Thursday, February 27, 2014

Sepasang Kurung Pink

Posted by Hajar at 9:46 PM
Tajuk: Sepasang Kurung Pink
Penulis: Nureen Mirza
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman:  587 mukasurat
ISBN: 9789831249208

Susah kan bila berada di kalangan masyarakat yang suka menghakimi peribadi orang lain berdasarkan sejarah dan latar belakang hidup mereka? Tak payah cakap orang lainlah, diri sendiri pun selalu juga termasuk dalam golongan mereka yang suka prejudis pada latar belakang orang lain ni. Huh..

Diza Irdina (Diza) tidak pernah meminta dirinya dilahirkan sebagai seorang anak banduan. Ibu Diza dipenjarakan kerana membunuh untuk menyelamatkan maruah anak gadisnya. Ramai yang menjauhkan diri bila mengetahui sejarah 'hitam' yang menimpa hidup Diza. Paling sadis bila bekas tunangan Diza juga turut mencaci dan memutuskan pertunangan sebulan sebelum mereka melangsungkan perkahwinan disebabkan status anak banduan itu. Mungkin silap Diza yang tak berterus terang dari awal tapi bila fikir balik, kalau dah cara pemikiran masyarakat kita memang dah macam tu, ada beza ke kalau Diza berterus terang dari awal?

Perkenalan Diza dengan Puan Lisa, mama kepada Syahrin Haiqal (Syahrin) membawa cerita baru dalam hidupnya. Puan Lisa ni berkenan sungguh nak bermenantukan Diza walaupun Diza awal-awal lagi dah berterus terang tentang sejarah hidupnya. Diza merasakan dirinya tidak layak untuk bergandingan dengan Syahrin. Manalah layak anak banduan nak bergandingan dengan jurutera?

Bagi Syahrin, Diza tu mengingatkannya kepada Laila Sari, bekas tunangan yang berselingkuh di depan matanya. Tanggapan Syahrin, semua perempuan bertudung itu sama. Hipokrit! Tapi bila Diza menolak lamarannya, ego Syahrin tercalar. Puan Lisa dipaksa untuk melamar Diza dan perkahwinan mereka tetap dilangsungkan tidak lama selepas itu.

Untuk membalas dendam kerana Diza pernah menolak lamarannya, Syahrin bersungguh-sungguh membuli Diza setelah mereka berkahwin. Memang panjang senarai kerja rumah yang perlu dilakukan Diza selepas menjejakkan kaki ke rumah Syahrin. Tabah je Diza melayan. Namun tembok kesabaran Diza runtuh juga bila Syahrin mula memalukan Diza di khalayak keluarga mereka. Diza di cop sebagai penipu bila tak berterus terang dari awal walhal hakikat sebenarnya Puan Lisa yang masih tercari-cari masa yang sesuai untuk berterus-terang dengan Syahrin.

Pemergian Diza sedikit sebanyak menghidupkan rasa dalam hati Syahrin terhadap Diza tapi keegoan menghalangnya daripada memujuk Diza. Bila dah bertarik tali begini mampukah mereka menyelamatkan rumahtangga yang nampaknya bakal tersungkur ini?

Komen saya: Tajuk ni mengingatkan saya kepada salah sebuah lagu raya kegemaran - Sepasang Kurung Biru! Hehe. Kebetulan kata penulis, beliau dapat ilham menulis kisah ini daripada lagu tersebut. Tapi kenapa biru jadi pink? Sebab Diza ni peminat tegar warna pink. Dan baju kurung pink juga yang menjadi pengubat rindu Syahrin bila Diza merajuk. Satu yang saya dapat simpulkan, kebanyakan hero ciptaan penulis ni memang buat kita rasa nak humban mereka ke dalam lombong. Haha. Semuanya menyakitkan hati di awal dan pertengahan cerita tapi akhirnya mampu mencairkan hati pasangan mereka di akhir kisah. Phew. Apa pun tahniah buat penulis atas kelahiran buah tangan terbarunya ini. :)

0 comments:

Post a Comment

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review