Sunday, February 16, 2014

Sah, Aku Cinta Kamu!

Posted by Hajar at 11:05 PM
Tajuk: Sah, Aku Cinta Kamu!
Penulis: Hezzy Azra
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman:  593 mukasurat
ISBN: 9789831249239

Bagi yang sudah membaca karya penulis terdahulu yang bertajuk Aku Pilih Dia pasti sudah dapat gambaran tentang Raif Imran bukan? Raif Imran (Raif) si mulut manis yang berhubungan dengan ramai wanita. Tapi dalam ramai-ramai tu hanya Irdina Jasmin (Irdina) yang dekat di hatinya. Perkenalan mereka bermula di hospital bila mana Raif menemankan abangnya, Ian Redza menjalani rawatan fisioterapi manakala Irdina pula menemankan datuknya. Siapa sangka Irdina yang berperwatakan sederhana dan selamba itu benar-benar menambat hati Raif? Bagi Irdina pula walaupun hubungan rapatnya dengan Raif sudah ke pengetahuan keluarga, dia tak mahu meletakkan harapan yang tinggi kerana sudah maklum dengan hubungan baik Raif dengan wanita di sekelilingnya.

Suatu tragedi menimpa Irdina menyebabkan Raif rasa bertanggungjawab atas apa yang menimpa Irdina. Belum sempat membuka mulut, umi Raif sudah memulakan langkah. Haish. Kesian juga Raif. Sudahlah tersepit dengan masalah kewangan, uminya melamar Irdina tanpa pengetahuan pula. Namun, bila jodoh sudah tersurat, siapa yang mampu menolaknya bukan? 

Perkahwinan mereka memang membahagiakan. Sungguh pun masih dihantui kisah warna-warni Raif sebelum perkahwinan mereka, Irdina masih mampu bertenang tanpa rasa ragu dan cemburu berlebihan atas rasa percaya dengan Raif. Phew, tabik! Kebahagiaan mereka makin bertambah bila Irdina disahkan mengandung. Kegembiraan mereka sekeluarga terbantut bila mengetahui tentang penyakit mama Irdina. Memang sedih bila ditimpa musibah begini tapi berkat sokongan keluarga terdekat mama Irdina berjaya bertahan sehingga Irdina melahirkan Raeesah. Tapi siapalah kita untuk menentang ketentuan? Mama Irdina akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya kerana jangkitan kuman pada paru-parunya.

Kematian mama Irdina benar-benar menguji tahap kesabaran Raif sebagai seorang suami. Irdina diserang kemurungan selepas pemergian mamanya. Siapa pun bila kehilangan seorang ibu pasti merasai perasaan yang sama. Masakan tidak, selama ini mamanyalah tempat dia bergantung. Bila hilang dari hidup seumpama hilang seluruh semangat. Cuma ada ketikanya saya rasa Irdina agak mementingkan diri sendiri bila Raif diabaikan disebabkan Irdina melayan rasa sedihnya. Hmm...

Saat-saat begini datang pula si penggangu yang mengambil kesempatan untuk memporak-perandakan rumahtangga mereka berdua. Mampukah mereka mempertahankan mahligai yang semakin rapuh in?

Komen saya:

1. Seperti biasa, karya Kak Hezzy Azra tak pernah menghampakan. Nipis tapi banyak isi yang boleh kita kupas.

2. Suka Irdina yang lasak dan berdikari. Bukan jenis yang suka ambil kesempatan walaupun Raif banyak bagi peluang untuk dia berbuat demikian.

3. Suka semangat setiakawan Raif . Walaupun kawan yang dibantunya perempuan tapi yeah, dia tak pernah tinggalkan kawannya yang sama-sama tak bernasib baik dalam pelaburan. Sama-sama berikhtiar mencari alternatif untuk recover kerugian yang dialami.

4. Sikap percaya dan toleransi tu sangat penting dalam perhubungan. Bila keduanya wujud, nescaya anasir luar pun susah nak menjengah masuk. :)

5. Kesedihan yang kita alami bukan tiket untuk kita abaikan insan-insan di sekeliling kita. Lebih-lebih lagi orang yang rapat dan patut kita beri lebih perhatian.

6. Yang di sekeliling jangan pula tinggalkan orang yang bersedih tu sendiri. Kena pandai cari kesempatan dan kaedah untuk memulihkan kesedihannya.

7. Kesusahan dan kesempitan orang lain bukan tiket untuk kita ambil kesempatan. Jadi, saya benci Delisha. Titik! :P

8.Saya rasa kisah yang dibawa penulis kali ni agak ‘berat’ berbanding kisah-kisah terdahulu. Ke saya yang terlebih menjiwai ni? Haha. Apa pun tahniah Kak Hezzy sebab berjaya juga buat saya sob sob (sikit) bila membaca kisah ni. Hehe. Harapnya tahun depan bakal ada buku baru lagi. ;) 

0 comments:

Post a Comment

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review