Wednesday, April 4, 2012

Wasilah Cinta Weera - Rose Harissa

Posted by Hajar at 10:10 PM 2 comments


Tajuk: Wasilah Cinta Weera
Penulis: Rose Harissa
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Harga: RM 20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman: 607 mukasurat
ISBN: 9789833892709

Ini sebuah kisah cinta. Tapi definisi cinta di sini memang dari perspektif yang lebih luas. Bukan sekadar cinta antara lelaki dan wanita, tapi lebih kepada rasa cinta sesama manusia secara umumnya. Memang kalau kita lihat dari sudut pandangan 'biasa' kita akan rasa hubungan antara Ray dan Weera tu memang ada 'sesuatu'. Tapi, jika dilihat dari sudut ukhuwwah dan apa yang dipraktikkan dari zaman Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda, rasa cinta yang dipamerkan antara Ray dan Weera itu bukanlah sesuatu yang menyalahi etika perhubungan antara manusia pun. :)

Bacalah kisah ini dengan mata hati dan anda pasti akan terkesan dengan setiap mesej yang disampaikan dalam naskhah ini.

Jujurnya saya banyak mengalirkan air mata ketika membaca kisah ini. Lebih-lebih lagi bila Ray disahkan menghidapi penyakit neuron motor. Sebak dan insaf bila memikirkan betapa mudahnya DIA menarik balik segala nikmat yang diberikan dengan sekelip mata. Dugaan demi dugaan menimpa dan Ray sangat tabah menerima semua dugaan itu. Subhanallah. Memang benarlah, semakin kita nak mendekatkan diri kepadaNYA, semakin banyak ujian yang bakal dihadapkan kepada kita. Mampu ke kita menghadapi sekiranya diduga sebegitu? Wallahu'alam.

Wasilah Cinta Weera mengisahkan Tajul Aweera (Weera) yang dapat petunjuk untuk berkahwin dengan Sari Ayu (Ayu) sebab Firdaus, tunang Ayu dah berkahwin dengan Jasnita, bekas teman wanita Weera. Yang hampehnya, Firdaus dok canangkan pada semua orang yang Weera merampas tunangnya.

Selepas berkahwin dengan Weera, Ayu dibawa masuk dalam kehidupan Ray dan Weera. Kalau nak kata Ayu tak ada rasa curiga tu memang bohonglah kan? Banyak kali juga Ayu tewas dalam melawan hasutan syaitan bila nampak kemesraan Ray dan Weera. Bertambah lagi curiga bila Firdaus juga sibuk mencucuk jarum, menabur fitnah untuk menghancurkan rumahtangga Ayu dan Weera. Namun berkat kesabaran Weera mendidik Ayu untuk menerima 'bentuk' hubungan baik antara Ray dan Weera dan juga campur tangan ibu bapa Ayu, akhirnya Ayu dapat juga menyesuaikan diri dalam hubungan erat itu. Siap rela nak tolong jagakan Ray masa Ray jatuh sakit :)

Ray ni sebenarnya penyelamat Weera bila Weera teruk kena belasah dengan ayahnya. Lepas tu Raylah yang Weera anggap saudara terdekat dan banyak mendidik Weera menjadi seorang yang berperibadi mulia. Jadi Weera memang sangat hormatkan Ray macam abang dan ayahnya. Hubungan rapat mereka yang bersandarkan ukhuwwah tu selalu disalah tafsir hanya kerana mereka tak berpenampilan ala-ala 'pakcik tabligh'. Itulah pemikiran tipikal masyarakat kan? :)

Dan itulah juga yang jadi modal untuk Firdaus menabur fitnah merata-rata. Nauzubillahiminzalik.

Saya sangat berpuas hati dengan pengakhiran Firdaus. Buat jahat memang balasannya setimpal. :)

Oh ya, sebelum terlupa. Buku ni walaupun tiada adegan romantik 'terlebih gula' tapi banyak adegan 'nakal' antara Weera dan Ayu yang tak sesuai dibaca oleh adik-adik yang masih bersekolah. Jadi, jangan sepah-sepahkan buku ya? ;)


Komen saya: Sebuah buku yang patut dimiliki. Banyak pengajaran dan input positif yang dapat dikutip dalam buku ini. Tahniah kak Rose untuk naskhah ini. Saya pun dah jatuh cinta dengan buku-buku PTS ni. :)

Sunday, April 1, 2012

Dapur Wawa - Ika Madera

Posted by Hajar at 7:57 PM 2 comments

Tajuk: Dapur Wawa
Penulis: Ika Madera
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM 18.00
Sabah/ Sarawak: RM 21.00
Halaman: 415 mukasurat
ISBN: 9789675118814

Sebuah novel yang agak 'yummeh' sebab dalam ni macam-macam resipi ada. Dinasihatkan kepada yang mahu membaca, pastikan anda bukan berada dalam keadaan perut kosong. Jangan salahkan penulis bila tiba-tiba anda teringin untuk menjamah semua makanan yang di'hidang'kan dalam buku ni bila anda lapar. =D

Kali ini Ika Madera membawa kita mendalami kehidupan seorang Najwa Syakirah atau lebih dikenali sebagai Wawa. Memang jadi dilema bagi seorang gadis yang dah melangkaui umur lewat 20-an tapi masih belum lagi bertemu jodoh. Lebih-lebih lagi bila semua orang asyik persoalkan bilalah Wawa ni nak menamatkan zaman bujang? Tapi Wawa tetap Wawa, dia tidak pernah peduli sampailah bonda dan Kak Pah (yang diceritakan sebagai pencari jodoh yang hebat) membawa fail 'Encik Abu' kepada Wawa.

Diceritakan bahawa Encik Abu ini seorang bujang trang tang tang dan juga seorang drebar. Drebar apa tak pula dinyatakan di sini. Wawa pun tak pernah bertanya sampailah mereka berkahwin. Haha. Lurus juga Wawa ni. Memang orang kata bila dah jodoh tak ke mana kan? Sekuat mana pun kita menolak, kalau dah tertulis itulah jodoh kita mana mampu kita nak menolaknya? Begitu juga dengan Wawa dan Encik Abu. Selepas beberapa pertemuan, mereka merasakan keserasian bersama dan 3 bulan lepas tu, mereka bernikah.

Masalah utama si Wawa ini adalah, dia seorang yang liat nak masuk dapur. Lebih-lebih lagi bila dalam keluarganya sendiri ada je yang rajin nak melayan selera Wawa, terutamanya bonda dan ibu Chik. Walau jenuh di sindir, Wawa tetap buat tak tahu. Padanya, buat apa nak susah payah nak memasak bila dia boleh minta bonda atau ibu Chik untuk memasak apa yang dia mahu? Lepas berkahwin barulah dia tahu tinggi atau rendahnya langit itu. Haha. Memang bersilatlah Wawa di dapur. Macam-macam resipi yang dipelajarinya dan ramai je yang sanggup jadi tempat merujuk bila diperlukan.

Macam-macam juga cabaran yang terpaksa ditempuhi dek Wawa ni. Paling getir bila dia kehilangan zuriat yang dinantikan selama ini. Dugaan. Namun, berkat sokongan Encik Abu dan seluruh ahli keluarga, Wawa berjaya bangkit semula. Sempat lagi balas dendam memasak sempena Aidiladha. Dapat juga ahli keluarganya merasa kuih serikaya resipi turun temurun nenda.

m/s 402:

"Kalau nenda tengok Wa sekarang, mesti dia sama macam bonda, sama-sama bangga. Wa pandai masak, pandai jaga keluarga dengan elok dan yang paling penting, Wa dapat melawan perasaan lemah dulu." - Bonda

Benarlah, setinggi mana pun pelajaran kita sebagai seorang perempuan, hal-hal dapur ni jangan sesekali dipandang enteng.

Komen saya: Novel santai yang patut dibaca oleh individu yang bakal berkahwin. ;) Sangat menarik juga pada saya sebab ada beberapa nama yang agak 'familiar' pada pembacaan saya turut terselit dalam naskhah ini. Terima kasih Ika Madera untuk kisah penuh dengan resipi ini. :)
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review