Monday, March 17, 2014

Mungkinkah?

Posted by Hajar at 10:10 AM
Tajuk: Mungkinkah?
Penulis: Hanni Ramsul
Penerbit: Penerbitan Kaki Novel Sdn. Bhd.
Harga: RM32.00
Sabah/ Sarawak: RM 35.00
Halaman:  926 mukasurat
ISBN: 9789670448602

Setelah sekian lama menanti, akhirnya muncul juga karya kelima penulis ini. Saya setuju dengan pendapat seorang teman yang mengatakan bahawa kita jarang bertemu watak antagonis lelaki dalam sesebuah karya. Kali ni bukan setakat seorang, ramai pula tu. Hish!

Radhi:
Perkahwinannya dengan Arisa hanya membahagiakan di permulaan. Selepas beberapa bulan kemudiannya, Radhi mula memeras wang Arisa. Atas keyakinan yang Radhi akan berubah, Arisa mendiamkan perbuatan Radhi sehinggalah mereka terpaksa berpindah ke rumah keluarga Arisa kerana tak mampu hendak membayar sewa rumah. Belang Radhi terbongkar jua akhirnya. Namun, Radhi tak pernah kisah malah masih tega menyusahkan Arisa dan keluarganya. Sanggup pula berkahwin kali kedua walaupun dah nyata tak mampu nak menyara keluarga. Untuk melepaskan Arisa, Radhi meminta sejumlah wang untuk tebus talak. Tiada pilihan lain, Arisa terpaksa menebalkan muka meminjam wang daripada Encik Karim, majikannya. 

Karim:
Majikan Arisa ini memang ‘nampak’ baik. Bila tahu Arisa dalam kesusahan dia tak keberatan membantu. Sejumlah wang dipinjamkan kepada Arisa untuk membolehkan Arisa membebaskan diri daripada ikatan perkahwinannya. Namun, siapa sangka ‘kebaikan’ majikan Arisa ini dipergunakan oleh Radhi untuk memeras ugut sekaligus memfitnah Arisa? Encik Karim pula seolah-olah mengiakan hubungan ‘skandal’nya dengan Arisa. Haish. Yang paling menyedihkan bila fitnah yang ditaburkan ini turut menyebabkan ayah kesayangan Arisa meninggal dunia akibat serangan jantung. Tertekan dengan situasi dan fitnah yang membelenggu, Arisa tekad meletak jawatan dan kebetulan terus ditawarkan peluang pekerjaan di syarikat keluarga Zariff.

Zariff:
Pertemuan pertamanya dengan Arisa membawa impak yang sangat besar dalam hidup Zariff. Rantai milik Arisa yang ditemui menguatkan lagi semangat Zariff untuk mencari Arisa. Rupanya pencariannya dipermudahkan bila Arisa memohon pekerjaan di syarikatnya. Tanpa berfikir panjang, permohonan Arisa diterima dan Arisa akan menjadi pembantu peribadinya. Bukan senang nak menjinakkan Arisa kerana Arisa bukanlah seperti wanita-wanita yang pernah didampinginya sebelum ini. Tapi, bila mengetahui yang Arisa terbelenggu dengan masalah hutang dengan majikan terdahulu, Zariff mula menjalankan misi untuk ‘memiliki’ Arisa. Tersepit dengan hutang dan juga ugutan Zariff, Arisa memilih untuk menikahi Zariff (semestinya tanpa pengetahuan Puan Zahra, ibu Zariff). Sungguh pun niat asal Zariff hanyalah untuk memiliki Arisa, namun lama-kelamaan Zariff akui perasaannya terhadap Arisa. Cuma, macam mana caranya nak yakinkan Arisa sedangkan Puan Zahra sudah ada rencana untuk menyatukan Zariff dengan Nabila?

Arisa:
Bagi Arisa pula, cinta tak membawa apa-apa maksud kepada dirinya selain kegagalan dan kesengsaraan. Mana tidaknya, walaupun dah bercerai, Radhi tak jemu-jemu menggangu hidupnya. Perbuatan Radhi terhadap dirinya dan keluarga bawa impak besar sehingga Arisa jadi keras hati dan kebal dengan pujuk rayu lelaki. Perkahwinannya dengan Zariff pula ibarat keluar mulut buaya masuk ke mulut naga. Hasrat Zariff untuk memilikinya terpaksa dihalalkan demi untuk melangsaikan hutang Arisa. Selagi diperlukan, Arisa masih akan bersama Zariff. Bila Zarif mula menyedari perasaannya, Arisa meragui. Sejarah warna-warni hidup Zariff terlalu payah untuk disisihkan. Ditambah pula dengan perancangan Puan Zahra untuk menyatukan Zarif dengan Nabila, menyurutkan paras keyakinan Arisa terhadap luahan perasaan Zariff. Mungkinkah hati Arisa yang beku itu bisa dilenturkan?

Komen saya: Memang karya penulis tak pernah menghampakan. Walapun berpaksikan plot perkahwinan tanpa rela , garapan penulis berjaya buat kita rasa tak jemu dengan ‘cerita yang sama berulang kali’. Gaya bahasa yang biasa dan tak terlampau berbunga buat kita senang nak menghadam cerita. Satu perkara tentang karya penulis ni yang saya suka adalah penggunaan nama-nama biasa (atau nama golongan marhaen bak kata Airina) untuk watak-watak dalam kisah-kisah yang dilakarkan. Takdelah sampai tergeliat lidah nak menyebut nama watak kan? :P Dan satu lagi, saya suka metafora penulis dalam menzahirkan adegan ‘terlebih gulanya’. Yang terlampau tak jadi terlampau okay? Macam tengok cerita Melayu dulu-dululah, lepas adegan pelakon wanita dan lelaki duduk berdua, tiba-tiba muncul gambar rumput atau daun dengan titis embun. Ohh, diorang berborak sampai pagi rupanya. Hahaha. Itu pemikiran kanak-kanak seusia saya masa itulah. :P Eh, panjang pula komennya. Hahah. Tahniah dan terima kasih diucapkan buat Kak Hanni Ramsul. Puas hati walaupun buku cuma terbit setahun sekali. Moga dikurniakan ilham yang lebih mantap untuk karya-karya yang akan datang. :) 

0 comments:

Post a Comment

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review