Thursday, February 27, 2014

Sepasang Kurung Pink

Posted by Hajar at 9:46 PM 0 comments
Tajuk: Sepasang Kurung Pink
Penulis: Nureen Mirza
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman:  587 mukasurat
ISBN: 9789831249208

Susah kan bila berada di kalangan masyarakat yang suka menghakimi peribadi orang lain berdasarkan sejarah dan latar belakang hidup mereka? Tak payah cakap orang lainlah, diri sendiri pun selalu juga termasuk dalam golongan mereka yang suka prejudis pada latar belakang orang lain ni. Huh..

Diza Irdina (Diza) tidak pernah meminta dirinya dilahirkan sebagai seorang anak banduan. Ibu Diza dipenjarakan kerana membunuh untuk menyelamatkan maruah anak gadisnya. Ramai yang menjauhkan diri bila mengetahui sejarah 'hitam' yang menimpa hidup Diza. Paling sadis bila bekas tunangan Diza juga turut mencaci dan memutuskan pertunangan sebulan sebelum mereka melangsungkan perkahwinan disebabkan status anak banduan itu. Mungkin silap Diza yang tak berterus terang dari awal tapi bila fikir balik, kalau dah cara pemikiran masyarakat kita memang dah macam tu, ada beza ke kalau Diza berterus terang dari awal?

Perkenalan Diza dengan Puan Lisa, mama kepada Syahrin Haiqal (Syahrin) membawa cerita baru dalam hidupnya. Puan Lisa ni berkenan sungguh nak bermenantukan Diza walaupun Diza awal-awal lagi dah berterus terang tentang sejarah hidupnya. Diza merasakan dirinya tidak layak untuk bergandingan dengan Syahrin. Manalah layak anak banduan nak bergandingan dengan jurutera?

Bagi Syahrin, Diza tu mengingatkannya kepada Laila Sari, bekas tunangan yang berselingkuh di depan matanya. Tanggapan Syahrin, semua perempuan bertudung itu sama. Hipokrit! Tapi bila Diza menolak lamarannya, ego Syahrin tercalar. Puan Lisa dipaksa untuk melamar Diza dan perkahwinan mereka tetap dilangsungkan tidak lama selepas itu.

Untuk membalas dendam kerana Diza pernah menolak lamarannya, Syahrin bersungguh-sungguh membuli Diza setelah mereka berkahwin. Memang panjang senarai kerja rumah yang perlu dilakukan Diza selepas menjejakkan kaki ke rumah Syahrin. Tabah je Diza melayan. Namun tembok kesabaran Diza runtuh juga bila Syahrin mula memalukan Diza di khalayak keluarga mereka. Diza di cop sebagai penipu bila tak berterus terang dari awal walhal hakikat sebenarnya Puan Lisa yang masih tercari-cari masa yang sesuai untuk berterus-terang dengan Syahrin.

Pemergian Diza sedikit sebanyak menghidupkan rasa dalam hati Syahrin terhadap Diza tapi keegoan menghalangnya daripada memujuk Diza. Bila dah bertarik tali begini mampukah mereka menyelamatkan rumahtangga yang nampaknya bakal tersungkur ini?

Komen saya: Tajuk ni mengingatkan saya kepada salah sebuah lagu raya kegemaran - Sepasang Kurung Biru! Hehe. Kebetulan kata penulis, beliau dapat ilham menulis kisah ini daripada lagu tersebut. Tapi kenapa biru jadi pink? Sebab Diza ni peminat tegar warna pink. Dan baju kurung pink juga yang menjadi pengubat rindu Syahrin bila Diza merajuk. Satu yang saya dapat simpulkan, kebanyakan hero ciptaan penulis ni memang buat kita rasa nak humban mereka ke dalam lombong. Haha. Semuanya menyakitkan hati di awal dan pertengahan cerita tapi akhirnya mampu mencairkan hati pasangan mereka di akhir kisah. Phew. Apa pun tahniah buat penulis atas kelahiran buah tangan terbarunya ini. :)

Thursday, February 20, 2014

Biarkan Hati Menjauh

Posted by Hajar at 11:11 PM 0 comments
Tajuk:Biarkan Hati Menjauh
Penulis: Tina Derika
Penerbit: -
Harga: RM20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman:  355 mukasurat
ISBN: 9789671238509

Suka dengan penekanan penulis tentang berlapang dada dalam menerima ketentuan Allah. Bukannya menyimpan dendam dan terus-terusan menyalahkan orang lain atas musibah yang menimpa diri kita. A very good reminder indeed!

Bagi yang pernah membaca cerpen penulis yang menggunakan tajuk yang sama di dalam Antologi Cerpen Kerana Dia, Ratu Sehari tentu sudah dapat gambaran serba sedikit tentang kisah ini. Hidayah dan Hanani, adik beradik kembar yang sangat rapat. Hanani ditimpa kemalangan dan disahkan lumpuh kerana nak menyelamatkan Hidayah. Akibatnya Hidayah dipersalahkan oleh Puan Azizah, ibu mereka atas kecuaiannya. Kesalahan itu pula sentiasa diungkit sehingga Hidayah dah rasa lali dengan segala kata-kata dan cacian Puan Azizah.

Sikap Puan Azizah terhadap Hidayah masih tak berubah biar pun kejadian yang menimpa Hanani sudah berlalu selama 9 tahun. Hidayah sentiasa dimarahi manakala Hanani ditatang bagai minyak yang penuh. Alasannya, Hanani sudah tidak berupaya dan terpaksa mengharapkan ehsan orang lain berbanding Hidayah. Lagipun Hidayah kan penyebab kecacatan Hanani, jadi memang wajarlah Puan Azizah memberi balasan setimpal kepada Hidayah.

Hidayah ni memanglah sangat penyabar. Kerana sedar yang Hanani lumpuh disebabkan dirinya, Hidayah banyak beralah. Sungguh pun merasa tersisih daripada perhatian ibu, Hidayah tetap berusaha menjadi anak yang baik buat kedua ibu-bapanya. Namun, bila menyedari dirinya dipergunakan oleh sahabat baiknya, Shazriel untuk mendekati Hanani, Hidayah tekad untuk menjauhkan diri. Pulang ke kampung bersama-sama neneknya mungkin pilihan terbaik memandangkan Puan Azizah sudah memberi isyarat bahawa kehadiran Hidayah tidak diperlukan lagi di rumah mereka. Sobs.

Kepulangan Hidayah ke kampung menemukannya kembali dengan Azzmeir, bekas pensyarahnya. Maklum dengan keadaan keluarga Hidayah, Azzmeir berusaha untuk mengubati luka di hati Hidayah. Hubungan baik antara mereka akhirnya diketahui keluarga dan Azzmeir tekad untuk melamar Hidayah. Di tengah-tengah kesibukan keluarga mereka membuat persiapan perkahwinan Hanani mula terasa terabai dan mula berubah sikap. Hidayah mula dimusuhi dan segala penderitaannya diungkit kembali. Haish. Haruskah Hidayah mengorbankan hati dan perasaannya sekali lagi semata-mata untuk menjaga perasaan Hanani? Bagaimana pula penerimaan Puan Azizah? Masihkah Hidayah didendami atas kemalangan yang menimpa Hanani?

Komen saya: Kisah yang menarik sebenarnya tapi disebabkan penulis mengambil inisiatif untuk menerbitkan sendiri, banyak lompong sana-sini yang sebenarnya boleh diperbaiki lagi. Antaranya:

1. Kesilapan ejaan dan banyak penggunaan perkataan yang tak sesuai atau mungkin tidak difahami .

2. Pembinaan watak - watak lelaki dan wanita seolah tiada beza, terutamanya untuk watak Shazriel dan Azzmeir. Ada ketikanya bila membaca dialog mereka seumpama saya membaca dialog Hidayah atau pun Hanani. Tak ada beza. Err, komen ini bukannya nak menunjuk PANDAI, tetapi cuma berdasarkan apa yang saya rasa sewaktu membaca naskhah ini. :)

Tapi bagi saya, penyelamat kisah ini adalah kerana kisahnya ringkas dan tak meleret walau pun isunya agak berat. Tahniah buat penulis atas keberanian menerbitkan sendiri naskhah ini. Bukan senang nak menulis dan bukan senang nak memuaskan hati pembaca. Tapi anda berani mengambil risiko. Semoga maju jaya :)

Sunday, February 16, 2014

Sah, Aku Cinta Kamu!

Posted by Hajar at 11:05 PM 0 comments
Tajuk: Sah, Aku Cinta Kamu!
Penulis: Hezzy Azra
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman:  593 mukasurat
ISBN: 9789831249239

Bagi yang sudah membaca karya penulis terdahulu yang bertajuk Aku Pilih Dia pasti sudah dapat gambaran tentang Raif Imran bukan? Raif Imran (Raif) si mulut manis yang berhubungan dengan ramai wanita. Tapi dalam ramai-ramai tu hanya Irdina Jasmin (Irdina) yang dekat di hatinya. Perkenalan mereka bermula di hospital bila mana Raif menemankan abangnya, Ian Redza menjalani rawatan fisioterapi manakala Irdina pula menemankan datuknya. Siapa sangka Irdina yang berperwatakan sederhana dan selamba itu benar-benar menambat hati Raif? Bagi Irdina pula walaupun hubungan rapatnya dengan Raif sudah ke pengetahuan keluarga, dia tak mahu meletakkan harapan yang tinggi kerana sudah maklum dengan hubungan baik Raif dengan wanita di sekelilingnya.

Suatu tragedi menimpa Irdina menyebabkan Raif rasa bertanggungjawab atas apa yang menimpa Irdina. Belum sempat membuka mulut, umi Raif sudah memulakan langkah. Haish. Kesian juga Raif. Sudahlah tersepit dengan masalah kewangan, uminya melamar Irdina tanpa pengetahuan pula. Namun, bila jodoh sudah tersurat, siapa yang mampu menolaknya bukan? 

Perkahwinan mereka memang membahagiakan. Sungguh pun masih dihantui kisah warna-warni Raif sebelum perkahwinan mereka, Irdina masih mampu bertenang tanpa rasa ragu dan cemburu berlebihan atas rasa percaya dengan Raif. Phew, tabik! Kebahagiaan mereka makin bertambah bila Irdina disahkan mengandung. Kegembiraan mereka sekeluarga terbantut bila mengetahui tentang penyakit mama Irdina. Memang sedih bila ditimpa musibah begini tapi berkat sokongan keluarga terdekat mama Irdina berjaya bertahan sehingga Irdina melahirkan Raeesah. Tapi siapalah kita untuk menentang ketentuan? Mama Irdina akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya kerana jangkitan kuman pada paru-parunya.

Kematian mama Irdina benar-benar menguji tahap kesabaran Raif sebagai seorang suami. Irdina diserang kemurungan selepas pemergian mamanya. Siapa pun bila kehilangan seorang ibu pasti merasai perasaan yang sama. Masakan tidak, selama ini mamanyalah tempat dia bergantung. Bila hilang dari hidup seumpama hilang seluruh semangat. Cuma ada ketikanya saya rasa Irdina agak mementingkan diri sendiri bila Raif diabaikan disebabkan Irdina melayan rasa sedihnya. Hmm...

Saat-saat begini datang pula si penggangu yang mengambil kesempatan untuk memporak-perandakan rumahtangga mereka berdua. Mampukah mereka mempertahankan mahligai yang semakin rapuh in?

Komen saya:

1. Seperti biasa, karya Kak Hezzy Azra tak pernah menghampakan. Nipis tapi banyak isi yang boleh kita kupas.

2. Suka Irdina yang lasak dan berdikari. Bukan jenis yang suka ambil kesempatan walaupun Raif banyak bagi peluang untuk dia berbuat demikian.

3. Suka semangat setiakawan Raif . Walaupun kawan yang dibantunya perempuan tapi yeah, dia tak pernah tinggalkan kawannya yang sama-sama tak bernasib baik dalam pelaburan. Sama-sama berikhtiar mencari alternatif untuk recover kerugian yang dialami.

4. Sikap percaya dan toleransi tu sangat penting dalam perhubungan. Bila keduanya wujud, nescaya anasir luar pun susah nak menjengah masuk. :)

5. Kesedihan yang kita alami bukan tiket untuk kita abaikan insan-insan di sekeliling kita. Lebih-lebih lagi orang yang rapat dan patut kita beri lebih perhatian.

6. Yang di sekeliling jangan pula tinggalkan orang yang bersedih tu sendiri. Kena pandai cari kesempatan dan kaedah untuk memulihkan kesedihannya.

7. Kesusahan dan kesempitan orang lain bukan tiket untuk kita ambil kesempatan. Jadi, saya benci Delisha. Titik! :P

8.Saya rasa kisah yang dibawa penulis kali ni agak ‘berat’ berbanding kisah-kisah terdahulu. Ke saya yang terlebih menjiwai ni? Haha. Apa pun tahniah Kak Hezzy sebab berjaya juga buat saya sob sob (sikit) bila membaca kisah ni. Hehe. Harapnya tahun depan bakal ada buku baru lagi. ;) 

Sunday, February 9, 2014

Dia Imamku

Posted by Hajar at 9:52 PM 2 comments
Tajuk: Dia Imamku
Penulis: Najwa Rahman
Penerbit: Penerbitan Kaki Novel Sdn. Bhd.
Harga: RM21.00
Sabah/ Sarawak: RM 24.00
Halaman:  579 mukasurat
ISBN: 9789670448572

Aturan Tuhan menemukan mereka kembali selepas berbelas tahun terpisah. Siapa sangka akhirnya Naufal bertemu jodoh dengan Insyirah? Dalam diam rupanya kedua-dua mereka saling memendam rasa. Melihatkan hubungan mereka yang sentiasa bercakaran antara satu sama lain memang agak mustahil kiranya mereka berdua disatukan. Rupanya mereka telah ditunangkan sedari kecil bila Naufal sendiri pernah menyuarakan hasrat hatinya untuk melamar Insyirah bila mereka dewasa nanti. Amboi, kecik-kecik dah pandai ye Naufal. Ish ish...

Sebelum tercetusnya berita tentang lamaran keluarga Naufal ni, Insyirah kerap bermimpi bertemu bakal imamnya. Cuma dia tak pasti adakah benar Naufal yang telah tersurat sebagai imam yang bakal memimpinnya? Bila banyak petunjuk yang menuju ke arah Naufal, Insyirah redha dengan ketentuan yang tersurat. Mereka kemudiannya disatukan dengan restu kedua belah keluarga. Lepas berkahwin barulah Insyirah tau yang Naufal bukanlah teruk sangat. Selama ni Naufal suka berlagak sinis dengannya sebab nak jaga gengsi. Haha.

Lumrah setiap perkahwinan pasti ada badai yang mendatang. Lebih-lebih lagi bagi pasangan muda yang berjauhan seperti mereka. Walaupun sentiasa berhubung, masih tetap ada rasa curiga dalam diri masing-masing. Yang paling menyakitkan hati bila ada yang suka mengendeng dengan Naufal walaupun tahu status Naufal yang sudah pun bergelar suami. Insyirah yang masih bersikap keanak-anakan pula selalu merajuk dan berjauh hati dengan Naufal disebabkan hal ini. Haish. 

Kehadiran si cilik Isyraf mengajar mereka untuk jadi lebih matang. Namun, mampukah Insyirah bertahan apabila sekali lagi datang penggangu yang mengendeng dan berhasrat untuk memisahkan Insyirah dan Isyraf daripada Naufal?

Komen saya:

Yang saya suka:

1. Naufal yang kerek dan kadangkala bermulut manis.
2. Insyirah yang kuat dan tak mudah mengalah.
3. Keluarga mereka yang sentiasa menyokong dalam apa keadaan.
4. Penggunaan gaya bahasa yang mudah.
5. Penceritaan yang pantas dan tak meleret-leret.
6. Ada Mika! Eh, tetiba. :P

Yang saya 'kurang' suka:

1. Naufal yang terlampau baik sampai orang lain berani ambil kesempatan atas kebaikannya tu. Kalau tak, masakan timbul dendengs berdua tu? (Nak tau dendengs ni apa dan siapa kena baca okay? :P)
2. Insyirah yang cepat melatah. Lumrah orang perempuan memang macam tu agaknya.
3. Ketidakmatangan mereka berdua dalam melayari rumahtangga. Hmm, cuma saya harus akui realitinya hal macam ni banyak berlaku terutamanya di kalangan pasangan muda.
4. Adegan-adegan manis bergula yang saya rasa kalau penulis boleh metaforakan dengan lebih baik, akan membolehkan saya tanpa ragu berkongsi bacaan buku ni dengan anak-anak buah saya. :)

Keseluruhannya, kisah ni merupakan bacaan santai walau terkadang luruh juga air mata disebabkan Naufal yang tak cuba mengerti hati Insyirah. Sobs. Tahniah ye Dik Najwa. Selamat maju jaya untuk pengajian yang berbaki dan juga untuk kisah-kisah seterusnya. :) 

Monday, February 3, 2014

Cinta Kita

Posted by Hajar at 9:58 PM 3 comments
Tajuk:  Cinta Kita
Penulis: Suzana Sulaiman
Penerbit: Idea Kreatif Publication
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman:  512 mukasurat
ISBN: 9789671226735


Suka cerita ni sebab

1. Kisah cinta yang biasa. Tak digambarkan terlalu bombastik. Khalish, seorang bapa tunggal bertemu anak gadis lanjut usia (Qistina) gara-gara anak kesayangannya, Husna (yang digambarkan sangat susah nak beramah mesra dengan orang luar) tertawan dengan Qistina pada pertemuan pertama mereka di Pantai Cherating. 

2. Qistina ada perniagaan book cafe. Yang saya memang dah lama berangan nak set up. Haha. Motivasi ni...;)

3. Penekanan hal jodoh, rezeki, ajal dan maut yang berada di luar bidang kuasa kita sebagai manusia. Kena sentiasa ingat yang Allah is always the best planner. Kena yakin yang aturan dan perancangan Allah itu semestinya yang terbaik buat kita. 

4. Adanya Husna yang petah dan keletah. Sungguh pun Husna yang berperanan merapatkan hubungan antara Qistina dan Khalish, wataknya berjaya diimbangi dengan baik. 

5. Khalish yang digambarkan sebagai seorang bapa tunggal yang bertanggungjawab. Kita boleh nampak macam mana cara pendidikan yang diterapkan kepada Husna. Bak kata Qistina, Husna tu adalah benchmark untuk Khalish sebagai seorang bapa. 

6. Watak Qistina yang kuat, tabah dan tak mudah mengalah bila dugaan mendatang. Terutamanya bila kandungannya berisiko dan di diagnosis sebagai pesakit pre-eclampsia. Baginya, selagi belum berlaku, kita sebagai manusia harus berusaha selagi termampu. Bukan berserah bulat-bulat pada ketentuan takdir.

7. Banyak pengajaran dan perkongsian yang kita dapat kutip daripada kisah ini. 

8. Ada petikan kata-kata menarik pada setiap permulaan bab. :)


Yang saya 'kurang' suka:

1. Khalish nampak seperti pentingkan diri bila dapat tahu yang kandungan bermasalah dan Qistina berisiko untuk menghidapi pre-eclampsia. Tak dinafikan dia masih trauma dengan pemergian Dahlia akibat eclampsia selepas melahirkan Husna. Tapi, sebagai lelaki matang bukankah sepatutnya dia boleh berfikir dengan waras? Kenapa tak berbincang dengan Qistina dan Doktor Harlina? Dan sepatutnya dia lebih menghargai masa bersama Qistina kalau betul ditakdirkan umur Qistina tak panjang. Bukan ke sebagai seorang muslim kita digalakkan untuk berusaha dan berdoa sebelum berserah? Ni boleh pulak dia dok larikan diri. Cis! Haha. Kan dan panjang bebelan saya? Kalau in real life jumpa orang macam ni memang dah kena luku dah kot? :P

2. Qistina pula menjauhkan diri lepas Khalish pulang ke rumah. Aduhai. Nasiblah takde adegan fast forward "Beberapa tahun kemudian...." Hahaha. Kalau ada memang dah meleret-leret jadinya nanti. 

3. Tiada penjelasan lanjut bagaimana Qistina boleh terselamat dan melepasi waktu kritikal selepas melahirkan anak-anaknya. Tau-tau, ehh, dah selamat? Jadi, ceritanya ini macam ditamatkan dengan agak pantas. 

4. Kadar gula yang agak tinggi (bagi saya). Walaupun tiada adegan manis bergula terlampau, saya tetap rasa manis. Hehe. 

Komen saya: Keseluruhannya saya suka kisah ini. Tak terlalu berat untuk dihadam dan ada perkongsian ilmu. 'Anak pertama' yang tak menghampakan untuk seorang yang menggelarkan dirinya an accidental writer . :) Tahniah Kak Suzana untuk Cinta Kita. Thank you for sharing this beautiful and inspirational love story. And definitely we want moreee!Hihi..

Saturday, February 1, 2014

13 Jam A380

Posted by Hajar at 10:08 PM 1 comments
Tajuk: 13 Jam A380
Penulis: Evelyn Rose
Penerbit: Penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd.
Harga: RM28.00
Sabah/ Sarawak: RM 31.00
Halaman: 752 mukasurat
ISBN: 9789670246536

Siapa sangka lelaki yang menjadi igauan Hana Sofea (Hana) semenjak sekian tahun akhirnya muncul di depan matanya? Kesilapan penempatan tempat duduk menemukan Hana dengan Syed Haydar (Haydar). Bermulalah hubungan platonik mereka sepanjang 13 jam perjalanan ke London. Kita pun turut sama terbuai dan larut dalam hubungan kedua kekasih kayangan yang nampak agak melampaui batas pada mata kasar. Hana memang sedar dan tahu apa yang dia buat tu salah, tapi baginya peluang bukan datang selalu. Jadi apa salahnya dia menikmati 'peluang' yang terbentang di depan mata? Hmm...Turun penerbangan Hana masih berharap yang Haydar akan terus mengingatinya tapi terpaksa akur dan menerima hakikat bahawa tempoh 13 jam itu hanyalah salah satu nikmat dunia yang mengkhayalkan.

Perkenalan Hana dengan Fido, Fawwaz dan neneknya menemukan Hana dan Emmel, si comel anak angkat Fawwaz. Yang akhirnya mengikat Hana menjadi seorang ibu segera bagi Emmel. Melalui keluarga jutawan ini Hana banyak belajar mengenai hakikat sebenar kehidupan. Bila terkenang kembali kekhilafannya dalam tempoh 13 jam penerbangan ke London, Hana memang kesal. Tapi bila memikirkan pelbagai hikmah yang membuatkan dia memperbaiki jalan hidupnya, Hana lebih bersyukur atas ujian yang diberikan padanya. Seharusnya begitulah. Ujian diberi bukan untuk menyusahkan manusia tapi lebih kepada meningkatkan keimanan dan kekuatan diri.

"......apabila kita menolak hikmah daripada apa yang Allah tetapkan untuk berlaku, kita bukan hanya menzalimi diri kita. Kita menzalimi orang di sekeliling kita juga...." - m/s 199.

Kisah Haydar belum berakhir lagi sebenarnya. Setelah 3 tahun berlalu Hana pulang ke Malaysia selepas tamat pengajiannya berserta harapan dan memohon restu kedua ibu bapanya untuk berkahwin dengan Fawwaz. Namun, pertemuannya dengan Haydar dalam perjalanan pulang mula menggugat perancangannya. Geram juga dengan Haydar ni. Tapi dari sudut yang lain, saya kagum dengan semangat dan tekadnya untuk menikahi Hana. Mungkin silap Hana juga sebab tak perkenalkan Fawwaz pada keluarganya sedari awal. Bila perancangan licik Haydar berjaya menghuru-harakan keadaan, memang rasa nak hantar bom je kat Haydar ni. Haha. Tapi, hakikatnya dalam realiti pun kita kena sedar, kadangkala apa yang tersurat untuk kita itu adalah apa yang kita perlukan, bukannya apa yang kita mahukan. Jadi tepuk dada, tanya diri sendiri apa sebenarnya yang kita perlukan dalam hidup. Perancangan Allah untuk kita tu semestinya yang terbaik. :)

Bagi Hana pula, mampukah dia menerima dengan redha apa yang telah tersurat untuknya?

....Belajarlah menerima jawapan daripada Allah, seperti mana kita belajar cara untuk bertanyakan jawapan daripada Dia. - Fawwaz Hussaini.

Komen saya: Phew, setelah hampir setengah tahun terperam, akhirnya selesai juga pembacaan kisah cinta di awan biru ni. Tak dinafikan, banyak input positif yang dapat kita kutip daripada kisah ini. Salah satunya bila penulis menekankan tentang betapa sukarnya kita nak mempraktikkan cara hidup Islam di kalangan masyarakat di tanah air sendiri berbanding di luar. Bila ada yang serius mempraktikkan, terus dicap sebagai pelampau. Aduhai.. Kagum dengan mereka yang mampu memperkukuhkan akidah dan mempraktikkan cara hidup Islam sepenuhnya tanpa mengira di mana pun mereka berada. Terima kasih atas ingatan dan tahniah buat penulis atas terbitnya kisah ini. Cuma pengakhir kisah ni buat saya teringatkan kisah Arluna bila ada scene water birth tu. Kebetulan, mungkin? :) 
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review