Sunday, September 23, 2012

Cinta Perigi Dan Timba - Shima Rostam

Posted by Hajar at 9:34 PM 2 comments

Tajuk: Cinta Perigi Dan Timba 
Penulis: Shima Rostam
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM21.90
Sabah/ Sarawak: RM 24.90
Halaman: 536 mukasurat
ISBN: 9789675229398

Melihatkan  tajuknya je kita dah boleh agak mungkin jalan ceritanya berkaitan dengan kisah perempuan mengejar seorang lelaki. Memang tak lari jauh pun. Cuma bezanya, Khalisa terpaksa menambat hati Naim Shauqi (Naim) yang dipaksa berkahwin dengannya. Cabaran betul buat Khalisa bila terpaksa menahan sabar dengan kerenah Naim ni. Lebih-lebih lagi bila Naim  terang-terang menolak Khalisa sebagai calon isteri yang dipilih oleh keluarganya. Yelah, Khalisa ni nampak kolot dengan bertudung litup, tak standing dengan Shareen, teman wanita kebanggannya tu.

Paling mengejutkan bila Naim dan Shareen tertangkap oleh Khalisa sewaktu sedang memadu asmara di rumah Naim. Fuh, saya kagum sungguh dengan reaksi Khalisa masa tu. Sempat lagi menyindir Shareen. Haha. Kalau orang lain agaknya mesti dah lari lintang pukang tinggalkan rumah tu. Tapi Khalisa tetap bersabar. Cuma selepas peristiwa itu dia banyak berfikir dan meminta petunjuk dari Allah tentang keputusannya menerima lamaran keluarga Naim. Hubungannya dengan Naim turut menerima tempias sehingga Naim jadi pelik dengan kedinginan Khalisa.

Selepas pernikahan mereka, Khalisa diuji lagi bila dia menerima kiriman email gambar-gambar Naim dalam keadaan yang mengaibkan. Rupanya itu semua angkara Shareen. Bila Naim tahu apa yang membelenggu fikiran Khalisa, dia bagaikan tersedar dari lena yang panjang. Di sinilah datangnya keinsafan dan kesedaran dalam dirinya bila aibnya terbongkar di hadapan isteri sendiri. Alhamdulillah. Memang bukan mudah, tapi bila hidayah tu sampai siapa yang mampu menolaknya kan? :)

Suatu yang membanggakan bila Khalisa ni cukup kuat semangat. Iyalah, biar pun rumahtangga mereka pernah diganggu Shareen, Khalisa masih mahu membantu bila Shareen ditimpa kecelakaan. Atas rasa tanggungjawab dan rasa bersalah kerana memutuskan hubungan antara Naim dan Shareen, Biar pun kerap diganggu bisikan-bisikan halus yang menghasut untuk meragui apa yang dilakukannya, Khalisa tetap membawa Shareen pulang ke kampungnya untuk memulihkan semangat Shareen sekaligus membawanya kembali ke pangkal jalan.

Komen saya: Kisah yang agak straight forward. Plot yang simple dan tak memeningkan kepala pembaca dengan konflik berat. Walaupun saya rasa macam ada kurang rencah, tapi saya tetap berpuas hati untuk percubaan pertama penulis ni. Banyak juga info-info berguna yang diselitkan dalam ni. Tahniah ya Shima. Moga akan terus berkarya selepas ini. :)

Saturday, September 22, 2012

Setitis Kasih Darmia - Naniey TJ

Posted by Hajar at 10:13 PM 6 comments

Tajuk: Setitis Kasih Darmia
Penulis: Naniey TJ
Penerbit: SR Publication
Harga: RM26.90
Sabah/ Sarawak: RM 29.90
Halaman: 665 mukasurat
ISBN: 9789675822094

Darmia, sempat bermanja dengan ibunya hanya seketika. Selepas pemergian ibunya, Darmia dibesarkan oleh salah seorang ibu saudaranya. Namun, nasib Darmia tidaklah sebaik mana bila dia terperangkap berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenali selepas melarikan diri daripada menjadi mangsa perkosaan bapa saudaranya. Lepas bernikah, Darmia ditinggalkan.

Selepas 4 tahun baru mereka bertemu kembali bila Haliza (sepupu yang paling rapat dengan Darmia) membawa Darmia ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan sekaligus menyambung pengajian. Darmia disuruh menjadi pembantu rumah Khairul Amir. Bila mengetahui Darmia yang bekerja sebagai pembantu dirumahnya, Khairul Amir memang mengambil kesempatan untuk melunaskan dendamnya pada Darmia selama ini. Namun, tanpa disedarinya kemunculan Darmia menimbulkan bibit-bibit perasaan dalam hatinya walaupun Haliza setia menanti untuk menoktahkan hubungan mereka ke peringkat seterusnya.

Darmia rela disakiti asalkan Haliza tidak disakiti. Janji rahsia perkahwinan mereka tersimpan rapi. Baginya Haliza ibarat penyelamat dan juga seorang kakak yang tak pernah dimilikinya. Kala dirinya dibenci oleh kedua ibu saudaranya tanpa diketahui puncanya, hanya Haliza dan Opah yang teguh mempertahankan Darmia. Rahsia perkahwinan mereka tetap terjaga sehinggalah Haliza terjumpa Darmia dan Khairul Amir berduaan dalam keadaan yang agak intim. Haliza memang tak boleh terima hakikat yang Darmia dah menjadi duri dalam daging walaupun sebenarnya Darmia tak bersalah pun.

Mak Long Darmia yang memang berdendam dengan arwah adiknya sendiri memang bertekad takkan biarkan Darmia berbahagia. Dipaksanya Khairul Amir untuk menikahi Haliza walaupun dia dah tahu hubungan antara Khairul Amir dan Darmia. Namun, hikmahnya hari pernikahan Haliza dan Khairul Amir menemukan kembali keluarga Darmia dengan bapa Darmia. Terbongkarlah kembali rahsia yang disimpan selama ini. Kenapa setelah berpuluh tahun, Maryam, ibu Darmia masih didendami oleh kedua orang kakaknya.
 
Darmia yang sangat gembira dengan kemunculan bapa yang dinanti ditimpa kemalangan dalam perjalanan untuk menemui  bapanya. Kemudian, dalam keadaan hubungan Darmia dengan Khairul Amir yang retak menanti belah, mereka dikejutkan dengan berita kehamilan Darmia. Mampukah Khairul Amir untuk menggapai setitis kasih Darmia yang didambakan?

Komen saya: Plot cerita yang agak padat dan pantas. Saya sukakan gaya penceritaan yang pantas dan tak meleret. Konflik dan segala persoalan juga berjaya dirungkaikan satu persatu. Tahniah buat Naniey untuk hasil karya bercetak pertama ini. Tahniah dan terima kasih juga buat pihak editorial SR untuk naskhah yang padat dan tidak meleret ini. :)
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review