Thursday, July 31, 2014

Bercakap Dengan Jun

Posted by Hajar at 6:22 PM 0 comments

Tajuk: Bercakap Dengan Jun
Penulis: Hasrul Rizwan
Penerbit: Dubook Press
Harga: RM 20.00
Sabah/ Sarawak: -
Halaman: 184 mukasurat
ISBN: 9789671209462

Bila baca tajuk, bunyinya memang macam buku misteri Tamar Jalis yang pernah disebut-sebut suatu ketika dulu. :) Namun, bila dibaca isinya ternyata sangat jauh dengan kisah misteri. Bukunya memang nipis dan kisahnya mudah tapi penuh pengisian kasih sayang dan sindiran buat masyarakat.

Junaidi Bin Banin, atau lebih selesa dipanggil Jun. Seorang pencopet bertaraf profesional. Siapa pun tak menyangka penampilan kemasnya setiap hari itu cuma bekerja sebagai pencopet. Hidup di kawasan perumahan terbengkalai bertemankan Saigon, seekor anjing yang setia. Putaran hidupnya statik, dari pagi hingga ke malam. Pengulangan putaran yang sama setiap hari hanya untuk mencari sesuap nasi bagi meneruskan hidup.

Namun, putaran hidupnya berubah 180 darjah selepas kehadiran si keletah yang bernama Ranum.

Benar, Jun hanyalah seorang pencopet. Tapi naluri kemanusiaannya masih tinggi untuk membiarkan seorang anak kecil dibiar kelaparan setelah ditinggalkan oleh ibu yang tidak bertanggungjawab. Beruntungnya Ranum dikurniakan seorang babah yang penuh kasih sayang begini.

Kisahnya memang mudah. Tapi 'rasa' yang tertinggal selepas menutup buku ini yang buat saya tersedu sendiri. Hakikat nilai kasih sayang sebenar memang tak ternilai dengan wang ringgit. :'(

Tahniah buat penulis atas perkongsian 'rasa' ini. Terima kasih untuk Mai yang meminjamkan naskhah ini. :)

Wednesday, July 30, 2014

Semusim Di Divonne

Posted by Hajar at 9:38 PM 0 comments


Tajuk: Semusim Di Divonne
Penulis: Ika Madera
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM 19.00
Sabah/ Sarawak: RM 22.00
Halaman:  391 mukasurat
ISBN: 9789670508658

Hanya berada selama semusim di Divonne Mira mengenali :

1. Marc Francois (baca: Fran-suah), lelaki yang digelarnya hantu mi suah kerana Marc suka sangat muncul secara tiba-tiba.

2. Suasana dan permandangan indah sekitar Divonne.

3. Lelaki warga emas yang duduk menyendiri di bangku yang ditemui Mira dalam perjalanannya ke pekan. Rupanya lelaki tersebut adalah datuk Marc.

4. Sisi lain keluarga Aliah dan Jeremy. Selama ini Mira sangka kakak dan abang iparnya sudah jauh meninggalkan agama. Rupanya, selepas kehamilan Aliah, mereka berdua berdikit-dikit belajar dan berusaha kembali ke landasan yang benar. Mereka sedar dan mahu menjadi ibu dan bapa yang terbaik buat anak mereka. Dan, individu yang banyak membantu mereka kembali ke jalan lurus itu adalah Marc. Mengejutkan, bukan?

Ingat tu, jangan mudah sangat berprasangka. Tak tahu, tanya. Jangan suka hati nak buat assumptions.

Bagi Marc pula, kedatangan Mira ke Divonne memang dinantikan semenjak dia terpandangkan foto Mira di kediaman Jeremy dan Aliah. Katanya, dia jatuh hati dengan senyuman Mira dalam foto itu. Jadi, bila Mira tiba ke Divonne, memang Marc tak melepaskan peluang untuk beramah mesra (sambil cucuk jarum. Haha) dengan Mira. Cuma itulah, mungkin perbezaan budaya (atau mungkin terlampau excited) buatkan Marc ni suka muncul secara mengejut laksana hantu. :D Suka sangat mengusik Mira sehingga berjaya buat Mira melancarkan konfrontasi disebabkan provokasi berunsur keagamaannya terhadap Mira. Haish. Bila mereka sudah berdamai, Mira pula sudah mahu pulang ke Singapura dan mahu berkahwin dengan pilihan hatinya. Jadi, macam mana dengan Marc? :'(

Komen saya:

Suka kisah ni sebab:

1. Ringkas dan tak memeningkan kepala dengan macam-macam konflik. Memang bacaan santailah senang cerita. :D

2. Suasana di sekitar Divonne yang digambarkan oleh penulis. Boleh bayangkan sendiri sebab saya sendiri bekerja di kawasan yang menghijau macam tu. (Syukur Alhamdulillah dapat tengok pemandangan hijau hampir setiap hari. :D) Cuma takde lembu je dekat kawasan tempat kerja saya tu. Haha.

3. Ada peringatan dan teguran yang diselitkan. Terutamanya tentang berprasangka. Ehem!

4. Family bonding antara Mira dan Aliah. Mereka hanya dua beradik dan mereka sedar yang mereka sentiasa ada untuk menyokong antara satu sama lain.

5. Ada watak macam Marc. Eh? Haha.

Buat yang rindukan Wawa dan Encik Abu, mereka sekeluarga juga ada terselit dalam kisah ini. Hehe. Hannah pun dah besar nampaknya. Encik Abu pun dah nak terima menantu tak lama lagi agaknya. :D

Tahniah dan terima kasih Kak Ika untuk cerita yang simple dan manis ni. ;)

Romantik Rapsodi

Posted by Hajar at 10:48 AM 0 comments
Tajuk: Romantik Rapsodi
Penulis: Farah Fauzi
Penerbit: Lovenovel Enterprise
Harga: RM24.00
Sabah/ Sarawak: RM 27.00
Halaman:  604 mukasurat
ISBN: 9789670657172

Nur Amani (Nani) berkenalan dengan Iqbal Hakim (Hakim) selepas berpisah dengan teman lelakinya. Perkenalan yang bermula di dunia siber akhirnya berlanjutan hingga ke dunia realiti. Nani memang betul-betul tertarik dengan Hakim tapi malangnya Hakim si womanizer ni hanya menganggap Nani tak lebih daripada seorang kawan baik. Dia selesa berkawan dengan Nani, tapi dia tak mahu berkomitmen. Cuma, lama-kelamaan Hakim menyedari yang dia tak mampu jauh daripada Nani hingga akhirnya Nani dilamar untuk dijadikan teman wanitanya.

Hubungan mereka berkembang dari hari ke hari. Hakim pun nampak sayang sangat pd Nani walaupun sebenarnya tanpa pengetahuan Nani, Hakim tak pernah tinggalkan pun dunia 'warna-warni'nya tu. Yang paling tak seronok bila Hakim mula mengongkong. Bayangkan, cemburu punya fasal, Nani keluar makan dengan bos pun Hakim boleh melenting siap lempar telefon. Apakah?? Ada juga orang macam ni rupanya. Huh..

Kerana tak mampu nak tinggalkan dunia penuh 'warna-warni'nya Hakim memutuskan hubungannya dengan Nani. Kecewa sungguh Nani. Ialah, setelah sepenuh hati diberi, Hakim senang-senang memutuskan hubungan mereka. Aduh..! Mujurlah ada Umar Rayyan (Rayyan), bos Nani yang memang dah lama menyimpan perasaan terhadap Nani. Rayyan ni sebenarnya abang Hakim (tapi perangainya memang wayyy better than Hakim). Yang tak seronoknya, niat Rayyan nak menenangkan Nani selepas berpisah dengan Hakim akhirnya menjerat mereka ke gerbang perkahwinan.

Bagi Rayyan, memperisterikan Nani memang impiannya. Sanggup menanti hati Nani terbuka untuk terima dirinya sebagai suami sebenar-benarnya. Cuma bila kebenaran mula tersingkap, mampukah Rayyan menghadapi kemarahan Nani? Ditambah pula dengan gangguan Hakim yang kononnya kesal melepaskan Nani ke tangan Rayyan. Mampukah rumahtanggan Rayyan-Nani dipertahankan?

Komen saya

1. Saya tertarik untuk ikuti cerita ni di blog penulis dulu sebab tajuknya yang catchy. Jadi bila diterbitkan dalam bentuk bercetak memang tanpa ragu saya beli sebab nak tau macam mana penamat kisah ini. :)

2. Memang kisah biasa yang memang kita boleh agak jalan ceritanya. Klise tapi masih ada pengajaran yang boleh kita ambil terutamanya tentang perhubungan suami isteri. Walau macam mana marah sekalipun isteri kena ingat suami tetap perlu dihormati. Sikap sabar dan bertoleransi sangatlah penting untuk menjamin keharmonian rumahtangga supaya tak jadi macam kes Rayyan-Nani ni.

3. Suka bila penulis tak meleret-leretkan konflik (sebab saya suka buku nipis. Haha)

4. Suka gambaran ibu Nani sebagai seorang ibu yang rasional, bukan jenis mengapi-apikan bila Nani ditimpa masalah rumahtangga.

5. Tahniah buat penulis atas kelahiran kisah ini. Moga dikurniakan ilham untuk terus berkarya. :) 

Tuesday, July 29, 2014

Hijab Sang Pencinta

Posted by Hajar at 11:32 AM 0 comments
Tajuk: Hijab Sang Pencinta
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM19.90
Sabah/ Sarawak: RM 22.90
Halaman:  510 mukasurat
ISBN: 9789831243855


Setelah berjaya menumpaskan Maharani Kerajaan Pulau Utara dan juga pemergian Ratna, Saifudin tekad untuk pulang ke Tanah Melayu. Kerinduan terhadap keluarga begitu menggamit. Namun, kejahatan Taghut tidak pernah jemu memburunya. Perjalanan pulang Saifudin melalui jalan darat penuh dengan dugaan dan ujian mendatang. Salah satunya Saifudin bakal berdepan dengan Manggala, manusia serigala. Menariknya Manggala ni asalnya cumalah seorang khunsa yang juga merupakan bekas pengiring Maharaja. Siang hari menjadi lelaki dan ketika malam bertukar menjadi perempuan. Kerana dituduh bermukah dengan gundik Maharaja, Manggala diburu. Perjanjian dengan Taghut mengubah dirinya menjadi Manggala.

Manakala pada abad ke 21, Manggala yang telah ditewaskan oleh Saifudin bakal dibangkitkan oleh pengikutnya yang dahagakan kekayaan. Dalam siri sebelum ini ada dinyatakan yang Manggala masih memerlukan satu lagi korban perawan suci sebelum bangkit semula. Manggala mahukan Haryani sebagai korbannya disebabkan 'keistimewaan' Haryani yang pernah hidup semula selepas kematiannya.

Sementara itu di Tanah Melayu keluarga Tun Mutalib menerima musibah atas perbuatan Melor. Kerinduan terhadap Saifudin menyebabkan Melor menerima tawaran nenek tua yang kononnya mampu membawa Saifudin pulang ke Tanah Melayu. Rupanya nenek tua itu adalah jelmaan Putri Kober Gandring yang ingin menuntut bela atas kematian abangnya (Taming Sari) di tangan Hang Tuah. Kehilangan Hang Tuah tanpa jejak menyebabkan Putri Kober Gandring meminta nyawa Sultan Melaka sebagai galang ganti. Putera Muzafar, anakanda Tun Mutalib dan Melor dijadikan tebusan supaya Tun Mutalib membunuh Sultan Melaka. Berdepan dengan ancaman sebegini membuatkan Tun Mutalib terkenangkan Laksamanan Sunan. Lantas, dengan bantuan Bendahara, Panglima Awang Bagan dan angkatannya dikerah menyusul Saifudin di Aceh.

Kepulangan Saifudin ke Tanah Melayu disambut dengan berita kematian ibunya. Sungguh pun bersedih kerana tak sempat bertemu ibunya, Saifudin redha dengan ketentuan ilahi. Setelah berjaya menumpaskan Putri Kober Gandring, Melor berterus terang dan meminta maaf atas kekhilafannya memfitnah Saifudin dan juga atas perbuatannya bersekongkol dengan Putri Kober Gandring memerangkap ibu Saifudin dalam permainan sihir si Putri.

Berita kepulangan Saifudin kemudiannya tersebar hingga ke pengetahuan Sultan Melaka. Rupanya kemurkaan Sultan masih lagi belum hilang walaupun Saifudin telah berjaya menumpaskan si jahat yang berniat membunuh Sultan. Aduhai, mana rasionalmu wahai Sultan Melaka? Panglima Awang Bagan diperintahkan untuk menangkap Saifudin agar di bawa ke Melaka. Sekali lagi keajaiban berlaku bila Saifudin menyembunyikan diri daripada diburu. Dalam lena Saifudin di bawa pada abad ke 21 dan dipertemukan dengan keluarga Dani. Sungguh pun terasa kekok, Saifudin tetap berusaha menyesuaikan diri dengan bantuan keluarga Dani.

Dani dan Haryani pula sedang bersiap-siap untuk pulang setelah menguruskan dokumen perjalanan mereka di kedutaan. Namun, sekali lagi Haryani diculik oleh Rajikin, pengikut setia Manggala yang tamak haloba. Terpaksa Dani meminta tolong ayahnya untuk menghantar Saifudin ke Medan untuk menyelamatkan Haryani. ;)

Kemunculan Saifudin di abad ke 21 menggembirakan Haryani, lantas hasrat hati diluahkan kepada kedua ibu bapanya untuk menjadi yang halal buat Saifudin. Dapatkah mereka bersatu di abad ke 21? :D (tengok, betapa lebar senyuman saya? Hahah. :P)

Komen saya:

1. Cerita ni memang pantas. Penceritaan relevan dan tak meleret kepada hal yang tidak-tidak.

2. Cuma ada sedikit kemusykilan sebab Manggala ni sudah pun ditewaskan oleh Saifudin awal-awal lagi. Pelik macam mana keturunannya boleh berkembang sedangkan Guntur yang kononnya bakal penerus warisan pun sudah terkorban awal-awal lagi? Mungkin ada yang terlepas pandang di situ atau mungkinkah ada pencerahan dalam siri selepas ini? :)

3. Terkejut dengan nasib Orang Kaya Seman. Tapi memikirkan Bendahara Melaka yang sangat bijak menyembunyikan fakta tu memang tak mustahil Orang Kaya Seman menerima nasib sebegitu selepas apa yang dilakukan terhadap Saifudin. ;)

4. Saya gembira sebab akhirnya Haryani mampu bermuhasabah diri. Ngee. Cinta sesama manusia tak ke mana berbanding cinta kita terhadap Sang Pencipta. :)

5. Betullah, aura Haryani - Saifudin tak sekuat aura Sunan - Ratna. :)

Okay, next!

Fobia Kumpulan Cerpen

Posted by Hajar at 11:28 AM 0 comments

Tajuk: Fobia Kumpulan Cerpen
Penulis: -
Penerbit: Roman
Harga: RM 19.90
Sabah/ Sarawak: -
Halaman: 282 mukasurat
ISBN: 9789671199732

Fobia; sejenis penyakit yang dipengaruhi oleh pemikiran manusia berdasarkan pengalaman buruk yang dialami dan kemudian bawa pengaruh yang sangat kuat dalam kehidupan seharian. - m/s96; Telefon Berbunyi - Hidayatus

Ya, memang betul. Macam dalam kisah Telefon Berbunyi ni pun watak pelakunya ada rasa fobia terhadap ayam. Ye, AYAM. Bunyi macam kelakar tapi itulah hakikatnya. :)

Memang banyak variasi fobia yang digambarkan dalam kumpulan cerpen ni. Ada kisah fobia saksi pembunuhan, fobia bersalin, fobia patung, fobia kegelapan (suka cerita ni sebab penulis pandai twist di akhir cerita), fobia hospital, fobia terhadap mak mertua pun ada dan macam-macam lagilah. Nak tahu lebih lanjut kenalah baca. ;)

Bila baca buku ni buat saya terfikir apa relevannya kefobiaan kita terhadap sesuatu tu. Kekadang, bila dah terpeta rasa fobia tu dalam minda kita seolah tak mahu melawan rasa fobia yang ada tu. Kan? Hmm..

Terima kasih buat si pemberi buku. Mudah-mudahan bertambah murah rezeki dan maju jaya dalam dunia penulisan. :D

Terima Kasih Kekasih

Posted by Hajar at 11:27 AM 0 comments

Tajuk: Terima Kasih Kekasih
Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM 23.00
Sabah/ Sarawak: RM -
Halaman: 619 mukasurat
ISBN: 9789834311704

Selepas beberapa bulan bertunang dengan Amna, Imlan mula menunjukkan perubahan. Alasannya, kesibukan Amna sebagai doktor forensik membuat dia rasa terabai. Zawani, teman wanita terbarunya lebih pandai melayani kehendaknya. Walhal selama bertahun-tahun berkawan rapat dengan Amna, tak pernah pula dipersoalkan kerjaya yang dah sebati dengan minat Amna tu. Heh. Tipikal lelaki. Bila dah buat salah, seboleh mungkin tak mahu beban kesalahan diletakkan atas bahunya sendiri. Nak juga salahkan orang lain.

Amna yang polos tak pernah mengesyaki yang Imlan sudah pun berpaling. Dia fikir Imlan tiada masa untuknya. Sehinggalah dia bertemu dengan bukti kecurangan Imlan. Nak sembunyi macam mana lagi bila Amna sendiri terserempak dengan pasangan yang kononnya bahagia tu? Walaupun hatinya terguris, Amna tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru. Dia masih memikirkan hubungan baiknya dengan emak Imlan yang dibina dengan susah payah. Jadi, Amna menunggu masa yang sesuai untuk berbincang dengan Imlan tentang pertunangan mereka. Namun, bagi Imlan pula, kerana tak mahu kecewakan ibunya yang terlampau sayangkan Amna, dia mahu Amna yang memutuskan pertunangan itu. Heh.

Sungguh pun Amna dikelilingi oleh ahli keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa menyokong setiap apa yang dilakukannya, Amna masih tidak punyai keberanian untuk berterus terang tentang pertunangannya dengan Imlan. Hanya selepas pemergian adik dan kemudiannya kawan baiknya, Amy, barulah Amna berani berterus terang dengan kedua ibu bapanya. Itu pun Imlan masih tak mahu mengaku kesilapannya. Hish, geram betul!

Mujurlah ada Chyril (tetiba terbayang Cyril Takayama, American-Japanese magician tu. Haha. :P), rakan kongsi Imlan yang juga bekas teman lelaki Amy. Chyril banyak membantu Amna berdepan dengan masalah Imlan. Sudah dinasihati Imlan tentang Zawani tetapi sia-sia. Imlan seolah dibutakan oleh cintanya terhadap Zawani. Lama kelamaan hubungan Chyril dan Amna yang bertambah rapat, lebih-lebih lagi lepas kematian Amy. Kata-kata semangat yang dihulurkan Amna buat Chyril banyak berfikir tentang kehidupan sekaligus memberi hidayah buat Chyril untuk memeluk Islam. Subhanallah.


Komen saya:

1. Saya ambil masa untuk menyudahkan pembacaan hingga mencecah 2 minggu kerana kekangan masa di bulan Ramadan. *mental note: bulan puasa tak payah berangan nak baca novel sangat sebenarnya. :P

2. Kisah ni pun mudah je sebenarnya. Tapi penulis tak pernah gagal tampilkan kekuatan dan ketabahan wanita sekalipun watak sebaik Amna tu sebenarnya berkali-kali dikecewakan oleh lelaki yang digelar tunangan.

3. Tak lupa, watak lelaki hampeh yang buat kita nak rasa luku berkali-kali. Tapi saya puas hati sebab akhirnya Imlan terima pengajaran atas kecurangannya. Heh. Itu namanya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Lepas tu ada hati nak aniaya Amna dengan Chyril pulak .

4. Geram dengan Zawani. Memang tipikal watak 'orang ketiga' yang tak sedar diri. Boleh pulak dia serang Amna sebab tak putuskan pertunangan dengan Imlan. Kelakar. Tolonglah jangan malukan kaum sejenis dengan perangai macam ni okay? Ops, terlebih sudah. :P

5 Kehadiran watak Chyril tu umpama penyejuk. Lebih-lebih lagi bila dia terima hidayah selepas berkawan rapat dengan Amna. Kemudian bertemu jodoh pula dengan Amna. Itulah hikmah bersabar sebenarnya. Di setiap kepahitan tu ada tersembunyi manisnya. :)
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review