Sunday, December 1, 2013

Kau Kekasih Gelapku - Que Sera Sera

Posted by Hajar at 10:47 PM
Tajuk: Kau Kekasih Gelapku
Penulis: Que Sera Sera
Penerbit: Idea Kreatif Publication
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman:  566 mukasurat
ISBN: 9789671192559

Rihanna dan Ayuna, keduanya adik beradik kembar yang lahir hasil penyatuan Demon dan Nian. Keduanya dipisahkan semenjak lahir. Rihanna dibesarkan di dunia manusia manakala Ayuna pula dipelihara oleh puak Shaman. Kedua-duanya tidak mengenali antara satu sama lain sehinggalah kemunculan watak Ayuna setelah Rihanna menghilangkan diri.

Walaupun dibesarkan di dunia manusia, Rihanna sebenarnya punya kuasa luar biasa yang tidak dimiliki oleh manusia. Perkenalannya dengan Addi mula membuatnya tersepit antara perasaannya pada Addi dan Darius. Namun, sesuatu berlaku antara Rihanna dan Addi yang kemudiannya menyatukan mereka sebagai suami isteri. Saat hati mula menyayangi, Rihanna dikecewakan Addi. Waktu ini Darius datang membawa Rihanna kembali ke dunia gelap dan berhasil menghilangkan jejak Rihanna di dunia manusia dengan bantuan Ryuu.

Addi yang terasa bersalah kerana terpaksa mengecewakan Rihanna berusaha menjejaki Rihanna. Kemunculan Ayuna yang seiras Rihanna memang sentiasa diburu Addi untuk mendapatkan penjelasan. Malangnya Ayuna tidak mengenali Addi. Siapa sebenarnya Ayuna dan ke mana menghilangnya Rihanna?

Komen saya: Cerita yang bagus. Idea yang fresh. Gaya bahasa yang santai. Cuma saya agak terganggu dengan beberapa babak yang diceritakan agak 'bebas' dan tak molek dari sudut pandang kita sebagai orang timur (baca: Melayu). Saya akui saya masih konservatif. Tak boleh terima jika adegan sebegitu dipaparkan dengan bersahaja. Tapi, lain orang lain rasanya kan? Ehem. Sebenarnya cerita ini bukan bertumpu kisah cinta Rihanna-Addi-Darius dan kisah cinta Ayuna-Shaqir saja, ramai watak sampingan lain yang menjadi penyeri dan pelengkap kisah ini. Satu demi satu persoalan bakal terjawab selepas kemunculan Ayuna. Segala persoalan berkaitan apa yang terjadi kepada Rihanna dan Ayuna juga terjawab dipenghujung cerita. Memang pantas dan tak meleret walaupun sebenarnya banyak yang boleh diperbaiki untuk mengisi 'kelompongan' dalam penceritaannya. Tahniah buat penulis atas keberaniannya meneroka genre sebegini. Semoga dikurniakan lebih banyak ilham untuk melakarkan kisah-kisah yang lain pula. :)   

0 comments:

Post a Comment

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review