Sunday, March 31, 2013

Nyanyian Hati - RodieR

Posted by Hajar at 10:20 PM 2 comments



Tajuk: Nyanyiah Hati
Penulis: RodieR
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM21.00
Sabah/ Sarawak: RM 24.00
Halaman: 543 mukasurat
ISBN: 9789670508092

Mula-mula baca buku ni memang kita akan Ingat Adam Danial (Danny) itulah yang akan jadi pendamping Ainul Raudhah (Ain). Tapi rupanya....

Danny bertemu Ain sewaktu jadi jurugambar majlis perkahwinan Abang Long Ain. Dua tahun memendam perasaan, akhirnya Danny memberanikan diri bertemu Ain dengan 'restu' Abang Long Ain. Bukan mudah nak mendekati Ain ni.  Melalui Danny juga Ain mengenali kawan-kawan rapat Danny termasuklah Iskandar Benjamin (Iskandar), abang angkat yang juga merangkap kawan baik Danny.

Hubungan mereka berjalan lancar. Ain juga dah mula menerima kehadiran Danny dalam hidupnya. Namun, belum sempat mereka menaiktaraf hubungan mereka ke peringkat seterusnya, Danny sudah dijemput pergi. Masa ni saya yang sebak. Sobs. Memang payah Ain nak melalui fasa kesedihannya tu. Mujurlah kawan-kawan Danny banyak beri sokongan untuk Ain. 

Iskandar juga turut berasa bertanggungjawab untuk mengubati kesedihan Ain. Atas rasa tanggungjawab dan janjinya kepada Danny, Iskandar melamar Ain. Perkahwinan mereka perlahan-lahan membawa Ain menerima hakikat kehilangan Danny dan menerima Iskandar sebagai suaminya. Cuma yang tak seronoknya bila Ain dapat tahu rahsia yang disimpan oleh Iskandar selama ni. Benarkah Iskandar menikahi Ain hanya semata-mata kerana janjinya pada Danny?


Komen saya: Jalan cerita ni memang simple. Cuma pengisiannya sangat banyak dan berguna untuk orang yang selalu lalai macam saya ni. Rasa macam kena ketuk dengan tukul. Lumrah manusia, bila susah, bila ditimpa musibah baru kita ingatkan Allah. Sedangkan sebenarnya segala nikmat yang diberi tak kira gembira atau duka semuanya adalah ujian buat kita. Nak uji sama ada kita akan sentiasa ingat Dia atau tidak. Hmm, saya tertarik dengan ayat Iskandar Benjamin - everything in life is lent to us, not given. Kena ingat selalu tu. Walau macam mana pun kita menidakkan, hakikatnya, suatu masa nanti segala yang di'pinjam'kan itu harus dikembalikan kepada Pemiliknya. Cuma antara bersedia dengan tidak ajelah kan? Apa pun, terima kasih dan tahniah buat penulis atas kelahiran karya sulungnya ini. Mudah-mudahan usaha untuk 'berkongsi' itu tak terhenti setakat ini. :)

Monday, March 25, 2013

Perempuan Yang Paling Aku Cinta - Acik Lana

Posted by Hajar at 10:39 PM 10 comments
Tajuk: Perempuan Yang Paling Aku Cinta
Penulis: Acik Lana
Penerbit: Acik Lana
Harga: RM33.00 Sabah/ Sarawak: -
Halaman: 673 mukasurat
ISBN: 97896711635304

Kesilapan yang dilakukan oleh Bunga tujuh tahun dahulu mula menghantuinya kembali selepas pertemuannya dengan Karl Hakimi (Karl). Ketabahannya berdepan dengan segala macam pancaroba, termasuk dibuang keluarga, selama tujuh tahun selepas pemergian Karl mula luruh satu persatu. Paling malang bila rupa-rupanya Karl tak pernah mengingati Bunga sebagai sebahagian sejarah dalam hidupnya. Adeh, sadis!

Namun bila Karl mula mengenali Bunga dan kemudian mula mengingati siapa Bunga dalam hidupnya, dia mula menyesali atas perbuatan zaman jahilnya. Bunga mula diburu dan dikejar. Bagi Bunga pula, cukuplah sekali dirinya diperbodohkan oleh lelaki akibat kenaifannya di zaman remaja. Dia tak mahu terpedaya lagi dengan mulut manis si kasanova.  Perasaan bencinya pada Karl memang berada pada tahap tertinggi.

Semakin jauh Bunga melarikan diri semakin hampir Karl mendekat. Lebih-lebih lagi bila mereka terpaksa bekerjasama untuk projek terbaru syarikat tempat Bunga bekerja. Portfolio Karl sebagai jurugambar terkemuka memang memberi banyak kredit untuk Karl bekerjasama dengan syarikat tempat Bunga bekerja dan sekaligus memberi kelebihan untuk Karl mendekati Bunga. Bukan mudah tu. Lebih-lebih lagi bila bos Bunga, Elman turut menjadi saingan. ;)

Pertemuan Bunga dengan seorang anak kecil membibitkan naluri keibuan dalam diri Bunga. Sedar kekhilafan yang pernah dilakukannya, Bunga tekad untuk mencari kembali anak kandungnya. Dapatkah Bunga bertemu dengan apa yang dicarinya? Nak tahu penyudahnya kenalah baca kan? :)

Komen saya : This is only my personal opinion. Mungkin orang lain tak rasa macam yang saya rasa. Dan yang penting jangan cop saya sebagai haters. Saya cuma rasa bertanggungjawab untuk menegur untuk penulis perbaiki penulisan untuk karya-karya yang akan datang. No doubt, she is talented. Cuma kalau ditambah bunga-bunga mungkin lebih menarik. Bunga-bunga itu maksudnya di sini bukan maksud nak tambah adegan terlebih gula ya, tapi saya rasa cerita ni lebih menarik lagi kalau diselitkan sedikit sebanyak background kerjaya Karl dan Bunga. I mean, ia akan jadi lebih menarik kalau ada lebih banyak description tentang kerjaya jurugambar dan juga kerjaya Bunga dengan syarikat barang kemas tu. Hmm, mungkin sebab saya bosan kot dengan scene Bunga yang tak habis-habis ‘jual mahal’ dengan Karl and end up tiba-tiba ajak Karl berbaik seolah-olah nak dapatkan hak penjagaan anak diorang. Ops! Apa pun tahniah buat penulis atas usaha menerbitkan sendiri karyanya ini walaupun dengarnya banyak halangan yang terpaksa ditempuh. :) Saya tahu bukan senang nak menulis dan bukan senang nak memenuhi selera dan kehendak semua orang. Thanks for your efforts and also for the message contained in this book. Last but not least, mesej untuk adik-adik yang baca buku ni, silalah hadamkan sebaiknya ya. Jangan sampai berfikir macam orang yang dimaksudkan dalam entry ini. Jangan sebab keseronokan sekejap tu kita bakal rasa bersalah seumur hidup. ;)

Wednesday, March 20, 2013

Mari kita fikir-fikirkan

Posted by Hajar at 10:08 PM 5 comments
Assalamualaikum. Saya terpanggil untuk berkongsi blog entry Miss Saffaa ni di sini. Harap kita sama-sama beroleh kebaikan. :)

Mungkin ramai yang anggap benda ni remeh, tapi bila kita fikirkan secara mendalam sebenarnya kitalah yang sedang menzalimi diri kita sendiri. Betul tak? Just my 2 cents. *Angkat bahu* Tepuk dada, tanya diri sendiri. :)

Dipetik dari sini

Monday, March 18, 2013

I'm Mrs. Kertu - Danisyarahmat

Posted by Hajar at 7:20 PM 6 comments

Tajuk: I'm Mrs. Kertu
Penulis: Danisyarahmat
Penerbit: Penulisan Enterprise
Harga : RM 19.00
Sabah / Sarawak : RM 22.00
Halaman: 434 mukasurat
ISBN: 9789670567006

Ini kisah Ainul Mardhiah (Ain) yang kerap dirundung malang. Pemergian ibu tersayang selepas Ain tamat peperiksaan SPM membuatkan Ain terpaksa menerima hakikat yang dirinya sudah bergelar yatim piatu. Lebih malang lagi, bila kegadisannya diragut tanpa belas kasihan oleh si perompak. Kedatangan Adam Yusuf (Adam) untuk menjemput Ain secara kebetulan membawa kepada ikatan perkahwinan antara keduanya. Bayangkanlah, Adam ni cuma dikenali oleh Ain sebagai bapa saudara Zara, kawan baiknya dan kemudian jadi majikan Ain. Jarak umur mereka pun cecah 20 tahun. Tup-tup dah jadi suami. Manalah Ain nak mengaku Adam tu suami?

Tak dinafikan Adam ni sayang sangat pada Ain. Segala keperluan Ain memang tak pernah diabaikan. Padanya, Ain tu di bawah tanggungjawabnya. Disebabkan kelewatannya, Ain terpaksa menanggung kesengsaraan akibat peristiwa hitam itu. Pemergian Adam ke luar negara untuk menguruskan perniagaan keluarganya sedikit meresahkan Ain. Pelik, bukan sepatutnya Ain gembira ke bila si kertu ni tak ada kat depan mata?

Pertemuan kembali selepas 5 tahun tetap tidak mengubah penerimaan Ain pada perkahwinan mereka ni. Bila ikatan suami isteri secara mutlak dah terpatri pun Ain masih lagi nak tunjuk sombong. Boleh lagi merelakan Adam bertunang dengan gadis pilihan keluarganya. Haish. Rasa nak lempang laju-laju pun ada.

Tapi, bila Ain dah mula menerima Adam banyak pula rintangan yang mengganggu hubungan mereka ni. Sejauh mana pula mereka mampu bersabar menempuhi onak dan duri dalam sebuah perkahwinan?

Kagum dengan Adam ni. Memang jenis lelaki yang tak mudah melatah waktu dugaan datang menggoyahkan hubungan mereka suami isteri. Agaknya itulah kelebihan lelaki kertu ops, lelaki matang ni kan? ;)

Komen saya: : Saya baca buku ni kononnya sebagai escapism waktu tengah serabut dengan study. Tapi tak sangka boleh habiskan pembacaan dalam tempoh sehari. Err.. Apa yang saya boleh katakan, kisah ni agak ringan sebab tak meleret-leret dengan konflik. Tahniah buat penulis. Cuma ada sedikit teguran buat penulis, editor dan juga penerbit. Dah dua kali saya jumpa penggunaan patah perkataan Inggeris yang diberikan imbuhan untuk diMelayukan dalam novel keluaran penerbit ini dan nampaknya editor seolah-olah menghalalkan penggunaan perkataan itu. Hmm, harapnya pihak-pihak yang disebut itu tidak memandang enteng penggunaan bahasa untuk penerbitan. Jangan disebabkan nak mengaut keuntungan kualiti tak dijaga. Siapa lagi yang nak martabatkan bahasa Melayu kalau bukan bangsa kita sendiri kan? :)

Friday, March 8, 2013

Semerah Red Velvet - Hezzy Azra

Posted by Hajar at 10:43 PM 2 comments

Tajuk: Semerah Red Velvet
Penulis: Hezzy Azra
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM21.00
Sabah/ Sarawak: RM 24.00
Halaman:  518 mukasurat
ISBN: 9789831248461

Akhirnya, terjawab juga status Edrina Julia (EJ) dan Tengku Azril. Haha. Eh, buku ni bukan sambungan kisah Melodi Kasih ya, cuma kebetulan watak utamanya Emir Hadhri (Emir) adalah sepupu EJ. Maka adalah selingan kisah mereka ni. :)

Seperti kisah terdahulu, kisah Emir dan Raina ni juga bermula dengan cara yang simple. Secara tak sengaja, Emir terlibat dalam pergaduhan antara Raina dan bekas teman lelakinya, Syahir di hadapan Kafe Boraque, tempat kerja Raina. Akibat malu, Raina mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Dia juga khuatir akan bertembung dengan Emir dan khuatir sekiranya Syahir mengganggunya lagi. Tapi, siapa yang mampu menghalang takdirNYA kan?

Selepas insiden di Kafe Boraque Emir memang tercari-cari Raina sehinggalah mereka bertemu kembali di karnival yang berlangsung di kolej tempat Emir mengajar. Peluang yang terbentang di depan mata memang tak di sia-siakan Emir. Raina pula yang kalut. Nak mengelak akhirnya bertemu juga. Namun sempat juga Raina titipkan kek cawan red velvet air tangannya untuk Emir pada pertemuan terakhir mereka.

Siapa sangka hanya kerana kek cawan red velvet hasil air tangan Raina, hubungan mereka berterusan ke jinjang pelamin. Di sinilah letaknya konflik dan cabaran dalam hubungan mereka. Banyak perbezaan yang wujud antara mereka akibat jurang pendidikan (Emir bakal graduan PhD, Raina cuma lepasan SPM) dan juga pelbagai isu yang sebenarnya dapat diselesaikan sekiranya mereka berkomunikasi dengan baik. Emir ni banyak sangat pantang larangnya sampai kadang-kadang Raina pun jadi macam robot. Terpaksa akur dengan kehendak suami.

Bila rasa tak puas hati disimpan lama, ditambah pula dengan 'sejarah silam' Emir yang hanya diketahui Raina setelah Raina mengemas barang-barang lama Emir membuatkan Raina mula memberontak. Haish. Macam manalah mereka ni nak selesaikan masalah ketidaksefahaman mereka ni kan?

Komen saya: Kisah ni memang simple dan straight forward. Konflik pun tak serius sampai kita rasa macam nak terjun lombong. Haha. Hiperbola. Kredit untuk input yang cuba diketengahkan penulis. Macam yang saya pernah terbaca sebelum ni, sebenarnya hubungan suami isteri tu bergantung pada mereka sendiri untuk menjayakannya.Sama-sama berusaha. Bukan mengharap satu pihak saja yang berusaha. Bila tak berjaya mulalah nak menuding jari tapi tak mahu muhasabah diri. Heh. Ops, tak boleh komen lebih-lebih, sebab pengalaman saya masih zero. ;)  Apa pun, terima kasih dan tahniah untuk Kak Hezzy Azra atas kelahiran buku terbarunya ini. Lepas ni dengar-dengarnya turn Raif Imran pula yang jadi hero ya? :)

Sunday, March 3, 2013

Lavender Dari Rochester - Fatihah Pauzihal

Posted by Hajar at 9:42 PM 0 comments
Tajuk: Lavender Dari Rochester
Penulis: Fatihah Pauzihal
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman: 612 mukasurat
ISBN: 9789670508078

Saya tak tahulah sama ada momentum pembacaan saya yang sudah merudum atau kisah ni yang agak perlahan pergerakkannya sampai saya ambil masa yang agak lama untuk menyudahkan pembacaan.

Kisah ini dimulakan dengan kisah Putri Lutfiyah (Lutfiyah) yang membawa amanah bapanya untuk mencari serpihan keluarga yang ditinggalkan berpuluh tahun dulu akibat suatu konflik keluarga. Perjalanan jauh dari Rochester  menemukannya dengan Zakir, si kasanova yang akhirnya turut membawa Lutfiyah mengenali Nek Mah, Wardah sekeluarga dan juga Hadi. Rupanya pencarian Lutfiyah tidaklah sesukar mana bila yang dicari rupanya berada di depan mata. Hmm.

Pertemuan Hadi dan Lutfiyah mula membibitkan rasa dalam hati masing-masing. Hadi merasakan kehadiran  Lutfiyah mampu mengubati hatinya yang terluka. Namun, bila hubungan mereka sudah agak mesra, Lutfiyah tiba-tiba menghilang tanpa khabar berita. Kepada Nek Mah, Lutfiyah cuma berpesan yang dia perlu pulang kerana bapanya tidak sihat. Rupanya Lutfiyah sudah bertemu dengan orang yang dicari cuma tak sanggup menghadapi kebenaran di depan mata.

Kepulangan Lutfiyah beberapa tahun kemudiannya mula membongkar satu demi satu kebenaran. Apatah lagi bila kematian bapa Lutfiyah membuatkan Lutfiyah terpaksa juga mencari serpihan keluarganya untuk pembacaan wasiat. Bagaimana penerimaan Nek Mah dan Hadi bila kebenaran yang selama ini disembunyikan oleh Lutfiyah terbongkar?

Komen saya : Seperti kisah terdahulu penulis, watak-watak sampingan dalam kisah ini juga turut mempunyai 'kisah' mereka tersendiri. Zakir dan Wardah, Wajihah dan Afendi, Tan Sri Shazlan dan Puan Sri Asnah, Ibu Sumayyah, tak ketinggalan juga Pak Teh (bapa Wardah) turut mempunyai kisah tersendiri dalam setiap bahagian yang akhirnya berkait rapat antara satu sama lain. Kisahnya tak rumit, cuma perkaitan antara watak tu membuatkan kita tak boleh terlepas pandang kisah dalam ketiga-tiga bahagian dalam buku ni. Tahniah buat penulis untuk buah tangan terbarunya ini. :)

"Orang perempuan ni pelik Di. Dia lari bukan sebab dia benci. Dia lari sebab dia sayang. Sebenarnya dia cuba lari daripada diri dia sendiri." - Nek Mah, m/s 594, Lavender Dari Rochester
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review