Saturday, April 12, 2014

Tuhan Lebih Tahu

Posted by Hajar at 8:33 PM 4 comments
Tajuk: Tuhan Lebih Tahu
Penulis: Nora Ismail
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM 23.90
Sabah/ Sarawak: RM 26.90
Halaman: 502 mukasurat
ISBN: 9789675229077

Hubungan antara Rina Azia (Rina) dan Hazry Izhar (Hazry) memang rapat umpama belangkas. Cuma mereka bukanlah pasangan bercinta. Mereka hanya teman rapat kerana mengambil kursus yang sama di UTM. Keserasian hubungan mereka berdua selalu disalah tafsir sebagai pasangan bercinta sehingga hubungan baik yang sedia terjalin itu dicemburui oleh Elisha, teman wanita Hazry. Sering kali mereka bertengkar kerana Rina. Tak faham kenapa si Hazry ni boleh setia bukan main lagi dengan Elisha walaupun dia tau perangai sebenar Elisha yang suka berfoya-foya tu.

Tidak lama kemudian, hubungan mereka terputus kerana Elisha mahu ke luar negara untuk mengejar impiannya bergelar model terkenal. Heh. Hubungan yang berakhir itu membawa impak besar kepada Hazry. Ingin mengadu kepada Rina seperti lazimnya, Rina pula semakin menjauh selepas berkenalan dengan teman mayanya, Wan Azfarel (Arel). Sudahnya, Hazry pulang ke rumah keluarganya dan diberitakan tentang pemergian ayahanda tersayang. Pemergian mengejut itu membuat Hazry hilang arah dan kelam kerana hilang tempat bergantung.

Sebagai seorang sahabat yang memahami, Rina ingin berkongsi kepahitan yang dihadapi oleh Hazry. Namun, pengertian yang diberi dibalas dengan tuba bila Hazry yang dibawah pengaruh pil ecstasy telah bertindak menodai Rina. Kesian Rina. Yang hampehnya Hazry cuma memohon maaf atas tindakan ‘luar sengajanya’ itu dan menyambung pengajiannya ke luar negara. Dia fikir hanya dengan perkataan maaf itu boleh mengubah keadaan kembali kepada asal agaknya?

Mujurlah ada Arel. Dialah yang sanggup menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Hazry . Perkahwinan mereka dilangsungkan dengan restu kedua-dua buah keluarga . Sayangnya aib yang cuba disembunyikan terbongkar juga bila Rina disahkan mengandung dua bulan selepas sebulan tempoh perkahwinannya. Akibatnya, Rina dibuang keluarga kerana dianggap telah memalukan keluarga mereka.

Beberapa tahun kemudian, Rina bertemu kembali dengan Hazry atas urusan kerja. Kemunculan Hazry yang merindukan teman lamanya itu turut menggugat kepercayaan Arel. Rina bingung. Bertambah risau sekiranya Hazry mengetahui kewujudan Ikhzal (Ayik) yang selama ini disembunyikanya. Tapi bila menyedari yang air dicincang takkan putus, Arel berterus terang dan memperkenalkan Hazry dengan Ayik tanpa menyedari yang dia turut mempertaruhkan rumahtangganya disebabkan keputusan itu. Mampukah mereka mempertahankan kebahagiaan mereka bila satu demi satu individu dari masa silam mereka muncul kembali?

Komen saya: Kisah ni agak dramatik. Kalau divisualkan harus ada yang cair dengan Wan Azfarel ni. Haha. Shush! Bagi saya penekanan dalam naskhah ini adalah tentang pergaulan. Sebaik mana atau serapat mana hubungan kita dengan kawan berlainan jantina tu, batas tetap ada. Jangan sesuka hati nak bertepuk-tampar dengan anak dara / teruna orang sembarangan. Macam mana percaya pun, mereka tetap manusia biasa yang tak sempurna. Satu kesilapan mungkin bawa penyesalan seumur hidup. Dan bukan semua orang sebertuah Rina. Jadi beringatlah ya, adik/kakak/abang/ sekelian? Haish, entah kenapa terlebih emosi pula. Tahniah Kak Rose. Moga terus berkarya. :) 

Saturday, April 5, 2014

Mengejar Ajal

Posted by Hajar at 4:52 PM 0 comments
Tajuk: Mengejar Ajal
Penulis: Khairulnizam Bakeri
Penerbit: Roman
Harga: RM 19.90
Sabah/ Sarawak: -
Halaman: 309 mukasurat
ISBN: 9789671199701

Pernah rasa tak, bila kita suatu ketika kita kehilangan barang berharga. Cari punya cari. Geledah sana sini. Sampai ke seluruh pelusuk isi rumah. Tapi rupanya, barang yang dicari tu ada terselit dalam poket baju. Ha, itulah yang saya rasa bila habis baca buku ni. Heh. Rasa macam ditipu. Tapi, itulah kelebihan si penulis. Buat kita khusyuk ikuti cerita dia sampai tak sedar ditipu. Ciss! Hehe.

Secara ringkasnya, kisah ini terbahagi kepada 3 bahagian:

Bahagian pertama membawa kita mengenali Raed Marzuki (Raed) sebagai seorang Timbalan Pendakwaraya yang sangat di segani dan dikenali kerana kecekapannya mengendalikan kes perbicaraan sehingga orang kena tuduh tak pernah terlepas daripada hukuman. Beliau juga turut dikenali dengan nama The Hangman dan Undertaker kerana kehandalannya itu. Cuma, kes pembunuhan yang melibatkan Datuk Seri Buyong ni agak mencabar kewibawaan Raed kerana satu-satunya saksi pembunuhan telah dibunuh. Bila bukti tak cukup kukuh untuk melibatkan penglibatan Datuk Seri Buyung, maka Raed terpaksa akur dengan keputusan mahkamah yang tidak memihak kepadanya.

Bahagian kedua pula berkisar tentang penangkapan Raed kerana disyaki membunuh Datuk Seri Buyung sehari selepas keputusan yang tidak memihak kepadanya. Bukti memang jelas yang Raed terlibat dalam pembunuhan walaupun Raed mengakui yang dia berada bersama isterinya sepanjang malam. Lagipun, macam mana Adani, isteri Raed nak meyakinkan pihak polis tentang alibi yang ada sedangkan dia cacat pengelihatan? Di hari perbicaraan, Raed di culik. Adani juga turut diculik. Pihak polis menyangkakan itu helah Raed disebabkan kepakarannya dalam bidang undang-undang. Tapi siapa sangka, penculik Raed sangat licik dan memberi syarat supaya Raed membunuh 3 orang dalam masa 3 hari untuk menyelamatkan Adani. (Untuk bahagian ini ada sedikit kejanggalan bila penulis penggunakan POV 1 untuk menceritakan perihal pihak yang berada di POV 3. Hmm..)

Bahagian ketiga pula membawa kita mengenali latar belakang suspek yang terlibat dalam 'konspirasi' penculikan Raed dan Adani. Heh. Siapa sebenarnya pembunuh Datuk Seri Buyung? Dan apa pula kaitannya dengan penculikan Raed dan Adani?

Komen saya: Tak dapat dinafikan, setiap karya penulis ini memang mampu mengundang rusuh adrenalin dan juga membuat otak kita berfikir dengan lebih efektif. Serius, memang tak boleh jangka siapa pembunuh dan penculik sehingga masuk bahagian ke 3. Rasanya secara tak langsung penulis nak beritahu kita bahawa dalam dunia ni memang ramai orang gila. Sanggup lakukan apa saja untuk capai apa yang mereka mahukan termasuk membunuh. Haish. Tahniah buat penulis sebab berjaya buat watak penjenayah bijak sekali lagi. Hahah. Tapi jenayah terancang begini bukan untuk dipraktikkan ya? :P 
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review