Tuesday, June 26, 2012

Semusim Rindu - Aleya Aneesa

Posted by Hajar at 10:55 PM 4 comments




Tajuk: Semusim Rindu
Penulis: Aleya Aneesa
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM18.00
Sabah/ Sarawak: RM 21.00
Halaman:  455 mukasurat
ISBN: 9789831241924


Sebelum baca buku ni, saya rasa kisah Dhamira (Janjiku Bersamamu) tu dah cukup tragik. Rupanya kisah yang dibawa oleh penulis dalam Semusim Rindu ni pun tak kurang tragiknya.

Hajar Adira (Hajar) merupakan anak yatim piatu yang dibesarkan oleh ibu saudaranya (Mak Long Nazimah) selepas kematian ibu dan ayahnya semenjak dia berumur 5 tahun. Hidup di rumah  Mak Long Nazimah tak seindah mana bila Hajar selalu didera dan diperlakukan dengan kejam oleh keluarga Mak Longnya. Akibat tidak tahan dengan penderaan fizikal dan mental yang terpaksa dilalui selama 5 tahun, Hajar dengan dibantu oleh sepupunya Azim, memutuskan untuk  melarikan diri ke rumah Mak Ngah Nasriah di Johor Bahru. Namun, setibanya di Johor Bahru Hajar hilang punca, tak tahu ke mana nak dituju. Pertemuannya dengan Firdaus yang sedang menunggu ketibaan isterinya, Fauziah telah membawa Hajar ke dalam kehidupan suami isteri yang baik itu. Oleh kerana mereka belum lagi dikurniakan zuriat, mereka memutuskan untuk mengambil Hajar sebagai anak angkat mereka.

Walaupun mereka telah dikurniakan zuriat sendiri kemudiannya, Firdaus dan Fauziah tetap melayan Hajar seperti anak kandung mereka sendiri. Kematian Fauziah akibat kanser beberapa tahun selepas itu menyekat peluang Hajar untuk menyambung pengajian ke luar negara sebab dilarang oleh Firdaus. Kemudian bila Firdaus pula lumpuh akibat kemalangan, Hajar terpaksa menjadi tunggak keluarga. Sampai terpaksa buat 2 kerja dalam satu masa untuk menyara keluarga. Tabah betul.

Pertemuan dengan Ikhman si playboy yang kerap menyakitkan hatinya itu membuka jalan untuk Hajar kembali kepada keluarga kandungnya. Disebabkan terlalu lama memendam perasaan sendiri, Hajar menjadi seorang pendendam. Kehadiran Pak Usu Halil yang memang dah lama mencari Hajar pun ditolak mentah-mentah. Pak Usu Halil ni sebenarnya ada kanser. Itu sebabnya dia beria mencari Hajar untuk tebus kesalahannya meninggalkan Hajar dengan Mak Long Nazimah dulu. Mujurlah sempat juga Hajar jumpa dan berbaik dengan Pak Usu sebelum kematian Pak Usu. Sebelum meninggal dunia, Pak Usu sempat mewasiatkan agar Ikhman berkahwin dengan Hajar sebab Pak Usu nampak hanya Ikhman yang betul-betul layak untuk menjaga Hajar.

Perkahwinan mereka berlangsung juga dengan syarat, mereka takkan tinggal sebumbung selepas berkahwin. Tujuan Hajar mengenakan syarat sebegitu sebab dia tak yakin yang Ikhman betul-betul sayangkannya. Tapi, bila dia dah mula terima Ikhman dalam hidupnya, berlaku satu salah faham selepas Ikhman ternampak Hajar berdua-duaan dengan Azim (yang memang ada hati dengan Hajar) dalam kereta. Akibat salah faham tu Hajar terpaksa membawa diri ke Jepun untuk menyambung pengajiannya.

Bagaimana penyudahnya hubungan Hajar-Ikhman ni?

Ikhman ni pun ego. Kata cinta, tapi sekali pun tak pernah lafaz kata 'keramat' tu pada Hajar. Haish. Kata-kata 'keramat' tu macam satu jaminan pada seorang perempuan tau? :P

Komen saya: Kisah ni memang sedih. Jadi sila sediakan tisu atau tuala sebelum membaca ya? :) Saya sukakan perjalanan cerita yang agak tersusun dan tak buat kita tertanya-tanya. Cuma pembinaan watak tu macam tak konsisten sikit. Tapi secara keseluruhannya saya tak ada masalah untuk menyukai kisah ini. :)

Friday, June 22, 2012

Teduhan Kasih - Marissa

Posted by Hajar at 6:35 PM 9 comments

Tajuk: Teduhan Kasih
Penulis: Marissa
Penerbit: Karyaseni Enterprise.
Harga: RM22.00
Sabah/ Sarawak: RM 25.00
Halaman:  575 mukasurat
ISBN: 9789670246222

Membaca kisah ini membuat kita jatuh simpati kepada watak utamanya, Iffa. Perjalanan hidupnya penuh liku sebelum bertemu kebahagiaannya sendiri. Sudahlah diceraikan suami waktu sedang mengandung, bekas suaminya, Ryzal tu tak mahu mengaku yang anak yang dikandung Iffa tu adalah anak daripada benihnya. Paling tak disangka, Iffa diceraikan sebab Ryzal mahu berkahwin dengan orang yang mengaku dirinya sahabat baik Iffa, Ayu. Heh. Memang kawan makan kawan punya spesies ni.

Sebaik diceraikan, Iffa menumpang tinggal di rumah keluarga tirinya. Mereka ni bukannya bersimpati, tapi makin menambah beban tekanan perasaan kepada Iffa. Walaupun pelbagai kata cacian yang diterima daripada ibu dan kakak tirinya, Iffa tetap bertahan demi anak dalam kandungannya. Layanan mereka kepada Iffa pun tak ubah seperti layanan kepada pembantu rumah. Lagi kejam, waktu Iffa dah sampai masa nak bersalin tak ada sesiapa di kalangan keluarga mereka yang membantu. Masing-masing memang dah berpakat supaya Iffa bersalin sendirian.

Kebetulan, waktu Iffa sedang menunggu teksi nak ke hospital, Ehsan muncul menawarkan pertolongan. Kira Ehsan ni macam penyelamatlah kepada Iffa. Sanggup teman Iffa sampai ke dalam labour room walaupun mereka tiada pertalian.  Cuma part ni saya agak confuse. Sanggup pula Iffa ni biarkan lelaki bukan mahram teman. Hmm, mungkin penulis ada sebabnya sendiri. Ehsan yang dah jatuh sayang kepada Adam (anak Iffa) menawarkan tempat tinggal untuk Iffa untuk berpantang selepas melahirkan Adam.

Habis berpantang, Iffa kembali ke rumah keluarga tirinya. Kononnya untuk menumpang sementara sebelum dapat kerja. Dalam masa yang sama, hubungan dengan Ehsan masih berterusan disebabkan Adam. Ada satu peristiwa yang menyebabkan Iffa cedera dan kemudiannya nekad untuk keluar dari kongkongan keluarga tirinya. Ehsan pula dengan senang hati menerima kehadiran Iffa dan Adam dalam hidupnya. Untuk mengelakkan timbulnya fitnah, Ehsan kemudiannya melamar Iffa untuk dijadikan isteri. Masing-masing ni sebenarnya dah ada hati dalam taman. Tapi kedua-duanya fikir hubungan halal mereka berdua tu hanya disebabkan oleh Adam.

Bagaimana kedua-duanya menyesuaikan diri dalam perkahwinan ini? Bahagiakah Iffa dengan pilihannya ini? Atau masih  ada lagi anasir-anasir gangguan daripada Ayu?

Komen saya:  Papa Ehsan ni memang manis. Haha. Walaupun digambarkan sebagai kaki perempuan dan seorang pemabuk tapi disebabkan kehadiran seorang anak kecil yang tiada langsung pertalian darah dengannya mampu buat seorang Ehsan merubah diri menjadi manusia yang lebih baik. Phew. Saya agak berpuas hati dengan keseluruhan kisah ni sebab rasanya tak ada persoalan yang tergantung. Cuma ada sedikit kesilapan fakta yang mungkin pihak editor terlepas pandang. Oh, satu lagi untuk adik-adik, buku ini tak sesuai dibaca oleh kamu sekalian ya? Ada adegan yang tak sesuai untuk tatapan umum. Jadi para ibu atau kakak, sila tapis bahan bacaan untuk anak-anak atau adik-adik kalian ya? :)


Monday, June 18, 2012

Hati Kala Cinta - Hani Fazuha

Posted by Hajar at 10:34 PM 0 comments

Tajuk: Hati Kala Cinta
Penulis: Hani Fazuha
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM22.00
Sabah/ Sarawak: RM 25.00
Halaman:  546 mukasurat
ISBN: 9789831247174

Menyelami perasaan Lya membuatkan kita rasa sangat kesian dengan Lya ni. Terseksa sungguh perasaan bila terpaksa memendam perasaan pada sahabat karib sendiri.

Lya dan Zhafran (Zhaf) membesar bersama-sama sebab mereka berjiran sejak kecil. Hubungan mereka diibaratkan bagai isi dengan kuku. Memang ramai yang salah anggap dengan hubungan 'teman tapi mesra' mereka ni. Lya, walaupun ada menyimpan perasaan pada  Zhaf berjaya mengunci rapat mulutnya daripada berterus terang dengan Zhaf sebab tak mahu memporak perandakan hubungan baik mereka. Hubungan mereka memang berjalan dengan baik sehinggalah kemunculan Nurin, sepupu Lya yang kematian kedua ibu bapanya dalam kemalangan jalan raya. Kedatangan Nurin dalam keluarga Lya berjaya memporak perandakan hubungan Lya bukan saja dengan keluarganya, malah dengan Zhaf juga. Tak sedar diri ini orang. Huh.

Lya jadi pelik dengan Zhaf sebab selama dia rapat dengan Zhaf, dia tahu Nurin tu bukanlah jenis perempuan  yang menepati kriteria idaman Zhaf. Tapi entah macam mana boleh rapat sampai bertunang. Waktu ni Lya betul-betul rasa tersisih, bukan saja dengan ibunya, malah Zhaf nak bertunang pun Lya tak diberitahu. Cuma yang tak enaknya, Zhaf ni seolah-olah baru tersedar dari lena yang panjang bila dah hampir tarikh perkahwinannya dengan Nurin. Tapi sebab tak mahu keluarga mereka menanggung malu, perkahwinan tu tetap diteruskan biarpun Zhaf dah sedar yang hanya Lya yang dicintai. Walaupun dah terbongkar segala pekung Nurin, Zhaf tetap simpan aib Nurin tu daripada pengetahuan keluarganya.

Dalam masa yang sama pula, muncul Hareez (abang Zhaf) yang bakal ditunangkan dengan Lya atas permintaan keluarga. Oleh kerana Lya ni memang rapat dengan keluarga Zhaf, jadi mama Zhaf kalau boleh tak mahu Lya berjauhan dengannya. Sebab itulah mereka cadangkan Lya ditunangkan dengan Hareez. Walaupun pada awalnya karakter Hareez yang sombong tu agak menjengkelkan, tapi selepas ditunangkan dengan Lya, karakternya berubah seratus peratus. Rupanya karakter selamba Lya tu berjaya menambat hati si lelaki sombong ni.

Namun, siapa agaknya yang benar-benar berjaya menambat hati Lya? Hareez yang terang-terang menunjukkan perasaannya pada Lya atau Zhaf yang masih tersepit dengan masalahnya bersama Nurin?

Komen saya : Saya beli buku ni sebab tergoda dengan kata-kata kawan saya. Haha. Mujurlah ceritanya okay. Tak ada rasa nak baling masuk longkang. Cuma saya rasa watak Zhaf tu digambarkan terlampau baik sampai kena pijak kepala. Ish. Watak Hareez tu pun sepatutnya boleh dikembangkan lagi. Tak puas hati dengan pengakhiran kisah Hareez dalam ni. Hehe. Apa pun, terima kasih Nina sebab introduce buku ni dan tahniah juga buat penulis sebab berjaya buat saya rasa nak cari semua buku tulisannya. :)

Friday, June 15, 2012

Hati Yang Luka - Norhayati Berahim

Posted by Hajar at 10:31 PM 1 comments


Tajuk: Hati Yang Luka
Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: NB Kara Sdn. Bhd.
Harga: RM21.90
Sabah/ Sarawak: RM -
Halaman:  562 mukasurat
ISBN: 9789834347307

Saya rasa kalau dihimpun semua hero novel Norhayati Berahim yang pernah saya baca, Raof ni adalah hero yang paling menjengkelkan saya. Haha. Bukan apa, egonya tinggi melangit. Lepas tu cakap dia saja yang betul, tak pandai jaga perasaan isteri dan juga teramat mengongkong isteri. Haish. Penyabar sungguh Widad isteri si Raof ni.

Widad dan Raof ni pernah bertunang. Kemudian pertunangan mereka diputuskan oleh Widad dengan alasan nak sambung pengajian. Padahal sebenarnya Widad terlalu kecewa sebab Raof selalu memandang rendah kedudukan Widad. Tak bagi muka langsung walaupun Widad dah 2 tahun jadi tunangan Raof. Yelah, Widad cuma anak seorang pemandu (ayah Raof), sedangkan Raof anak seorang berpangkat Datuk. Raof sebenarnya menaruh hati pada Widad, cuma 'kedudukan sosial' keluarga Widad tu yang menyebabkan dia rasa malu. Heh. Jadi Widad putuskan pertunangan mereka dan bawa diri ke Sweden untuk menyambung pengajian sekaligus nak membuktikan kepada Raof yang anak seorang pemandu juga boleh berjaya.

Elok je tak berapa lama lepas Widad pulang dari Sweden, Raof disaman oleh (bekas) teman wanitanya Lily yang menuduh Raof mencederakannya. Itu semua gara-gara Raof memutuskan hubungan mereka. Memang kaki propa sungguh Lily dengan maknya ni sampai nak bawa ke mahkamah segala. Haish. Jadi untuk membuktikan yang Raof tidak seperti yang didakwa, dia disarankan oleh peguam keluarganya untuk berkahwin. Di sinilah timbulnya idea untuk meminta pertolongan Widad.

Serba salah Widad nak buat keputusan. Namun, akhirnya Widad menerima lamaran keluarga Raof dengan beberapa syarat. Peliknya Raof boleh setuju dengan semua syarat tu tanpa fikir kesan di kemudian hari.

Perkahwinan mereka ni memang banyak turun-naiknya. Raof tu sangat suka menyindir Widad. Seolah-olah macam Widad tu tak berperasaan. Heh. Mujurlah dapat isteri penyabar. Kalau tak memang dah kena tinggal agaknya. Ops, teremosional pula. :P Sejauh mana agaknya Widad mampu bertahan sebagai isteri Raof ni?


Komen saya: Membaca kebanyakan review, memang rata-rata komen mengatakan menyampah dan geram dengan Raof, termasuklah saya sendiri. Haha. Kalau wujud di dunia nyata watak ni memang dah kena lempar batu agaknya. Sekalung tahniah buat penulis sebab berjaya mencorakkan watak Raof ni sampai kita rasa nak lenyek-lenyek je Raof ni. :)



Sunday, June 10, 2012

Kasih Benar Kasih - Aleya Aneesa

Posted by Hajar at 6:04 PM 0 comments
Tajuk: Kasih Benar Kasih
Penulis: Aleya Aneesa
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM21.00
Sabah/ Sarawak: RM 24.00
Halaman:  496 mukasurat
ISBN: 9789831246689

Phew, akhirnya berjaya juga saya menghabiskan pembacaan buku ni.  Kekangan masa akibat kesibukan kerja hakiki membataskan waktu untuk menyudahkan pembacaan.

Kali ni penulis membawa kita menelusuri kisah antara Annura dan Dinzley. Bila sebut Dinzley ni memang automatiklah teringat Ikram Dinzley. Tapi takdelah saya nak bayangkan Ikram tu sebagai hero kisah ni. Hehe.

Annura dan Dinzley berkenalan disebabkan kedua ibu bapa mereka ni kawan baik. Oleh kerana masing-masih masih belum berteman di kala usia sudah layak berkahwin, jadi mereka disuruh berkenalan untuk sesuaikan diri. Pada mulanya Annura memang menolak cadangan kedua ibu bapanya sebab dia merasakan yang tiada keserasian antara dirinya dan Dinzley. Mana taknya, Dinzley tu sangat kuat menyakat sampai buat Annura rasa jengkel. Sungguh pun macam tu, diorang ni nampak sangat comel as a couple.

Memang tiada paksaan dalam hubungan mereka berdua ni, tapi harapan yang digantung oleh kedua orang tua mereka sangat sukar untuk ditolak. Jadi akhirnya Annura menerima Dinzley sambil mencari titik keserasian antara mereka. Namun di saat Annura sudah mula merasakan kehadiran Dinzley dalam hidupnya, Dinzley pula mahu menangguhkan perkahwinan disebabkan bekas kekasihnya yang kononnya sedang sakit. Heh. Masa ni memang saya kesian sangat dengan Annura sebab silapnya Dinzley, dia terus nyatakan hasrat nak tangguhkan perkahwinannya kepada keluarga mereka tu tanpa berbincang langsung dengan Annura. Manalah Annura tu tak rasa terhina dan rasa dimalukan depan keluarga mereka?

Namun, setelah kebenaran terbongkar Annura tetap menerima Dinzley sebagai suami.  Cuma yang tak enaknya Annura bersetuju untuk berkahwin dengan Dinzley hanya kerana nak balas rasa sakit yang dia pernah rasa tu pada Dinzley. Walaupun dah setahun berkahwin dendam Annura pada Dinzley masih tak surut. Sampai bila agaknya Dinzley mampu bersabar melayani kerenah isteri yang dingin tu.?

Komen saya : Realitinya ada ke lelaki yang sesabar ni eh? Haha. Kisah mereka ni agak smooth dan tak banyak konflik. Kisah kali ni tak ada juga bahagian yang mampu merembeskan air mata bagai nak rak macam kisah-kisah nukilan AA yang lain. Cuma saya suka pengakhiran yang melibatkan keluarga Annura dan Dinzley dalam memperbaiki hubungan mereka berdua ni. :)

Sunday, June 3, 2012

Bertakhta Di Hati - Marwati Wahab

Posted by Hajar at 6:07 PM 0 comments

Tajuk: Bertakhta Di Hati
Penulis: Marwati Wahab
Penerbit: NHF Media Corp Sdn. Bhd.
Harga: RM19.90
Sabah/ Sarawak: RM-
Halaman:  597 mukasurat
ISBN: 9789833880058

Satu lagi kisah sedih yang berjaya dilakarkan oleh Marwati Wahab a.k.a Aleya Aneesa (AA). Memang betullah, kebanyakan karya AA ni sinonim dengan kisah sedih.

Kalau baca blurb, memang kita akan rasa sakit hati dengan Nadjmi yang meninggalkan Khairunnasrya (Rya) tanpa sebab munasabah. Tapi hakikatnya Nadjmi menyimpan rahsia yang akan membuka aib orang yang dah tiada di dunia ni. Dia rela dicaci daripada memburukkan orang lain. Lebih-lebih lagi orang tu dah pun meninggal dunia.

Rya ditinggalkan Nadjmi selepas 3 hari tempoh perkahwinan mereka. Bunyinya kejam bukan? Tanpa sebab yang munasabah, dirinya ditinggalkan oleh suami. Memang perkahwinan mereka tak mendapat restu kedua orang tua Nadjmi, tapi tak sangka yang Nadjmi akan meninggalkannya sepantas itu. Kesian Rya yang menjadi mangsa tohmahan orang  kampungnya. Rya masih mampu bertahan walaupun pelbagai tohmahan yang diterima, namun pemergian anak yang dikandung selama sembilan bulan adalah dugaan paling hebat buat Rya.

Nadjmi pula memberontak dan membalas rasa sakit hati kepada kedua ibu bapanya dengan mengahwini seorang wanita Inggeris semasa di London. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang dinamakan Danish Hakim (Aish). Selepas kelahiran Aish, isteri Nadjmi minta dilepaskan sebab mahu hidup bebas dan tak mahu terikat dengan suami dan anak. Hak penjagaan Aish diserahkan sepenuhnya kepada Nadjmi. Nadjmi pula dari awal lagi dah ajar Aish yang Rya tu adalah ibu Aish. Kira bijak jugalah Nadjmi ni sebab pandai pergunakan Aish untuk menawan kembali hati Rya.

Selepas kematian anak perempuannya, Rya membawa diri menyambung pengajian dan setelah tamat pengajian Rya berhasil mendapat pekerjaan yang baik. Pertemuan dengan Aish, selepas 7 tahun Nadjmi meninggalkan Rya berjaya membawa Rya kembali ke dalam keluarga kecil mereka. Cuma macam mana agaknya Nadjmi nak menawan semula hati Rya yang dah hancur berkecai tu?

Komen saya : Kisahnya tak adalah konflik berat sangat. Cuma pada saya Nadjmi ni memang tak adil bila tinggalkan Rya terkapai-kapai tanpa penjelasan macam tu. Kenapa perlu nak tunggu sampai 7 tahun baru nak cari Rya? Macam sengaja nak bazirkan masa. Eh, teremo pulak. Hehe. Cuma rasanya banyak sangat broken english phrases dalam buku ni. Harapnya kesilapan-kesilapan kecil tu dah diperbaiki dalam versi terbitan semula Fajar Pakeer . :)

Friday, June 1, 2012

Cinta Sang Pari-Pari - Maya Adelia

Posted by Hajar at 8:21 PM 6 comments
Tajuk: Cinta Sang Pari - Pari
Penulis: Maya Adelia
Penerbit: Nylea Publishing
Harga: RM19.90
Sabah/ Sarawak: RM-
Halaman:  372 mukasurat
ISBN: 9789833686292

Kalau ikutkan sebenarnya dah lama rasanya saya cari buku ni. Saya pernah tanya direct pada penulis, tapi penulis kata buku ni dah tak diterbitkan lagi sebab publisher dah ditutup. Agak kecewa jugalah sebenarnya. Tapi rezeki saya minggu lepas bila google, jumpa link buku terpakai dan akhirnya dapat juga baca karya pertama penulis Adileah ni. :)


Ini kisah tentang singa jadian bertemu dengan si kepala angin. Zafryl, seorang bos berhati kering yang turut digelar singa jadian oleh Darin, pembantu peribadinya (PA). Mereka bertemu disebabkan oleh kisah sedih yang terjadi dalam hidup mereka.


Darin ditinggalkan oleh Farhan pada hari pernikahannya tanpa sebab yang munasabah. Dan disebabkan mentaliti tipikal masyarakat kita, memang tak dapat dielakkanlah yang segala kesalahan tu diletakkan kepada Darin. Kekecewaan telah membawanya jauh ke Kuang untuk bekerja dengan si singa jadian.


Zafryl pula baru kehilangan isteri dalam suatu kemalangan jalan raya. Kehilangan membawanya jauh dari ibu kota dan sekaligus merubah karakternya menjadi seorang yang lebih dingin. Heh. Dalam ramai-ramai PA yang pernah bekerja dengan Zafryl, hanya Darin saja yang mampu bertahan  dengan kerenah dan perangai singa jadian Zafryl tu. 

Tapi lama-kelamaan hubungan mereka bertambah baik. Itu pun selepas peristiwa Darin memukul Zafryl dengan fail. Haha. Rupanya dalam diam Zafryl ni menyimpan rasa pada Darin. Walaupun ada 'rasa' juga dengan Zarfyl, Darin sedaya upaya menyembunyikan perasaan tu sebab masih rasa fobia ditinggalkan Farhan. Bila dah tertangkap dek keluarga Darin kat halaman rumah, terpaksalah Darin terima lamaran Zafryl.

Lepas berkahwin, Darin berusaha menerima buruk baik Zafryl sebagai suami. Memang agak susah pada mulanya. Tapi bila nampak kesabaran dan kesungguhan Zafryl, Darin jadi lembut hati. :)

Cuma yang menjadi masalah kepada Darin sekarang ialah Anita, PA baru Zafryl. Siapa sebenarnya Anita tu? Apa kaitannya dengan Nurzila, arwah isteri Zafryl?


Apa pun, perkahwinan mereka ni berjaya mengubah sikap kepala angin Darin kepada seorang isteri yang penyabar dan memahami. :)

Komen saya: Sebenarnya saya terkejut. Karya pertama penulis ni SANGAT berbeza dengan gaya penulisan dalam 3 buah karya yang dah pernah saya baca sebelum ni. Agak cheeky juga. Bahagian mana tu, kena baca sendirilah ye? Hehe. :P Jujurnya saya sukakan gaya penulisan sekarang. Agaknya sebab saya dah biasa dan rasa selesa dengan gaya penceritaan yang mudah dan tak nampak 'terlampau' manis.
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review