Saturday, November 30, 2013

My Indo Chick - Marissa

Posted by Hajar at 11:56 PM 0 comments
Tajuk: My Indo Chick
Penulis: Marissa
Penerbit: Penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd.
Harga: RM19.00
Sabah/ Sarawak: RM 22.00
Halaman: 439 mukasurat
ISBN: 9789670246598

Indah Natasha (Indah) dan Tengku Azray (Ray) sudah tiga tahun menyulam kasih. Tapi kebanyakan masanya mereka ni tak nampak macam pasangan bercinta pun. Ray lebih suka bersikap lepas tangan sebab padanya tak ada orang lain yang berkenan pada Indah tu. Hanya dia aja yang pandang dan 'nampak' Indah. Angkuh sungguh. Mujurlah Indah ni pun jenis penurut, tak pandai nak membantah. Mungkin itu antara penyebab hubungan mereka ni mampu bertahan lama walaupun hakikatnya Ray ni jadi pujaan ramai pelajar perempuan di kolej mereka.

Indah ni sebenarnya tak suka bila tahu dia kena menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat rakaman (Prime Rekod) dan kena berurusan dengan artis. Bila disuarakan pada Ray, hanya nasihat dan kata-kata semangat yang dihulurkan agar Indah akur dengan pilihan tempat praktikal yang telah diatur oleh pihak kolej. Ugutan Indah semuanya pada Ray semuanya tak lut. Yakin sangat tak ada orang lain yang bakal berkenan pada Indah dan Indah akan tetap setia padanya. Heh.

Hari pertamanya di Prime Rekod membawa Indah berkenalan dengan Gibran. Gibran menyangkakan Indah gadis dari seberang. Siap bercakap loghat Indonesia lagi. Haha. Rupanya Gibranlah yang bakal jadi penyelia Indah sebab Indah bakal jadi pembantu peribadi (PA) Gibran sepanjang tempoh praktikalnya di Prime Rekod.

Kalau nak bandingkan Ray dengan Gibran ni memang macam langit dan bumi. Ray sangat kasar dan kadangkala suka menengking. Tapi Indah tau Ray memang bukan jenis lelaki yang pandai nak tunjukkan kasih sayangnya. Walaupun jenuh kawan-kawan menasihati, Indah tetap setia dengan Ray. Dia percaya perilaku Ray mampu dibentuk dengan kesabarannya. Berbeza pula dengan Gibran, layanannya pada Indah memang gentleman. Boleh cair dibuatnya. Dan Gibran selalu jadi tempat Indah meluah rasa bila tak puas hati dengan Ray.

Antara Ray dan Gibran, siapa akhirnya yang jadi pilihan Indah?   
 
Komen saya: Saya tak tahulah kenapa, sama ada saya yang dah terkurang deria rasa atau memang karya penulis ni yang kurang rencah. Selepas Teduhan Kasih memang belum ada lagi karya penulis yang mampu melekat dalam hati. Ceritanya memang manis dan santai cuma mungkin bukan 'makanan' saya. Apa pun, tahniah buat penulis atas kelahiran buku terbarunya ini. Saya menanti kisah-kisah lain yang mungkin setara atau lebih baik daripada Teduhan Kasih. :)   

Indahnya Takdir - Syikin Zainal

Posted by Hajar at 10:42 PM 1 comments
Tajuk: Indahnya Takdir
Penulis: Syikin Zainal
Penerbit: Buku Prima
Harga: RM 19.90
Sabah/ Sarawak: RM 22.90
Halaman: 470 mukasurat
ISBN: 9789675489693

Kehidupan biasanya berubah 360 darjah bila dia dirogol tanpa kerelaannya. Hartini baru berusia 19 tahun ketika itu. Rupanya selama ini kecantikan Hartini menjadi igauan si mata keranjang bernama Kamarul. Kecewa kerana lamarannya ditolak bapa Hartini, Kamarul nekad mengupah orang kanannya untuk menculik Hartini dan menodainya. Kesian Hartini. Ketiadaan ibu kandung menyebabkan dirinya bertambah murung kerana tiada tempat untuk berkongsi masalah. Kemurungannya menyebabkan Hartini menyisihkan diri dan mengabaikan peperiksaan STPM yang sepatutnya dihadiri.

Natijahnya, Hartini hamil selepas itu. Mahu tak mahu terpaksa juga berterus terang dengan bapanya tentang kehamilannya itu. Dengan bantuan bapa saudara dan sepupunya, Hakim, Kamarul berjaya dijejaki. Tapi malangnya Kamarul sangat licik sehingga mampu memperdayakan Hakim untuk bertanggungjawab dan mengahwini Hartini. Dengan bermodalkan janji untuk memberikan Hakim peratusan syer di dalam syarikatnya dan sedikit habuan kewangan, Hakim bersetuju untuk bertanggungjawab. Mata duitan sungguh!

Perkahwinan tanpa rela ini memang begitu menyiksa Hartini. Hakim bukannya suami yang baik. Suka sangat mendera mental dan perasaan Hartini. Namun, Hartini tetap gagahkan diri demi anak dalam kandungannya. Pemergian bapa dan anaknya dalam tempoh yang sama betul-betul menguji emosi. Hakim juga mula tersedar daripada khilafnya dan mula untuk menerima Hartini. Tapi desakan ibunya membuatkan Hakim terpaksa melepaskan Hartini.

Perpisahan dengan Hakim makin mematangkan Hartini. Enggan larut dalam kesedihan, dia bangkit untuk memperbaiki diri. Hartini nekad menduduki semula peperiksaan STPM dan berjaya ke USM selepas itu. Perkenalannya dengan si kacak bernama Iskandar Kamel (Kamel) begitu membahagiakan Hartini. Namun, jalan yang terbentang bukanlah semudah itu. Hubungan yang diharap dapat membawa kebahagiaan hidupnya semula rupanya membawa luka. Kamarul yang ingin dihindari rupanya abang ipar Kamel. Jadi, bagaimana penyudahnya hubungan mereka ini?

Komen saya:  Kadang-kadang dalam hidup kita ini, banyak yang harus dikorbankan untuk mengecap bahagia. Dan laluannya pun bukan mudah. Jatuh bangun itulah yang memberi kita kekuatan dan makna di sebalik bahagia yang dikecapi tu. Ish, apa yang metafora sangat ni? Hehe. Saya dah lama tak baca buku macam ni sebenarnya. Asyik baca cerita santai je sesekali baca buku macam ni pun bagus juga. Buat kita banyak berfikir sebab banyak input yang boleh register dalam kepala bila baca buku ni. Hartini ni sebenarnya simbol kekuatan seorang wanita yang mengajar kita supaya jangan mudah goyah walau apa pun dugaan yang menimpa kita. Allah menguji kita sesuai dengan kemampuan kita. Sesungguhnya Dia maha mengetahui. :) Tahniahlah buat penulis atas penerbitan buku ini. Moga terus berkarya dengan menghasilkan karya yang bermanfaat untuk pembaca. :)                 

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review