Saturday, September 22, 2012

Setitis Kasih Darmia - Naniey TJ

Posted by Hajar at 10:13 PM 6 comments

Tajuk: Setitis Kasih Darmia
Penulis: Naniey TJ
Penerbit: SR Publication
Harga: RM26.90
Sabah/ Sarawak: RM 29.90
Halaman: 665 mukasurat
ISBN: 9789675822094

Darmia, sempat bermanja dengan ibunya hanya seketika. Selepas pemergian ibunya, Darmia dibesarkan oleh salah seorang ibu saudaranya. Namun, nasib Darmia tidaklah sebaik mana bila dia terperangkap berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenali selepas melarikan diri daripada menjadi mangsa perkosaan bapa saudaranya. Lepas bernikah, Darmia ditinggalkan.

Selepas 4 tahun baru mereka bertemu kembali bila Haliza (sepupu yang paling rapat dengan Darmia) membawa Darmia ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan sekaligus menyambung pengajian. Darmia disuruh menjadi pembantu rumah Khairul Amir. Bila mengetahui Darmia yang bekerja sebagai pembantu dirumahnya, Khairul Amir memang mengambil kesempatan untuk melunaskan dendamnya pada Darmia selama ini. Namun, tanpa disedarinya kemunculan Darmia menimbulkan bibit-bibit perasaan dalam hatinya walaupun Haliza setia menanti untuk menoktahkan hubungan mereka ke peringkat seterusnya.

Darmia rela disakiti asalkan Haliza tidak disakiti. Janji rahsia perkahwinan mereka tersimpan rapi. Baginya Haliza ibarat penyelamat dan juga seorang kakak yang tak pernah dimilikinya. Kala dirinya dibenci oleh kedua ibu saudaranya tanpa diketahui puncanya, hanya Haliza dan Opah yang teguh mempertahankan Darmia. Rahsia perkahwinan mereka tetap terjaga sehinggalah Haliza terjumpa Darmia dan Khairul Amir berduaan dalam keadaan yang agak intim. Haliza memang tak boleh terima hakikat yang Darmia dah menjadi duri dalam daging walaupun sebenarnya Darmia tak bersalah pun.

Mak Long Darmia yang memang berdendam dengan arwah adiknya sendiri memang bertekad takkan biarkan Darmia berbahagia. Dipaksanya Khairul Amir untuk menikahi Haliza walaupun dia dah tahu hubungan antara Khairul Amir dan Darmia. Namun, hikmahnya hari pernikahan Haliza dan Khairul Amir menemukan kembali keluarga Darmia dengan bapa Darmia. Terbongkarlah kembali rahsia yang disimpan selama ini. Kenapa setelah berpuluh tahun, Maryam, ibu Darmia masih didendami oleh kedua orang kakaknya.
 
Darmia yang sangat gembira dengan kemunculan bapa yang dinanti ditimpa kemalangan dalam perjalanan untuk menemui  bapanya. Kemudian, dalam keadaan hubungan Darmia dengan Khairul Amir yang retak menanti belah, mereka dikejutkan dengan berita kehamilan Darmia. Mampukah Khairul Amir untuk menggapai setitis kasih Darmia yang didambakan?

Komen saya: Plot cerita yang agak padat dan pantas. Saya sukakan gaya penceritaan yang pantas dan tak meleret. Konflik dan segala persoalan juga berjaya dirungkaikan satu persatu. Tahniah buat Naniey untuk hasil karya bercetak pertama ini. Tahniah dan terima kasih juga buat pihak editorial SR untuk naskhah yang padat dan tidak meleret ini. :)

Jangan Lupa Namaku - Hananee Amir

Posted by Hajar at 10:04 PM 2 comments

Tajuk: Jangan Lupa Namaku
Penulis: Hananee Amir
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman: 629 mukasurat
ISBN: 9789675118944


Siapa sangka rumahtangga yang dah terbina bertahun-tahun dan sentiasa nampak bahagia akhirnya berkecai juga di pertengahan jalan? Begitulah yang terjadi kepada Aiman dan Amira. Setelah 7 tahun hidup bersama, mereka akhirnya ambil keputusan untuk berpisah hanya kerana Amira dah tak tahan dengan kata-kata orang sekeliling. Mana tidaknya, perkahwinan mereka selama 7 tahun belum dikurniakan zuriat. Puas berusaha dan berubat, rezeki masih belum berpihak kepada mereka. Aiman memang tak kisah sebab dia terlalu sayangkan Amira. Cuma Amira yang masih tak mampu menerima hakikat kekurangan dalam perkahwinan mereka itu.

Sekilas pandang, kita mungkin akan kata  Amira ni pentingkan diri. Yelah, Aiman tu punyalah sayangkan Amira sampai sarapan pagi pun Aiman yang sediakan. Dia boleh sibuk nak bercerai. Sungguh tak bersyukur dah dapat suami baik macam tu.  Tapi, bila fikir dari sudut pandang Amira pula, kita akan tahu betapa tertekannya Amira dengan situasi tu. Orang lain mana tahu apa yang Amira rasa bila dia ditanya soalan-soalan sensitif begitu.

Sebab terlalu sayangkan Amira, Aiman melepaskan Amira walaupun sebenarnya hatinya berat. Harapannya Amira akan sedar betapa eratnya kasih sayang antara mereka. Walaupun Aiman kata yang dia tetap setia menanti Amira kembali padanya, tak sekali pun Aiman memujuk Amira. Pelik kan? Aiman kata dia tak mahu memaksa Amira. Dia berikan Amira masa untuk bertenang agaknya. Cuma yang menariknya,  lepas bercerai Aiman ni jadi stalker pada Amira sebab dia nak pastikan Amira sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

Untungnya mereka ni dikelilingi oleh kawan-kawan yang menyokong mereka dalam keadaan apa sekalipun. Masa kritikal inilah Fuad dan Julia banyak memainkan peranan. Walaupun sedih dengan perpisahan Aiman dan Amira, mereka tetap menyokong dan membantu keduanya bila diperlukan. Mereka juga berperanan untuk menyatukan keduanya semula walaupun harapan agak tipis.

Bila kemunculan Johan, teman sekampung Amira, Julia serta Fuad, bunga harapan yang diharapkan Aiman bagaikan lenyap sekelip mata. Dalam masa yang sama muncul juga Nazrul dan Camelia (teman lama Aiman) yang berhasrat untuk memisahkan terus Aiman dan Amira. Bagaimana agaknya perhubungan Amira dan Aiman? Berjayakah mereka bersatu kembali atau masing-masing tetap memilih  jalan hidup sendiri?

Komen saya: Kisah ni agak sinonim dengan masyarakat kita yang rata-ratanya ‘terlebih prihatin’ dengan hidup orang lain. Bila dah ‘terlalu prihatin’ mereka mungkin tak sedar yang sikap ‘prihatin’ mereka tu bakal meruntuhkan moral orang lain. Paling teruk kalau sampai meruntuhkan keluarga orang lain. Nauzubillah. Terima kasih dan tahniah kepada Hananee Amir untuk naskhah ini. Kisah yang berat jadi agak santai bila disampaikan dalam gaya bahasa yang santai dan selamba. Oh, jangan risau pengakhirannya tetap buat kita rasa bahagia. :)

 
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review