Tajuk: Ros Biru Untuk Dia
Penulis: Ijazati Habib
Penerbit: Jemariseni Sdn. Bhd.
Harga: RM 20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman: 493 mukasurat
ISBN: 9789675118760
Memang betul, memaafkan itu tak semudah melafazkan maaf. Begitu agaknya yang dirasai oleh Lyanna setelah apa yang dihadapinya selama hidup dengan Fakhrul.
Lyanna terpaksa berkahwin dengan Fakhrul setelah tersebarnya gambar mereka berdua dalam keadaan intim. Walhal sebenarnya itu adalah perangkap yang dipasang oleh teman wanita Fakhrul, Saleena supaya Lyanna disingkirkan dari sisi Fakhrul. Saleena ni cemburu sebab semenjak Lyanna bekerja di syarikat itu, Fakhrul macam melebihkan Lyana dan tak pedulikan dia. Walhal Lyanna tu dah bertunang pun dengan Adam. Malangnya masa kejadian hitam yang menimpa Lyanna sehingga dia diminta berkahwin dengan Fakhrul tu, Adam yang bergegas keluar rumah untuk selamatkan Lyanna ditimpa kemalangan dan koma.
Keluarga Fakhrul, terutamanya Dato' Ehsan sangat berharap yang mereka berdua berkahwin untuk menutup malu. Biasalah, ahli perniagaan mesti tak mahu berita buruk macam ni tersebar kan? Keluarga Lyanna pun terkejut dengan berita ni. Jadi untuk menutup malu, mereka berkahwin pada tarikh Lyanna sepatutnya berkahwin dengan Adam. Kebetulan Adam pun masih koma lagi masa ni jadi peluang ini diambil oleh keluarga Lyanna untuk melangsungkan perkahwinan Lyanna dan Fakrul. Bunyi macam kejam kan?
Lepas perkahwinan mereka, Lyanna dibuang keluarga disebabkan insiden yang memalukan itu. Kemudian, kena buang kerja juga. Fakhrul tu memang kejam. Ibu Fakhrul, Datin Afifah pun tak sukakan Lyanna sebab dia fikir Lyanna tu sengaja perangkap Fakhrul. Tapi, pandangannya berubah selepas Lyanna bersetuju untuk dermakan darah apabila Datin Afifah dan Datuk Ehsan ditimpa kemalangan.
Kagum dengan Lyanna sebab mampu bertahan dengan caci maki Fakhrul tu. Bila Adam sedar dari koma, Lyannalah yang paling setia melawat Adam setiap hari walaupun Adam lumpuh selepas kemalangan tu. Adam pun tak tahu yang Lyanna dah berkahwin sampailah Fakhrul datang menemui Adam untuk beritahu hal sebenar. Yelah, lepas aje Lyanna dermakan darahnya pada Datin Afifah, pandangan Fakhrul pada Lyanna turut berubah. Jadi tujuan dia bertemu Adam tu adalah kononnya supaya Adam tak beri harapan lagi pada Lyanna. Kesian Adam. Terus dia jauhkan diri daripada Lyanna sebab dia rasa dia tak layak untuk Lyanna sebab dia dah lumpuh.
Memanglah lepas tu Fakhrul berjaya dapatkan Lyanna. Tapi sayangnya dia tak pandai menghargai. Musim bahagia Lyanna dan Fakhrul tu sekejap cuma. Banyak sangat dugaan yang melanda rumah tangga mereka berdua ni. Fakhrul pun dah pandai naik tangan. Ish, memang sebaklah bila bayangkan keadaan Lyanna yang dipukul waktu tengah mengandung tu. Fakhrul ni pula banyak sangat curiganya. Bukannya nak siasat dulu. Mudah sangat termakan hasutan Saleena tu. Kemuncak konflik rumah tangga mereka ni ialah apabila Fakhrul bertindak memukul Lyanna lepas dia nampak Lyanna sedang berebut handphone dengan Ashraf (kawan baik Fakhrul yang juga sepupu Adam). Akibatnya, Lyanna tumpah darah dan anak mereka berdua meninggal dunia.
Bila dah tau hakikat sebenar daripada Saleena, barulah nak menyesal. Tapi dah terlambat sebab taklik yang dilafazkan dah pun jatuh sebaik saja Lyanna bersalin. Menyesal pun dah tak berguna. Pujuk macam mana pun Lyanna tetap berkeras tak mahu kembali kepada Fakhrul. Paling tak sangka, selama waktu Fakhrul tak mempedulikan Lyanna, Adamlah yang sentiasa perhatikan Lyanna dari jauh. Sentiasa pastikan Lyanna dapat perhatian sewajarnya masa dia mengandung. Makin merudumlah saham Fakhrul jadinya.
Adakah masih ada peluang untuk Fakhrul kembali kepada Lyanna?
Atau adakah Adam yang masih ditunggu oleh Lyanna?
Atau adakah si pemberi ros biru yang dipilih oleh Lyanna?
Komen saya: Kisah yang agak berat, tetapi berjaya dilakarkan dengan baik oleh seorang penulis baru. Tahniah Ijazati. Suka dengan cover Ros Biru Untuk Dia ni. Selagi belum baca, memang kita akan jadi tertanya apa relevannya rantai kunci bergambar kucing tu dengan ros biru. Tapi bila dah baca barulah rasa comelnya Adam ni. Eh eh. Hehe.
0 comments:
Post a Comment