Saturday, November 30, 2013

Indahnya Takdir - Syikin Zainal

Posted by Hajar at 10:42 PM
Tajuk: Indahnya Takdir
Penulis: Syikin Zainal
Penerbit: Buku Prima
Harga: RM 19.90
Sabah/ Sarawak: RM 22.90
Halaman: 470 mukasurat
ISBN: 9789675489693

Kehidupan biasanya berubah 360 darjah bila dia dirogol tanpa kerelaannya. Hartini baru berusia 19 tahun ketika itu. Rupanya selama ini kecantikan Hartini menjadi igauan si mata keranjang bernama Kamarul. Kecewa kerana lamarannya ditolak bapa Hartini, Kamarul nekad mengupah orang kanannya untuk menculik Hartini dan menodainya. Kesian Hartini. Ketiadaan ibu kandung menyebabkan dirinya bertambah murung kerana tiada tempat untuk berkongsi masalah. Kemurungannya menyebabkan Hartini menyisihkan diri dan mengabaikan peperiksaan STPM yang sepatutnya dihadiri.

Natijahnya, Hartini hamil selepas itu. Mahu tak mahu terpaksa juga berterus terang dengan bapanya tentang kehamilannya itu. Dengan bantuan bapa saudara dan sepupunya, Hakim, Kamarul berjaya dijejaki. Tapi malangnya Kamarul sangat licik sehingga mampu memperdayakan Hakim untuk bertanggungjawab dan mengahwini Hartini. Dengan bermodalkan janji untuk memberikan Hakim peratusan syer di dalam syarikatnya dan sedikit habuan kewangan, Hakim bersetuju untuk bertanggungjawab. Mata duitan sungguh!

Perkahwinan tanpa rela ini memang begitu menyiksa Hartini. Hakim bukannya suami yang baik. Suka sangat mendera mental dan perasaan Hartini. Namun, Hartini tetap gagahkan diri demi anak dalam kandungannya. Pemergian bapa dan anaknya dalam tempoh yang sama betul-betul menguji emosi. Hakim juga mula tersedar daripada khilafnya dan mula untuk menerima Hartini. Tapi desakan ibunya membuatkan Hakim terpaksa melepaskan Hartini.

Perpisahan dengan Hakim makin mematangkan Hartini. Enggan larut dalam kesedihan, dia bangkit untuk memperbaiki diri. Hartini nekad menduduki semula peperiksaan STPM dan berjaya ke USM selepas itu. Perkenalannya dengan si kacak bernama Iskandar Kamel (Kamel) begitu membahagiakan Hartini. Namun, jalan yang terbentang bukanlah semudah itu. Hubungan yang diharap dapat membawa kebahagiaan hidupnya semula rupanya membawa luka. Kamarul yang ingin dihindari rupanya abang ipar Kamel. Jadi, bagaimana penyudahnya hubungan mereka ini?

Komen saya:  Kadang-kadang dalam hidup kita ini, banyak yang harus dikorbankan untuk mengecap bahagia. Dan laluannya pun bukan mudah. Jatuh bangun itulah yang memberi kita kekuatan dan makna di sebalik bahagia yang dikecapi tu. Ish, apa yang metafora sangat ni? Hehe. Saya dah lama tak baca buku macam ni sebenarnya. Asyik baca cerita santai je sesekali baca buku macam ni pun bagus juga. Buat kita banyak berfikir sebab banyak input yang boleh register dalam kepala bila baca buku ni. Hartini ni sebenarnya simbol kekuatan seorang wanita yang mengajar kita supaya jangan mudah goyah walau apa pun dugaan yang menimpa kita. Allah menguji kita sesuai dengan kemampuan kita. Sesungguhnya Dia maha mengetahui. :) Tahniahlah buat penulis atas penerbitan buku ini. Moga terus berkarya dengan menghasilkan karya yang bermanfaat untuk pembaca. :)                 

1 comments:

Unknown said...

sis sy mau beli ini buku

Post a Comment

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review