Friday, May 30, 2014

Sesaat Cukup Bagiku

Posted by Hajar at 1:20 PM 2 comments

Tajuk: Sesaat Cukup Bagiku
Penulis: Laila Hanni
Penerbit: Lovenovel Enterprise
Harga: RM25.00
Sabah/ Sarawak: RM 28.00
Halaman:  622 mukasurat
ISBN: 9789671188200

Mai dan Irfan, pasangan yang telah 7 tahun berumahtangga tapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Rupanya hal itu ibarat api dalam sekam buat perkahwinan mereka. Hanya kerana kurang berkomunikasi sehingga timbulnya salah sangka, pergaduhan tercetus dan Mai diceraikan dengan talak 3. Sungguhlah pendek akal mereka ni. :(

Bila dah waras dan sedar yang talak sudah pun terlafaz, Irfan mula kesal dengan apa yang dah terjadi. Panjang pula akalnya sampai sanggup nak cari cina buta supaya dia boleh berkahwin semula dengan Mai. Haih.

Di sinilah hadirnya Syamsul, seorang lelaki tempang yang kononnya bakal jadi penyelamat untuk membantu menjayakan rancangan mereka. Walau pun menyedari perancangan Irfan itu salah di sisi agama, Syamsul tetap akur dengan perancangan mereka dengan syarat tambahan yang dirahsiakan daripada pengetahuan Mai.

Selepas berkahwin, rasa kekok tetap ada. Tapi mereka berjanji untuk menyesuaikan diri sehingga tiba masa untuk mereka berpisah.

Sungguh pun cacat anggota, Mai sedar akan kelebihan Syamsul setelah mengenali suaminya. Syamsul bukan jenis yang berserah dan mengharap bantuan orang lain. Dia sentiasa berusaha memperbaiki diri kerana menyedari yang keluarga di kampung bergantung harap kepadanya. Cuma, sikap dingin dan rasa rendah diri buat Syamsul selalu berprasangka kepada Mai.

Bila menyedari perasaan kasihnya mula beralih arah, Mai jadi serba salah. Terperangkap antara rasa hati dan janjinya kepada Irfan. Tegakah Mai meninggalkan kebahagiaan yang baru dikecapinya semata-mata untuk memenuhi janjinya kepada Irfan?

Komen saya:
1. Kisah Mai - Irfan ni memang patut jadi pengajaran. Terutamanya buat pasangan muda. Kadang-kadang bila emosi menguasai akal, kita memang cenderung melakukan perkara yang akan buat kita menyesal di kemudian hari. Jadi, sebelum buat apa pun, fikir dulu baik buruk sebelum bertindak.

2. Tang cina buta memanglah buat saya rasa nak luku je Irfan dengan Mai ni. Again, emosi menguasai akal sampai mereka terlupa tentang ketentuan Allah.

3. Tapi, nak kasi extra marks untuk Mai sebab dia tahu batasan dia sebagai isteri Syamsul bila Irfan sibuk-sibuk menggoda dengan kata rindu dan kenangan silam mereka.

4. Agak letih dengan sikap dingin dan prasangka Syamsul terhadap Mai. Kan lebih elok bersemuka daripada menyimpan segala prasangka dalam hati? Ini, tak habis-habis nak fikir negatif je tentang isteri sendiri. Cuma, kelebihan cerita ini, individu di sekeliling Syamsul bukan jenis yang suka mengapi-apikan perasaan Syamsul. Jadi, memang kurang sinetronlah kisah ini. Phew... :)

5. Kalau ikutkan track record penulis ni, buku yang ditulis memang berupaya memancing emosi pembaca. Tak terkecuali juga buku ini. Cuma kelebihan penulis, beliau tak terlalu meleretkan ceritanya untuk perkara-perkara yang tak perlu. Tahniah buat penulis. Moga dikurniakan lebih banyak ilham untuk terus berkarya. :)

Thursday, May 29, 2014

Venom Suria

Posted by Hajar at 1:09 PM 0 comments
Tajuk: Venom Suria
Penulis: Mazni Aznita
Penerbit: Buku Prima
Harga: RM25.90
Sabah/ Sarawak: RM 28.90
Halaman: 700 mukasurat
ISBN: 9789670342405

Suria Baharom (Suria) merupakan seorang wartawan jenayah. Seorang gadis yang ceria, periang dan pastinya sangat berdedikasi dalam menjalankan tugasnya. Kejadian penculikan dan pembunuhan gadis-gadis secara misteri yang berlaku sangat menarik minat Suria untuk mengikuti dan mengupas kes ini. Rasa seperti ada sesuatu yang mengikatnya. Tapi apa? Tak lama kemudian Suria kerap mengalami mimpi-mimpi pelik dan yang paling menarik, Suria menerima email misteri berupa gambar-gambar di tempat kejadian pembunuhan yang sedang disiasat oleh pihak polis. Siapa yang menghantarnya sedangkan pihak polis sendiri tidak mempunyai gambar-gambar itu? Walaupun ditentang keras oleh ayahnya, Suria tetap berdegil mahu mengikuti kes ini.

Kehadiran Tuan Izwan, pegawai polis yang berpangkat inspektor itu sedikit sebanyak berjaya menghalang keghairahan Suria untuk membantu menyelesaikan kes pembunuhan itu. Mereka berdua ni memang tak pernah ngam. Apa tidaknya, Izwan ni sangat dingin dan adakalanya panas baran jika keinginannya tidak dipatuhi. Jadi, mereka selalu bertekak dalam menegakkan pendapat masing-masing untuk menyelesaikan kes ini. Tanpa mereka sedari kes ini sebenarnya merapatkan hubungan mereka. Dalam diam, kedinginan Izwan rupanya mengikat hati Suria walaupun dalam masa yang sama Suria berhubungan rapat dengan Nazrul, pegawai atasannya di stesen TV KZM.

Dalam masa yang sama tidak dilupakan kewujudan watak-watak lain yang ditampilkan. Setiap dari mereka ada kisah dan sejarah tersendiri yang berhubung kait dengan kes pembunuhan ini. Jadi, memang tak boleh nak buat lompat kijang masa baca buku ni. Nanti tak faham perjalanan ceritanya. :)

Kata mereka:
Mahira itu asalnya seorang wanita keturunan bangsawan Ceribon, yang tidak ingin menjadi tua atau mati. Dia mengamalkan ilmu hitam tapi termakan sumpah sendiri. Terpaksa menjadi sejenis makhluk air yang dipanggil rangau. Dia tidak boleh memijak daratan kecuali dengan merasuk tubuh manusia. - m/s 607
Fakta tambahan: tubuh yang dirasuk itu hanyalah dari susur galur keturunannya sendiri. (Tiba-tiba terbayangkan The Originals dalam drama bersiri The Vampire Diaries pulak . Ngee..)

Jadi, siapa sebenarnya Mahira? Apa pula kaitannya dengan kes pembunuhan ini? Dan apa pula kaitannya dengan Suria? Memang banyak persoalan yang akan saling berhubung kait. Hehe. Nak tahu jawapannya kenalah baca. :D

Komen saya:
Ehem. Sejujurnya ini merupakan kali pertama saya membaca hasil karya penulis ini. Terima kasih atas saranan teman-teman di GR (Airina dan Kakwan) yang melobi saya untuk membeli dan membaca Venom Suria ini. Sekali baca memang susah nak letak sebab banyak rahsia di sebalik rahsia yang perlu dirungkaikan. Haaa, suspen kan? Tahniah buat penulis untuk adunan kisah yang membuat saya teruja hingga ke akhir pembacaan. :)

Suka dengan:
1. Pergerakan cerita yang pantas dan tak meleret.
2. Plot yang tersusun cantik dengan flashback yang tidak keterlaluan.
3. Rasa ingin tahu yang disemai kepada pembaca. Jadi memang tak ada rasa nak selak belakang semata-mata nak tahu penamat. (Tapi, kalau selak belakang pun tak guna sebab cerita dah habis dan penamatnya bukan typical happy ending *tangan di bahu, mata ke atas* [ampun Cik Pah!])
4. Hadif! Tak tahu kenapa saya lebih sukakan Hadif berbanding Izwan dan Nazrul. Hahaha.

Cuma, ada banyak typo dan beberapa istilah yang tak sesuai penggunaannya. Contoh yang saya jumpa adalah kegagalan penulis / editor membandingkan perkataan abad dan dekad.
Abad - jangka masa seratus tahun
Dekad - jangka masa sepuluh tahun
*Rujukan : Laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP

Nampaknya lepas ni kena skodenglah buku-buku lain hasil karya penulis ni eh? *pekup muka*
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review