Saturday, June 14, 2014

Cinta Sang Ratu

Posted by Hajar at 7:07 PM 0 comments
                        

Tajuk: Cinta Sang Ratu
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM19.90
Sabah/ Sarawak: RM 22.90
Halaman:  554 mukasurat
ISBN: 9789831242785

Imbas kembali: Setelah pertarungan hebat antara Laksamana Sunan dan Nyi Burga Kelara yang kemudiannya turut mengorbankan Haryani, Laksamana Sunan akhirnya kembali ke Acheh. Walaupun niat asalnya pulang ke Kampung Punggor untuk berbakti kepada kedua orang tuanya, Laksamana Sunan akhirnya terpaksa akur dengan kehendak kedua ibu bapanya bila dirinya masih menjadi buruan Sultan Melaka yang murka kerana Haryani dibunuh. Pulang ke Acheh pula, tentera Pulau Utara yang diketuai oleh Ratu Sulaman bersiap sedia untuk menggempur Kerajaan Acheh disebabkan dendam terhadap Laksamana Sunan yang telah menghapuskan Nyi Burga Kelara.

Hanya kerana sepotong ayat; "Sebagai manusia....aku sayang padamu." telah menyebabkan hati Ratu Sulaman atau Ratna tersentuh. Walaupun telah berjaya memanah Laksamana Sunan menggunakan panah bersihir, hatinya tak pernah tenang. Rupanya takdir Allah telah melorongkan hidayah buat Ratna melalui Laksamana Sunan. Untuk mengelakkan fitnah , Laksamana Sunan telah bersetuju menikahi Ratna. Namun, kebahagiaan mereka direntap sekelip mata bila Maharani Pulau Utara bertindak menculik Ratna kerana kecewa dengan keputusan Ratna yang berpaling tadah.

Maka, bermulalah perjalanan Laksamana Sunan yang digelar lelaki berduka dari Tanah Rencong untuk menyelamatkan isteri kesayangannya. Pelbagai dugaan yang terpaksa ditempuhi dalam usaha untuk menyelamatkan Ratna.

Sementara itu, pada abad ke 21, Dani yang berada di Acheh untuk mencari keris Nanggroe milik Laksamana Sunan telah menjadi mangsa tsunami yang juga telah mengorbankan ribuan nyawa. Dani telah diselamatkan dan dijaga oleh oleh Pak Mustakim dan anak gadisnya yang bernama Saliha. Sekali lagi keajaiban berlaku. Rupanya Dani mengalami gangguan mental kerana rohnya terperangkap di penghujung kurun ke-15 sekaligus menjadi tawanan di bawah kuasa sihir Maharani Pulau Utara. Dani kemudiannya diselamatkan oleh moyangnya, Laksamana Sunan.

Manakala Haryani pula tekad untuk ke Acheh tanpa pengetahuan kedua orang tuanya. Malang tidak berbau, Haryani ditangkap oleh warisan keturunan Manggala (yang juga merupakan serigala jadian) untuk dikorbankan. Kata mereka, darah korban dari perawan suci yang ke-100 bakal membangkitkan semula baka awal Manggala. Berjayakah Haryani menyelamatkan dirinya dan dapatkah Dani ditemui untuk dibawa pulang ke Malaysia?

Komen saya

1. Sekali lagi, rugi..rugi..rugi.. kerana terlewat mengenali Laksamana Sunan. :D

2. Kisah kali ini padat dengan aksi sehinggakan Haryani yang selama ini tak pandai bersilat pun mampu bersilat sebab katanya dia belajar melalui pemerhatian terhadap Laksamana Sunan. Fuh~!

3. Banyak pengetahuan baru yang diperoleh dan menyebabkan saya rajin menggodek google semata-mata nak tahu betul ke wujud warisan Manggala tu? Ngee..

4. Buku ni memang antara edisi-buku-susah-letak. Tak rasa nakskip Kat mana-mana pun sebab ceritanya memang membangkitkan semangat ingin tahu sehingga ke mukasurat terakhir. :D

5. Okey, next!

P/s: Terima kasih sekali lagi Cik Pah. :D

Wednesday, June 11, 2014

Bagaikan Puteri

Posted by Hajar at 11:20 PM 0 comments
   

Tajuk: Bagaikan Puteri
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM19.90
Sabah/ Sarawak: RM 22.90
Halaman:  578 mukasurat
ISBN: 9789831242149

Kalau disebut nama Laksamana Sunan, memang pengetahuan Haryani sifar berbanding jika disebut nama Laksamana Hang Tuah lima bersaudara. Sungguh pun kata mereka Laksamana Sunan itu terkenal di Aceh, Haryani tak peduli. Jadi, tak hairanlah jika mushaf yang diberikan oleh salah seorang teman ayahnya hanya dipandang sepi walaupun bait-bait ayat di dalam mushaf yang ditulis oleh Laksamana Sunan itu seolah-olah ditujukan untuk Haryani.

Namun, sesuatu yang ajaib telah berlaku bila Haryani disahkan koma selepas satu kejadian ragut. Roh Haryani telah mengembara ke penghujung kurun ke-15 dan ditakdirkan pula bertemu dengan Laksamana Sunan (Saifudin) bersama Djailuh yang dalam perjalanan dari Aceh menuju ke Melaka untuk pulang ke kampung halaman Laksamana Sunan di Punggor. (Saya siap google okay, lokasi Kampung Punggor ni. Haha) Dek kerana terbawa-bawa dengan kisah Puteri Gunung Ledang yang pernah ditontonnya, Haryani memperkenalkan dirinya sebagai Gusti Putri Retno Dumilah, puteri Majapahit. Bermula saat itu, Haryani mengikuti pelayaran dan pengembaraan Laksamana Sunan termasuk menentang kuasa si makhluk jahat yang bertuhankan syaitan. Hubungan rapat mereka juga turut menumbuhkan rasa indah dalam jiwa masing-masing walaupun tidak diucapkan.

Sementara di abad ke 21 pula, Dani yang merupakan keturunan daripada susur galur Laksamana Sunan, sedang mengumpul tinggalan sejarah keluarganya. Dani cuba untuk mendapatkan kembali mushaf yang telah diberikan kepada Haryani tetapi dipertemukan dengan musibah yang menimpa Haryani dan keluarganya. Pertama kali bertemu Haryani Dani sudah jatuh hati dan kemudian menyatakan kesudiannya untuk melamar Haryani sekiranya Haryani sembuh. Setelah beberapa hari keadaan Haryani masih tidak berubah dan doktor cuma memberi tempoh seminggu untuk melihat perkembangan Haryani sebelum mengisytiharkan kematian Haryani yang hanya bergantung hidup dengan mesin pernafasan.

Sungguh pun keadaan semakin kritikal bagi jasad Haryani, di dunia sebelah sini kadangkala Haryani terdengar bisikan dan kata-kata semangat yang diucapkan oleh Dani kepadanya.
Dek kerana larut dengan rasa cintanya terhadap Laksamana Sunan, Haryani seperti tak ingin kembali ke tempat asalnya. Bagi Laksamana Sunan pula, ada amanah berat yang harus dipikulnya untuk mengembalikan Haryani ke dunia asalnya. Jadi, macam mana agaknya ikhtiar Laksamana Sunan untuk menghantar Haryani pulang?

Komen saya

1. Kata orang; tak kenal maka tak cinta. Kata saya; bila dah cinta sampai tak boleh lupa. Macam mana tu? Hahaha. Bila dah mula mengenali peribadi Saifudin atau Laksamana Sunan ni barulah saya tahu, kenapa ramai yang jatuh hati dengan Laksamana Sunan. Ketinggian ilmu dan keindahan akhlaknya hampir menandingi keperibadian Rasulullah S.A.W. :) (Laksamana Sunan tak perlukan ayat-ayat manis tahap 'potong kaki' untuk buat pembaca cair meleleh. :P)

2. Watak Laksamana Sunan ni mengajar kita bahawa kalau kita yakin dan bertaqwa dengan kekuasaan Allah, tiada satu pun kuasa jahat yang mampu mengatasi kuasa Allah. Yang penting, sebagai seorang muslim, kita kena ingat dan yakin dengan pegangan kita yang satu itu.

3. Kisah yang dilakarkan oleh penulis ni memang padat. Jangan mimpi nak membaca secara 'lompat kijang' semata-mata nak tahu kesudahan cerita. Memang blur jadinya nanti.

4. Ok dah, nanti saya sambung komen dalam siri kedua pula ya? :D

P/s: Terima kasih Cik Pah. :D
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review