dengan Raof, termasuklah saya sendiri. Haha. Kalau wujud di dunia nyata watak ni memang dah kena lempar batu agaknya. Sekalung tahniah buat penulis sebab berjaya mencorakkan watak Raof ni sampai kita rasa nak lenyek-lenyek je Raof ni. :)



Monday, May 28, 2012

Sentuhan Kasih - Norhayati Berahim

Posted by Hajar at 10:50 PM 1 comments

Tajuk: Sentuhan Kasih
Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: Creative Enterprise Sdn. Bhd.
Harga: RM23.90
Sabah/ Sarawak: RM 26.90
Halaman:  459 mukasurat
ISBN: 9789838939416

Satu lagi buku Norhayati Berahim yang saya berjaya dapatkan masa pesta buku lepas. Memang rezeki saya agaknya bila sampai booth CESB buku ni dah tinggal sebuah je. Maka sambarlah cepat-cepat. Hehe. :)

Sentuhan Kasih ni membawa kita menyelami dilema Inas yang terpaksa berkahwin dengan Ikhmal atas alasan kononnya Ikhmal tu baik dan banyak membantu keluarga mereka. Yang sebenarnya ayah Inas ni banyak berhutang dengan Ikhmal, jadi Inas terpaksa bersetuju sebab tak mahu kecewakan ayah dan ibunya.

Beberapa hari selepas perkahwinannya, Inas didatangi oleh seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Kalsom. Rupanya Kalsom ni isteri pertama Ikhmal dan tujuan Kalsom bertemu Inas adalah untuk berkenalan dan sekaligus membongkar status sebenar Ikhmal. Inas yang rasa tertipu terus berdepan dengan Ikhmal untuk dapatkan penjelasan. Rupanya Ikhmal ni memang si mata keranjang. Pantang nampak perempuan berdahi licin sikit. Oleh kerana Inas dah rasa tertipu, dia pun minta dilepaskan. Malangnya ayah Inas mengamuk dan halau Inas dari rumah. Itu juga yang menjadi penyebab Inas membawa diri merantau ke Norway.

Setelah beberapa ketika di Norway, Inas ada masalah tempat tinggal bila apartment tempat tinggalnya diambil kembali oleh tuan rumah. Masa inilah Zakry ambil peluang untuk tawarkan tempat tinggal sambil dekatkan diri dengan Inas. Zakry ni sebenarnya terpikat dengan sikap baik Inas  masa pertemuan pertama mereka dalam tren di Norway dulu. Jadi, untuk menghalalkan mereka tinggal serumah, Zakry mencadangkan mereka bernikah. Inas dapat tempat tinggal, Zakry pula dapat seorang isteri (walaupun cuma atas kertas je).

Memang sabarlah Zakry ni menanti Inas. Kehadiran Dayang Amy yang kerap berurusan dengan Zakry berjaya menimbulkan rasa cemburu dalam hati Inas. Kedatangan Niza (kawan baik Inas) dari Malaysia kemudiannya juga banyak membantu mengeratkan hubungan Zakry dan Inas ni.

Bahagian yang saya paling suka adalah bila Inas berjaya membeli saham pegangan Ikmal dalam Syarikat Megah sejurus selepas Inas menyertai syarikat milik Zakry. Siap letak nama ayahnya lagi sebagai salah seorang pengarah dalam syarikat tu. Phew. It's a payback time! 


Komen saya: Bagi yang sukakan kisah cinta selepas kahwin, buku ini mungkin salah satu pilihan untuk bahan  bacaan anda. Cuma janganlah terlalu mengharap yang anda akan jumpa banyak adegan 'manis bergula' dalam naskhah ini ya? Zakry ni tak miang macam Nik Arif walaupun isteri dah ada depan mata. ;)




Tuesday, May 22, 2012

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki - Norhayati Berahim

Posted by Hajar at 10:17 PM 4 comments

Tajuk: Pesanan Terakhir Seorang Lelaki (PTSL)
Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: Creative Enterprise Sdn. Bhd.
Harga: RM22.90
Sabah/ Sarawak: RM 25.90
Halaman:  444 mukasurat
ISBN: 9789838939355

PTSL ni sebenarnya sebuah kisah kekeluargaan. Pergolakan yang berlaku antara Atiqah dan ayahnya (Datuk Marzuki), selepas si ayah berkahwin lain menyebabkan Atiqah membawa diri keluar dari rumah keluarganya. Datuk Marzuki pun seolah-olah tidak mengiktiraf kedudukan Atiqah sebagai anak. Selepas apa yang Datuk Marzuki lakukan pada ibunya, Atiqah memang dah tawar hati nak berbaik-baik dengan ayahnya.

Lepas keluar dari rumah agam ayahnya itu, Atiqah bekerja di Syarikat Tegas kepunyaan Tuan Ahmad. Tuan Ahmad selalu memandang rendah pada Atiqah sebab Atiqah tu hanyalah seorang kerani. Hubungan baik Atiqah dengan anaknya Faizal tu pun tak direstui oleh Tuan Ahmad sebab dia rasa Atiqah tak layak untuk berhubungan dengan seseorang yang berpangkat seperti anaknya. Sabar je Atiqah menerima kata-kata nista Tuan Ahmad tu sebab dia tak mahu sesiapa pun tahu yang dia anak Datuk Marzuki.

Atiqah menyewa rumah dengan Hajah Mimah. Di sini dia berkenalan dengan Nik Arif yang kerek tu. Awal-awal lagi dia dah kutuk Atiqah tu dengan macam-macam kutukan. Bila Atiqah tolong betulkan komputer dia barulah dia sedar yang Atiqah tu taklah seburuk mana. Tak sangka lepas tu boleh jatuh tergolek-golek kat Atiqah ni. Atiqah ni nampak gaya macam tak melayan. Tapi macam rela je diperlakukan sesuka hati dek Nik Arif tu. Macam pelik pulak bila watak bertudung tapi macam tak ambil kisah tentang pergaulan. Hajah Mimah tu pun selamba je tengok anak bujang dia peluk cium anak dara orang. Err, harapnya takdelah mak ayah yang terbuka sangat macam itu ye? :)

Bila Datuk Marzuki dah mula sedar kesilapan dia, Atiqah dicari dan ditawarkan peluang pekerjaan di syarikatnya. Mulanya Atiqah berat nak menerima. Tapi bila fikirkan kedudukannya yang bila-bila masa bakal disingkirkan oleh Tuan Ahmad, dia nekad menerima tawaran Datuk Marzuki. Paling saya suka bila Angkasa Holding ambil keputusan untuk melabur dalam Syarikat Tegas. Memang tebal sungguh muka Tuan Ahmad dan Faizal tu bila tau siapa sebenarnya Atiqah. Haha. Memang sweet revenge. :)


Komen saya: Buku ni saya beli sebab ada kawan yang suggest untuk baca. Overall kisahnya okay, tak meleret. Cuma saya tak berapa berkenan dengan perangai terlebih miang Nik Arif tu.  Pengakhirannya pun buat kita rasa puas hati sebab masing-masing dah dapat pengakhiran yang setimpal. :)

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review