Tuesday, July 29, 2014

Hijab Sang Pencinta

Posted by Hajar at 11:32 AM
Tajuk: Hijab Sang Pencinta
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM19.90
Sabah/ Sarawak: RM 22.90
Halaman:  510 mukasurat
ISBN: 9789831243855


Setelah berjaya menumpaskan Maharani Kerajaan Pulau Utara dan juga pemergian Ratna, Saifudin tekad untuk pulang ke Tanah Melayu. Kerinduan terhadap keluarga begitu menggamit. Namun, kejahatan Taghut tidak pernah jemu memburunya. Perjalanan pulang Saifudin melalui jalan darat penuh dengan dugaan dan ujian mendatang. Salah satunya Saifudin bakal berdepan dengan Manggala, manusia serigala. Menariknya Manggala ni asalnya cumalah seorang khunsa yang juga merupakan bekas pengiring Maharaja. Siang hari menjadi lelaki dan ketika malam bertukar menjadi perempuan. Kerana dituduh bermukah dengan gundik Maharaja, Manggala diburu. Perjanjian dengan Taghut mengubah dirinya menjadi Manggala.

Manakala pada abad ke 21, Manggala yang telah ditewaskan oleh Saifudin bakal dibangkitkan oleh pengikutnya yang dahagakan kekayaan. Dalam siri sebelum ini ada dinyatakan yang Manggala masih memerlukan satu lagi korban perawan suci sebelum bangkit semula. Manggala mahukan Haryani sebagai korbannya disebabkan 'keistimewaan' Haryani yang pernah hidup semula selepas kematiannya.

Sementara itu di Tanah Melayu keluarga Tun Mutalib menerima musibah atas perbuatan Melor. Kerinduan terhadap Saifudin menyebabkan Melor menerima tawaran nenek tua yang kononnya mampu membawa Saifudin pulang ke Tanah Melayu. Rupanya nenek tua itu adalah jelmaan Putri Kober Gandring yang ingin menuntut bela atas kematian abangnya (Taming Sari) di tangan Hang Tuah. Kehilangan Hang Tuah tanpa jejak menyebabkan Putri Kober Gandring meminta nyawa Sultan Melaka sebagai galang ganti. Putera Muzafar, anakanda Tun Mutalib dan Melor dijadikan tebusan supaya Tun Mutalib membunuh Sultan Melaka. Berdepan dengan ancaman sebegini membuatkan Tun Mutalib terkenangkan Laksamanan Sunan. Lantas, dengan bantuan Bendahara, Panglima Awang Bagan dan angkatannya dikerah menyusul Saifudin di Aceh.

Kepulangan Saifudin ke Tanah Melayu disambut dengan berita kematian ibunya. Sungguh pun bersedih kerana tak sempat bertemu ibunya, Saifudin redha dengan ketentuan ilahi. Setelah berjaya menumpaskan Putri Kober Gandring, Melor berterus terang dan meminta maaf atas kekhilafannya memfitnah Saifudin dan juga atas perbuatannya bersekongkol dengan Putri Kober Gandring memerangkap ibu Saifudin dalam permainan sihir si Putri.

Berita kepulangan Saifudin kemudiannya tersebar hingga ke pengetahuan Sultan Melaka. Rupanya kemurkaan Sultan masih lagi belum hilang walaupun Saifudin telah berjaya menumpaskan si jahat yang berniat membunuh Sultan. Aduhai, mana rasionalmu wahai Sultan Melaka? Panglima Awang Bagan diperintahkan untuk menangkap Saifudin agar di bawa ke Melaka. Sekali lagi keajaiban berlaku bila Saifudin menyembunyikan diri daripada diburu. Dalam lena Saifudin di bawa pada abad ke 21 dan dipertemukan dengan keluarga Dani. Sungguh pun terasa kekok, Saifudin tetap berusaha menyesuaikan diri dengan bantuan keluarga Dani.

Dani dan Haryani pula sedang bersiap-siap untuk pulang setelah menguruskan dokumen perjalanan mereka di kedutaan. Namun, sekali lagi Haryani diculik oleh Rajikin, pengikut setia Manggala yang tamak haloba. Terpaksa Dani meminta tolong ayahnya untuk menghantar Saifudin ke Medan untuk menyelamatkan Haryani. ;)

Kemunculan Saifudin di abad ke 21 menggembirakan Haryani, lantas hasrat hati diluahkan kepada kedua ibu bapanya untuk menjadi yang halal buat Saifudin. Dapatkah mereka bersatu di abad ke 21? :D (tengok, betapa lebar senyuman saya? Hahah. :P)

Komen saya:

1. Cerita ni memang pantas. Penceritaan relevan dan tak meleret kepada hal yang tidak-tidak.

2. Cuma ada sedikit kemusykilan sebab Manggala ni sudah pun ditewaskan oleh Saifudin awal-awal lagi. Pelik macam mana keturunannya boleh berkembang sedangkan Guntur yang kononnya bakal penerus warisan pun sudah terkorban awal-awal lagi? Mungkin ada yang terlepas pandang di situ atau mungkinkah ada pencerahan dalam siri selepas ini? :)

3. Terkejut dengan nasib Orang Kaya Seman. Tapi memikirkan Bendahara Melaka yang sangat bijak menyembunyikan fakta tu memang tak mustahil Orang Kaya Seman menerima nasib sebegitu selepas apa yang dilakukan terhadap Saifudin. ;)

4. Saya gembira sebab akhirnya Haryani mampu bermuhasabah diri. Ngee. Cinta sesama manusia tak ke mana berbanding cinta kita terhadap Sang Pencipta. :)

5. Betullah, aura Haryani - Saifudin tak sekuat aura Sunan - Ratna. :)

Okay, next!

0 comments:

Post a Comment

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review