Monday, March 17, 2014

Hadirkan Cinta Buat Aku

Posted by Hajar at 9:06 AM 0 comments

Tajuk: Hadirkan Cinta Buat Aku
Penulis: Tulip Ungu
Penerbit: Intens Idea International Sdn. Bhd.
Harga: RM 25.00
Sabah/ Sarawak: RM 28.00
Halaman: 628 mukasurat
ISBN: 9789675289262

Kerana tak mahu memenuhi permintaan melampau bapa saudaranya, Sara Adelina (Sara) melarikan diri dari rumah. Pelarian itu menemukan dirinya dengan keluarga Syarifah Radziah. Kenaifan dan keikhlasan Sara mengasuh Emma Safiyya menambat hati tua Syarifah Radziah. Lantas dia mencadangkan Syed Ziqri untuk melamar Sara untuk menjadi pengganti isteri sekaligus menjadi ibu kepada Emma Safiyya.

Perkahwinan mereka berlangsung dan segalanya tampak sempurna sehinggalah Syed Ziqri tiba-tiba menyedari yang dia sebenarnya masih belum dapat melupakan Syarifah Sofea, arwah isterinya. Syed Ziqri meninggalkan keluarganya dan isteri yang sudah berbadan dua untuk mencari ketenangan. Kononnyalah. Heh.

Lima tahun kemudian Syed Ziqri kembali dengan niat untuk mengahwini kekasihnya, Syarifah Letisha yang juga merupakan sepupu kepada arwah Syarifah Sofia sekaligus menyelesaikan isu perkahwinannya dengan Sara. Kepulangan Syed Ziqri menemukannya dengan isteri yang semakin matang berserta anak-anak yang telah ditinggalkannya. Sara yang masih berjauh hati dengan Syed Ziqri tak pernah mengendahkan kepulangan suaminya. Kerana rasa tercabar dengan sikap tak endah Sara, Syed Ziqri berusaha menarik perhatian Sara dan anak-anaknya. Tanpa disedari rupanya tindakannya itu membuat dirinya makin terikat dengan isteri dan anak-anaknya.

Bila menyedari yang dirinya sudah mula terikat dengan isteri dan anak-anak, Syed Ziqri memutuskan hubungan dengan Syarifah Letisha dan memulakan misi menambat hati Sara. Sara pula bukannya tak sayangkan Syed Ziqri, tapi kerana kecewa ditinggalkan selama bertahun-tahun, Sara bimbang Syed Ziqri hanya mahu merampas perhatian anak-anak daripadanya.

Usaha Syed Ziqri tidak sia-sia bila akhirnya Sara turut membalas kasih sayangnya. Namun sesuatu berlaku kepada syarikat memaksa Syed Ziqri meminta pertolongan Syarifah Letisha. Tegakan Syed Ziqri melukakan Sara sekali lagi semata-mata untuk menyelamatkan perniagaan keluarganya?

Komen saya: Cerita ni memang menuntut kesabaran emosi berganda lebih-lebih lagi bila melibatkan Syed Ziqri. Tak suka Syed Ziqri bila dia:

1. Tak bertanggung jawab dan lari tinggalkan isteri dan anak selama bertahun-tahun. Bukannya Sara tak pernah hubungi dia tapi boleh dia buat tak endah? Huh..
2. Pernah fikir nak ‘serahkan’ Sara kepada kawan baiknya sendiri sebelum dia tinggalkan Sara. Hilang akal ke apa lelaki ni?
3. Berlengah-lengah nak buat keputusan selepas balik ke Malaysia.
4. Tak mahu mengaku perasaannya terhadap Sara sedangkan dia sedar dan rasa tercabar bila tahu Sara sentiasa jadi perhatian lelaki lain.

Mujurlah gambaran wataknya makin ‘putih’ selepas dia sendiri menyedari perasaannya terhadap Sara. Dan, saya sukakan watak Sara Adelina yang tegas dan tak mudah mengalah. Tak pernah sekali pun dia tergoda atau termakan dengan pujuk rayu lelaki sebab masih sedar dengan kedudukan dan statusnya sebagai seorang isteri. 

Saya tak pernah baca buku-buku terdahulu penulis jadi tak boleh nak bandingkan gaya bahasanya dalam karya terdahulu. Tapi jujurnya saya senang dengan gaya bahasa penulis ni. Cuma ada beberapa kesilapan penggunaan kata nama khas yang mungkin tak disedari semasa proses pengeditan. Apa pun, tahniah buat penulis atas kelahiran karya ketiganya. Semoga maju jaya untuk karya-karya seterusnya. :)

Sunday, March 2, 2014

Lelaki Januari

Posted by Hajar at 10:48 PM 2 comments
Tajuk: Lelaki Januari
Penulis: Hafizah Iszahanid
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM 20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman:  419 mukasurat
ISBN: 9789670508528

Bagi saya buku ini memang bermain dengan emosi. Jadi memang kena bertabah waktu membacanya. Dan 3 watak yang bikin emosi saya mencanak naik semasa membaca kisah ini adalah:

Ali Syukri 
Perkahwinan di usia muda memang banyak mengundang masalah sekiranya suami isteri tak mampu berkomunikasi dan bertoleransi dengan baik. Begitulah yang terjadi dengan perkahwinan Ali Syukri dan Delaila Azilah (Delaila). Masing-masing lebih mengutamakan kehidupan dan keperluan sendiri tanpa memikirkan kepentingan bersama. Lebih kronik bila ada yang suka mengambil kesempatan mengeruhkan keadaan yang sedia keruh. Huh. Ali Syukri pula lebih percayakan kata-kata Wairah (yang kononnya kawan baiknya semenjak zaman persekolahan) berbanding Delaila. Aduhai. Manalah Delaila tak makan hati? Kemuncak emosi saya kepada Ali Syukri adalah apabila dia sanggup meninggalkan Delaila yang sedang hamil hanya untuk memancing bersama rakan-rakannya termasuk Wairah. Grrrr!!

Wairah
Title 'kawan baik' selalu dijadikan alasan untuk Wairah mendekati Ali Syukri. Sehinggakan apa yang diperkatakannya lebih dipercayai oleh Ali Syukri berbanding kata-kata Delaila. Sikapnya yang tak mahu mengalah memang buat yang membaca ni jadi menyampah. Haha. Nak menang selalu. Sampai sanggup meruntuhkan rumahtangga 'kawan baik' sendiri semata-mata kerana mahu bersuamikan Ali Syukri. Waktu ada dalam genggaman tak mahu hargai. Bila dah dilepaskan baru terhegeh-hegeh nak kembali. Terfikir juga, Wairah ni sibuk kejar dan pujuk Ali Syukri kembali sebab Haifa, anak mereka atau kerana tak mahu kalah di tangan Delaila?


Delaila Azilah
Kegagalan dalam perkahwinan membawanya jauh dari keluarga dan masa lalunya dengan harapan segala kenangan pahit itu dapat dilupakan. Namun, mana mungkin cinta pertama dilupakan dengan mudah? Saat-saat manis pertemuan dan perkenalan mereka masih basah di ingatan Delaila. Justeru Delaila tak pulang ke Malaysia bertahun-tahun hanya kerana tak mahu dihantui kenangan pertemuan dengan Ali Syukri di kampung halamannya. Siapa sangka walau jauh Delaila membawa diri, perancanganNYA menemukannya kembali dengan Ali Syukri. Mungkinkah pertemuan kali ini membawa petanda yang Tuhan sedang memberi mereka peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan lampau mereka?

Cuma saya agak terkilan bila watak Hud Sulaiman itu tidak dikembangkan sewajarnya. Sungguhpun wataknya kecil, tapi berupaya menyembuh luka. Seolah macam hujan yang turun di bumi yang ditimpa kemarau. Walaupun hujan yang turun taklah lebat mana, tapi bawa impak besar kepada bumi. Ha, nampak tak metaforanya tu? Haha.

Komen saya:

Tahniah buat penulis kerana:

1. Berjaya memancing turun naik emosi saya semasa membaca kisah Ali Syukri - Delaila - Wairah ini.

2. Berjaya memartabatkan bahasa Melayu dengan sebaiknya. Penggunaan bahasa Inggeris sangat minima walaupun hampir 50% latar penceritaannya di luar negara.

3. Berjaya membuatkan saya menyukai kisah ini walaupun saya agak beremosi bila membacanya. Phew..

4. Berjaya selang-selikan emosi pembaca dengan info-info tentang Kemboja, doctors without borders, UNESCO etc. Sekurang-kurangnya tak adalah rasa macam nak lempar buku bila rasa stress membaca. :)

Bukunya nipis dan kisahnya mudah. Tapi mampu bawa kita merenung jauh. Fuh. Memang lazimnya manusia tu tak pernah bersyukur dengan apa yang mereka ada. Biasanya yang tiada tu di cari tapi yang di depan mata diabaikan. Aduhai...

"Cinta itu adakala menandakan sebuah pertemuan...berada dalam hati, utuh dalam memori...tetapi tidak memungkinkan penyatuan dua hati - HI"


 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review