Sunday, July 7, 2013

Di Ruang Itu Ada Kamu - Zulina

Posted by Hajar at 11:14 PM
Tajuk: Di Ruang Itu Ada Kamu
Penulis: Zulina
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM 21.00
Sabah/ Sarawak: RM 24.00
Halaman:  540 mukasurat
ISBN: 9789670508108

Kepulangan Shahril Haidar (Shah) menemukannya dengan Nur Amira (Amy) yang di sangkakan ada hubungan dengan abang tirinya, Adam Syafiq (Adam). Rupanya Amy cumalah salah seorang peminat dan pemuja Adam dari jauh. Dengan kedudukannya sebagai usahawan muda yang berjaya, memang tak mustahillah Adam digilai oleh anak-anak gadis seperti Amira. Walaupun dah tahu yang Amy cumalah peminat abang tirinya,  Shah tetap jadi pengintip setia gerak-geri Amy. Rupanya dalam diam ada rasa yang berputik. Kalau tidak, takkanlah Shah sanggup menyewa rumah di kawasan yang sama dengan tempat tinggal Amy. :)

Shah dan Adam memang sangat berbeza perwatakannya walaupun dididik dan diasuh dalam keluarga yang sama. Adam, walaupun cumalah anak tiri tapi layanan ayah Shah pada Adam tetap sama dengan layanannya pada Shah. Cuma Shah agak tertekan bila Adam kerap dijadikan contoh oleh si ayah. Itu yang menyebabkan Shah memberontak dan bila ada peluang untuk melanjutkan pelajarannya ke luar negara, Shah betul-betul menggunakan kebebasannya untuk lepas bebas daripada norma biasa kehidupannya di Malaysia.

Berbeza pula dengan Adam yang mana setelah menamatkan pengajiannya, Adam bekerja dengan ayah tirinya untuk bersama-sama membangunkan perniagaan keluarga mereka. Melihatkan kebebasan yang dikecapi oleh Shah di luar negara, Adam jadi cemburu. Kerana hormat dan terhutang budi dengan  si ayah, Adam akur dengan apa yang diaturkan oleh untuknya.

Bila mengetahui tempat persembunyian Shah selepas kepulangannya ke Malaysia, Adam telah siap sedia mengatur rancangan untuk mengumpan Shah supaya kembali ke rumah. Melihatkan keakraban hubungan antara Shah dan Amy, Adam mengaturkan supaya Amy bekerja di salah sebuah anak syarikat milik keluarga mereka. Akhirnya Shah berjaya dipujuk untuk kembali bertemu si ayah. Itu pun atas jasa baik Amy juga. Dan bila Adam juga menunjukkan minat untuk memikat Amy, Shah mula rasa tercabar sebab dia memang dah lama atur strategi untuk memikat Amy. Cuma Amy saja yang belum bagi respon. Antara Adam dan Shah, siapakah yang benar-benar layak untuk mengisi ruang hati Amy?

Komen saya:  Suka dengan watak Amy ni. Anak orang kaya tapi hidup sempoi. Shah dan Adam pun tak tahu latar belakang Amy ni sampailah keluarga mereka berkunjung ke rumah keluarga Amy untuk merisik. Kisah mereka ni agak santai dengan konflik ringan. Jadi kita takkan rasa tertekan untuk mengetahui siapa yang Amy pilih. :) Tahniah buat penulis untuk karya keduanya ini. Moga terus diberikan ilham untuk berkarya. :)

0 comments:

Post a Comment

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review