Friday, January 13, 2012

Sehiris Bulan - Hafizah Iszahanid

Posted by Hajar at 10:27 PM

Sehiris Bulan
Penulis: Hafizah Iszahanid
Terbitan : Jemariseni Sdn. Bhd.
Harga : RM21.00
Sabah/Sarawak: RM24.00
Halaman: 511 muka surat
ISBN : 9789675118715

Sehiris Bulan dimulai dengan pertemuan Lily Julia dan Engku Effendi di dalam tandas lelaki akibat kesilapan Lily Julia memasuki tandas. Itu pun selepas menghantar ibunya untuk menjalani rawatan di PPAM. Engku Effendi yang merupakan seorang doktor di PPAM juga secara kebetulannya adalah abang kepada teman sekuliah Lily Julia, Engku Atilia. Mereka juga bersahabat baik dengan Zaira

Jemputan Atilia ke rumah keluarganya untuk majlis kenduri kesyukuran telah menemukan Engku Effendi dan Lily Julia sekali lagi. Paling manis, bonda mereka, Tengku Mahani berkenan pula untuk menjodohkan Effendi dan Julia. Dapat restu semua dari semua orang pula tu (keluarga Julia serta keluarga Effendi). Bila diberi tempoh untuk memberi jawapan kepada risikan daripada pihak keluarga Effendi, Julia jadi serba salah sebab takut dia akan hampakan harapan kedua-dua buah keluarga yang terlalu gembira dengan silatulrahim kedua buah keluarga itu.

Engku Effendi pula masih dibelenggu rasa kecewa bila terpaksa memutuskan ikatan kasihnya dengan Kassandra Pullman (yang akhirnya memeluk Islam dan menukar namanya menjadi Khadeja Pullman. Khadeja merupakan teman sepasukan Julia semasa Julia mengikuti pasukan bantuan perubatan ke Afghanistan) setelah sekian lama menyulam kasih. Hubungan cinta mereka mendapat tentangan hebat daripada Tengku Mahani yang masih prejudis dengan perkahwinan campur. Jadi, bila Tengku Mahani mencadangkan untuk melamar Julia bagi pihaknya, Engku Effendi tidak membantah hanya kerana tidak mahu mengecewakan ibunya.

Perkenalan Julia dan Adlan Huzairi di Langkawi akhirnya membuatkan Julia terpaut hati dan akhirnya menolak lamaran keluarga Engku Effendi. Sampai accident si Effendi tu. Walaupun dia menafikan, saya tetap merasakan ia ada kaitan dengan keputusan Julia.

Zaira pula memang begitu meminati Adlan Huzairi sejak zaman remaja. Adlan Huzairi ni seorang pelukis. Bila diperkenalkan dengan Adlan Huzairi oleh Julia, Zaira merasakan inilah peluang dia untuk mendekati lelaki yang dipuja sejak zaman remajanya. Zaira yang begitu meminati Adlan Huzairi sentiasa berusaha untuk mendampingi Adlan Huzairi dan menyingkirkan Julia secara tak disedari. Lebih-lebih lagi sewaktu Julia ditugaskan untuk mengikuti pasukan bantuan perubatan membuat liputan di Afghanistan. Waktu ini Zaira memancing Adlan Huzairi dengan berjanji untuk mengadakan pameran seni di New York. Tapi hasilnya? Ego seorang lelaki bernama Adlan Huzairi telah pun tercalar. Licik dan sungguh menjengkelkan watak Zaira ni. Nampak macam baik, tapi hakikatnya ibarat duri dalam daging. Juga terlalu psiko dan obsessif dengan apa yang disukainya.

Keagresifan dan keobsesan Zaira memuncak saat majlis pertunangan Julia dan Adlan Huzairi berlangsung yang akhirnya membawa kepada pembatalan majlis pertunangan. Manakala ibu Julia pula terpaksa dikejarkan ke hospital akibat serangan jantung. Mau tak terkejut, bila orang membuat onar dan mengamuk dalam majlis kita. Zaira pula dinasihatkan oleh Engku Effendi untuk mendapatkan rawatan.

Melihatkan keadaan kesihatan ibunya yang terganggu akibat insiden itu menyebabkan Julia memutuskan hubungannya dengan Adlan Huzairi dan membawa diri ke Kuching dengan tiket pertukaran cawangan tempat kerjanya. Beberapa bulan kemudian, Julia menerima kad undangan perkahwinan Zaira dan Adlan. Jadi, Julia memang tidak menyimpan sebarang harapan untuk kembali ke pangkuan Adlan Huzairi.

Pulang ke semenanjung, Tengku Mahani melamar Julia sekali lagi untuk Engku Effendi dan kali ini Julia menerima dengan senang hati kerana pengakuan cinta Engku Effendi dan juga atas rasa tak terikat dengan sesiapa. Tapi perkhabaran yang dibawa oleh Engku Effendi tentang Adlan Huzairi berjaya menggugat ketenangan hati Julia. Siapa yang jadi pilihan hati Julia? Adakah Adlan Huzairi yang opportunis, atau Doktor Engku Effendi yang sanggup melepaskan Julia pergi untuk melihat insan yang dicintainya itu berbahagia?

Komen saya: Buku ini berjaya membuat emosi saya menjadi roller coaster semasa membaca bahagian Zaira yang psiko itu. Kekadang geram juga dengan Adlan yang tak bersungguh menolak kehadiran Zaira ke dalam hidupnya. Grrr.. Tapi saya tabik dengan Julia sebab berjaya buat pilihan yang bijak. :P

0 comments:

Post a Comment

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review