Sunday, August 31, 2014

Seteguh Fayqa

Posted by Hajar at 11:26 PM 2 comments

Tajuk: Seteguh Fayqa
Penulis: Hanina Abdullah
Penerbit: Penulisan Enterprise.
Harga: RM29.00
Sabah/ Sarawak: RM 32.00
Halaman: 776 mukasurat
ISBN: 9789670567358

Fayqa Lara Lyana (Fayqa) muncul sebagai penyelamat kawan baiknya, Dzahim yang teruk dibelasah. Kerana bimbangkan keselamatannya, Fayqa diajak untuk tinggal di rumah keluarga Haji Dzulkarnain. Kehadirannya di situ membuatkan Fayqa banyak terkenangkan keluarga sendiri lebih-lebih lagi bila Haji Dzulkarnain dan Hajah Azimah menganggap Fayqa seperti anak mereka sendiri. Namun, latar belakang Fayqa yang kabur membuat Dzariff, si abang sulung selalu berprasangka terhadap Fayqa. Sindrom abang sulungnya turut tertempias kepada Fayqa. Ish ish.. Manalah Fayqa tak gelarkan dia jeneral sengal?

Tapi dalam sengalnya si Dzariff, rupanya dalam hatinya ada taman. Hihi. Tak sangka dalam diam rupanya Fayqa diintai si jejaka. Sungguh pun terkejut dengan lamaran Dzariff, Fayqa akhirnya menerima lamaran itu atas nasihat si ibu yang mahukan kebahagiaan anak yang telah lama menjauhkan diri. Dan bermulalah kehidupan Fayqa sebagai seorang isteri. Sungguh pun masih terasa kekok dengan status perhubungannya dengan Dzariff, Fayqa cuba sebaik mungkin untuk menjadi isteri terbaik buat suami.

Sikap Fayqa yang naif, tak pernah cemburu dan tak pernah berprasangka buruk terhadap suami akhirnya memakan diri. Selepas peristiwa hitam yang menimpa dirinya, Fayqa mula memikirkan jalan terbaik untuk memperbaiki kepincangan rumahtangganya. Sungguh pun suami bermati-matian mengatakan hubungannya dengan rakan niaga hanyalah setakat di pejabat, curiga tetap menghantui Fayqa lebih-lebih lagi bila si rakan niaga mula menunjukkan petanda untuk 'berkongsi'. Huh! Jadi, apa agaknya yang Fayqa buat untuk menghalau 'langau' yang menempel di sisi suaminya itu? *Grin*

Komen saya:

1. Mula-mula baca buku ni memang saya dok sengih-sengih je bila terbayangkan gelagat Jeneral dan Prebet sengal yang suka menghuru-harakan hidup Fayqa.

2. Tapi fasa lepas perkahwinan Fayqa buat saya stress membaca. Sebab saya stress dengan Dzariff. Gila kerja sampai terlupa tanggungjawab hakiki terhadap isteri. Ghairah kejar peluang perniagaan sampai terlupa perasaan isteri sendiri. Betullah kata Cik Pah, lelaki dan perasaan kesian tak dapat dipisahkan. Kesian punya fasal, perasaan isteri terabai. Grrr! Memanglah Dzariff anggap Musyrifah tu hanya sebagai rakan niaga, tapi dia tak fikir hati perempuan ni lembut, mudah terusik dengan perhatian yang diberikan. Itu sebabnya Musyrifah tak jemu 'mengendeng' Dzariff walaupun dah terang yang Dzariff dah beristeri.

Haish, buat malu orang perempuan aje. Jagalah gengsi tu sikit. *facepalm*

3. Poligami tu sepatutnya persetujuan ketiga-tiga pihak, bukannya persetujuan suami dan pihak ketiga kemudian paksa pihak isteri bersetuju dengan keputusan suami dan pihak ketiga. - Fayqa.

Fuh! Sokong 100%. Tapi, mana ada perempuan waras yang boleh mengikhlaskan diri untuk dimadukan? Haaa...

4. Fayqa beruntung sebab dikelilingi keluarga dan adik-adik ipar yang supportive. Jadi, dia tak pernah bersendiri waktu konflik melanda. Dan saya suka watak Fayqa ni sebab bukan tipikal heroin yang akan melarikan diri waktu masalah menimpa rumahtangga. Siap bawa suami dia merempit lagi. Haha. Cuma at certain point Fayqa memang mengingatkan saya kepada Arluna. Mereka berkahwin dalam usia yang muda tapi matang dalam menghadapi masalah rumahtangga. :D

5. Typo dan proses pengeditan yang tak konsisten. Contohnya Fayqa bahasakan dirinya Lara bila dengan keluarga sendiri. Tapi dalam dialog sekejap Fayqa, sekejap Lara. Pening sekejap. Mungkin boleh dikemaskan untuk cetakan berikutnya nanti. :)

6. Tahniah buat Puan Penulis atas kelahiran Pekah dan Jeneral Sengal. Walaupun stress tapi tetap enjoy baca sehingga penamat. Hihi. Moga diberikan kesempatan untuk menzahirkan idea-idea yang terperuk dalam kepala tu ya? All the best! :)


Mitos

Posted by Hajar at 9:25 PM 1 comments
Tajuk: Mitos
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Penerbit: RAMFC.
Harga: RM25.00
Sabah/ Sarawak: RM -
Halaman: 242 mukasurat
ISBN: -

Mitos membawa kita mengenali makhluk pemangsa dan pemburu. Mengikut sejarah awalnya, guliran baka kedua keturunan ini berasal dari Jambi, Indonesia dan mereka ditakdirkan untuk bermusuh sejak azali. Walaupun mereka pernah memetrai perjanjian damai, pengakhirnya peperangan yang membinasakan tetap terjadi.

Haikal, anak kepada Dato' Adib pernah hilang diculik dan dibawa ke Pulau Harimau di Jambi. Hanya selepas 5 tahun barulah Haikal kembali ke pangkuan keluarganya dengan pelbagai keanehan. Selama 5 tahun itu Haikal telah mengenali dan hidup bersama Dambaki, spesies manusia harimau. Mula-mula hairan juga, kenapa Haikal tak jadi mangsa si makhluk pemangsa tu. Rupanya Haikal mula menyedari 'naluri' luar biasa yang dimilikinya semasa di Pulau Harimau.

Pertemuan dengan Umairah membuatkan Haikal ingin mendekati Umairah. Namun, mereka dihalang untuk merapati antara satu sama lain oleh keluarga masing-masing di sebabkan permusuhan keturunan mereka sejak zaman berzaman. Mungkinkah bakal terjadi peperangan sekali lagi?

Komen saya:
Kisah ringkas ini memang penuh teka teki pada mulanya. Tapi kemudian penulis membawa kita mengenali sejarah kedua guliran baka yang bertelingkah ini sekaligus membuat kita memahami punca permusuhan mereka. Cuma, tak puas hati dengan penamat kisah ini yang agak tergantung dengan persoalan. Dan saya agak kelam dengan motif kewujudan watak polis berdua tu. Agaknya bakal ada kesinambungan tak? ;) 

Aku, Dia & Pinky Promise

Posted by Hajar at 9:24 PM 1 comments


Tajuk: Aku, Dia & Pinky Promise
Penulis: Anna Lee
Penerbit: Fajar Pakeer Sdn. Bhd.
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman:  593 mukasurat
ISBN: 9789673652037

Walaupun sudah berusia 33 tahun, Siti Saleha (Sal) merasakan dia belum mencapai apa-apa kejayaan dalam hidupnya. Dia hanya berkerjaya biasa-biasa dan masih belum berkahwin walaupun sudah bertunang. Justeru dia mengharapkan yang dia mampu mengubah perjalanan hidupnya daripada awal andai diberi peluang untuk kembali ke masa lalu.

Tanpa disangka, suatu kejadian aneh telah berlaku selepas Sal jatuh dan pengsan. Sedar-sedar dia telah kembali ke tahun 1998. Bagaikan dejavu, Sal berusaha untuk mengubah perjalanan hidupnya. Perkara pertama yang dilakukannya tentulah menukar aliran dengan memasuki kelas sastera. Di situlah Sal mengenali Azri, teman sekelas yang kerap membuat onar daripada awal perpindahannya ke kelas sastera. Kemudian barulah Sal berusaha mencari Daniel dengan bantuan Azri. Fuh. Memang betul-betul mengimbau kenangan betul kisah ni. Banyak kisah warna warni sepanjang zaman persekolahan yang dipaparkan oleh penulis dalam kisah ini. Rasa macam nak kembali ke zaman sekolah semula pun ada. :)

Segala yang berlaku di masa lampau dapat Sal hubungkan kembali dengan memorinya bila dia sedar pada tahun 2014. Cuma yang menjadi kemusykilan, kenapa dia tak pernah ingat langsung kewujudan Azri walaupun mereka pernah ber'pinky promise' supaya Azri meminang Sal selepas 16 tahun?

Kemunculan Ray si pelukis buta yang banyak menyerupai Azri juga turut mengelirukan Sal. Takkan Sal pernah curang pada Daniel sedangkan mereka bakal berkahwin tak lama lagi?

Komen saya:

1. Bagi saya, kisah ini adalah satu eksperimentasi yang berjaya oleh penulis. Daripada pembacaan sinopsis memang kita anggap Sal betul-betul kembali ke masa lampau untuk memperbaiki jalan hidupnya. Tapi sebenarnya dia cuma ditakdirkan dapat kembali memorinya yang hilang selama sebulan 16 tahun yang lalu semasa koma. Kemudian barulah satu demi satu persoalan hidupnya terjawab.

2. Suka teknik flashback yang tidak memeningkan kepala.

3. Tiba-tiba rasa nak punggah kotak, belek gambar-gambar lama masa zaman sekolah dulu. Haha. Betullah, kisah ni banyak mengimbau kenangan zaman sekolah. Backstreet Boys, Siti Nurhaliza, 98 Degrees, SUKOM dan macam-macam lagilah. Kalau nak senaraikan memang sampai esok pun tak habis. :P

4. Saya bukan penggemar kisah yang ada plot amnesia. Tapi kisah ni berjaya ubah persepsi saya. Memang lain daripada kisah bertema tipikal di pasaran. Tahniah buat penulis. Lepas ni saya tunggu kisah Jason dengan Aria pula. :) 

Wednesday, August 20, 2014

Dunia Belum Berakhir

Posted by Hajar at 11:16 PM 0 comments

Tajuk: Dunia Belum Berakhir
Penulis: Aimi Shabana
Penerbit: JS Adiwarna
Harga: RM24.00
Sabah/ Sarawak: RM 27.00
Halaman: 505 mukasurat
ISBN: 9789670201993

Yang saya suka tentang buku ini:

1. Sikap Yasmin yang cool, matang, tak cepat melenting, berdikari, tak mengongkong, memahami, pendek katanya memang sikap positifnya lebih dominan daripada yang negatif. Itulah sebabnya Khalil boleh ambil kesempatan atas kebaikan Yasmin tu. Huh!

2. Kemunculan Aiman dan Sarah yang suka bikin riuh. Haha. Kalau ada yang ingat Aiman dan Sarah ni watak dari buku pertama penulis, Alang Rebus Tak Empuk. Dalam kisah ini mereka sudah pun bertunang dan bakal berkahwin tidak lama lagi. Kisah Ziyad dan Syifa pun ada terselit sikiiitttt tau? ;)

3. Semangat setiakawan Aiman - Zahid dan Sarah -Yasmin. Suka sangat friendship bonding mereka ni. Sarah, walaupun sukacondemn Khalil depan Yasmin, mereka tak pernah bergaduh dalam tempoh yang lama. Sebab apa? Sikap positif Yasmin yang tak pernah nak ambik hati berlebihan dengan apa yang dikatakan dek Sarah. Kalau orang lain agaknya dah siap berpatah arang segala. :D

4. Suka bila Khalil terkantoi perangai buruk depan bakal mertua. Rasa macam nak buat lompat bintang depan dia lepas kejadian tu. *Grin*

5. Bila penulis sentuh tentang isu mentaliti orang kita yang beranggapan bila ada individu (terutamanya perempuan) berubah / berhijrah ke arah kebaikan tu sebab nak berkahwin. Eh? Asal bertudung je memang automatik kena set pemikiran dan kata, "Oh, dia ni dah mula pakai tudung mesti sebab nak kahwin kan?" Adeh! *facepalm*

6. Suka gaya bahasa selamba dalam kisah ini. :)


Yang saya geram:

1. Khalil yang pengecut. Suka ambil kesempatan atas sikap Yasmin yang sangat bertolak ansur dan rasional. Dah tau perasaan tu memang dah terarah pada Nora tapi masih nak beri harapan pada Yasmin. Eeee, memang rasa nak lempar stiletto 3 inchi! Haha. Tapi, mujur scene dengan bakal mertua tu berjaya meneutralkan sikitttt rasa geram saya tu. Haha.

2. Zahid. Walau pun tak berapa nak geram sangat, tapi saya rasa dia antara lelaki yang terburu-buru dalam membuat keputusan. Pertamanya, disebabkan malu kerana masih belum bekerja sedangkan dia sudah berjanji untuk melamar Yasmin setahun selepas tempoh graduasi, Zahid terus menghilangkan diri tanpa menghubungi Yasmin. Keduanya, kerana sakit hati dengan kerenah teman wanitanya dan kemudian apabila dipertemukan kembali dengan Yasmin, dia rasa dia mahu memperbaiki kesilapan lalunya dengan cuba untuk menyambung kembali hubungannya dengan Yasmin. Sedangkan rupanya status hubungan Zahid dan teman wanitanya masih tergantung. Pengakhirnya? Hmm..

3. Kadang-kadang geram juga dengan sikap Yasmin yang terlampau rasional dan sentiasa beri dirinya alasan bagi pihak Khalil. Sepatutnya dah lama mereka berdua ni berbincang tentang status hubungan mereka. Tak adalah lama sangat si Yasmin ni menunggu. Kesian. Jarak dan kesibukan bukan penghalang sebenarnya dalam zaman kecanggihan teknologi sekarang ni. Tepuk dada, tanya diri sendiri. :)

Tahniah buat penulis atas kelahiran buku terbaru ini. Moga dikurniakan ilham untuk terus berkarya.

Sunday, August 10, 2014

Dia...Kekasih Hati

Posted by Hajar at 11:22 PM 0 comments


Tajuk:  Dia...Kekasih Hati
Penulis: Sarnia Yahya
Penerbit: Idea Kreatif Publication
Harga: RM24.00
Sabah/ Sarawak: RM 27.00
Halaman:  585 mukasurat
ISBN: 9789671226797


Cerita ni mudah je. Cuma tekankan 1 isu. Kisah suami isteri yang mahukan zuriat hasil perkahwinan mereka. Khalisha (Lisa) dan Haikal Sufian (Haikal) telah berkahwin hampir 3 tahun tapi masih belum dikurniakan zuriat penyeri rumahtangga mereka. Pelbagai usaha dan ikhtiar yang telah dilakukan cuma rezeki masih belum berpihak kepada mereka.

Bagi Haikal, kehadiran Lisa dalam hidupnya sudah cukup bermakna. Isu anak tidak menjadi masalah buatnya. Iyalah, lelaki senang je fikir. Yang perempuan ni jenuhla nak menjawab pertanyaan orang sekeliling (yang kekadang terlebih 'concern') kan?

Mungkin mereka terlupa akan restu ibu Lisa yang seperti memulaukan Lisa selepas mereka berkahwin. Mengikut rancangan awalnya ibu Lisa sudah ada calon menantu pilihannya untuk Lisa. Bila Lisa tekad memilih Haikal, Lisa dipulaukan oleh ibu sendiri. Kesian Lisa. Mujur ayah Lisa masih melayannya seperti biasa dan keluarga Haikal juga menerima Lisa dengan tangan terbuka.

Namun, bila hubungan Lisa dan ibunya dah pulih, masalah lain pula timbul. Lisa terjumpa passport Haikal yang bercop imigresen Thailand pada waktu majlis perkahwinan Haydar, adik Haikal. Di masa yang sama kemunculan bekas kekasih Haikal yang bekerja di bawah satu bumbung juga turut mengundang kecurigaan Lisa. Haish, mampu ke Lisa ni bertahan dengan segala dugaan dalam perkahwinan mereka ni?

Komen saya :

1. Memang tak dinafikan, kisah ni menghiburkan dengan telatah Haikal yang 'nakal' dan sengal. Suka sangat menyakat Lisa sampai Lisa pun dah tak larat nak melayan. Haha. Bagusnya, 'nakal' dan miang si Haikal menjadi-jadi ni cuma dengan Lisa je. Cuma itulah, ada beberapa scene dan dialog 'nakal' yang tak sesuai untuk adik-adik yang di bawah umur. ;)

2. Suka dengan family Haikal yang supportive. Lebih-lebih lagi watak emak Haikal dan sepupu Haikal yang bernama Tini tu. Emak Haikal ni bukan tipikal mak mertua yang akan salahkan menantu bila Haikal dan Lisa masih belum dikurniakan zuriat. Emak Haikal juga yang mengingatkan mereka tentang ketiadaan restu ibu Lisa yang mungkin jadi penyebab masalah yang dihadapi oleh mereka.

3. Ayah Lisa yang sporting tapi tegas. Kalau tak, takkanlah ayahnya boleh menyinga bila Lisa balik sendirian? Hehe. Saya suka sikap mak ayah yang tak terlalu menangkan anak bila ada masalah begini.

4. Sikap Lisa yang tak berputus asa daripada usaha untuk dapatkan zuriat tu memang harus dipuji. Bila Haikal kata dia tak bersedia untuk jumpa doktor pun Lisa ikutkan aje. Tak adalah dia nak mempertikaikan keputusan Haikal tu sebab dia tahu ada sisi ego lelaki yang dia tak perlu nak pertikaikan. :)

5. Banyak sebenarnya input yang cuba diselitkan dalam kisah ni, terutamanya untuk pasangan suami isteri. Untuk itu, tahniah buat penulis sebab bukan menulis kisah manis dan sengal semata. :)

Sunday, August 3, 2014

Kerana Aya Sofya

Posted by Hajar at 8:35 PM 3 comments

Tajuk: Kerana Aya Sofya
Penulis: April Snow
Penerbit: Penerbitan Kaki Novel Sdn. Bhd.
Harga: RM26.00
Sabah/ Sarawak: RM 29.00
Halaman:  716 mukasurat
ISBN: 9789670448589


Kerana si cilik yang bernama Aya Sofya (Sofi), dunia Fahratul Laila (Laila) berubah 100%. Banyak yang dikorbankannya semata untuk si kecil yang tidak berdosa itu. Demi memegang janji untuk melindungi aib seorang yang pernah bergelar sahabat, Laila dibuang keluarga dan pertunangannya juga putus di pertengahan jalan. Kata Tengku Huzair (Huzair), Laila bukan perempuan yang baik untuk dirinya yang kononnya daripada keturunan baik-baik. Ya, mungkin silap Laila tidak berterus terang, tapi lelaki matang sepatutnya tidak akan bertindak terburu-buru. Period!

Setelah 5 tahun, Aliyana datang kembali menuntut haknya terhadap Sofi. Zahwan Wazif (Wazif) telah diamanahkan sebagai peguam bagi pihaknya untuk menuntut Sofi daripada Laila. Walaupun kecewa dengan tindakan Aliyana yang memungkiri janji, Laila akhirnya beralah untuk serahkan hak penjagaan Sofi kepada Aliyana. Namun, kuasa Allah melebihi segalanya. Sofi kemalangan dan menemui ajalnya pada hari yang sepatutnya diserahkan kepada Aliyana. Kesedihan dan kekecewaan membuat Laila membawa dirinya jauh daripada insan-insan di sekelilingnya.

Rasa bersalah yang menghantui diri selepas pemergian Sofi membuatkan Wazif mencari Laila untuk memohon kemaafan. Lebih-lebih lagi bila tau kebenaran tentang Sofi daripada Aliyana dan Fakhrul. Lama tau Wazif cari Laila. Selepas hampir lima tahun baru pencariannya berakhir bila kebetulan Laila menghantar hadiah ke pejabatnya. Maka bermulalah misi melembutkan hati Laila yang dah lama terluka parah tu. Siapa yang tak cair dengan watak Wazif ni memang salute lah. Haha. Sebab dialah orangnya yang banyak membantu Laila menerima hakikat kehilangan Sofi sekaligus menyedarkan Laila bahawa itu hanyalah sebagai salah satu ujian Allah buat hamba-hambaNYA. :)

Bila hati Laila dah mula memaafkan dan menerima Wazif sebagai bakal teman hidupnya, Laila dikejutkan dengan berita pemergian walidnya dan juga hubungan pertunangannya dengan Huzair yang terjalin kembali atas kehendak arwah walid Laila. Jadi, bagaimana pula dengan rancangan perkahwinannya dengan Wazif?

Komen saya:

Suka karya ni sebab:

1. Penulis jarang recycle plot cerita dan background untuk pelakunya. Contohnya dalam kisah ni kita didedahkan dengan kerjaya Wazif sebagai peguam dan kerjaya Laila sebagai seorang pengurus pusat jualan kraftangan. Jadi, kalau cerita klise sekali pun, pembaca tak jemu dihidangkan dengan pengulangan plot dan background pelaku / cerita yang lebih kurang sama. :)

2. Gambaran watak Laila yang kuat berdepan dengan ujian walaupun disisihkan oleh ahli keluarga terdekatnya. Cuma, bila kelukaan dan kekecewaan tu disimpan lama, ia jadi dendam yang membara dalam diam. Mujurlah dipertemukan dengan Wazif yang bisa membikin hati jadi cair tu. ;)

3. Watak Zahwan Wazif yang sangat gentleman dan manis (tanpa gula tambahan). Tak malu untuk merendahkan ego untuk minta maaf atas kekhilafannya terhadap Laila. Lepas tu tengok pula macam mana dia layan emak dia. Jadi, boleh nampak kan mana datangnya sikap gentlemannya tu?

4. Family bonding yang ditonjolkan dalam kisah ini. Baik Laila mahu pun Wazif, keduanya mempunyai hubungan erat dengan kedua ibu bapa mereka. Cuma Laila pernah disisihkan keluarga disebabkan kehadiran si comel Aya Sofya.

5. Semangat setiakawan yang kuat antara Laila dan Ain. Ain tak pernah tinggalkan Laila bila Laila terpaksa berdepan dengan fasa kesukaran dalam hidupnya sampai kekadang terlupakan hal sendiri. :)

Tahniah Kak Kucc untuk Kerana Aya Sofya. Worth to readmeskipun saya dah habis baca versi blog dulu. :) Err, lepas ni giliran siapa pula agaknya eh?
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review